Saturday, December 21, 2013

TAHNIAH PMR

LE MANS SAKTI

LE MANS SAKTI

 Tiada kata yang paling wajar untuk diucap selain menyatakan rasa kesyukuran kehadrat Allah sebaik sahaja mengetahui keputusan PMR 2013 SAKTI. Bersyukur, kerana hasrat untuk turut sama menyumbang serta merealisasikan keputusan yang cemerlang dikabulkan Ilahi. Mungkin kerana usaha, mungkin juga kerana doa dan mungkin kerana kedua-duanya sekali. Hakikatnya, itu semua urusan Allah yang tidak mampu dijangkau oleh akal kita. Namun, sebagai manusia yang bergantung kepada ketentuan-Nya, usaha dan doa telah dilakukan secara bersungguh-sungguh sama ada oleh guru dan calon. Malah, ibu-bapa pastinya turut serta berikhtiar mengikut cara masing-masing. Melihat kepada keterujaan guru-guru untuk mengetahui keputusan sudah cukup menunjukkan bahawa ada kebersamaan hasrat dan impian. Semua ingin menjadi pendahulu dalam memperoleh maklumat untuk disebarkan kepada rakan-rakan. Sebahagian besar guru sudah berkampung di sekolah meskipun cuti masih banyak berbaki. Hanya guru sahaja yang dapat menyelami naluri keresahan, kegembiraan,keseronokan, ketakutan, kebimbangan dan kesedihan dalam situasi seperti ini.
Tekad dan semangat warga SAKTI untuk terus mengukir kecemerlangan akademik  berkobar-kobar bila memperoleh keyakinan akan kebolehan dan potensi diri  yang dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan  tahun terdahulu. Rasa rendah diri untuk bersaing bersama rakan-rakan SBP yang ternama hilang begitu sahaja. Sebaliknya,mula timbul perasaan ‘seronok’ menjadi pemuka. Situasi ini terus dimanipulasikan secara terancang agar membentuk budaya. Budaya untuk sentiasa cemerlang. Untuk menjadikan sesuatu itu menjadi amalan dan budaya memerlukan perancangan, kesungguhan dalam melaksana dan keyakinan yang tinggi akan berjaya. Bukan seperti Mat Jenin yang sarat dengan angan-angan tanpa usaha atau umpama Pak Pandir yang memiliki peluang tapi tak reti memanfaatkan.  
Diumpamakan seperti perlumbaan kereta 24 Hours of Le Mans yang bermula sekitar 1920an menjadi terkenal kerana berkait rapat dengan  endurance dalam perlumbaan. Daya tahan yang melibatkan bukan saja bahan api, tayar dan brek tetapi juga pemandu. Bukan sesuatu yang mudah untuk bertahan selama 24 jam dalam persaingan yang amat sengit bagi menentukan kejuaraan. Sebab itulah, mana-mana pasukan yang berani berada di litar perlumbaan untuk bersaing dalam Grand Prix of Endurance ini amat dihormati. Begitu juga dalam perlumbaan Formula One. Pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi memastikan semua jentera yang berhasrat untuk bersaing mampu melepasi kelajuan minima 300km sejam. Jika keupayaannya di bawah angka yang dinyatakan adalah lebih baik mengundur diri daripada berada di atas litar daripada membahayakan orang lain!!!. Inilah yang berlaku kepada 28 pasukan yang terpaksa ‘menyerah kalah’ dalam saingan Formula One sejak 1990.
Dalam kedua-dua perlumbaan ini, kegagalan untuk merencana strategi dalam kalangan krew pasukan turut menjadi penentu kemenangan meskipun memiliki  jentera yang ampuh. Kehebatan McLaren & Williams yang mendominasi litar Formula One sekitar 1980-an hingga 1990-an menjadi bukti strategi, jentera, teknikal, kewangan, tajaan dan pengurusan saling sokong meyokong untuk memastikan kemenangan yang berterusan. Pendek kata, Alain Prost , Ayrton Senna atau Michael Schumacher tidak mungkin menjadi ‘lagenda’ jika sekadar memandu Myvi ataupun Viva. Satu parkara yang sepatutnya difahami dalam persaingan seumpama ini ialah tidak ada satu pun pasukan yang mendahului pencabarnya pada setiap pusingan. Pendahulu saling bertukar ganti. Kadang kala ada pendahulu yang sengaja memperlahankan jenteranya untuk memberi peluang kepada pemandu lain ke hadapan. Itu adalah strategi!!!. Apa tah lagi jika pemandu itu dari pasukan yang sama. Satu lagi hal yang sangat diberi perhatian dalam perlumbaan Le Mans termasuk juga Formula One ini  ialah tidak ada kesilapan yang boleh dibenarkan berlaku!! Pasti akan mengundang  kecelakaan. Sebab itu, bahan api hanya akan digunakan selepas diadakan ujikaji sekian lama.  Hanya bahan api terbaik sahaja diguna pakai. Akur dengan arahan juga menjadi kunci kemenangan pasukan. Pemandu yang hebat sekalipun akan keluar ke pit untuk menukar tayar jika itu yang dikehendaki oleh ketua pasukan. Akhirnya, untuk kedua-dua perlumbaan ini,  kejuaraan adalah bonus, namun kekalahan tetap mendapat sanjungan.

