Sunday, December 7, 2014

POTONG!! JANGAN TAK POTONG

Pagi tadi, ‘anunya’ dah dipotong!!!. Segalanya terlalu pantas dan mudah. Sepanjang jalan ke klinik, yang jaraknya 30km dari rumah, masih melayan lagu Tegar, kegemarannya. Cuma wajahnya sedikit kelat waktu bius disuntik di hujunga ‘anunya’. Masa selebihnya dihabbiskan dengan berbual bersama doktor yang bersiap untuk ’mengeratnya’. Pelbagai soalan diajukan. Tak perlu tutup-tutup mata macam aku dulu-dulu. Juga tak perlu berendam lama-lama, kononnya biar hujung ‘anunya’ lembut & senang dipotong. 40 tahun dulu amat sukar bebudak seawal 9 tahun dah kena ‘kerat’. Paling awal, bila nak masuk menengah. Biasanya, sebelum ambil SRP. Kalau adapun yang nak minta awal, ayah mesti tak bagi. Sampai sekarang aku tak tahu apa alasannya. Cuma, mungkin dulu proses nak mengeratnya agak sukar dan ‘mengerikan’ bagi sesetengah orang. Paling kurang buat kenduri kendara jemput jiran tetangga. Duit tak cukup untuk tujuan itu. Potong ayam, buat jamuan.
Tok Mudim pula  perlu berjemput. Kalau di kampung, paling koman Pak Bilal yang mengiring atau memboncengnya. Buat tempahan berbulan sebelum majlis. Biasanya 3 atau 4 orang dihimpun untuk dipotong bagi menjimatkan masa Tok Mudim. Sikologinya, automatik muka akan jadi pucat lesi bila diberitahu Tok Mudim dah sampai. Memang, kami dilarang tengok wajah Tok Mudim sehingga tiba waktunya. Bila semua dah tersedia, barulah kami dipimpin untuk duduk di kerusi khas. Masa tu lah mata dapat menjeling peralatan yang akan diguna oleh Tok Mudim. Pisau cukur, gunting, penyepit, segelas air dan beberapa biji limau. Bohong kalau jantung tak berdegup kencang…juga penipu kalau tak gementar. Memandangkan hasrat nak menjadi ‘bujang’ berkobar-kobar, segala perasaan terpaksa ditelan.
 Tanpa bius, Tok Mudim sekadar membaca doa dan jampi lantas ditiupkan di hujung ‘anu’. Selepas beberapa ketika, segalanya selesai. Aku pasti  Tok Mudim guna pisau cukur!!. Cuma, aku tak ingat sama ada pada masa itu dijahit atau sekadar dililit dengan ‘handiplas’. Walaupun, mata ditutup, tapi kesakitan tetap dirasai. Dengan wajah yang tanpa senyum, Tok Mudim nampak selamba. Maksudnya, proses mengerat berjalan lancar. Beberapa hari selepas itu, kami umpama raja. Semuanya tersaji dan dihidangkan. Jarang kami anak-anak kampung dilayan seumpama itu. Orang yang datang turut menghulur ‘sumbangan’. Enam atau tujuh ringgit sudah pasti masuk dalam tabung.
Menunggu untuk luka mengering dan sembuh menuntut satu lagi semangat & kasabaran yang tinggi. Kalau nasib tak baik, dua atau tiga hari darah tak putus. Masa tu le Tok Mudim terpaksa dipanggil kembali. Mungkin doanya untuk menghentikan darah kurang menjadi. Riuh  sekampung,  sipolan bin sipolan darahnya ‘berantai’. Lebih terseksa bila dapat tahu, rakan-rakan yang senasib sudah tak perlu memakai ‘sengkak’ pada kain, atau dah boleh membersihkan luka. Masa ni lah pelbagai metos berlegar dari telinga ke telinga. Kononnya sipolan bin sipolan melanggar pantang. Dulu sesiapa yang dikerat ‘anunya’, tak boleh berjalan sesuka hati. Langkahnya mesti teratur, tak boleh melangkah tahi ayam, tak boleh terlalu banyak minum air, tak boleh makan pedas-pedas, tak boleh makan kacang dan macam-macam lagi. Mungkin semuanya ada justifikasi yang kami tak pernah nak ambil tahu.

