Wednesday, January 4, 2017

CATATAN PENGETUA 2: SELAMAT DATANG PUTERA PUTERI F1

Selamat datang kepada putera puteri Tingkatan Satu SEHEBAT. Tahniah kerana anda terpilih dalam  kalangan ribuan murid yang memasang keinginan untuk ke SBP. Kehadiran anda ke SEHEBAT adalah manifestasi kepada usaha dan kesungguhan anda semasa berhadapan dengan UPSR yang lalu. Bermakna, anda memiliki semangat dan daya juang yang cukup tinggi sehingga berjaya melepasinya. Kekalkan keinginan dan momentum anda untuk terus berjaya. Kami bersedia dan sentiasa berusaha untuk memberikan bimbingan yang terbaik.

SEHEBAT ibarat dunia kecil, yang menyediakan pelbagai peluang untuk anda meneruskan kecemerlangan dan menyerlahkan potensi diri masing-masing. Sama ada melalui pembelajaran secara formal di dalam kelas, atau bedasarkan pemerhatian dan kehidupan langsung di asrama, semuanya akan membantu anda mempelajari sesuatu untuk kemandirian hidup. Di sinilah juga anda akan berpeluang melakukan sesuatu secara jujur dengan dorongan diri sendiri. Tanpa sedar, anda akan dilatih untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi secara lebih bertanggungjawab. Di SEHEBAT, anda akan benar-benar merasai nikmat persahabatan dan berkasih sayang!. Umpama, sekain sebaju, selauk senasi, sebantal sekalung ulu, setikar seketiduran.

Bertimbang rasa, berkerjasama, saling membantu, menghormati orang lain,  meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat, juga akan menjadi bumbu yang cukup melazatkan. Semuanya akan anda kutip di SEHEBAT. Gunakan peluang dan kesempatan yang anda perolehi untuk berdikari dan menguji daya tahan demi kelangsungan hidup dengan sokongan serta bantuan yang minima daripada ibu-bapa dan keluarga. Dalam masa yang sama, kecenderungan untuk cemerlang dalam akademik, tetap akan diberikan keutamaan. Di situlah letaknya persaingan. Tidak kiralah sama ada anda akan menjadi pendahulu atau sebaliknya, SEHEBAT akan cuba menyediakan landasan terbaik untuk anda bersaing. Prasyaratnya ialah kemahuan dan kesungguhan. Kalau pengayuh pun sayang untuk dibasahkan, maka sampan tidak akan sampai ke seberang. Selamat menjadi keluarga besar SEHEBAT… Bitara dan Berbudaya.


PENGETUA SEHEBAT

CATATAN PENGETUA 1

Selamat kembali ke SEHEBAT untuk sesi persekolahan 2017. Tahun yang akan menjadi titik mula kepada beberapa tranformasi dalam sistem pendidikan. Pengenalan kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2017, bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),  dijangka akan mengubah landskap pendidikan negara secara menyeluruh. Sebagai warga pendidikan, SEHEBAT dengan penuh iltizam akan menyertai rakan-rakan yang lain, khususnya dalam kalangan SBP untuk memastikan usaha-usaha ke arah perubahan tersebut akan terlaksna dengan jayanya. Untuk tujuan itu, warga SEHEBAT perlu bersedia merubah paradigma bukan sahaja dari segi kefahaman, tetapi juga sikap dan amalan. Perubahan dan pembaharuan dari segi amalan pedagogi, pentaksiran, kandungan sukatan, dan peruntukan masa, dijangka akan menjadi cabaran besar yang mesti ditangani bersama. Kesediaan dan keikhlasan kita untuk berubah akan menjadi tunjang kepada sejauh mana transformasi ini berjaya. Permasalahan yang berlaku perlu ditangani secara berhikmah, kreatif dan berinovatif. Penjanaan idea yang kritis dan membina oleh warga  SEHEBAT amat dialu-alukan. Percayalah, rungutan tidak akan menyelesaikan masalah.  Menyongsang arus juga, akan hanya merosakkan kapal dan melewatkannya untuk sampai ke destinasi.
Tahun 2017 juga akan menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada warga SEHEBAT. Meskipun masih dianggap baharu, SEHEBAT perlu menggandakan usaha dan ikhtiar untuk memberi ‘saingan’ dalam segenap bidang, sama ada kurikulum, sahsiah ataupun kokurikulum khususnya, dalam kalangan SBP. Hal ini juga akan membantu dan mengekalkan reputasi SEHEBAT dan SBP secara amnya pada kaca mata masyarakat. Kejelekitan dan kebersamaaan yang diadun secara ikhlas dan jujur oleh segenap warga SEHEBAT akan menjadi kunci kepada kecemerlangan. Sering saya perkatakan, kalaupun tidak menjadi pemuka, biarlah kita menjadi pesaing yang disegani di dalam gelanggang. Marilah kita sama-sama melakukan tatarias yang terbaik untuk SEHEBAT, agar cantik, menarik dan kondusif  sebagai gedung pengajaran dan pembelajaran. Rapatkan saf dan hindarilah prasangka yang memusnahkan, umpama seikat bak sirih, serumpun bak serai. Mudah-mudahan SEHEBAT akan melahirkan modal insan yang diidamkan sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PENGETUA SEHEBAT