Tuesday, May 18, 2010

JADUAL PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

PEPERIKSAAN SETENGAH TAHUN BERMULA



Pada hari selasa 18 Mei 2010, bermulalah cabaran pertama bagi pelajar SAKTI di dalam dewan peperiksaan. Kepada anak-anak SAKTI selamat menduduki peperiksaan setengah tahun. Insyallah, dengan semangat dan usaha, anda semua akan berjaya dengan cemerlang.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengetahui.

Sesungguhnya kami pada pagi ini, ingin merafa'kan kesyukuran dan pujian terhadapMu, atas kurniaanMu yang tidak ternilai.

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa kami akan menduduki peperiksaan yang menentukan kejayaan dalam medan perjuangan kami. Kami menyedari bahawa segala usaha yang kami lakukan adalah di bawah kekuasaan dan iradatMu jua.
Kami mohon padaMu, berikanlah taufik dan hidayahMu. Kuatkanlah ingatan dan janganlah engkau lupakannya. Lapangkanlah dada kami dan janganlah engkau sempitkannya. Permudahkanlah segala urusan kami dan janganlah engkau persulitkannya.
Hanya padaMu kami memohon. Kurniakanlah kejayaan kepada kami dengan ketinggian dan kecemerlangan. Jadikanlah kami hambaMu yang mendapat kemuliaanMu dunia dan akhirat. Panjangkanlah usia kami dengan amalan taan kepadaMu dan suka berbakti kepada agamaMu serta berjasa kepada bangsa dan negara.

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU.....cikgu

Cikgu.....beratnya almari ini tak seberat beban cikgu mendidik kami.

Semoga bimbingan cikgu akan diberkati

Usaha cikgu dirahmati

keikhlasan cikgu dihargai

Cikgu.....terima kasih atas pengorbananmu untuk keselesaan kami ...anak-anak sakti

Wednesday, May 12, 2010

RENUNGAN UNTUK ANAK-ANAK SAKTI 1

KULIAH JEMPUTAN
DR MOHD ARIP BIN KASMO
UKM

MOTIVASI
AYAHANDA HJ HASSAN TOPIT
" Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas yang dipimpinnya"
Seorang muslim tidak boleh meremehkan ilmunya dalam berdakwah kepada Allah, cukup baginya menyampaikan kebenaran yang sampai ke telinganya walaupun satu ayat dari Al-Quran. Salam Satu Sakti.

RAWATAN PELAJAR SAKTI




13.0 RAWATAN / SAKIT DAN PENYAKIT BERJANGKIT

13.1 Pelajar yang sakit, cedera atau menghidap penyakit berjangkit hendaklah melaporkan diri kepada guru bertugas / warden / BKP untuk tindakan yang segera.
13.2 Pelajar yang menghidap penyakit berjangkit yang disahkan oleh doktor perubatan dikehendaki pulang ke rumah masing-masing sehingga sembuh. Kebenaran pulang hendaklah diperoleh daripada penolong Kanan HEM atau wakilnya.
13.3 Sebarang janji temu dengan doktor pakar hendaklah mendapat kebenaran penolong kanan HEM atau wakilnya.
13.4 Pelajar yang sakit di kawasan sekolah mestilah berada di bilik rawatan atau mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan / Hospital berdekatan setelah mendapatkan kebenaran daripada pihak sekolah.
13.5 Kemasukan pelajar atau tinggal di bilik sakit perlu mendapat kebenaran penolong Kanan HEM atau wakilnya setelah mendapat rawatan perubatan.
13.6 Guru bertugas / warden akan menguruskan penghantaran pelajar ke hospital kerajaan jika mengalami sakit yang serius pada waktu belajar.
13.7 Kebenaran ke hospital pada waktu persekolahan mestilah diperoleh daripada guru bertugas.
13.8 Bagi sakit yang ringan, masa ke hospital pada hari persekolahan adalah pada pukul 9.00 pagi ATAU 3.15 petang. Pelajar dikehendaki menaiki kenderaan luar sekiranya tidak ada kenderaan sekolah yang disediakan.
13.9 Bagi pesakit yang memerlukan rawatan segera, tidak ada masa tertentu untuk ke hospital dan pihak sekolah akan menyediakan kenderaan.
13.10 Setelah mendapat rawatan di hospital, pelajar mestilah pulang segera ke sekolah dan pelajar berkenaan tidak dibenarkan bersiar-siar atau membeli-belah atau pulang ke rumah dan sebagainya.
13.11 Laporan rawatan doktor mestilah diserahkan kepada guru bertugas atau warden sebaik sahaja pulang dari hospital.

