LE MANS SAKTI
Tiada kata yang paling wajar untuk diucap
selain menyatakan rasa kesyukuran kehadrat Allah sebaik sahaja mengetahui
keputusan PMR 2013 SAKTI. Bersyukur, kerana hasrat untuk turut sama menyumbang
serta merealisasikan keputusan yang cemerlang dikabulkan Ilahi. Mungkin kerana
usaha, mungkin juga kerana doa dan mungkin kerana kedua-duanya sekali.
Hakikatnya, itu semua urusan Allah yang tidak mampu dijangkau oleh akal kita.
Namun, sebagai manusia yang bergantung kepada ketentuan-Nya, usaha dan doa
telah dilakukan secara bersungguh-sungguh sama ada oleh guru dan calon. Malah,
ibu-bapa pastinya turut serta berikhtiar mengikut cara masing-masing. Melihat
kepada keterujaan guru-guru untuk mengetahui keputusan sudah cukup menunjukkan
bahawa ada kebersamaan hasrat dan impian. Semua ingin menjadi pendahulu dalam
memperoleh maklumat untuk disebarkan kepada rakan-rakan. Sebahagian besar guru
sudah berkampung di sekolah meskipun cuti masih banyak berbaki. Hanya guru
sahaja yang dapat menyelami naluri keresahan, kegembiraan,keseronokan,
ketakutan, kebimbangan dan kesedihan dalam situasi seperti ini.
Tekad dan semangat
warga SAKTI untuk terus mengukir kecemerlangan akademik berkobar-kobar bila memperoleh keyakinan akan
kebolehan dan potensi diri yang
dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan tahun terdahulu. Rasa rendah diri untuk
bersaing bersama rakan-rakan SBP yang ternama hilang begitu sahaja.
Sebaliknya,mula timbul perasaan ‘seronok’ menjadi pemuka. Situasi ini terus
dimanipulasikan secara terancang agar membentuk budaya. Budaya untuk sentiasa
cemerlang. Untuk menjadikan sesuatu itu menjadi amalan dan budaya memerlukan
perancangan, kesungguhan dalam melaksana dan keyakinan yang tinggi akan
berjaya. Bukan seperti Mat Jenin yang sarat dengan angan-angan tanpa usaha atau
umpama Pak Pandir yang memiliki peluang tapi tak reti memanfaatkan.
Diumpamakan seperti perlumbaan
kereta 24 Hours of Le Mans yang
bermula sekitar 1920an menjadi terkenal kerana berkait rapat dengan endurance
dalam perlumbaan. Daya tahan yang melibatkan bukan saja bahan api, tayar dan
brek tetapi juga pemandu. Bukan sesuatu yang mudah untuk bertahan selama 24 jam
dalam persaingan yang amat sengit bagi menentukan kejuaraan. Sebab itulah,
mana-mana pasukan yang berani berada di litar perlumbaan untuk bersaing dalam Grand Prix of Endurance ini amat
dihormati. Begitu juga dalam perlumbaan Formula
One. Pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi memastikan semua jentera yang
berhasrat untuk bersaing mampu melepasi kelajuan minima 300km sejam. Jika keupayaannya
di bawah angka yang dinyatakan adalah lebih baik mengundur diri daripada berada
di atas litar daripada membahayakan orang lain!!!. Inilah yang berlaku kepada
28 pasukan yang terpaksa ‘menyerah kalah’ dalam saingan Formula One sejak 1990.
Dalam kedua-dua
perlumbaan ini, kegagalan untuk merencana strategi dalam kalangan krew pasukan
turut menjadi penentu kemenangan meskipun memiliki jentera yang ampuh. Kehebatan McLaren & Williams yang mendominasi
litar Formula One sekitar 1980-an
hingga 1990-an menjadi bukti strategi, jentera, teknikal, kewangan, tajaan dan pengurusan
saling sokong meyokong untuk memastikan kemenangan yang berterusan. Pendek
kata, Alain Prost , Ayrton Senna atau
Michael Schumacher tidak mungkin menjadi ‘lagenda’ jika sekadar memandu
Myvi ataupun Viva. Satu parkara yang sepatutnya difahami dalam persaingan
seumpama ini ialah tidak ada satu pun pasukan yang mendahului pencabarnya pada
setiap pusingan. Pendahulu saling bertukar ganti. Kadang kala ada pendahulu
yang sengaja memperlahankan jenteranya untuk memberi peluang kepada pemandu
lain ke hadapan. Itu adalah strategi!!!. Apa tah lagi jika pemandu itu dari
pasukan yang sama. Satu lagi hal yang sangat diberi perhatian dalam perlumbaan Le Mans termasuk juga Formula One ini ialah tidak ada kesilapan yang boleh dibenarkan
berlaku!! Pasti akan mengundang kecelakaan. Sebab itu, bahan api hanya akan
digunakan selepas diadakan ujikaji sekian lama. Hanya bahan api terbaik sahaja diguna pakai.
Akur dengan arahan juga menjadi kunci kemenangan pasukan. Pemandu yang hebat
sekalipun akan keluar ke pit untuk menukar tayar jika itu yang dikehendaki oleh
ketua pasukan. Akhirnya, untuk kedua-dua perlumbaan ini, kejuaraan adalah bonus, namun kekalahan tetap
mendapat sanjungan.
Kepada rakan-rakan guru
SAKTI, anda tidak seharusnya kecewa kerana tahun ini gagal mempertahankan
kedudukan setelas dipintas semula oleh STF. Anda adalah sebahagian daripada ‘krew’
yang telah menyumbang kepada persaingan yang cukup menarik di atas litar.
Mengekalkan momentum untuk bersaing walaupun sekadar mengekalkan GPS 1.03 bukan
suatu kerja yang mudah.Biarpun pendahulu ‘dirampas’semula oleh pesaing yang
memang memiliki legasi tersendiri, SAKTI masih berada pada kelompok terbaik.
SAKTI berjaya melaksanakan tugas meskipun gagal melepasi MBR 1.00 sebagai mana
yang kita sama-sama ikrarkan. Malah,
80.28% atau 114 daripada 140 calon memperoleh 8A merupakan sesuatu yang
patut dibangakan. Hanya sebilangan kecil SBP yang mampu mengapainya. Dua belas
atau sepuluh tahun dulu, angka itu sekadar menjadi dambaan yang menjadi
penghias dinding kini pecah berderai lantaran usaha kalian!!! Ibarat kata Dr
Fadzilah Kamsah…kita tidak boleh kata
gagal, cuma kita gagal untuk cemerlang!!. Selamat Maju Jaya.
No comments:
Post a Comment