“Keputusan
untuk menerima jawatan ini kan kita buat bersama. Kita dah bincang. Kita dah
fikir masak-masak. Bukannya abang buat keputusan sendiri,” ujar Jamal
mengingatkan isterinya. Kelazatan menikmati pucuk meranti masak lemak
berulamkan pucuk bebuas dan sambal belacan sebagai hidangan pada malam itu sedikit
terganggu. Sejak siang lagi Suri merungut. Ada saja isu yang ditimbulkan. Paling meresahkan apabila anak-anak turut menyokong
segala pendapatnya.
“Memanglah
kita dah berbincang. Bukannya nak suruh abang berhenti. Tapi saya nak abang
faham sikit. Jangalah sibuk sangat dengan kerja-kerja abang. Siang di sekolah. Petang sampai malam di asrama.
Bila masanya abang nak bersama kami.” Suri mula bersuara.
Memang
Jamal menyedari bahawa dia semakin sibuk sejak dilantik sebagai Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid. Jawatan itu tak pernah Jamal minta. Jamal masih ingat lagi
bagaimana Haji Samad yang beriya-iya minta Jamal menerima jawatan itu bagi
mengantikan Hajah Maimunah yang telah berpindah ke sebuah sekolah di utara
tanah air.
“Nak menjaga anak orang bukannya senang, Tuan
Haji. Seorang dua masih boleh terima, tapi kalau beratus anak remaja nak
dikawal dua puluh empat jam, saya takut.” Jamal cuba mencari alasan untuk
menyakinkan pengetuanya.
“Lagi
pun saya sayang nak tinggalkan rumah ini.” Jamal menambah.
“Awak
cuba dulu. Kan ada warden yang membantu. Soal rumah, sekali sekala hujung
minggu awak boleh jenguk. Bukannya jauh sangat pun rumah ni dari sekolah.
Budak-budak kita pula bukannya nakal sangat. Awak tak perlu risau.” Haji Samad
cuba menyakinkan Jamal.
“Beginilah
Tuan Haji. Bagi saya tempoh untuk buat keputusan. Saya perlu berbincang dengan
orang rumah dan anak-anak. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Takut mereka
tak setuju.” Pendirian Jamal mula goyang. Jamal berasa agak sukar untuk
mempertahankan. Hujahnya mudah dipatahkan oleh Haji Samad, Pengetua Cemerlang yang cukup pengalaman
berdepan dengan sepak terajang dunia pendidikan. Apatahlagi bila memikirkan kesanggupan
Haji Samad yang datang sendiri ke rumah pada malam itu untuk memujuk, Jamal agak
sukar untuk menepisnya.
Tawaran
yang dibawa oleh Haji Samad pada malam itu akhirnya diterima setelah isterinya
turut memberi sokongan. Anak-anak sekadar mendiamkan diri. Mereka akur dengan
keputusan yang dibuat.
“awak
jangan pula menyesal.” Jamal cuba menguji pendirian isterinya.
“Menyesal
? kenapa?” Suri cuba untuk mendapatkan penjelasan. Sebagai guru dia juga
memahami sedikit sebanyak tugas seorang Penolong Kanan Hem di sekolah. Lagi pun
Suri tahu suaminya pernah mejalankan tugas-tugas berkenaan di sekolah lamanya
dulu.
“Kita
kena pindah ke kuarters guru. Jaga budak. Tinggalkan rumah. Tinggalkan
pokok-pokok bunga. Tinggalkan jiran-jiran yang telah banyak membantu kita.”
Jamal menjelaskan seolah-olah juga sebagai satu amaran agar isterinya bersedia
dengan apa yang akan berlaku.
“Abang….cubalah
cari pengalaman baharu. Sesekali biarlah cabaran dan pengalaman itu menguji
kita. Jangan kita leka dengan keselesaan yang dikecapi. Insyallah satu hari
nanti pengalaman itu akan membantu.” Suri cuba berhujah persis seorang pakar
motivasi.
