Wednesday, October 29, 2014

EMAK

“Keputusan untuk menerima jawatan ini kan kita buat bersama. Kita dah bincang. Kita dah fikir masak-masak. Bukannya abang buat keputusan sendiri,” ujar Jamal mengingatkan isterinya. Kelazatan menikmati pucuk meranti masak lemak berulamkan pucuk bebuas dan sambal belacan sebagai hidangan pada malam itu sedikit terganggu. Sejak siang lagi Suri merungut. Ada saja isu yang ditimbulkan.  Paling meresahkan apabila anak-anak turut menyokong segala pendapatnya.
“Memanglah kita dah berbincang. Bukannya nak suruh abang berhenti. Tapi saya nak abang faham sikit. Jangalah sibuk sangat dengan kerja-kerja abang. Siang  di sekolah. Petang sampai malam di asrama. Bila masanya abang nak bersama kami.” Suri mula bersuara.
Memang Jamal menyedari bahawa dia semakin sibuk sejak dilantik sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Jawatan itu tak pernah Jamal minta. Jamal masih ingat lagi bagaimana Haji Samad yang beriya-iya minta Jamal menerima jawatan itu bagi mengantikan Hajah Maimunah yang telah berpindah ke sebuah sekolah di utara tanah air.
 “Nak menjaga anak orang bukannya senang, Tuan Haji. Seorang dua masih boleh terima, tapi kalau beratus anak remaja nak dikawal dua puluh empat jam, saya takut.” Jamal cuba mencari alasan untuk menyakinkan pengetuanya.
“Lagi pun saya sayang nak tinggalkan rumah ini.” Jamal menambah.
“Awak cuba dulu. Kan ada warden yang membantu. Soal rumah, sekali sekala hujung minggu awak boleh jenguk. Bukannya jauh sangat pun rumah ni dari sekolah. Budak-budak kita pula bukannya nakal sangat. Awak tak perlu risau.” Haji Samad cuba menyakinkan Jamal.
“Beginilah Tuan Haji. Bagi saya tempoh untuk buat keputusan. Saya perlu berbincang dengan orang rumah dan anak-anak. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Takut mereka tak setuju.” Pendirian Jamal mula goyang. Jamal berasa agak sukar untuk mempertahankan. Hujahnya mudah dipatahkan oleh Haji Samad,  Pengetua Cemerlang yang cukup pengalaman berdepan dengan sepak terajang dunia pendidikan. Apatahlagi bila memikirkan kesanggupan Haji Samad yang datang sendiri ke rumah pada malam itu untuk memujuk, Jamal agak sukar untuk menepisnya.
Tawaran yang dibawa oleh Haji Samad pada malam itu akhirnya diterima setelah isterinya turut memberi sokongan. Anak-anak sekadar mendiamkan diri. Mereka akur dengan keputusan yang dibuat.
“awak jangan pula menyesal.” Jamal cuba menguji pendirian isterinya.
“Menyesal ? kenapa?” Suri cuba untuk mendapatkan penjelasan. Sebagai guru dia juga memahami sedikit sebanyak tugas seorang Penolong Kanan Hem di sekolah. Lagi pun Suri tahu suaminya pernah mejalankan tugas-tugas berkenaan di sekolah lamanya dulu.
“Kita kena pindah ke kuarters guru. Jaga budak. Tinggalkan rumah. Tinggalkan pokok-pokok bunga. Tinggalkan jiran-jiran yang telah banyak membantu kita.” Jamal menjelaskan seolah-olah juga sebagai satu amaran agar isterinya bersedia dengan apa yang akan berlaku.
“Abang….cubalah cari pengalaman baharu. Sesekali biarlah cabaran dan pengalaman itu menguji kita. Jangan kita leka dengan keselesaan yang dikecapi. Insyallah satu hari nanti pengalaman itu akan membantu.” Suri cuba berhujah persis seorang pakar motivasi.
