Selamat
kembali ke SEHEBAT untuk sesi persekolahan 2017. Tahun yang akan menjadi titik
mula kepada beberapa tranformasi dalam sistem pendidikan. Pengenalan kepada
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2017, bagi menggantikan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), dijangka akan mengubah landskap pendidikan
negara secara menyeluruh. Sebagai warga pendidikan, SEHEBAT dengan penuh
iltizam akan menyertai rakan-rakan yang lain, khususnya dalam kalangan SBP
untuk memastikan usaha-usaha ke arah perubahan tersebut akan terlaksna dengan
jayanya. Untuk tujuan itu, warga SEHEBAT perlu bersedia merubah paradigma bukan
sahaja dari segi kefahaman, tetapi juga sikap dan amalan. Perubahan dan
pembaharuan dari segi amalan pedagogi, pentaksiran, kandungan sukatan, dan
peruntukan masa, dijangka akan menjadi cabaran besar yang mesti ditangani
bersama. Kesediaan dan keikhlasan kita untuk berubah akan menjadi tunjang
kepada sejauh mana transformasi ini berjaya. Permasalahan yang berlaku perlu
ditangani secara berhikmah, kreatif dan berinovatif. Penjanaan idea yang kritis
dan membina oleh warga SEHEBAT amat
dialu-alukan. Percayalah, rungutan tidak akan menyelesaikan masalah. Menyongsang arus juga, akan hanya merosakkan
kapal dan melewatkannya untuk sampai ke destinasi.
Tahun
2017 juga akan menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada warga SEHEBAT.
Meskipun masih dianggap baharu, SEHEBAT perlu menggandakan usaha dan ikhtiar
untuk memberi ‘saingan’ dalam segenap bidang, sama ada kurikulum, sahsiah
ataupun kokurikulum khususnya, dalam kalangan SBP. Hal ini juga akan membantu
dan mengekalkan reputasi SEHEBAT dan SBP secara amnya pada kaca mata
masyarakat. Kejelekitan dan kebersamaaan yang diadun secara ikhlas dan jujur
oleh segenap warga SEHEBAT akan menjadi kunci kepada kecemerlangan. Sering saya
perkatakan, kalaupun tidak menjadi pemuka, biarlah kita menjadi pesaing yang
disegani di dalam gelanggang. Marilah kita sama-sama melakukan tatarias yang
terbaik untuk SEHEBAT, agar cantik, menarik dan kondusif sebagai gedung pengajaran dan pembelajaran. Rapatkan
saf dan hindarilah prasangka yang memusnahkan, umpama seikat bak sirih,
serumpun bak serai. Mudah-mudahan SEHEBAT akan melahirkan modal insan yang
diidamkan sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PENGETUA SEHEBAT
|
No comments:
Post a Comment