PERATURAN PEPERIKSAAN SAKTI

9.0 UJIAN DAN PEPERIKSAAN

9.1 Kehadiran semasa ujian atau peperiksaan adalah wajib.
9.2 Para pelajar yang mempersendakan ujian atau peperiksaan dalam apa jua bentuk sekalipun dianggap melakukan kesalahan yang berat dan akan dikenakan tindakan tatatertib.
9.3 Sebarang penyelewengan dalam ujian atau peperiksaan akan dikenakan tindakan.
9.4 Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga / Majlis Peperiksaan Malaysia mestilah dipatuhi sewaktu menduduki PMR / SPM.
9.5 Arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Peperiksaan Sekolah mestilah dipatuhi.
9.6 Mengubahsuai maklumat atau menyampaikan maklumat palsu kepada ibu bapa penjaga pelajar atau pihak sekolah dianggap kesalahan berat dan boleh dihukum.
9.7 Pengecualian daripada menduduki ujian / peperiksaan / penilaian disebabkan terlibat dengan aktiviti sekolah / daerah / negeri / kebangsaan.

9.7.1 Pengecualian daripada menduduki ujian / penilaian / peperiksaan peringkat sekolah sama ada sebahagian atau keseluruhan atas sebab-sebab terlibat dengan aktiviti untuk kepentingan sekolah atau apa-apa yang diarahkan perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengetua atau wakilnya melalui guru-guru penasihat atau pengiring yang terlibat.
9.7.2 Dalam kes-kes seperti 9.7.1, pengecualian hanya akan diberi dengan syarat :
i. Pelajar dikehendaki menduduki ujian / peperiksaan / penilaian di bawah pengawasan guru-guru pengiring atau penasihat aktiviti itu dijalankan mengikut masa dan tarikh yang setara dengan jadual ujian / peperiksaan / penilaian yang ditetapkan atau masa dan tarikh yang tidak menjejaskan kesahan ‘validity’ kertas-kertas soalan berkenaan.
ii. Dalam kes-kes sebagaimana perkara 9.7.2 di atas, markah akan diambil kira sebagai keputusan ujian / peperiksaan / penilaian pelajar berkenaan.

9.8 Pengecualian dari menduduki ujian / peperiksaan / penilaian disebabkan sakit.

9.8.1 Bagi kes-kes pelajar tidak menghadirkan diri untuk menduduki ujian / peperiksaan / penilaian peringkat sekolah sama ada keseluruhan atau sebahagian atas sebab-sebab kesihatan sama ada di asrama, / di sekolah, / di rumah, perkara-perkara di bawah adalah dirujuk.
9.8.2 Bagi kes-kes sebagaimana 9.8.1, pelajar dianggap tidak hadir untuk mata pelajaran atau keseluruhan ujian / peperiksaan / penilaian berkenaan.

ATAU

9.8.3 Pelajar dikehendaki menghadirkan diri untuk menduduki ujian / peperiksaan / penilaian di asrama / bilik sakit, / mana-mana tempat yang difikirkan sesuai pada masa dan tarikh yang setara dengan masa dan tarikh ujian / peperiksaan / penilaian berkenaan.
9.8.4 Dalam kes-kes sebagaimana 9.8.3, markah akan diambil kira sebagai keputusan sebahagian atau keseluruhan ujian / peperiksaan / penilaian berkenaan.

ATAU

9.8.5 Pelajar dikehendaki menghadirkan diri untuk menduduki ujian / peperiksaan / penilaian berdasarkan set soalan yang sama pada masa dan tarikh yang terkemudian dari masa dan tarikh yang telah ditetapkan.
9.8.6 Dalam kes-kes 9.8.5 markah tidak akan diambil kira sebagai keputusan sebahagian atau keseluruhan ujian / peperiksaan / penilaian berkenaan.

