Monolog
Lebih
sedekad, kami memendam rasa. Lebih sedekad juga Sakti cuba untuk menjadi
pesaing kepada rakan-rakan sama ada yang seangkatan mahupun yang telah lama di
medan perjuangan. Saban tahun mengerah kudarat mengatur pelbagai strategi.Mana
yang kurang ditambah, yang cacat diperbaiki, dan yang tidak berkesan dibuang.Berguru
dan menimba ilmu dari rakan yang lebih hebat menjadi rutin tahunan.Saban tahun
juga menghantar rombongan untuk merisik-risik azimat orang.Namun, semuanya kurang
menjadi, semuanya berakhir dengan kekecewaan.Ada juga benarnya kata orang, berketak ayam mandul, orang berketak dia
berketak, orang bertelur dia tidak.Jangankan nak duduk di singgahsana, nak
menjadi pengapit kepada Sang Raja pun jauh
panggang dari api. Biasanya sekadar menjadi penabur beras kunyit atau tepak
sirih untuk menambah seri majlis orang.Selalu juga menjadi tukang tepuk bukan
menerima tepukan.Tomahan dan sindiran bukan kepalang pedihnya.Lebih sadis bila
ada yang hilang kepercayaan, hilang keyakinan.Segagah gagah ‘Sakti’,
kadang-kadang timbul juga rasa kecewanya.Jenuh juga memujuk hati sendiri untuk
banyakkan bersabar.Sesekali teringin
menjadi harimau setelah bertahun-tahun menjadi kambing.Mungkin belum tiba
masanya.Malah, menipu diri sendiri seolah-olah kuat semangat untuk meyakinkan
rakan-rakan sebenarnya juga satu bebanan yang cukup berat untuk ditanggung.
Kepimpinan
Tegaknya sireh kerana junjungan
dan kalau nak belayar biarlah bernakhoda,
kalau nak berjalan biarlah dengan orang tua.Kata-kata ini menjadi azimat
tersembunyi.Memang naluri manusia secara semulajadinya tidak suka dipimpin dan
juga tidak suka dibimbing.Fitrahnya manusia inginkan kebebasan. Bebas membuat
sesuatu yang disukainya,biarpun nampak salah pada pandangan orang lain. Namun
dalam organisasi naluri seperti itu perlu dihindari.Apatah lagi, kita telah
bersetuju untuk terikat dengan pekeliling dan peraturan pihak yang memberi kita
‘makan’.Dalam hal ini Sakti boleh
dikatakan cukup bertuah.Sakti memiliki ‘junjungan’
yang kuat untuk dipaut.Biarpun sering bertukar ganti, akarnya sudah jauh
memasak bumi.Berfokus dan memiliki misi yang turut dikongsi bersama
warganya.Tidak lokek menabur ilmu, tidak kedekut menilai budi.Pengetua menjadi
petunjuk arah, meniup semboyan semangat manakala guru-gurunya sederap mendayung
membawa muatan menuju destinasi.Biarpun kadangkala berlaku ‘provokasi’ yang melampau, namun untuk
melepaskan pendayung tidak sekali-kali.Jauh sekali bertindak menebuk sampan dan
membiarkannya karam.Malah sepanjang pelayaran, lupa mengingatkan, terlelap menjagakan.Si cerdik teman berunding, si bodoh disuruh arah.Sekali sekala bila
berdepan halangan dan musibah cepat-cepat berunding kerana maufakat itu membawa berakah dalam kehidupan.Prinsip itu amat ampuh
dan setiasa berada dalam genggaman.