Kepada rakan-rakan guru SAKTI, anda tidak seharusnya kecewa kerana tahun ini gagal mempertahankan kedudukan setelas dipintas semula oleh STF. Anda adalah sebahagian daripada ‘krew’ yang telah menyumbang kepada persaingan yang cukup menarik di atas litar. Mengekalkan momentum untuk bersaing walaupun sekadar mengekalkan GPS 1.03 bukan suatu kerja yang mudah.Biarpun pendahulu ‘dirampas’semula oleh pesaing yang memang memiliki legasi tersendiri, SAKTI masih berada pada kelompok terbaik. SAKTI berjaya melaksanakan tugas meskipun gagal melepasi MBR 1.00 sebagai mana yang kita sama-sama ikrarkan. Malah,  80.28% atau 114 daripada 140 calon memperoleh 8A merupakan sesuatu yang patut dibangakan. Hanya sebilangan kecil SBP yang mampu mengapainya. Dua belas atau sepuluh tahun dulu, angka itu sekadar menjadi dambaan yang menjadi penghias dinding kini pecah berderai lantaran usaha kalian!!! Ibarat kata Dr Fadzilah Kamsah…kita tidak boleh kata gagal, cuma kita gagal untuk cemerlang!!. Selamat Maju Jaya.

Monday, December 16, 2013

Indahnya kehidupan

Aduhai...
Sudah lama blog ini tidak dimurnikan. Bukan kerana tidak ada isu, tetapi dek kesebukkan kerja yang tidak pernah putus. Kesebukkan yang kadang-kadang menghalang untuk sentiasa nampak tenang dalam melayari hidup. Pagi tadi terbaca catatan seorang rakan dalam whatsapp. Sungguh menarik dan menyentuh nurani sebagai seorang hamba yang tidak terlepas untuk bersangka-sangka.  Seorang yang kadang-kadang berasa terlalu 'hebat' dan sebuk berbanding yang lain. Seorang yang terlalu sukar untuk menterjemahkan persepsi orang di sekeliling yang juga sentiasa memerhatikan dan menilai. Semuanya rasa macam bagus, semuanya rasa macam baik.

Alkisah sebuah rumah..
Petang itu terdengar rungutan tangga yang tidak terbendung lagi.
Dia terus berleter. "Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku.Seronok jadi atap, tak pernah kena pijak.
Mendengar kata-kata tangga atap terus bersuara. 'Hoi tangga, aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukkan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas, tak kena hujan dan tak kena pijak".
Mendengar kata atap, tiang terus bersuara. Mana kamu tahu?Aku dok tahan pikulatap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya.Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas.Tak kena pijak.
Mendengar kata tiang, dinding tetrus menjawab. "Akulah pelindung rumah ini. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya, bahkan aku terpaksa menjaganya sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna..

PM: setiap manusia mempunyai tugasnya yang tersendiri. Buatlah kerja yang diamanahkan sebaik mungkin. jangan berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya diberi penglihatan pada zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya tak seindah yang dilihat...