Saat yang paling bahagia ialah bila luka sudah kering. ‘Handiplas’ dah boleh ditanggalkan atau lebih tepat disiat. Masa ini, macam-macan kaedah digunakan agar proses menyiat pembalut luka itu tidak menyakitkan. Agar tak ada kapas yang tertinggal melekat bersama kulit. Kami berlumba-lumba untuk menunjuk berani. Siapa yang lebih bahulu memakai  seluar dan berbasikal, dialah ‘hero’ dan yang pasti ramailah nanti ‘junior-junior’ yang datang untuk berkongsi petua. Impak jangka pendek selepas itu ialah, kami dibenarkan untuk berada pada saf depan sebaris dengan orang-orang ‘dewasa’ yang lain bila di masjid. Kami dibenarkan bermain bola di padang sekolah yang lebih luas bersama belia-belia kampung.  Kami juga akan mula berseluar panjang untuk menjaga aurat….sebab dah masuk zaman bujang!!! Bab bangga dan riak tak payah lagi nak cerita. Berminggu-minggu pengalaman itu menjadi topik perbualan kami. Untuk Aan, sibungsuku…tahniah. Esok ayah belikan NERF sebagaimana yang dijanjikan!!!!.

Saturday, November 22, 2014

CERITA 1
Seharian menyaksikan anak2 mengisi masa cuti mengundang byk persoalan. Tak seperti aku 40 tahun dulu. Saat spt ini aku dan rakan pasti berinteraksi dgn alam. Menyelusuri parit & sungai mencari ikan pelaga utk dipertandingkan . Membungkas tanah mencari cacing dipotong2 menjadi umpan atau paling sadis merodok perut anak lipas untuk menjadi habuan keli di kali. Nampak kejam tapi itu saja hiburan kami. Terbit saja mentari aku dan rakan akan mencari batu damar untuk ditumbuk sebelum dibakar menjadi gam yg cukup kuat utk melekat pada kaki burung kelicap dan juga serindit. Biasanya gam damar kami lilit pada ranting pokok yg telah dikenalpasti menjadi tempat burung bertenggek. Andai burung yg terlekat meronta, terpaksalah dicampak ke dlm semak, tak peduli sama ada masih bernyawa atau tidak. Saat itu aku x fikir tentang kemanusiaan. Aku hanya tahu keseronokan utk mengisi masa cuti.Waktu rehat cuma untuk makan tengah hari sebelum turun semula di lapangan. Dari alam aku belajar kreativiti....dari alam juga aku belajar taktik dan strategi. Tak 'jantan' kalau balik tak beriringan dengan ayam pulang ke reban. Malam...tanpa bekalan elektrik, terlalu lama rasanya menunggu pagi.Tiada Gumball, tiada juga Spongbob. Cuma siri Combat dan Tarzan dpt ditonton dari layar tv hitam putih di rumah Meng Wang, satu2nya keluarga cina fasih berbahasa jawa yg memiliki TV. Itu pun dikenakan bayaran 5 atau 10 sen untuk duduk bersila berasak2 beralaskan guni beras. Aku yg x mampu hanya dpt menyaksikan melalui celah2 dinding rumah kedai setengah batu dari rumah. Tak peduli sama ada dicelah longkang atau terpijak pokok berduri, yg penting aku dpt tengok Vic Morrow beraksi. Rumah kedai itulah juga menjadi 'panggung wayang' bila ada cerita melayu Hang Tuah, Mat Sentol atau melayan sedih cerita Batu Belah Batu Bertangkup...makanlah aku...telanlah aku...aku nak makan telur tembakul. Rasa sebak bawa sampai ke pagi. Lebih sesak bila diserbu oleh penduduk kampung utk menyaksikan Burno Sumartino beraski dlm rancangan gusti.




CERITA 2
"Ayah, esok cikgu suruh pakai baju cantik", sibungsu tiba2 bersuara sambil tangannya menyusun buah catur yg berselerakkan di dpn TV. "Kenapa?", aku sedikit muskyil. "Aaan dpt anugerah". 