Lamunan
Jamal terganggu bila Aiman memanggilnya. Anak lelaki berusia dua belas tahun
itu telah siap sedia untuk diajarnya mengaji. Ada rakan-rakan yang sebaya
dengannya telah khatam Alquran, tapi Aiman baru juzuk dua belas. Itupun masih
belum mahir panjang pendeknya. Sudah lebih tiga guru mengaji mengajarnya tapi
tidak bertahan lama. Puncanya, Jamal tak sempat nak menghantarnya mengikut masa
yang ditetapkan. Sibuk dengan pelbagai urusan sama ada di sekolah atau di
asrama. Akhirnya, Jamal mengambil keputusan untuk mengajarnya sendiri.
Selesai
mengajar Aiman mengaji, Jamal menghampiri isterinya yang sedang menuang sebakul
baju yang telah siap dicuci untuk dilipat. Kebetulan pula sudah agak lama Jamal
tidak menonton siaran Buletin Utama yang menjadi kegemarannya satu ketika dulu.
Namun, otaknya masih berlegar memikirkan isu pokok yang menyebabkan ketenangnya
terganggu. Kali ini isu yang diungkit oleh isteri yang telah dikahwini dua
puluh tahun lalu cukup mencabar keegoannya.
Memang
sejakdari dulu lagiJamal akan mudah terasa hati bila nama emak dan ayahnya
disebut-sebut. Baginya, dua orang insan
itu cukup istemewa. Hatinya mesti dijaga. Kalau boleh jangan ada sesiapa yang
cuba mengusiknya sehingga mereka berasa terluka. Apatah lagi sekarang ini
mereka hanya tinggal berdua di kampung. Lapan orang anaknya bertaburan di
merata negeri membina keluarga dengan kerjaya serta rezeki masing-masing.
Sesekali bila hujung minggu atau cuti hari perayaan rumah emaknya di kampung
riuh rendah dengan hilai ketawa anak dan cucu-cucunya. Semua adik beradik Jamal
termasuk ipar duai memang sedia maklum dengan ketegasan emaknya dalam
memastikan anak-anaknya balik untuk menziarahinya bila kelapangan. Kalau tidak
semua, seorang pun sudah memadai untuk menjenguknya di kampung. Sebab itu,
anak-anak mengamalkan sistem giliran. Walaupun tidak tertulis, semua anaknya
akur dengan kaedah itu.
“Emak
tak nak duit. Duit dari kebun sawit bapa kamu dah lebih dari cukup untuk
menyara hidup kami berdua. Emak cuma nak kamu semua balik jengok kami, selagi
kami masih hidup. Emak nak tengok cucu-cucu emak. Jangan nanti bila kami dah
tak ada baru kamu berpusu-pusu nak balik. Tak ada maknanya.”Leteran emaknya
pada suatu hari bila Ridzwan, anak ketiganya telah hampir dua bulan tidak
menjengoknya di kampung . Habis semuaanaknya dikerah untuk balik berkumpul
mendengar ‘amanatnya’.
“Emak
boleh bayarkan duit minyak kalau kamu dah tak mampu sangat.” Emaknya menambah.
Pedas menusuk telinga Jamal dan adik beradiknya yang lain. Semuanya diam
membatu. Haji Manaf sekadar memerhati tanpa sepatah kata. Dia tahu benar
perangai isterinya dalam situasi seperti itu.Jangan ada yang cuba nak
menyampuk. Baik-baik amanatnya boleh selesai setengah jam akan jadi empat atau
lima jam. Silap haribulan seharian emaknya akan mendiamkan diri.