Lamunan Jamal terganggu bila Aiman memanggilnya. Anak lelaki berusia dua belas tahun itu telah siap sedia untuk diajarnya mengaji. Ada rakan-rakan yang sebaya dengannya telah khatam Alquran, tapi Aiman baru juzuk dua belas. Itupun masih belum mahir panjang pendeknya. Sudah lebih tiga guru mengaji mengajarnya tapi tidak bertahan lama. Puncanya, Jamal tak sempat nak menghantarnya mengikut masa yang ditetapkan. Sibuk dengan pelbagai urusan sama ada di sekolah atau di asrama. Akhirnya, Jamal mengambil keputusan untuk mengajarnya sendiri.
Selesai mengajar Aiman mengaji, Jamal menghampiri isterinya yang sedang menuang sebakul baju yang telah siap dicuci untuk dilipat. Kebetulan pula sudah agak lama Jamal tidak menonton siaran Buletin Utama yang menjadi kegemarannya satu ketika dulu. Namun, otaknya masih berlegar memikirkan isu pokok yang menyebabkan ketenangnya terganggu. Kali ini isu yang diungkit oleh isteri yang telah dikahwini dua puluh tahun lalu cukup mencabar keegoannya.
Memang sejakdari dulu lagiJamal akan mudah terasa hati bila nama emak dan ayahnya disebut-sebut. Baginya,  dua orang insan itu cukup istemewa. Hatinya mesti dijaga. Kalau boleh jangan ada sesiapa yang cuba mengusiknya sehingga mereka berasa terluka. Apatah lagi sekarang ini mereka hanya tinggal berdua di kampung. Lapan orang anaknya bertaburan di merata negeri membina keluarga dengan kerjaya serta rezeki masing-masing. Sesekali bila hujung minggu atau cuti hari perayaan rumah emaknya di kampung riuh rendah dengan hilai ketawa anak dan cucu-cucunya. Semua adik beradik Jamal termasuk ipar duai memang sedia maklum dengan ketegasan emaknya dalam memastikan anak-anaknya balik untuk menziarahinya bila kelapangan. Kalau tidak semua, seorang pun sudah memadai untuk menjenguknya di kampung. Sebab itu, anak-anak mengamalkan sistem giliran. Walaupun tidak tertulis, semua anaknya akur dengan kaedah itu.
“Emak tak nak duit. Duit dari kebun sawit bapa kamu dah lebih dari cukup untuk menyara hidup kami berdua. Emak cuma nak kamu semua balik jengok kami, selagi kami masih hidup. Emak nak tengok cucu-cucu emak. Jangan nanti bila kami dah tak ada baru kamu berpusu-pusu nak balik. Tak ada maknanya.”Leteran emaknya pada suatu hari bila Ridzwan, anak ketiganya telah hampir dua bulan tidak menjengoknya di kampung . Habis semuaanaknya dikerah untuk balik berkumpul mendengar ‘amanatnya’.
“Emak boleh bayarkan duit minyak kalau kamu dah tak mampu sangat.” Emaknya menambah. Pedas menusuk telinga Jamal dan adik beradiknya yang lain. Semuanya diam membatu. Haji Manaf sekadar memerhati tanpa sepatah kata. Dia tahu benar perangai isterinya dalam situasi seperti itu.Jangan ada yang cuba nak menyampuk. Baik-baik amanatnya boleh selesai setengah jam akan jadi empat atau lima jam. Silap haribulan seharian emaknya akan mendiamkan diri.
Jamal dan adik beradiknya memang mengakui bahawa emaknya bukan inginkan duit anak-anak, jauh sekali buah tangan yang mahal-mahal. Malah, ada ketikanya cucu-cucu yang  balik ke kampung pula akan mendapat habuan dalam bentuk wang ringgit. Dia cuma nak tengok anak dan cucu-cucunya sahaja. 72 tahun usianya sudah terlalu tua untuknya  bergerak ke rumah anak-anak seramai lapan orang itu. Tambah lagi, akhir-akhir ini sakit sendi yang dialaminya sering menyerang tanpa mengira waktu. Kalau pun dia sanggup untuk mengikut anak-anak tapi tak betah lama-lama. Itupun setelah puas dipujuk rayu oleh anak-anak.
