Wednesday, December 16, 2015

Seminggu dua ini emak bapak menjadi manusia yang paling sebuk. Berbeza dengan minggu atau bulan2 sebelum ini. Semuanya memikirkan bagaimana nak mengisi masa cuti. Masa inilah emak bapak akan teruji akan janji2nya untuk membawa anak2 melancong. Tambah gembira bila ada anaknya yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3 yang lalu. Sudah tentu emak bapak teruja untuk memberikan hadiah. Hadiah simbol kegembiraan. Seolah-olah sudah menjadi tradisi yang wajib. Sama ada si emak dan bapak yang berniat nak bagi atau si anak yang menuntut janji. 35 tahun lalu, aku turut menerima hadiah dari bapak. Seutas jam tangan jenama Titus,  berwarna silver. Hadiah kerana lulus SRP @ Sijil Rendah Pelajaran 1980. Setakat lulus dan layak menyambung pelajaran ke tingkatan empat. Bukan berstatus cemerlang pun!!. Itupun bapak sanggup mengorbankan simpanannya. Mungkin sekitar RM80.00. Tiga setengah dekad yang lalu RM80.00 bolehlah dianggap mahal bagi seorang penoreh getah seperti bapak. Boleh digunakan untuk sara hidup kami anak beranak satu atau dua bulan. Entah bila bapak menyimpannya, aku tak pernah fikirkan. Kadang2 aku terfikir juga, mungkinkah bapak meminjam dengan mencagarkan hasil jualan getah beku kepada peraih Cina?. Aku pun sebenarnya tak pernah minta. Sebab aku tahu bapak tak mewah. Bapak tak mampu. Namun, bapak bilang, semua anaknya yang lulus SRP akan diberinya hadiah seutas jam tangan. Itulah juga hadiah ‘rasmi’ pertama dan terakhir untuk anak2nya. Sebagai seorang yang tak mampu baca tulis, itulah kegembiraannya. Mungkin bapak juga tak kisah atau tak tahu yang mana lulus dan yang mana cemerlang.

Jam tangan Titus masih aku simpan sehingga sekarang. Warnanya tak berubah. Cuma kacanya sahaja yang kusam dan retak. Sejak bapak beri, jam tangan Titus itu tak pernah lekang di tangan selama 12 tahun. Sehingga warna kulit ku turut berbelang bahana jam tangan Titus pemberian bapak.Bukan aku suka2 menggantikannya yang baharu, tetapi kerana ‘spring’ jam Titus putus dan perlu diganti. Cina di Bandar minta jam itu ditinggalkan di kedai sambil menunggu alat gantinya sampai. Aku cukup takut kalau-kalau jam Titus itu hilang.  Aku cukup berbangga.  Terima kasih bapak.

Monday, December 14, 2015

Orang kata, Hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah. Hidup mesti berakal. Namun, tak semua tatacara hidup mesti bergantung kepada akal semata-mata. Perlu ada ‘kecerdikan’ bagaimana nak menggunakannya. Bila terlalu taksub dengan akal sendiri yang kononnya hebat, penghujungnya menjadi takbur. Berasa diri sahaja yang betul. Ahirnya, adat dipandang sebelah mata malah hukum dan akidah bukan lagi pelindung. Tambah lagi bila akal yang dirasakan ‘hebat’ itu disertai oleh keinginan untuk berkuasa dan popular. Lebih parah bila harta menjadi pendinding. Maka bongkak dan sombong menjadi perhiasan badan. Berasa dirinya kebal pada nasihat orang. Anggap semua nasihat seperti orang tua diajar makan pisang!. Orang seperti ini percaya sangat pada akal. Akal kononnya boleh mengawal segala. Sebab itu, mereka mahukan kebebasan tanpa batasan untuk bercakap dan bersuara. Kebebasan untuk melakukan maksiat dan dosa. Tidak perlu ditegur, apa lagi dihalang. Mereka lupa bahawa, adat hidup tolong-menolong, syariat palu-memalu. Mungkin matinya terus menjadi tanah. Tiada soal jawab. Tiada syurga neraka. Tidak hairanlan jika satu hari nanti, ibu-ibu takut zuriatnya menjadi terlalu pandai dan berakal!.