Sunday, December 7, 2014

POTONG!! JANGAN TAK POTONG

Pagi tadi, ‘anunya’ dah dipotong!!!. Segalanya terlalu pantas dan mudah. Sepanjang jalan ke klinik, yang jaraknya 30km dari rumah, masih melayan lagu Tegar, kegemarannya. Cuma wajahnya sedikit kelat waktu bius disuntik di hujunga ‘anunya’. Masa selebihnya dihabbiskan dengan berbual bersama doktor yang bersiap untuk ’mengeratnya’. Pelbagai soalan diajukan. Tak perlu tutup-tutup mata macam aku dulu-dulu. Juga tak perlu berendam lama-lama, kononnya biar hujung ‘anunya’ lembut & senang dipotong. 40 tahun dulu amat sukar bebudak seawal 9 tahun dah kena ‘kerat’. Paling awal, bila nak masuk menengah. Biasanya, sebelum ambil SRP. Kalau adapun yang nak minta awal, ayah mesti tak bagi. Sampai sekarang aku tak tahu apa alasannya. Cuma, mungkin dulu proses nak mengeratnya agak sukar dan ‘mengerikan’ bagi sesetengah orang. Paling kurang buat kenduri kendara jemput jiran tetangga. Duit tak cukup untuk tujuan itu. Potong ayam, buat jamuan.
Tok Mudim pula  perlu berjemput. Kalau di kampung, paling koman Pak Bilal yang mengiring atau memboncengnya. Buat tempahan berbulan sebelum majlis. Biasanya 3 atau 4 orang dihimpun untuk dipotong bagi menjimatkan masa Tok Mudim. Sikologinya, automatik muka akan jadi pucat lesi bila diberitahu Tok Mudim dah sampai. Memang, kami dilarang tengok wajah Tok Mudim sehingga tiba waktunya. Bila semua dah tersedia, barulah kami dipimpin untuk duduk di kerusi khas. Masa tu lah mata dapat menjeling peralatan yang akan diguna oleh Tok Mudim. Pisau cukur, gunting, penyepit, segelas air dan beberapa biji limau. Bohong kalau jantung tak berdegup kencang…juga penipu kalau tak gementar. Memandangkan hasrat nak menjadi ‘bujang’ berkobar-kobar, segala perasaan terpaksa ditelan.
 Tanpa bius, Tok Mudim sekadar membaca doa dan jampi lantas ditiupkan di hujung ‘anu’. Selepas beberapa ketika, segalanya selesai. Aku pasti  Tok Mudim guna pisau cukur!!. Cuma, aku tak ingat sama ada pada masa itu dijahit atau sekadar dililit dengan ‘handiplas’. Walaupun, mata ditutup, tapi kesakitan tetap dirasai. Dengan wajah yang tanpa senyum, Tok Mudim nampak selamba. Maksudnya, proses mengerat berjalan lancar. Beberapa hari selepas itu, kami umpama raja. Semuanya tersaji dan dihidangkan. Jarang kami anak-anak kampung dilayan seumpama itu. Orang yang datang turut menghulur ‘sumbangan’. Enam atau tujuh ringgit sudah pasti masuk dalam tabung.
Menunggu untuk luka mengering dan sembuh menuntut satu lagi semangat & kasabaran yang tinggi. Kalau nasib tak baik, dua atau tiga hari darah tak putus. Masa tu le Tok Mudim terpaksa dipanggil kembali. Mungkin doanya untuk menghentikan darah kurang menjadi. Riuh  sekampung,  sipolan bin sipolan darahnya ‘berantai’. Lebih terseksa bila dapat tahu, rakan-rakan yang senasib sudah tak perlu memakai ‘sengkak’ pada kain, atau dah boleh membersihkan luka. Masa ni lah pelbagai metos berlegar dari telinga ke telinga. Kononnya sipolan bin sipolan melanggar pantang. Dulu sesiapa yang dikerat ‘anunya’, tak boleh berjalan sesuka hati. Langkahnya mesti teratur, tak boleh melangkah tahi ayam, tak boleh terlalu banyak minum air, tak boleh makan pedas-pedas, tak boleh makan kacang dan macam-macam lagi. Mungkin semuanya ada justifikasi yang kami tak pernah nak ambil tahu.

Saat yang paling bahagia ialah bila luka sudah kering. ‘Handiplas’ dah boleh ditanggalkan atau lebih tepat disiat. Masa ini, macam-macan kaedah digunakan agar proses menyiat pembalut luka itu tidak menyakitkan. Agar tak ada kapas yang tertinggal melekat bersama kulit. Kami berlumba-lumba untuk menunjuk berani. Siapa yang lebih bahulu memakai  seluar dan berbasikal, dialah ‘hero’ dan yang pasti ramailah nanti ‘junior-junior’ yang datang untuk berkongsi petua. Impak jangka pendek selepas itu ialah, kami dibenarkan untuk berada pada saf depan sebaris dengan orang-orang ‘dewasa’ yang lain bila di masjid. Kami dibenarkan bermain bola di padang sekolah yang lebih luas bersama belia-belia kampung.  Kami juga akan mula berseluar panjang untuk menjaga aurat….sebab dah masuk zaman bujang!!! Bab bangga dan riak tak payah lagi nak cerita. Berminggu-minggu pengalaman itu menjadi topik perbualan kami. Untuk Aan, sibungsuku…tahniah. Esok ayah belikan NERF sebagaimana yang dijanjikan!!!!.