9.9 Sekiranya pelajar gagal menghadirkan diri untuk menghadiri ujian / peperiksaan / penilaian sebagaimana tarikh dan masa yang telah ditetapkan disebabkan hal-hal keluarga atau disebabkan hal-hal lain selain dari perkara 9.8.1 dan 9.8.3 di atas sama ada memaklumkan kepada pihak sekolah ataupun tidak, maka pelajar dianggap tidak hadir sebahagian atau keseluruhan ujian / peperiksaan / penilaian berkenaan.

Sumber:
Buku Peraturan Disiplin Pelajar dan Peraturan Sekolah, m.s 45 - 46

Friday, May 7, 2010

TELEFON BIMBIT

Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, Kementerian Pelajaran Malaysia yang bermesyuarat pada 17 Mac 2009 mendapati bahawa larangan membawa dan mengguna telefon bimbit oleh murid-murid di sekolah tidak dikuatkuasakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.


2. Akibat daripada itu, pelbagai masalah disiplin seperti kes kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan-bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan yang negatif dalam kalangan murid sekolah yang berkaitan terus dengan penggunaan telefon bimbit kian meningkat. Di samping itu juga penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah telah menganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran mereka.


3. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat ketetapan agar larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di dalam kawasan sekolah termasuk asrama sekolah hendaklah dikuatkuasakan sepenuhnya oleh pihak sekolah dengan serta merta.


Surat Pekeliling Iktisas bil.2/2009

Penguatkuasaan Larangan Membawa dan Mengguna Telefon Bimbit oleh Murid di Sekolah.

Thursday, May 6, 2010

HAL CUTI

2. Adalah dimaklumkan bahawa sering terdapat permohonan cuti pelajar, bukan pada waktu cuti persekolahan, daripada ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan, khususnya yang sedang menuntut di Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh, untuk membolehkan mereka membawa anak atau jagaan mereka bersama-sama mengerjakan umrah, atau program-program kekeluargaan yang lain, sama ada di dalam atau di luar negara. Bagi maksud ini, adalah diharapkan agar pihak tuan/puan mengambil maklum bahawa Bahagian ini atau pihak tuan/puan, tidak boleh meluluskan permohonan cuti seumpama itu, kerana semua cuti bagi pelajar telah ditakwimkan seperti yang terkandung dalam arahan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia KP(BS/PSR)8502/04Jld.XVI(32) bertarikh 25 September 1998. Arahan tersebut adalah merujuk kepada Akta 550, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal Institut Pendidikan)1999 yang terletak di bawah Akta Pendidikan 1996.
3. Oleh itu, tuan/puan adalah diminta menasihatkan ibu-bapa atau penjaga pelajar, agar merancang sebarang aktiviti atau program seperti yang dinyatakan di atas atau seumpamanya, yang melibatkan anak atau jagaan mereka, pada masa yang tidak melibatkan jadual rasmi persekolahan. Perkara ini penting bagi menjamin segala perancangan atau takwim persekolahan tidak terjejas, demi kecemerlangan pendidikan secara keseluruhan, khususnya di semua Sekolah Berasrama Penuh. Kerjasama dan keperihatinan ibu bapa atau penjaga dalam hal ini penting, khususnya untuk tujuan kecemerlangan anak atau jagaan masing-masing menerusi sistem persekolahan di Sekolah Berasrama Penuh.


Surat Siaran KP(BS-SBP)8575-347/Jld.5(60)
bertarikh 25 Oktober 1999

HEM - SATU SAKTI

  • PENGURUSAN HAL EHWAL MURID

    Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang berusaha melonjakkan keterbilangan SBP melalui memperkasakan Sekolah Berasrama Penuh seluruh negara. Oleh yang demikian, unit ini menjadi komponen utama yang diberikan perhatian bagi memastikan sahsiah dan disiplin kendiri pelajar khususnya di SM Sains Kota Tinggi terbina secara lebih terancang.