X-Faktor
pemangkin kecemerlangan
Cemburu
bagi orang yang sedang bercinta ada bahayanya. Namun, cemburu melihat kehebatan
orang lain untuk sama-sama mengapai kejayaan ada juga baiknya.Apatah lagi, bila
cemburu itu turut dikongsi dalam organisasi. Usian Bolt tidak mungkin mampu
mencipta kemashyuran dengan deretan rekod baharu kalau berlari bersendirian di
tengah padang. Lantaran itu bukanlah sesuatu yang memalukan untuk diberitahu
bahawa Sakti memang mencemburui kehebatan rakan-rakan.Bukan baru sekarang,
tetapi sejak Sakti mula ditubuhkan. Rasa cemburu akan semakin membuak-buak bila
warga Sakti mula merasai keseronokan dan nikmat bila sekali-sekala menerima
tepukan dalam apa jua lapangan sama ada kurikulum mahupun kokurikulum. Lantas,
apabila bercerita tentang kecemerlangan akademik umpamanya, seluruh warga Sakti
akan berpaling ke STF (Sekolah Tun Fatimah). Sekolah yang telah separuh abad
unggul dengan prestasinya yang tersendiri.Secara metosnya, mungkin sukar untuk
diganggu gugat. Sejujurnya, Sakti tidak pernah jemu mengorek rahsia kehebatan
STF juga rakan-rakan pemuka yang lain. Kami akan membawa pulang kaedah dan
strategi yang digunakan untuk diadun semula bagi menjana kecemerlangan Sakti. Sekiranya
perlu, Sakti akan tambahkan lagi dengan sedikit ‘perasa’ agar bersesuaian dengan cita rasa. Bagi yang diberi peluang
berlari bersama Usain Bolt, pasti secara automatisnya akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk menyainginya. Mana mungkin sebagai pesaing kepada
legenda itu, kita langsung tidak melakukan persiapan rapi.Malu bukan kepalang
kalau tertinggal jauh ke belakang diiringi dengan gegak gempita sorakkan di
tepi gelanggang. Inilah STF, yang menjadi teman dan lawan dalam persaingan.
Berpegang kepada prinsip orang yang
menunggu perigi tak mungkin mati dahaga maka STF akan kekal menjadi
x-faktor kecemerlangan Sakti.
Penjenamaan
Sakti
Suatu
perkara yang paling dibimbangi bagi seorang ahli politik ialah apabila
kehadirannya dalam apa jua majlis sama ada kecil mahupun besar tidak diketahui
atau dirasai oleh tetamu yang lain.Peringkat awal, untuk hebat dan kelihatan
hebat perlu ada sedikit usaha untuk dikenali walaupun tidak disegani.Sebab
itulah, walaupun sekadar tokoh politik kecil, mereka sanggup mengupah individu
berkaca mata hitam mengiringinya walau ke mana tokoh ini pergi. Barulah nampak
kehebatannya!!. Strategi yang sama perlu Sakti gunakan bagi menyakinkan orang.
Jangan sampai kewujudan Sakti seperti melukut
di tepi gantang, masuk tidak menambah, keluar tidak mengurang. Lebih malang
jika berita kewujudan Sakti sudah terdengar, tetapi bukti belum ada. Umpama ombaknya kedengaran, pasirnya tiada
kelihatan.Lantas untuk mengukuhkan penjenamaan Sakti di persada pendidikan
negara, sesuatu perlu dilakukan. Mungkin orang tidak akan memakai ubat gigi ‘Colgate’ kalau tidak kerana Colgate telah lama dikenali. Sebab itu
sesekali ada kedengaran khalayak berbisik bertanya…Sakti tu di mana?.. Macam mana?..mana lebih bagus antara Sakti dengan
STF, antara Sakti dengan Sains Johor. Bermacam kemuskilan yang sebenarnya
perlu dijawab dan bukan tugas pengetua seorang untuk menyelesaikannya. Semua
guru, staf sokongan termasuk pelajar dan ibu-bapa yang bernaung di bawah jenama
Sakti perlu memecahkan kebuntuannya dengan cara tersendiri. Salah satu caranya
ialah dengan melastarikan kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai
bidang.Status Sekolah Kluster
Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi
Tinggi yang diperoleh diharap dapat memudahkan usaha meraih kepercayaan
khalayak terhadap Sakti.
Terkini
keputusan PMR 2012 menjadi bukti.Mengundang pula kejutan yang bukan kepalang
kepada lawan dan juga kawan.Semua pihak yang bernaung di bawah jenama Sakti
berhak menerima pujian. Khususnya, rakan-rakan guru yang saban hari menapak ke
kelas dengan doa dan harapan. Anak-anak yang tetap akur menerima suapan biarpun
ada kalanya pahit untuk ditelan. Inilah bukti kesungguhan, tidak akan serik luka dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua.
Hasilnya, dapatlah duduk disinggahsana. Jangan malu untuk berbangga dan
bergembira sebab lama sudah Sakti menahan keinginan, ibarat menyepit lidah ke lantai!!. Dalam masa yang sama jangan lupa
mencari dan mencipta strategi baru yang lebih ampuh agar tidak mudah
disingkirkan. Jangan pula nanti, kerusi
belum lagi panas dah kena berdiri!!Mana muka nak kena letak. Ingat
selalu pesanan orang, bersaing itu
payah…mendahului itu sukar. Sebab itu orang lebih suka memburu daripada diburu
di lapangan.Warga Sakti perlu merapatkan barisan kerana kita hanya boleh
berusaha TUHAN yang akan menentukan.
TQ
PK 1