Jamal
dan adik beradiknya memang mengakui bahawa emaknya bukan inginkan duit
anak-anak, jauh sekali buah tangan yang mahal-mahal. Malah, ada ketikanya
cucu-cucu yang balik ke kampung pula akan
mendapat habuan dalam bentuk wang ringgit. Dia cuma nak tengok anak dan
cucu-cucunya sahaja. 72 tahun usianya sudah terlalu tua untuknya bergerak ke rumah anak-anak seramai lapan
orang itu. Tambah lagi, akhir-akhir ini sakit sendi yang dialaminya sering
menyerang tanpa mengira waktu. Kalau pun dia sanggup untuk mengikut anak-anak
tapi tak betah lama-lama. Itupun setelah puas dipujuk rayu oleh anak-anak.
“Bang,
lama kita tak balik kampung. Kasihan dengan emak,” Suri memecah bicara sambil
tangannya ligat melipat baju persekolahan anak-anak. Jamal yang menancapkan
perhatiannya pada skrin TV sudah dapat menduga dengan apa yang akan
diperkatakan oleh isterinya.
“Petang
tadi Kak Long telefon.” Suri cuba menarik perhatian Jamal bila dia mendapati
suaminya tidak memberi tindak balas dengan apa yang telah dinyatakan sebelum
itu.
“Cerita
pasal apa?” Jamal mula bertanya. Baginya, pasti ada suatu yang amat menarik
hingga Kak Long sanggup menelefon isterinya. Jarang Kak Long yang telah menetap
lama di Kuala Lumpur itu mengubunginya kecuali bila ada hal yang penting
sahaja. Biasanya hanya dengan Kak Long sajalah emaknya akan mengadu jika ada
yang tak kena dalam adik-beradik Jamal. Kak Longnya akan menjadi orang tengah
dan kak Long jugalah yang akan menjadi pengantara dalam menyelesaikan segala
masalah yang berlaku. Mungkin sikap penyabar Kak Longnya menyebabkan emak Jamal
mempercayai dan selesa dengannya. Mungkin juga Kak Long pandai melayan
keinginan emaknya dalam banyak perkara. Jamal amat yakin Kak Longnya banyak
menyimpan rahsia emak walaupun sekadar anak menantu sulungnya.
“Emak
bertanya pasal abang. Kenapa dah lama tak balik? Emak dah cuba banyak kali nak
menghubungi kita tapi tak berjaya.” Suri menjelaskan.
Jamal
terdiam. Benaknya pantas mengingat tarikh terakhir dia menziarahi emaknya di
kampung. Dua bulan yang lalu iaitu semasa majlis kenduri potong jambul anak
sulung adik bungsunya, Jamal sekeluarga balik membantu membuat persiapan. Lepas
itu Jamal sibuk. Sibuk dengan dunia baharunya sebagai Penolong Kanan Hem.
Dunianya melayan kerenah anak-anak di asrama cukup menghayalkan. Pelbagai hal
yang ditimbulkan oleh pelajar telah memberi pengalaman baharu kepada Jamal. Setiap orang pelajar memiliki
kerenah dan masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan cara yang
berbeza. Adakalanya Jamal bukan saja memikirkan masalah anak pelajar tetapi
turut menyelesaikan kerenah ibu-bapanya sekali. Baru Jamal sedar bahawa dunia
ini terlalu banyak cerita yang mewarnainya.
Selesai
sajpan TV a solat zohor, Jamal pantas melipat sejadah. Lantas disangkutkannya. kenapa
rasa rindu untuk melihat wajah emak dan ayah yang membesarkannya menerjah masuk
mengusik hati kecil yang selama ini sukar untuk dipengaruhi. Mungkin kata-kata Suri
malam tadi memberi kesan yang cukup mendalam.
