Monday, December 24, 2012

SEKILAS BERITA : MONOLOG



Monolog
Lebih sedekad, kami memendam rasa. Lebih sedekad juga Sakti cuba untuk menjadi pesaing kepada rakan-rakan sama ada yang seangkatan mahupun yang telah lama di medan perjuangan. Saban tahun mengerah kudarat mengatur pelbagai strategi.Mana yang kurang ditambah, yang cacat diperbaiki, dan yang tidak berkesan dibuang.Berguru dan menimba ilmu dari rakan yang lebih hebat menjadi rutin tahunan.Saban tahun juga menghantar rombongan untuk merisik-risik azimat orang.Namun, semuanya kurang menjadi, semuanya berakhir dengan kekecewaan.Ada juga benarnya kata orang, berketak ayam mandul, orang berketak dia berketak, orang bertelur dia tidak.Jangankan nak duduk di singgahsana, nak menjadi pengapit kepada Sang Raja pun jauh panggang dari api. Biasanya sekadar menjadi penabur beras kunyit atau tepak sirih untuk menambah seri majlis orang.Selalu juga menjadi tukang tepuk bukan menerima tepukan.Tomahan dan sindiran bukan kepalang pedihnya.Lebih sadis bila ada yang hilang kepercayaan, hilang keyakinan.Segagah gagah ‘Sakti’, kadang-kadang timbul juga rasa kecewanya.Jenuh juga memujuk hati sendiri untuk banyakkan bersabar.Sesekali teringin menjadi harimau setelah bertahun-tahun menjadi kambing.Mungkin belum tiba masanya.Malah, menipu diri sendiri seolah-olah kuat semangat untuk meyakinkan rakan-rakan sebenarnya juga satu bebanan yang cukup berat untuk ditanggung.
Kepimpinan
Tegaknya sireh kerana junjungan dan kalau nak belayar biarlah bernakhoda, kalau nak berjalan biarlah dengan orang tua.Kata-kata ini menjadi azimat tersembunyi.Memang naluri manusia secara semulajadinya tidak suka dipimpin dan juga tidak suka dibimbing.Fitrahnya manusia inginkan kebebasan. Bebas membuat sesuatu yang disukainya,biarpun nampak salah pada pandangan orang lain. Namun dalam organisasi naluri seperti itu perlu dihindari.Apatah lagi, kita telah bersetuju untuk terikat dengan pekeliling dan peraturan pihak yang memberi kita ‘makan’.Dalam hal ini Sakti boleh dikatakan cukup bertuah.Sakti memiliki ‘junjungan’ yang kuat untuk dipaut.Biarpun sering bertukar ganti, akarnya sudah jauh memasak bumi.Berfokus dan memiliki misi yang turut dikongsi bersama warganya.Tidak lokek menabur ilmu, tidak kedekut menilai budi.Pengetua menjadi petunjuk arah, meniup semboyan semangat manakala guru-gurunya sederap mendayung membawa muatan menuju destinasi.Biarpun kadangkala berlaku ‘provokasi’ yang melampau, namun untuk melepaskan pendayung tidak sekali-kali.Jauh sekali bertindak menebuk sampan dan membiarkannya karam.Malah sepanjang pelayaran, lupa mengingatkan, terlelap menjagakan.Si cerdik teman berunding, si bodoh disuruh arah.Sekali sekala bila berdepan halangan dan musibah cepat-cepat berunding kerana maufakat itu membawa berakah dalam kehidupan.Prinsip itu amat ampuh dan setiasa berada dalam genggaman.
X-Faktor pemangkin kecemerlangan
Cemburu bagi orang yang sedang bercinta ada bahayanya. Namun, cemburu melihat kehebatan orang lain untuk sama-sama mengapai kejayaan ada juga baiknya.Apatah lagi, bila cemburu itu turut dikongsi dalam organisasi. Usian Bolt tidak mungkin mampu mencipta kemashyuran dengan deretan rekod baharu kalau berlari bersendirian di tengah padang. Lantaran itu bukanlah sesuatu yang memalukan untuk diberitahu bahawa Sakti memang mencemburui kehebatan rakan-rakan.Bukan baru sekarang, tetapi sejak Sakti mula ditubuhkan. Rasa cemburu akan semakin membuak-buak bila warga Sakti mula merasai keseronokan dan nikmat bila sekali-sekala menerima tepukan dalam apa jua lapangan sama ada kurikulum mahupun kokurikulum. Lantas, apabila bercerita tentang kecemerlangan akademik umpamanya, seluruh warga Sakti akan berpaling ke STF (Sekolah Tun Fatimah). Sekolah yang telah