“Bang, lama kita tak balik kampung. Kasihan dengan emak,” Suri memecah bicara sambil tangannya ligat melipat baju persekolahan anak-anak. Jamal yang menancapkan perhatiannya pada skrin TV sudah dapat menduga dengan apa yang akan diperkatakan oleh isterinya.
“Petang tadi Kak Long telefon.” Suri cuba menarik perhatian Jamal bila dia mendapati suaminya tidak memberi tindak balas dengan apa yang telah dinyatakan sebelum itu.
“Cerita pasal apa?” Jamal mula bertanya. Baginya, pasti ada suatu yang amat menarik hingga Kak Long sanggup menelefon isterinya. Jarang Kak Long yang telah menetap lama di Kuala Lumpur itu mengubunginya kecuali bila ada hal yang penting sahaja. Biasanya hanya dengan Kak Long sajalah emaknya akan mengadu jika ada yang tak kena dalam adik-beradik Jamal. Kak Longnya akan menjadi orang tengah dan kak Long jugalah yang akan menjadi pengantara dalam menyelesaikan segala masalah yang berlaku. Mungkin sikap penyabar Kak Longnya menyebabkan emak Jamal mempercayai dan selesa dengannya. Mungkin juga Kak Long pandai melayan keinginan emaknya dalam banyak perkara. Jamal amat yakin Kak Longnya banyak menyimpan rahsia emak walaupun sekadar anak menantu sulungnya.
“Emak bertanya pasal abang. Kenapa dah lama tak balik? Emak dah cuba banyak kali nak menghubungi kita tapi tak berjaya.” Suri menjelaskan.
Jamal terdiam. Benaknya pantas mengingat tarikh terakhir dia menziarahi emaknya di kampung. Dua bulan yang lalu iaitu semasa majlis kenduri potong jambul anak sulung adik bungsunya, Jamal sekeluarga balik membantu membuat persiapan. Lepas itu Jamal sibuk. Sibuk dengan dunia baharunya sebagai Penolong Kanan Hem. Dunianya melayan kerenah anak-anak di asrama cukup menghayalkan. Pelbagai hal yang ditimbulkan oleh pelajar telah memberi pengalaman baharu  kepada Jamal. Setiap orang pelajar memiliki kerenah dan masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza. Adakalanya Jamal bukan saja memikirkan masalah anak pelajar tetapi turut menyelesaikan kerenah ibu-bapanya sekali. Baru Jamal sedar bahawa dunia ini terlalu banyak cerita yang mewarnainya.
Selesai sajpan TV a solat zohor, Jamal pantas melipat sejadah. Lantas disangkutkannya. kenapa rasa rindu untuk melihat wajah emak dan ayah yang membesarkannya menerjah masuk mengusik hati kecil yang selama ini sukar untuk dipengaruhi. Mungkin kata-kata Suri malam tadi memberi kesan yang cukup mendalam.
“Bang, jangan sampai nanti emak dan ayah datang ke sini. Mungkin dia tak rindu pada abang, tapi rindu pada cucu-cucunya. Anak kita!” Sindir Suri sambil menyediakan juadah untuk makan malam. Malah, semasa menadah tangan memanjatkan doa setelah selesai solat sebentar tadi, terasa ada mutiara-mutiara jernih mengalir membasahi pipi Jamal yang mula kusam itu. Dia sedar, betapa hebatnya kasih emak yang telah bersabung nyawa melahirkan zuriat. Membesar dan memberikan pendidikan untuk Jamal dan adik beradik yang lain hingga semuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing. Adakah cukup dengan doa yang dikirimkan pagi dan petang?