"Anugerah apa?", aku perlukan jawapan segera sebab aku tahu benar prestasinya. "Entah, Aaan tak tahu, tapi cikgu ada bagi surat", sibungsu menjelaskan sambil tangannya mengheret beg sekolah yg separuh berwarna. Sehelai surat lusuh dihulurkan utk aku baca. "Laaa...kenapa tak cakap awal2", aku sedikit berangin. "Cakap awal pun bukannya ayah nak datang. Ayahkan sebuk". Jantungku bagai disentap kuat. Segera aku ke kedai membelikannya kasut baharu, kerana kasut lamanya berlubang dihujung....."Maafkan ayah nak..sbb esok ayah ada 
mesyuarat. Ibu dah ada temu janji berkaitan tugasnya", aku cuba nak bersuara, tetapi tersekat di halkum.

Wednesday, October 29, 2014

EMAK

“Keputusan untuk menerima jawatan ini kan kita buat bersama. Kita dah bincang. Kita dah fikir masak-masak. Bukannya abang buat keputusan sendiri,” ujar Jamal mengingatkan isterinya. Kelazatan menikmati pucuk meranti masak lemak berulamkan pucuk bebuas dan sambal belacan sebagai hidangan pada malam itu sedikit terganggu. Sejak siang lagi Suri merungut. Ada saja isu yang ditimbulkan.  Paling meresahkan apabila anak-anak turut menyokong segala pendapatnya.
“Memanglah kita dah berbincang. Bukannya nak suruh abang berhenti. Tapi saya nak abang faham sikit. Jangalah sibuk sangat dengan kerja-kerja abang. Siang  di sekolah. Petang sampai malam di asrama. Bila masanya abang nak bersama kami.” Suri mula bersuara.
Memang Jamal menyedari bahawa dia semakin sibuk sejak dilantik sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Jawatan itu tak pernah Jamal minta. Jamal masih ingat lagi bagaimana Haji Samad yang beriya-iya minta Jamal menerima jawatan itu bagi mengantikan Hajah Maimunah yang telah berpindah ke sebuah sekolah di utara tanah air.
 “Nak menjaga anak orang bukannya senang, Tuan Haji. Seorang dua masih boleh terima, tapi kalau beratus anak remaja nak dikawal dua puluh empat jam, saya takut.” Jamal cuba mencari alasan untuk menyakinkan pengetuanya.
“Lagi pun saya sayang nak tinggalkan rumah ini.” Jamal menambah.
“Awak cuba dulu. Kan ada warden yang membantu. Soal rumah, sekali sekala hujung minggu awak boleh jenguk. Bukannya jauh sangat pun rumah ni dari sekolah. Budak-budak kita pula bukannya nakal sangat. Awak tak perlu risau.” Haji Samad cuba menyakinkan Jamal.
“Beginilah Tuan Haji. Bagi saya tempoh untuk buat keputusan. Saya perlu berbincang dengan orang rumah dan anak-anak. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Takut mereka tak setuju.” Pendirian Jamal mula goyang. Jamal berasa agak sukar untuk mempertahankan. Hujahnya mudah dipatahkan oleh Haji Samad,  Pengetua Cemerlang yang cukup pengalaman berdepan dengan sepak terajang dunia pendidikan. Apatahlagi bila memikirkan kesanggupan Haji Samad yang datang sendiri ke rumah pada malam itu untuk memujuk, Jamal agak sukar untuk menepisnya.
Tawaran yang dibawa oleh Haji Samad pada malam itu akhirnya diterima setelah isterinya turut memberi sokongan. Anak-anak sekadar mendiamkan diri. Mereka akur dengan keputusan yang dibuat.
“awak jangan pula menyesal.” Jamal cuba menguji pendirian isterinya.
“Menyesal ? kenapa?” Suri cuba untuk mendapatkan penjelasan. Sebagai guru dia juga memahami sedikit sebanyak tugas seorang Penolong Kanan Hem di sekolah. Lagi pun Suri tahu suaminya pernah mejalankan tugas-tugas berkenaan di sekolah lamanya dulu.