separuh abad unggul dengan prestasinya yang tersendiri.Secara metosnya, mungkin sukar untuk diganggu gugat. Sejujurnya, Sakti tidak pernah jemu mengorek rahsia kehebatan STF juga rakan-rakan pemuka yang lain. Kami akan membawa pulang kaedah dan strategi yang digunakan untuk diadun semula bagi menjana kecemerlangan Sakti. Sekiranya perlu, Sakti akan tambahkan lagi dengan sedikit ‘perasa’ agar bersesuaian dengan cita rasa. Bagi yang diberi peluang berlari bersama Usain Bolt, pasti secara automatisnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyainginya. Mana mungkin sebagai pesaing kepada legenda itu, kita langsung tidak melakukan persiapan rapi.Malu bukan kepalang kalau tertinggal jauh ke belakang diiringi dengan gegak gempita sorakkan di tepi gelanggang. Inilah STF, yang menjadi teman dan lawan dalam persaingan. Berpegang kepada prinsip orang yang menunggu perigi tak mungkin mati dahaga maka STF akan kekal menjadi x-faktor kecemerlangan Sakti.
Penjenamaan Sakti
Suatu perkara yang paling dibimbangi bagi seorang ahli politik ialah apabila kehadirannya dalam apa jua majlis sama ada kecil mahupun besar tidak diketahui atau dirasai oleh tetamu yang lain.Peringkat awal, untuk hebat dan kelihatan hebat perlu ada sedikit usaha untuk dikenali walaupun tidak disegani.Sebab itulah, walaupun sekadar tokoh politik kecil, mereka sanggup mengupah individu berkaca mata hitam mengiringinya walau ke mana tokoh ini pergi. Barulah nampak kehebatannya!!. Strategi yang sama perlu Sakti gunakan bagi menyakinkan orang. Jangan sampai kewujudan Sakti seperti melukut di tepi gantang, masuk tidak menambah, keluar tidak mengurang. Lebih malang jika berita kewujudan Sakti sudah terdengar, tetapi bukti belum ada. Umpama ombaknya kedengaran, pasirnya tiada kelihatan.Lantas untuk mengukuhkan penjenamaan Sakti di persada pendidikan negara, sesuatu perlu dilakukan. Mungkin orang tidak akan memakai ubat gigi ‘Colgate’ kalau tidak kerana Colgate telah lama dikenali. Sebab itu sesekali ada kedengaran khalayak berbisik bertanya…Sakti tu di mana?.. Macam mana?..mana lebih bagus antara Sakti dengan STF, antara Sakti dengan Sains Johor. Bermacam kemuskilan yang sebenarnya perlu dijawab dan bukan tugas pengetua seorang untuk menyelesaikannya. Semua guru, staf sokongan termasuk pelajar dan ibu-bapa yang bernaung di bawah jenama Sakti perlu memecahkan kebuntuannya dengan cara tersendiri. Salah satu caranya ialah dengan melastarikan kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang.Status Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi yang diperoleh diharap dapat memudahkan usaha meraih kepercayaan khalayak terhadap Sakti.

Penutup
Terkini keputusan PMR 2012 menjadi bukti.Mengundang pula kejutan yang bukan kepalang kepada lawan dan juga kawan.Semua pihak yang bernaung di bawah jenama Sakti berhak menerima pujian. Khususnya, rakan-rakan guru yang saban hari menapak ke kelas dengan doa dan harapan. Anak-anak yang tetap akur menerima suapan biarpun ada kalanya pahit untuk ditelan. Inilah bukti kesungguhan, tidak akan serik luka dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua. Hasilnya, dapatlah duduk disinggahsana. Jangan malu untuk berbangga dan bergembira sebab lama sudah Sakti menahan keinginan, ibarat menyepit lidah ke lantai!!. Dalam masa yang sama jangan lupa mencari dan mencipta strategi baru yang lebih ampuh agar tidak mudah disingkirkan. Jangan pula nanti, kerusi belum lagi panas dah kena berdiri!!Mana muka nak kena letak. Ingat selalu  pesanan orang, bersaing itu payah…mendahului itu sukar. Sebab itu orang lebih suka memburu daripada diburu di lapangan.Warga Sakti perlu merapatkan barisan kerana kita hanya boleh berusaha TUHAN yang akan menentukan.
TQ
PK 1

No comments:

Post a Comment