    Terdapat empat teras perancangan yang melibatkan program-program di bawah unit Hal Ehwal Murid:
    Pemantapan Kerohanian
    Pembinaan Jati Diri dan Sahsiah
    Patriotisme dan Kepimpinan Pelajar
    Infrastruktur dan Kemudahan Pelajar

    1. Pemantapan Kerohanian

    Program-program kerohanian bermatlamat untuk menerapkan ilmu dan kemahiran yang berterusan berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Hal ini bertujuan untuk membentuk keperibadian yang unggul dan mempunyai pandangan hidup yang jelas sebagai hamba Allah yang bertanggungjawab ke arah pembangunan diri, masyarakat dan negara.

    Aktiviti-aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut:
    Qiamulail
    Sentuhan Puteri
    Kuliah Subuh
    Yassin dan Tahlil
    Budaya Al-Quran
    Ceramah Peningkatan Akidah
    Sambutan dan Perayaan Hari Kebesaran Islam
    Halaqah
    Minggu Penghayatan Islam
    Tazkirah dan Usrah
    Infaq
    Amalan-amalan Puasa Sunat
    Majlis Korban
    Nadwah Kepimpinan
    Tokoh Maal Hijrah
    Solat Hajat Mingguan dan Solat Hajat Perdana


    2. Pembinaan Jati Diri dan Sahsiah

    § Antara cabaran besar yang dihadapi oleh SM Sains Kota Tinggi ialah melahirkan pelajar yang berdaya saing dan unggul bukan saja dari segi akademik, malah dari segi personaliti dan sahsiah yang mantap.Pembinaan jati diri dan sahsiah yang unggul ini selari dengan aspirasi nasional untuk mewujudkan insan kamil dengan memiliki ciri-ciri keperibadian terpuji supaya menjadi bangsa Malaysia yang maju, dinamik dan progresif dalam semua aspek selaras dengan Wawasan 2020.

    § Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pembinaan Jati Diri dan Sahsiah pelajar:

    · Majlis Penyerahan Pelajar
    · Sistem Rumah
    · Mentor Mentee
    · Merit Demerit
    · Program ‘Look Smart’
    · Insan Cergas – Senam Robik dan Riadah Petang
    · Program Khidmat Bakti
    · Makan Beradab ‘High Table’
    · Motivasi Pelajar Biasiswa dan Projek Khas
    · Kursus Pengurusan Stress
    · Kempen Anda Bijak Jauhi Zina
    · Karnival Futsal
    · Hari Terbuka Asrama
    · Smile and Friendship Week
    · Minggu Anti Dadah
    · Asramaku Syurgaku

    3. Patriotisme dan Kepimpinan Pelajar

    § Bagi melahirkan ‘Pemimpin Bertaraf Dunia’, kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi. Sebagai pelajar SBP, sebahagian besar pelajar-pelajar SM Sains Kota Tinggi akan mengetuai pengurusan peringkat tertinggi sama ada di sektor awam atau swasta. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi pendedahan tentang aspek-aspek kepimpinan supaya mereka akan menjadi modal insan berkualiti dan berilmu tinggi.

    Maka, SM Sains Kota Tinggi melalui unit Hal Ehwal Murid akan melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut bagi mengasah bakat kepimpinan para pelajarnya:
    § Kursus Kepimpinan BKP
    § Kursus Ketua-Ketua Rumah (KESUMA)
    § Smart Partnership SM Menengah dan Rendah
    § Mock Interview
    § Penulisan Resume
    § Diskusi Pelajar Terbilang

    4. Infrastruktur dan Kemudahan Pelajar.

    Keadaan sekolah dan asrama yang kondusif berupaya mendorong pelajar menikmati suasana pembelajaran yang selesa seterusnya membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka. Situasi ini turut menambahkan lagi keseronokan untuk pelajar terus menetap di SBP khususnya SM Sains Kota Tinggi.

    Antara kemudahan yang sedang dan akan dibina bagi keselesaan pelajar ialah:
    § Mengecat kelas-kelas tingkatan Satu.
    § Menyediakan rak-rak buku kelas tingkatan Satu.
    § Mengecat dorm putera dan puteri mengikut warna rumah.
    § Menyediakan rak-rak Al-Quran
    § Membaikpulih Surau Al-Jawahir
    § Memperbanyak papan tanda keselamatan.