“Kita kena pindah ke kuarters guru. Jaga budak. Tinggalkan rumah. Tinggalkan pokok-pokok bunga. Tinggalkan jiran-jiran yang telah banyak membantu kita.” Jamal menjelaskan seolah-olah juga sebagai satu amaran agar isterinya bersedia dengan apa yang akan berlaku.
“Abang….cubalah cari pengalaman baharu. Sesekali biarlah cabaran dan pengalaman itu menguji kita. Jangan kita leka dengan keselesaan yang dikecapi. Insyallah satu hari nanti pengalaman itu akan membantu.” Suri cuba berhujah persis seorang pakar motivasi.
Lamunan Jamal terganggu bila Aiman memanggilnya. Anak lelaki berusia dua belas tahun itu telah siap sedia untuk diajarnya mengaji. Ada rakan-rakan yang sebaya dengannya telah khatam Alquran, tapi Aiman baru juzuk dua belas. Itupun masih belum mahir panjang pendeknya. Sudah lebih tiga guru mengaji mengajarnya tapi tidak bertahan lama. Puncanya, Jamal tak sempat nak menghantarnya mengikut masa yang ditetapkan. Sibuk dengan pelbagai urusan sama ada di sekolah atau di asrama. Akhirnya, Jamal mengambil keputusan untuk mengajarnya sendiri.
Selesai mengajar Aiman mengaji, Jamal menghampiri isterinya yang sedang menuang sebakul baju yang telah siap dicuci untuk dilipat. Kebetulan pula sudah agak lama Jamal tidak menonton siaran Buletin Utama yang menjadi kegemarannya satu ketika dulu. Namun, otaknya masih berlegar memikirkan isu pokok yang menyebabkan ketenangnya terganggu. Kali ini isu yang diungkit oleh isteri yang telah dikahwini dua puluh tahun lalu cukup mencabar keegoannya.
Memang sejakdari dulu lagiJamal akan mudah terasa hati bila nama emak dan ayahnya disebut-sebut. Baginya,  dua orang insan itu cukup istemewa. Hatinya mesti dijaga. Kalau boleh jangan ada sesiapa yang cuba mengusiknya sehingga mereka berasa terluka. Apatah lagi sekarang ini mereka hanya tinggal berdua di kampung. Lapan orang anaknya bertaburan di merata negeri membina keluarga dengan kerjaya serta rezeki masing-masing. Sesekali bila hujung minggu atau cuti hari perayaan rumah emaknya di kampung riuh rendah dengan hilai ketawa anak dan cucu-cucunya. Semua adik beradik Jamal termasuk ipar duai memang sedia maklum dengan ketegasan emaknya dalam memastikan anak-anaknya balik untuk menziarahinya bila kelapangan. Kalau tidak semua, seorang pun sudah memadai untuk menjenguknya di kampung. Sebab itu, anak-anak mengamalkan sistem giliran. Walaupun tidak tertulis, semua anaknya akur dengan kaedah itu.
“Emak tak nak duit. Duit dari kebun sawit bapa kamu dah lebih dari cukup untuk menyara hidup kami berdua. Emak cuma nak kamu semua balik jengok kami, selagi kami masih hidup. Emak nak tengok cucu-cucu emak. Jangan nanti bila kami dah tak ada baru kamu berpusu-pusu nak balik. Tak ada maknanya.”Leteran emaknya pada suatu hari bila Ridzwan, anak ketiganya telah hampir dua bulan tidak menjengoknya di kampung . Habis semuaanaknya dikerah untuk balik berkumpul mendengar ‘amanatnya’.
“Emak boleh bayarkan duit minyak kalau kamu dah tak mampu sangat.” Emaknya menambah. Pedas menusuk telinga Jamal dan adik beradiknya yang lain. Semuanya diam membatu. Haji Manaf sekadar memerhati tanpa sepatah kata. Dia tahu benar perangai isterinya dalam situasi seperti itu.Jangan ada yang cuba nak menyampuk. Baik-baik amanatnya boleh selesai setengah jam akan jadi empat atau lima jam. Silap haribulan seharian emaknya akan mendiamkan diri.