“Bang,
jangan sampai nanti emak dan ayah datang ke sini. Mungkin dia tak rindu pada
abang, tapi rindu pada cucu-cucunya. Anak kita!” Sindir Suri sambil menyediakan
juadah untuk makan malam. Malah, semasa menadah tangan memanjatkan doa setelah
selesai solat sebentar tadi, terasa ada mutiara-mutiara jernih mengalir
membasahi pipi Jamal yang mula kusam itu. Dia sedar, betapa hebatnya kasih emak
yang telah bersabung nyawa melahirkan zuriat. Membesar dan memberikan
pendidikan untuk Jamal dan adik beradik yang lain hingga semuanya berjaya dalam
kerjaya masing-masing. Adakah cukup dengan doa yang dikirimkan pagi dan petang?
“Kemaskan
baju. Bawa secukupnya untuk dua hari. Lepas makan ni kita balik kampong tengok nenek.
Jangan lupa bawa joran Aiman sekali. Dah lama ayah tak memancing ikan pelaga,”
Jamal memberikan arahan kepada Along yang sedang sebuk membantu isterinya
membuat sambal belacan di dapur. Mereka berdua beranak saling berpandangan.
“Assalamualaikum,
Cikgu…Cikgu Jamal!” kedengaran suara yang memang cukup Jamal kenali berselang
seli dengan ketukan pintu.
“Waalaikum
Salam,” Jamal meletakkan surat khabar yang baru saja diselak untuk dibaca
lantas segera menuju pintu sambil membetulkan kopiah putih yang agak senget di
atas kepalanya.
“Apa
hal dengan kau ni Haziq. Tercungap-cungap macam kena kejar hantu.”Hati Jamal
mula berdebar kencang melihat prilaku ketua pelajarnya. Memang Haziq merupakan
pelajar yang menjadi kepercayaannya selama ini untuk membantu menguruskan
aktiviti di asrama. Tanpa Haziq, Jamal pasti mengalami kesukaran untuk mengurus
kerenah anak-anak pelajarnya. Dalam beberapa hal, khususnya yang melibatkan
pelajar-pelajar tingkatan satu arahan Haziq lebih mudah dituruti. Ketenangan
dan sifatnya yang suka membantu amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan
pelajar tetapi juga guru-guru di sekolah.
“Be…be…begini
cikgu. Ada masalah besar di asrama.Cikgu kena bawa segera budak tu ke hospital.
Kalau tak nyawa pelajar tu dalam bahaya.” Haziq cuba memberikan penjelasan.
“Masalah
besar? Masalah apa? Cuba kau cerita terus terang dengan cikgu. Tak payah
berbelit-belit” Jamal makin mendesak untuk mengetahui.
“Tadi,
lepas kami makan di dewan, ada pelajar tingkatan satu yang berkejaran untuk naik
ke dorm. Dia tergelincir di depan tangga, kepalanya terhentak pada bucu.
Berdarah. Banyak darah yang keluar. Muntah. Sekarang budak tu pengsan.” Haziq
pantas memberikan penjelasan.
“Pengsan?” Soal Jamal dengan wajah berkerut.
“Kalau
begitu, awak balik dulu ke asrama, saya nak salin baju. Tunggu saya di dorm.
Jangan cuba angkat pelajar itu. Nanti makin teruk kecederaannya. Saya akan
panggil ambulan.” Pesan Jamal sebelum berlalu meninggalkan Suri dan Along
terpingga-pingga meminta penjelasan.
Selesai
menukar pakaian Jamal berlari-lari anak menuruni tangga rumah banglo dua
tingkat yang menjadi kediamannya sejak tiga tahun lalu. Hatinya berdegup kencang memikirkan nasib pelajar
yang mengalami kecelakaan. “Mudah-mudahan dia selamat.” Hati kacilnya berdoa.
Belum
sempat enjin motosikal buruknya dihidupkan, sebuah teksi tiba-tiba berhenti
betul-betul dihadapan rumahnya. Jamal cuba mengamat-amati dua susuk tubuh yang
keluar dari perut teksi separuh umur itu. Jamal yakin benar mengenalinya.
“emak….” Jamal terkedu.
Ada sambungan lagi ke cikgu..? Khusyuk saya baca..
ReplyDelete