Wednesday, May 15, 2013

Back To School

Photo: SELAMAT HARI GURU...Back To School. Nostalgia.

Baju putih lengan pendek dan seluar pendek biru dibelek hampir setiap hari. Sepasang kasut getah yang juga berwarna putih dicuba untuk sekian kalinya sebelum disusun semula disudut anjung rumah beratap rumbia. Keghairahan yang amat luar biasa meyusup ke seluruh urat nadi untuk menempuh alam baharu persekolahan. Kuku tangan dan kaki yang selama ini berkarat awal-awal lagi dipotong pendek menggunakan pisau cukur malah, dikikis agar kelihatan putih. Daki-daki di badan disental semahunya oleh emak semasa mandi di parit berair payau gambut di hadapan rumah. Sabun buku cap ‘kapak’ berwarna kuning dilumur bukan sahaja ke seluruh badan, malah menjadi ‘syampu’ rambut dan pencuci muka. Pedih bukan kepalang bila sesekali meleleh memasuki mata. Menunggu terbitnya matahari sebagai  tanda bermulanya zaman persekolahan amat menyeksakan. Rasa bangga, resah, suka dan takut bersilih ganti. Mahu sahaja  perasaan  itu dikongsi bersama dengan seluruh penduduk kampung.

Memasuki alam seorang murid sekolah rendah sekitar tahun 70an cukup indah untuk dikenang. Tanpa falsafah, tanpa misi dan visi, sekolah menjadi tempat paling menghiburkan. Sembunyi ibu dan galah panjang, menjadi ‘eviden’ tidak rasmi untuk menguji daya tahan. Konda- kondi dan batu seremban ‘terapi’ yang cukup berkesan untuk kira mengira, kejujuran, kerjasama dan kesepakatan. Lelayang kertas yang dilipat dua atau diubahsuai menjadi kapal terbang, jet pejuang, kolek mahupun sampan menjadi wadah menampilkan kreativiti, kepekaan dan ketelitian. ‘Telefon’ tin susu yang diikat pada seutas tali panjang adalah simbol inovasi kami. Satu-satunya bola kulit ‘berbonjol’ yang tetas jahitannya menjadi rebutan semua murid tanpa mengira umur . Bosan berebut bola yang dikongsi beramai-ramai  kami meredah kebun mengumpul getah beku untuk dijadikan bahan ‘reka cipta’ permainan baharu.Dahan atau ranting pokok yang sedikit bengkok di hujung dipatahkan menjadi  kayu hoki kami. Kami tidak pernah terfikir adanya jadual waktu. Kami hanya dibatasi dengan peraturan-peraturan yang paling asas, sama ada di dalam mahupun di luar kelas.  Pendek kata, ‘semua keseronokan’ ada di sekolah. Sekolah adalah dunia baharu, ‘dunia fantasi’ bagi kanak-kanak seperti kami. Bagi kami itulah makna sebenar ‘bersekolah’.

Sepanjang yang diingat, tidak pernah aku membuat sebarang aduan kepada emak dan bapak bila berlaku sesuatu. Benjol di dahi kerana ‘bertinju’, luka di kaki terpijak kaca, terkehel kerana terjatuh berkejar-kejaran atau berdarah tertusuk duri biasanya akan sembuh sendiri. Daun senduduk muda dikunyah sebelum ditepekkan sebagai pengubat luka. Mampu menahan bengkak bisa menjadi kepuasan.Itulah ‘ikhtiar hidup’ yang dipelajari sebagai anak kampung tanpa perlunya perkhemahan atau kem-kem bina semangat. Bagi kami, emak bapak tak perlu risau, emak bapak tak perlu rungsing dan tahu bila, di mana, kenapa dan bagaimana boleh berlaku. Kami juga tidak pernah hairan bila sesekali penampar cikgu hinggap di pipi atau sebelah kaki kejang berdiri di atas meja menerima hukuman.Bilai di punggung akibat disesah oleh cikgu tidak pernah memutikkan dendam. Jauh sekali mempertikai atau bertanya dari mana punca kuasa menyesah anak orang. Hormat kami pada cikgu tak pernah surut. Takutnya juga tak pernah padam. Komuniti kampung juga amat menghormati cikgu.Buatlah apa sahaja cadangan, pandangan, nasihat atau teguran, jika luahnya dari mulut seorang cikgu semua akan angguk setuju.