Jamal dan adik beradiknya memang mengakui bahawa emaknya bukan inginkan duit anak-anak, jauh sekali buah tangan yang mahal-mahal. Malah, ada ketikanya cucu-cucu yang  balik ke kampung pula akan mendapat habuan dalam bentuk wang ringgit. Dia cuma nak tengok anak dan cucu-cucunya sahaja. 72 tahun usianya sudah terlalu tua untuknya  bergerak ke rumah anak-anak seramai lapan orang itu. Tambah lagi, akhir-akhir ini sakit sendi yang dialaminya sering menyerang tanpa mengira waktu. Kalau pun dia sanggup untuk mengikut anak-anak tapi tak betah lama-lama. Itupun setelah puas dipujuk rayu oleh anak-anak.
“Bang, lama kita tak balik kampung. Kasihan dengan emak,” Suri memecah bicara sambil tangannya ligat melipat baju persekolahan anak-anak. Jamal yang menancapkan perhatiannya pada skrin TV sudah dapat menduga dengan apa yang akan diperkatakan oleh isterinya.
“Petang tadi Kak Long telefon.” Suri cuba menarik perhatian Jamal bila dia mendapati suaminya tidak memberi tindak balas dengan apa yang telah dinyatakan sebelum itu.
“Cerita pasal apa?” Jamal mula bertanya. Baginya, pasti ada suatu yang amat menarik hingga Kak Long sanggup menelefon isterinya. Jarang Kak Long yang telah menetap lama di Kuala Lumpur itu mengubunginya kecuali bila ada hal yang penting sahaja. Biasanya hanya dengan Kak Long sajalah emaknya akan mengadu jika ada yang tak kena dalam adik-beradik Jamal. Kak Longnya akan menjadi orang tengah dan kak Long jugalah yang akan menjadi pengantara dalam menyelesaikan segala masalah yang berlaku. Mungkin sikap penyabar Kak Longnya menyebabkan emak Jamal mempercayai dan selesa dengannya. Mungkin juga Kak Long pandai melayan keinginan emaknya dalam banyak perkara. Jamal amat yakin Kak Longnya banyak menyimpan rahsia emak walaupun sekadar anak menantu sulungnya.
“Emak bertanya pasal abang. Kenapa dah lama tak balik? Emak dah cuba banyak kali nak menghubungi kita tapi tak berjaya.” Suri menjelaskan.
Jamal terdiam. Benaknya pantas mengingat tarikh terakhir dia menziarahi emaknya di kampung. Dua bulan yang lalu iaitu semasa majlis kenduri potong jambul anak sulung adik bungsunya, Jamal sekeluarga balik membantu membuat persiapan. Lepas itu Jamal sibuk. Sibuk dengan dunia baharunya sebagai Penolong Kanan Hem. Dunianya melayan kerenah anak-anak di asrama cukup menghayalkan. Pelbagai hal yang ditimbulkan oleh pelajar telah memberi pengalaman baharu  kepada Jamal. Setiap orang pelajar memiliki kerenah dan masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza. Adakalanya Jamal bukan saja memikirkan masalah anak pelajar tetapi turut menyelesaikan kerenah ibu-bapanya sekali. Baru Jamal sedar bahawa dunia ini terlalu banyak cerita yang mewarnainya.
Selesai sajpan TV a solat zohor, Jamal pantas melipat sejadah. Lantas disangkutkannya. kenapa rasa rindu untuk melihat wajah emak dan ayah yang membesarkannya menerjah masuk mengusik hati kecil yang selama ini sukar untuk dipengaruhi. Mungkin kata-kata Suri malam tadi memberi kesan yang cukup mendalam.