“Kemaskan baju. Bawa secukupnya untuk dua hari. Lepas makan ni kita balik kampong tengok nenek. Jangan lupa bawa joran Aiman sekali. Dah lama ayah tak memancing ikan pelaga,” Jamal memberikan arahan kepada Along yang sedang sebuk membantu isterinya membuat sambal belacan di dapur. Mereka berdua beranak saling berpandangan.
“Assalamualaikum, Cikgu…Cikgu Jamal!” kedengaran suara yang memang cukup Jamal kenali berselang seli dengan ketukan pintu.
“Waalaikum Salam,” Jamal meletakkan surat khabar yang baru saja diselak untuk dibaca lantas segera menuju pintu sambil membetulkan kopiah putih yang agak senget di atas kepalanya.
“Apa hal dengan kau ni Haziq. Tercungap-cungap macam kena kejar hantu.”Hati Jamal mula berdebar kencang melihat prilaku ketua pelajarnya. Memang Haziq merupakan pelajar yang menjadi kepercayaannya selama ini untuk membantu menguruskan aktiviti di asrama. Tanpa Haziq, Jamal pasti mengalami kesukaran untuk mengurus kerenah anak-anak pelajarnya. Dalam beberapa hal, khususnya yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan satu arahan Haziq lebih mudah dituruti. Ketenangan dan sifatnya yang suka membantu amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga guru-guru di sekolah.
“Be…be…begini cikgu. Ada masalah besar di asrama.Cikgu kena bawa segera budak tu ke hospital. Kalau tak nyawa pelajar tu dalam bahaya.” Haziq cuba memberikan penjelasan.
“Masalah besar? Masalah apa? Cuba kau cerita terus terang dengan cikgu. Tak payah berbelit-belit” Jamal makin mendesak untuk mengetahui.
“Tadi, lepas kami makan di dewan, ada pelajar tingkatan satu yang berkejaran untuk naik ke dorm. Dia tergelincir di depan tangga, kepalanya terhentak pada bucu. Berdarah. Banyak darah yang keluar. Muntah. Sekarang budak tu pengsan.” Haziq pantas memberikan penjelasan.
 “Pengsan?” Soal Jamal dengan wajah berkerut.
“Kalau begitu, awak balik dulu ke asrama, saya nak salin baju. Tunggu saya di dorm. Jangan cuba angkat pelajar itu. Nanti makin teruk kecederaannya. Saya akan panggil ambulan.” Pesan Jamal sebelum berlalu meninggalkan Suri dan Along terpingga-pingga meminta penjelasan.
Selesai menukar pakaian Jamal berlari-lari anak menuruni tangga rumah banglo dua tingkat yang menjadi kediamannya sejak tiga tahun lalu.  Hatinya berdegup kencang memikirkan nasib pelajar yang mengalami kecelakaan. “Mudah-mudahan dia selamat.” Hati kacilnya berdoa.

Belum sempat enjin motosikal buruknya dihidupkan, sebuah teksi tiba-tiba berhenti betul-betul dihadapan rumahnya. Jamal cuba mengamat-amati dua susuk tubuh yang keluar dari perut teksi separuh umur itu. Jamal yakin benar mengenalinya. “emak….” Jamal terkedu.

Menjelang 50an

Hasrat untuk mengemaskini blog sering tertangguh. Bukan kerana tidak ada bahan untuk dikongsi, tetapi sering terlupa 'pasword' untuk membukanya. Sesekali bermuhasabah, mungkin inilah simtom hamba yang telah diberi peluang untuk menghela nafas selama setengah abad oleh Yang Maha Pencipta. Semuanya semakin lemah, mata semakin kabur, badan semakin mudah letih, mudah lupa dan fikiran tak setajam dulu. Peringatan demi peringatan telah Allah turunkan secara berperingkat. Namun, sebagai hamba yang lemah, kadang-kadang aku terlupa akan peringatan itu. Lebih-lebih lagi saat aku berurusan dengan dunia kerjaya dan keluarga. Amat jarang 'mencermin' diri. Lupa akan kuderat, saat memburu hasrat. Ya Allah ku mohon ampun.