Banjir yang sering melanda menengelamkan padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air telah bermula. Parit besar di hadapan SK Seri Sekawan Desa berhampiran kedai Ah Tee yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan untuk kami menguji kehebatan menyelam dan berenang bila musim tengkujuh tiba.Permainan ‘Tonjen Air’ menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah agama bermula.Tanpa seurat benang kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja mencampakkan baju seragam dan beg sekolah ke atas pokok. Saat itu kami tak pernah terfikir berapa dalamnya air, kelajuan arus dan tunggul-tunggul kayu yang berselirat di dasar parit. Emak bapak yang membawa bekalan makanan tengah hari penuh sabar menunggu dan memerhatikan dari tebing seolah-olah memberi restu. Tiada suara-suara yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan tentang bahayanya air yang mengalir deras menuju ke laut.  Cikgu turut menyinsing seluar bermain air di tengah padang melayan murid-murid perempuan. Musim tengkujuh juga memberi peluang untuk kami mencari duit kocek tambahan. Motosikal cikgu yang dipenuhi selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak beramai-ramai untuk dicuci. Dengan upah sepuluh atau dua puluh sen untuk beberapa buah motosikal yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi lima atau enam orang dan bermewah-mewah di kantin.
Antara fitrah alam, sekolah dan dunia kami anak-anak kampung saling melengkapi. Melalui alam kami belajar dan memahami erti sebenar kehidupan, melalui sekolah kami dipersiapkan dengan sedikit ilmu untuk masa depan.

Sejujurnya, sasaran atau KPI aku dan pastinya teman-teman yang lain dalam akademik sepanjang menjadi murid ‘sangat kabur’. Kalau ada pun, cuma berkeinginan untuk  dapat nombor satu kerana orang kata, nombor satu itu lebih baik daripada nombor dua, tiga, empat dan lima. Tanpa kelas tambahan dan kaunselor untuk bimbingan dan memberi motivasi menambahkan keyakinan bahawa apa yang aku raih setiap kali ujian diadakan tidak lebih sebagai anugerah. Buktinya, Ujian Penilaian Darjah Lima yang sama taraf dengan UPSR diketahui bila cikgu mengarahkan kami mengemas bilik dan menukar susun atur meja serta sedikit taklimat berkaitan ujian. Rasa teruja untuk berdepan dengan ujian bertambah bila dapat memiliki pensel 2B belang hitam kuning yang boleh dianggap sebagai barangan ‘mewah’ ketika itu, pemadam yang dihiasi dengan lambang dan bendera negeri serta pembaris kayu kapur berwarna kuning enam inci. Tanpa Qiamullail dan Solat Hajat Perdana, kami sebenarnya lebih ‘teruja’ untuk melihat ‘orang asing’ yang ditugaskan menjadi pengawas bukannya memikirkan susah atau senangnya soalan. Keterujaan akan bertambah bila kami dibenarkan keluar kelas lebih awal atau berbeza dari murid-murid yang lain. Tanpa program kelas tambahan malam atau hujung minggu kami lalui hari-hari ujian tanpa rasa tekanan. Umpama daun kering yang hanyut dibawa arus. Kekadang, mungkin bila teringat emak akan bertanya… “dapat nombor berapa?”. Itupun selepas beberapa minggu keputusan ujian penggal diumumkan.


Ketiadaan kemudahan elektrik, paip air, jalan dan telefon banyak mempengaruhi budaya dan cara hidup aku dan rakan-rakan sebaya. Kasut baharu yang sekali-sekala bapak belikan lebih banyak menghabiskan ‘hayatnya’ dalam bungkusan plastik atau diikat dan dikalungkan di leher bagi mengelakkan kotoran. Kaki yang berstoking dan dipadankan dengan kasut putih bertahan hanya beberapa hari pada awal tahun.  Kami lebih selesa berkaki ayam sama ada di dalam kelas atau bermain di tengah padang. Sesekali bila pihak sekolah mendapat tahu akan dikunjungi pelawat, barulah arahan untuk memakai kelengkapan sekolah dikeluarkan. Satu-satunya waktu yang merimas, merisau dan membimbangkan kami ialah bila terlihat kelibat misi dan rombongan pejabat kesihatan memasuki kawasan sekolah. Jarum yang panas dibakar, minyak ikan yang meloyakan, ubat cacing dan peralatan mencabut gigi serba putih sering menganggu perasaan dan keseronokan kami. Sesetengahnya, lebih rela lari balik ke rumah sambil meraung-raung atau menghilangkan diri duduk di kolong bawah bangunan.

Kini lebih empat dekad atau dalam bahasa yang mudah empat puluh tahun alam itu telah aku tinggalkan.Namun, dengan nikmat kerjaya yang Allah telah tetapkan, aku masih setia dengan sekolah dan seisi ceritanya. Plot cerita pun telah banyak berubah. Headcount, Muhasabah, Melindungi Masa Instruksional (MMI), Post Mortem, Kajian Tindakan, Inovasi, PIPP,PPPM, NKRA, KPI, Indeks Komposit, MBMMBI, 1 Murid 1 Sukan, Bestari, PBS, Peka, SMM, SPS, ISIS, ADAP, APDM, eGHadir, eKGSK, emisonline, eSPLG, SAPS, Segak online, EMIS, MBR 1.0  dan lainnya mewarnai cerita kehidupan kami warga cikgu. Kami kena lebih bijak mengurus emosi. Kami kena lebih bijak menyerap tekanan. GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI 1 AGENDA….SELAMAT HARI GURU UNTUK RAKAN SEPERJUANGAN KHUSUSNYA CIKGU SAKTI.

No comments:

Post a Comment