“Bang, jangan sampai nanti emak dan ayah datang ke sini. Mungkin dia tak rindu pada abang, tapi rindu pada cucu-cucunya. Anak kita!” Sindir Suri sambil menyediakan juadah untuk makan malam. Malah, semasa menadah tangan memanjatkan doa setelah selesai solat sebentar tadi, terasa ada mutiara-mutiara jernih mengalir membasahi pipi Jamal yang mula kusam itu. Dia sedar, betapa hebatnya kasih emak yang telah bersabung nyawa melahirkan zuriat. Membesar dan memberikan pendidikan untuk Jamal dan adik beradik yang lain hingga semuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing. Adakah cukup dengan doa yang dikirimkan pagi dan petang?
“Kemaskan baju. Bawa secukupnya untuk dua hari. Lepas makan ni kita balik kampong tengok nenek. Jangan lupa bawa joran Aiman sekali. Dah lama ayah tak memancing ikan pelaga,” Jamal memberikan arahan kepada Along yang sedang sebuk membantu isterinya membuat sambal belacan di dapur. Mereka berdua beranak saling berpandangan.
“Assalamualaikum, Cikgu…Cikgu Jamal!” kedengaran suara yang memang cukup Jamal kenali berselang seli dengan ketukan pintu.
“Waalaikum Salam,” Jamal meletakkan surat khabar yang baru saja diselak untuk dibaca lantas segera menuju pintu sambil membetulkan kopiah putih yang agak senget di atas kepalanya.
“Apa hal dengan kau ni Haziq. Tercungap-cungap macam kena kejar hantu.”Hati Jamal mula berdebar kencang melihat prilaku ketua pelajarnya. Memang Haziq merupakan pelajar yang menjadi kepercayaannya selama ini untuk membantu menguruskan aktiviti di asrama. Tanpa Haziq, Jamal pasti mengalami kesukaran untuk mengurus kerenah anak-anak pelajarnya. Dalam beberapa hal, khususnya yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan satu arahan Haziq lebih mudah dituruti. Ketenangan dan sifatnya yang suka membantu amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi juga guru-guru di sekolah.
“Be…be…begini cikgu. Ada masalah besar di asrama.Cikgu kena bawa segera budak tu ke hospital. Kalau tak nyawa pelajar tu dalam bahaya.” Haziq cuba memberikan penjelasan.
“Masalah besar? Masalah apa? Cuba kau cerita terus terang dengan cikgu. Tak payah berbelit-belit” Jamal makin mendesak untuk mengetahui.
“Tadi, lepas kami makan di dewan, ada pelajar tingkatan satu yang berkejaran untuk naik ke dorm. Dia tergelincir di depan tangga, kepalanya terhentak pada bucu. Berdarah. Banyak darah yang keluar. Muntah. Sekarang budak tu pengsan.” Haziq pantas memberikan penjelasan.
 “Pengsan?” Soal Jamal dengan wajah berkerut.
“Kalau begitu, awak balik dulu ke asrama, saya nak salin baju. Tunggu saya di dorm. Jangan cuba angkat pelajar itu. Nanti makin teruk kecederaannya. Saya akan panggil ambulan.” Pesan Jamal sebelum berlalu meninggalkan Suri dan Along terpingga-pingga meminta penjelasan.
Selesai menukar pakaian Jamal berlari-lari anak menuruni tangga rumah banglo dua tingkat yang menjadi kediamannya sejak tiga tahun lalu.  Hatinya berdegup kencang memikirkan nasib pelajar yang mengalami kecelakaan. “Mudah-mudahan dia selamat.” Hati kacilnya berdoa.

Belum sempat enjin motosikal buruknya dihidupkan, sebuah teksi tiba-tiba berhenti betul-betul dihadapan rumahnya. Jamal cuba mengamat-amati dua susuk tubuh yang keluar dari perut teksi separuh umur itu. Jamal yakin benar mengenalinya. “emak….” Jamal terkedu.

Menjelang 50an

Hasrat untuk mengemaskini blog sering tertangguh. Bukan kerana tidak ada bahan untuk dikongsi, tetapi sering terlupa 'pasword' untuk membukanya. Sesekali bermuhasabah, mungkin inilah simtom hamba yang telah diberi peluang untuk menghela nafas selama setengah abad oleh Yang Maha Pencipta. Semuanya semakin lemah, mata semakin kabur, badan semakin mudah letih, mudah lupa dan fikiran tak setajam dulu. Peringatan demi peringatan telah Allah turunkan secara berperingkat. Namun, sebagai hamba yang lemah, kadang-kadang aku terlupa akan peringatan itu. Lebih-lebih lagi saat aku berurusan dengan dunia kerjaya dan keluarga. Amat jarang 'mencermin' diri. Lupa akan kuderat, saat memburu hasrat. Ya Allah ku mohon ampun.

