Dua atau tiga hari lagi tibalah hari Lebaran @ Hari Raya. Selalunya dikaitkan dengan kemeriahan dan keseronokkan tanpa mengira tua atau muda. Sememangnya itulah yang disarankan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. Melihat kepada anak-anak yang terpacak di depan TV, aku kurang pasti bentuk kemeriahan yang dirasainya. Deretan siaran atas nama ‘Rancangan Khas Aidilfitri’ pastinya boleh mengtalkinkan suasana sambutan. Itu tidak termasuk rancangan-rancangan K-pop, kartun Disney, sukan dll.
Berbeza 40 tahun dulu. Zaman aku dan rakan-rakan seangkatan menyambut dan meraikannya. Mungkin kerana tiada bekalan air dan elektrik, maka aku terlalu teruja untuk menyambut lebaran. Getaran perasaan mula tidak keruan bila dua atau tiga hari menjelang raya.Dari mula terbit fajar sampai terbenam mentari, jiwa dan raga dikorbankan untuk membuat persiapan. Tidak cukup siang, bersambung malam. Mencari tin susu, tali guni, mencari minyak tanah, pacak tiang pelita keliling rumah dan kampung menjadi rutin awal sambutan raya. Seronoknya bukan kepalang. Apatah lagi bila nama disebut-sebut sebagai pereka hiasan pelita terbaik, apinya pula tak padam sampai ke pagi!!
Penyediaan meriam batang pinang pula menuntut sepenuhnya kudrat yang ada. Kerjasama sepasukan dijana sepenuhnya bersama rakan-rakan sama ada yang sebaya atau lebih berusia bagi memastikan meriam batang pinang berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Dari mula menebang, membuang empulur, mengikat sampailah cara bagaimana untuk mendapatkan ‘karbait’ semuanya menguji kecekalan, keberanian dan kreativiti. Lebih menakjubkan, arah, hala dan sudut pemasangan meriam juga dibincangkan agar ‘serangan’ teman-teman dari kampung bersebelahan khususnya pada malam raya dapat ditangkis. Biasanya, sebaik sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan 1 Syawal, gendang ‘perang’ pun bermula. Seingat aku, tak ada seorang pun rakan-rakan yang putus tangan dan jari apatah lagi kehilangan nyawa akibat aktiviti ini biarpun ‘serang balas’ bertali arus.
Satu lagi elemen kemeriahan raya 40 tahun dahulu ialah radio. Alat yang mendapat bekalan kuasa dari bateri kering Everyday (Cop kucing) ini cukup penting karana menjadi satu-satunya media yang menghubungkan alam kami dengan dunia luar. Bagi memastikan lagu-lagu Dendang Perantau, Musafir di Aidilfitri, Selamat Hari Raya dsb dapat berkumandang dengan jelas, maka aku akan memastikan radio berada dalam kondusi yang cukup sempurna. Mana-mana wayar yang terputus disambung dan bateri yang ‘lembik’ diganti. Andai kekurangan duit untuk menukarnya dengan yang baharu, bateri yang ada akan dijemur seharian di tengah panas untuk mendapatkan ‘kuasanya’ semula. Malam raya, sambil merebus ketupat, membakar kuih bangkit dan bahulu kami akan duduk mengelilingi ‘peti ajaib’ ini untuk mendengar rancangan ‘ permintaan melalui telefon sempena Aidilfitri’ sepanjang malam. Celoteh juru hebah melayan panggilan telefon di dalam radio, mengundang nikmat dan emosi sambutan perayaan yang tidak mampu diceritakan disebalik rasa ‘jakun’ yang masih menebal. Jakun memikirkan bagaimana sistem telefon itu beroperasi sehingga menghasilkan suara untuk menjadi halwa telinga pada malam raya!!!.
……bersambung
No comments:
Post a Comment