Sunday, June 15, 2014

Suatu hari semasa sedang bersiap untuk menyembahyangkan jenazah seorang rakan guru di Madjid As-Sifa, seorang jemaah di sebelah berbisik, "Tn Haji, untungnya menjadi cikgu." Aku terdiam. Naluriku ingin saja mendapatkan penjelasan daripada jemaah yang amat aku kenali itu. "Kenapa?". Aku berbisik dengan harapan dia dapat memberikan jawapan segera dan ringkas untuk difahami. "Ramainya jamaah yang datang. Tengok tu, berbaris orang mengambil air sembahyang. Dah meninggal pun orang masih panggil cikgu. Harap-harap anak saya pun dapat jadi cikgu. Sekarang masih di UPSI." Penjelasan rakan jamaah tadi mengundang sedikit resah. "Bagaimanakah aku nanti......Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan & kesetiaan untuk meneruskan profesion ini. Jadikanlah segala kekalutan, cabaran & rintangan untuk aku terus beristiqamah mencari jalan menjadi pembimbing & pendamping yang baik. Biarlah baktiku ini berakhir sebagai guru, kerana ini sajalah jalan yang aku mampu usahakan untuk mendapatkan sebesar- besar ganjaran yang Engkau sediakan. Ya Allah, pada saat aku dipanggil menghadapMu nanti, aku bermohon biarlah antara yang mengiringiku adalah mereka yang pernah menerima titisan ilmu daripada hambaMu ini. Aku sedar Ya Allah, bahawa aku bukan suri teladan yang cukup baik untuk dicontohi. Namun, aku pernah mengajar mereka tulis baca dan mengenal dosa pahala. Aku pernah mengajar mereka tentang syurga neraka. Aku pernah melarang mereka daripada melakukan kemungkaran. Aku juga pernah menggalakkan mereka melakukan kebaikkan. Andai masih ada lagi kekurangan, maka itu adalah kelalaianku Ya Allah. Ya Allah biarlah selepas ketiadaanku nanti, akan ada anak-anak yang menghidupsuburkan pekerjaan ini. AMIN YA RABILALAMIN. SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA CIKGU

1 comment:

  1. ...tulisan cikgu setakat ini saya tak pernah miss..insyallah...saya amat teruja menunggu "pemurnian" blog ini...posting cikgu sentiasa saya nantikan.....saya amat-amat berterima kasih diatas segala jasa yang cikgu curahkan buat anak-anak saya dijah dan luqman. saya mohon jutaaan ampun dan maaf diatas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak saya. saya doakan agar cikgu dan semua ahli keluarga dirahmati dan diberkati Ilahi..ameen.

    ReplyDelete