Sunday, June 15, 2014

Suatu hari semasa sedang bersiap untuk menyembahyangkan jenazah seorang rakan guru di Madjid As-Sifa, seorang jemaah di sebelah berbisik, "Tn Haji, untungnya menjadi cikgu." Aku terdiam. Naluriku ingin saja mendapatkan penjelasan daripada jemaah yang amat aku kenali itu. "Kenapa?". Aku berbisik dengan harapan dia dapat memberikan jawapan segera dan ringkas untuk difahami. "Ramainya jamaah yang datang. Tengok tu, berbaris orang mengambil air sembahyang. Dah meninggal pun orang masih panggil cikgu. Harap-harap anak saya pun dapat jadi cikgu. Sekarang masih di UPSI." Penjelasan rakan jamaah tadi mengundang sedikit resah. "Bagaimanakah aku nanti......Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan & kesetiaan untuk meneruskan profesion ini. Jadikanlah segala kekalutan, cabaran & rintangan untuk aku terus beristiqamah mencari jalan menjadi pembimbing & pendamping yang baik. Biarlah baktiku ini berakhir sebagai guru, kerana ini sajalah jalan yang aku mampu usahakan untuk mendapatkan sebesar- besar ganjaran yang Engkau sediakan. Ya Allah, pada saat aku dipanggil menghadapMu nanti, aku bermohon biarlah antara yang mengiringiku adalah mereka yang pernah menerima titisan ilmu daripada hambaMu ini. Aku sedar Ya Allah, bahawa aku bukan suri teladan yang cukup baik untuk dicontohi. Namun, aku pernah mengajar mereka tulis baca dan mengenal dosa pahala. Aku pernah mengajar mereka tentang syurga neraka. Aku pernah melarang mereka daripada melakukan kemungkaran. Aku juga pernah menggalakkan mereka melakukan kebaikkan. Andai masih ada lagi kekurangan, maka itu adalah kelalaianku Ya Allah. Ya Allah biarlah selepas ketiadaanku nanti, akan ada anak-anak yang menghidupsuburkan pekerjaan ini. AMIN YA RABILALAMIN. SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA CIKGU
Tahun 1972 secara rasmi aku jadi murid. Ertinya dah 42 tahun berlalu. Murid di SK Seri Sekawan Desa Pontian. Sekolah berdinding papan bertiang konkrit bercat biru muda. Guru Besarnya arwah Cikgu Aliman. Besar badannya, garau juga suaranya. Duduk di Pekan Tambor, rumah kedai dua tingkat dari papan. Sehingga hari ini masih tegap berdiri. Tempat aku & kawan2 ditempatkan bila ada Kejohanan Olahraga Peringkat Pontian Utara. Tulisan Arwah Cikgu Aliman sangat cantik. Bentuknya kemas. Biasanya guna dakwat hitam. Ada sedikit pengaruh Inggeris. Aku selalu cuba meniru2 bentuk tulisan dan tandatangannya. Arwah sangat dihormati. Bukan saja oleh murid & guru tapi juga penduduk kampung. Guru kelasku drj. 1 Cikgu Osman @ Seman Jabar. Orang Pt Embok. Mengajar Bahasa & Ilmu Hisab. Darinya aku mengenali watak2 spt Ali, Ah Seng & Ramasamy. Buku teksnya banyak mengesahkan tentang persahabatan, kerjasama & perpaduan. Seronok sangat sebab baru tahu membaca suku kata. Cikgu Seman suka pakai kemeja lengan pendek ketat. Seluarnya juga ketat. Lenggok badan & cara berjalannya masih aku ingat. Kalau dia mengajar waktu akhir, aku antara murid yg boleh balik awal sebab boleh jawab soalan. Bangga tak terkira. Kadang2 dipaksanya kami tidur supaya tak buat bising. Dua orang adik beradiknya juga cikgu pernah mengajar aku. Cikgu Kaab & Cikgu.....