Wednesday, August 10, 2011
anaklanangsakti :BABI @ KHINZIR
Salah satu keunikan haiwan ini ialah kerana namanya. Dalam masyarakat Melayu kita, menyebut nama haiwan ini amat sukar sekali. Walau pun cuma dua suku kata, tapi impaknya cukup besar. Menyebut namanya saja boleh mencetuskan pertelingkahan dan permusuhan. Terutama bila tak kena pada tempat atau masanya. Bagi manusia Melayu yang menjaga tata susila bahasa dalam kehidupan, nama haiwan ini jarang malah mungkin tak pernah diucap sepanjang hayatnya. Kalau pun teringin sangat, mereka sanggup mencari perkataan-perkataan lain yang seerti …khinzir, kaki pendek dll. Bagi anak-anak kecil, mereka sudah terasuh supaya tidak menyebutnya. Biasanya, mereka tidak pernah nak bertanya atau mempertikaikan kenapa dan mengapa nama haiwan ini tak boleh disebut. Biarpun untuk tujuan pembelajaran, anak-anak pastinya akan menyisihkan haiwan malang ini. Pendek kata, daripada pelempang naik ke muka, lebih baik mendiamkan diri dari menyebutnya.
Bercerita tentang haiwan ini dari sudut agama lagi keras hukumnya. Biarpun masih boleh disebut, tetapi tak boleh dipegang sesuka hati. Haiwan ini bukan seperti kucing yang boleh dibela, dibelai, dimanja atau dibiarkan bebas keluar masuk rumah. Juga bukan seperti lembu, kambing yang boleh dimakan dagingnya malah wajib dizakatkannya bila cukup tempoh. Seperti anjing, hairaiki najisnya juga berada pada kedudukan yang tertinggi. Bukan setakat dibasuh hingga bersih tetapi ada syarat-syarat tambahan untuk mensucikannya……..samak. Itulah ‘hebatnya’ haiwan ini.
Sebab itulah, bila nampak saja haiwan ini memasuki kawasan SAKTI, kami khususnya penghuninya tak boleh duduk diam. Kami akan menggunakan apa saja cara untuk menghapuskannya. Panggil pemburu, cuma menghabiskan peluru . Lubang perangkap pernah dicuba, tapi tak berjaya. Dihalau dengan cara baik, tak diendahkannya. Akhirnya, terpaksalah kami bubuh racun dalam “periuk nasinya”…..lihatlah apa yang berlaku.
Monday, August 8, 2011
anaklanangsakti: SEIA SEKATA
Dalam kehidupan kadangkala ada sesuatu yang kita rancang tak pernah menjadi. Ada juga yang kita impikan tak pernah kesampaian. Malah kadang-kadang panas yang kita harapkan hingga ke petang, ribut petir pula yang datang pada pagi hari. Tak perlulah kita terlalu menyalahkan perancangan apatah lagi memperlekeh strategi. Degup nadi sebenarnya telah ditetapkan oleh yang maha kuasa. Begitulah juga dengan sekumpulan guru SAKTI yang memakai baju biru sedondon pada Jumaat, 05 Ogos yang lalu...tanpa perancangan tapi MENJADI.
Friday, August 5, 2011
SEKILAS BERITA: TADARUS AL-QURAN

Thursday, August 4, 2011
anaklanangsakti: PERIKSA OH PERIKSA
Pelajar dan peperiksaan tidak boleh dipisahkan…umpama malam dan bintang. Oleh yang demikian, anak-anak SAKTI khususnya yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM tidak boleh mengeluh. Anda juga tidak boleh untuk berkata…… ‘aku belum bersedia’. Suka ataupun tidak , anda perlu memberi fokus. Guru-guru telah bertungkus lumus melatih, membimbing dan memberikan panduan untuk anda bersedia menghadapinya. Bengkel, Qiamullail, Kelas Tambahan, Seminar, Aku Janji, Program Hikmah, Perkongsian Pintar, Motivasi merupakan antara program yang telah dilaksanakan. Itu tak termasuk modul dan latihan.Tak cukup bangunan sekolah, dewan makan digunakan. Bosan di dewan makan, surau menjadi tempat persinggahan. Malah ada ketikanya kita sama-sama berkelana ke Masjid As-Sifa’ mencari tempat yang sesuai untuk memperoleh ketenangan.
Pengorbanan guru untuk mempersiapkan anda, tak usah nak cerita. Ada guru yang ‘bergaduh’, berebut tempat, ada guru yang ‘bertengkar’ berebut masa. Tak sempat siang, ada guru yang datang bertemu pelajar pada sebelah malam. Malah pada saat orang lain dibuai mimpi, ada guru masih bersengkang mata bersama sekumpulan pelajarnya. Semuanya gara-gara inginkan kepuasan. Kepuasan dalam berkerja dan berkerjaya. Kepuasan dalam memikul amanah berdasarkan gaji yang diterima. Malah kadang-kadang macam tak setimpal dengan apa yang kami dapat setiap bulan. Apa yang paling utama ialah kepuasan untuk melihat anak didiknya cemerlang dan terbilang.
Oleh itu, anak-anak SAKTI perlu lebih kuat dan berkeyakinan. Hadapi peperiksaan percubaan ini dengan penuh semangat dan bersaing secara sihat. Jangan hancurkan harapan orang di sekeliling anda. …….PATAH SAYAP BERTONGKATKAN PARUH… Selamat menghadapi Peperiksaan Percubaan SBP.

Subscribe to:
Posts (Atom)