Tahun ini sudah 26 kali menyambut
Hari Guru sebagai pendidik. Pelbagai tema telah dilalui. Namun, setiap kali
meraikannya, akan tetap terkenang guru-guru yang telah bertungkus lumus
menitiskan ilmu untuk aku jadikan landasan hidup sampai hari ini. Ilmu duniawi
dan ukhrawi. 40 tahun lalu, tak pernah terfikir akan susah senangnya menjadi cikgu.
Yang aku tahu, cikgu pada saat itu sangat disanjung dan dihormati. Bukan sahaja
oleh murid, tetapi juga komuniti. Bulat kata cikgu, maka bulatlah juga yang
mendengarnya. Putih kata cikgu, maka putihlah pada pandangannya.
Sebagai anak kampung, aku melihat
cikgulah yang paling sempurna. Kerana cikgu, aku pertama kali nampak orang
bertali leher, berkasut kulit dan berstoking. Kerana cikgu jugalah aku dapat
melihat Vespa. Dengan Vespa aku dibawa oleh Cikgu Rahmat untuk berguru mengaji
Al-Quran dan syarahan terutamanya sebelum pertandingan peringkat mukim atau
daerah. Aku peluk erat-erat Cikgu Rahmat. Aku cengkam betul bajunya. Itulah
juga pesan emak, saat aku dibawa oleh Cikgu Rahmat menaiki Vespa hijau mudanya.
Badanku yang melidi tidak mengizinkan untuk kaki mencecah pedal. Kaki tergantung-gantung
mengepit badan Vespa yang mengelembung kiri dan kanan. Sesekali aku akan
melekapkan kepala pada bahagian belakang Cikgu Rahmat. Menahan songkok lusuh
kulup yang bimbang terbang ditiup angin. Cikgu Rahmat tak pernah menepis rimas.
Tenang dan bersahaja menyelusuri jalanraya dari Jelotong ke Pekan Tambor,
sebaik saja keluar dari lorong sempit bertanah gambut Parit Kahar dan Parit Maklumi.
Sepanjang perjalanan, aku lebih
banyak memejamkan mata menahan rasa ngeri dan takut terutama saat berselisih
kenderaan. Jarak yang cuma 5 atau 6 batu sebelum sampai ke rumahnya yang
bersebelahan Pejabat Pos Tambor @Ayer Baloi, terasa terlalu jauh. Entah berapa
kali Cikgu Rahmat terpaksa berhenti dan berpusing mengambil kasut putih yang jatuh
tercicir. Kasut yang saiznya lebih besar
daripada telapak kaki mudah saja terlucut walaupun telah emak ikat rapi. Tak
perasan pula Cikgu Rahmat merungut. Jauh sekali memarahi. Akhirnya, kasut yang
satu-satunya aku miliki dan warisi itu diselitkan di dalam beg yang diletakkan
di celah kakinya. Aku tak membanta, sebab aku lebih selesa begitu.
Tiga atau empat hari aku akan
menginap di rumah Cikgu Rahmat. Dikurantin untuk mendalami ilmu tajwid dan
taranum. Segala-galanya sangat menyeronokkan. Cokodok pisang yang menjadi sajian
terlalu enak dan seakan tiada tandingan. Terlalu pelik dan jakun dengan lampu Kalimantan.
Memikir bagaimana boleh menyala kerana adanya arus elektrik yang tak dapat
dikesan oleh mata. Terlalu terang dan menyilaukan bagi seorang budak kampung
yang dibesarkan dengan sinaran lampu pelita minyak tanah dan lampu pam. Tidurku
di rumah Cikgu Rahmat turut terganggu dengan perasaan terlalu ingin tahu. Buat
pertama kalinya juga baju melayu putih kain cotton, yang akan aku guna untuk
tilawah digosok licin oleh isteri Cikgu Rahmat menggunakan sterika elektrik.
Sambil bertaranum aku sempat menjeling beberapa kali, bagaimana sterika itu berfungsi.
Baju putih yang emak rendam dengan
campuran asid ‘coloroc’ sebelum dibasuh dan bernila biru dipadankan pula dengan
samping songket yang Cikgu Rahmat pinjamkan, akhirnya tergantung rapi untuk aku
pakai.
ii
Banjir yang sering melanda dan menengelamkan
padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air untuk
aku dan teman-teman di SK Seri Sekawan Desa, bermula. Tiada istilah Melindungi
Masa Instruksional (MMI) dan tiada juga prosedur keselamatan. Parit besar di
hadapan sekolah berhadapan kedai Ah Tee yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan
untuk kami menguji kehebatan menyelam dan berenang. Permainan ‘Tonjen Air’
menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah agama bermula. Dengan
menutup mana yang perlu, kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja
mencampakkan baju. Saat itu kami tak pernah terfikir tentang kedalaman, kelajuan
arus dan tunggul-tunggul kayu yang berselirat di dasar parit. Cikgu- cikgu
seolah turut merestui. Termasuk Cikgu Rahmat. Mereka turut menyinsing seluar
bermain air di tengah padang melayan murid-murid perempuan. Tiada suara-suara
yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan tentang bahayanya air yang
mengalir deras menuju ke laut.
Musim tengkujuh juga memberi
peluang untuk kami berbakti. Satu penghormatan jika Cikgu Rahmat minta bantuan kami
untuk Vespanya dicuci. Seperti si mandul baru beranak, kami berebut menawarkan
diri. Motosikal cikgu termasuk Vespa
Cikgu Rahmat yang dipenuhi selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak
beramai-ramai untuk ‘dimandikan’. Biasanya Vespa Cikgu Rahmat menjadi kenderaan
terakhir diurus. Kami enam atau tujuh orang akan mengosoknya dengan cukup
berhati-hati sambil membelek-belek Vespa yang menjadi kekaguman anak-anak
kampung. Kadang-kadang kami berdebat mencari punca kenapa kenderaan itu boleh
bergerak dan ditungangi. Fungsi setiap komponen kami bincangkan. Selesai ‘dimandikan’,
kami akan memaklumkan kepada Cikgu Rahmat dan cikgu-cikgu yang lain. Kami
menjerit kegembiraan bila enjin motor dapat dihidupkan. Kalau tidak pun, kami
akan tolak beramai-ramai keliling sekolah. Dengan upah sepuluh atau dua puluh
sen untuk beberapa buah motosikal yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi bermewah-mewah
di kantin Embah Situm.
Selamat Hari Guru.
No comments:
Post a Comment