(terlupa namanya. Mengajar lukisan). Seorang lagi cikgu yg tidak akan aku lupa ialah Cikgu Salleh. Mengajar aku B. Inggeris. Yes, no, allright...t.you. Berkulit putih. Bengis & menakutkan. Rasanya sepanjang aku hidup sebagai murid, pelajar, siswa & guru, dialah insan yg paling garang. Lebih baik mengelak daripada terserempak dgn Cikgu Salleh. Beliau juga mengajar aku nyanyi. Nyanyi lagu Inggeris yg sehingga sekarang aku tak faham maksudnya.Aku tahu nyanyi lagu Bangsa Johor & Negaraku pun dari dia. Sekarang dah sedikit uzur. Juga tinggal di Pekan Tambor. Masih di rumah lamanya di lorong kecil sebelah balai polis Tambor. Apa pun orang cerita pasal Cikgu Salleh ni, beliau tetap cikgu aku. Aku mula belajar agama secara rasmi dengan Cikgu Rahmat. Rumahnya rumah papan sebelah pejabat pos Tambor. Warna hijau muda. Pergi sekolah naik vespa. Cikgu Rahmatlah individu yg mengesan bakat aku dalam tilawah dan bersyarah. Darinya aku belajar taranum & tajwid. Dua atau tiga hari aku duduk di rumahnya belajar ngaji sebelum ada pertandingan.Selalu juga bawak aku naik vespanya ke majlis2 tilawah peringkat mukim. Surah yg aku baca masih aku ingat & hafal sampai sekarang. Cikgu Borhan Sadli? Baru beberapa minggu yg lepas aku bersembang dengannya. Lama kami berbual. Cerita2 lama masa di SKSSD. Masih ganteng & sihat. Sekarang tinggal di Pontian. Beliau hebat Ilmu Hisab. Dulu aku rasa Cikgu Borhanlah manusia yg paling pandai Ilmu Hisabnya. Aku tahu tolak, campur, kali & bahagi dari cikgu Borhan. Kalkulatornya ialah biji getah. Beliau suka pulas perut. Beruntung kalau tak berbekas. Kadang2 kulit sampai tersiat. Antara cikgu yang pandai main bola sepak. Persis Mokhtar Dahari. Lepas pencen Cikgu Borhan berjinak dgn politik. Tapi beliau kecewa sbb tak setuju soal prinsip Seorang lagi cikgu yg aku kagumi ialah Cikgu Talib Osman. Juga tinggal di Pekan Tambor. Berjiran dengan Cikgu Aliman. Agak gempal dan rendah orangnya raut wajah macam keturunan cina. Sangat baik hati dan jarang meninggikan suara. Mengajar aku bahasa Malaysia juga guru kelas darjah 3. Sekali aku pernah kena denda oleh Cikgu Talib sebab tak reti mengeja "mengandungi". Jenuh aku menghafal tapi tak pandai2. Kali pertama aku menaiki kereta persendirian ialah menaiki keretanya dari pekan Tambor ke Pulau Sebatang. Suka sakan aku. Terkelip2 tak tahu nak cakap apa. Untuk cikgu2 yg lain, aku juga tetap ingat Cikgu Ramlan dan Cikgu Ismail yg mengajar aku darjah 5. Cikgu Nora (cikgu priktikal) satu2nya cikgu perempuan semasa aku sekolah rendah. Untuk semua TERIMA KASIH CIKGU...TERIMA KASIH KERANA MEMBIMBING AKU.
Setelah berpuluh tahun ditinggalkan pada 8 Jun 2014, aku diarahkan menghadiri semula kuliah. Mengadap semula nota dan pensyarah. Terima kasih kepada pihak yang memberi peluang untuk aku di sini. Merasai semula minggu orentasi. Seronok tapi bercampur aduk dengan bayangan anak-anak yang terpaksa ditinggalkan. C204, IAB Enstek, Nilai.