Saturday, October 22, 2011
SEKILAS BERITA : Sabtu yang sebuk..
Thursday, October 13, 2011
ANAKLANANG SAKTI: KECIL YANG BESAR

Kekecewaan mengaut ‘laba’ yang lumayan setelah berbelanja ‘besar’ cuma mendedahkan kelemahan diri. Golongan ini tidak memiliki jatidiri yang kuat sehingga gagal mendepani cabaran dan rintangan. Mereka hanya bergantung kepada ‘fitrah’ tanpa memikirkan bahawa ada kuasa lain yang secara mutlaknya menentukan ‘untung rugi’ urusan seharian kita. Sekadar untuk berduka seketika mungkin masih boleh diterima. Apatah lagi bila dukacita itu, kita gunakan untuk bermuhasabah diri dan memasang strategi untuk terus bangkit dari kegagalan.
Sebenarnya, impak atau keberhasilan sesuatu usaha tidak bergantung sepenuhnya kepada skala modal yang kita laburkan. Ada rakan-rakan di sekeliling kita hanya mengeluarkan modal yang sedikit tetapi berjaya mengaut keuntungan yang dia sendiri tidak menjangkakan. Hebat bukan? Biasanya orang-orang seperti ini akan mendapat lebih tumpuan. Rakan taulan akan bertanya….apa rahsianya?,…. hebatnya kau!, ….kau pakai ubat guna-guna kot!. Untuk menjawab pertanyaan yang bertali arus itu nyata lebih sukar sebab kita tidak bersedia!. Namun perlu diingat, apa sahaja jawapan yang kita berikan perlu berhati-hati. Si yang bertanya pasti akan menggunakan jawapan kita untuk dianasilis. Apatah lagi jika yang bertanya itu adalah ‘pesaing’ kita. Namun, jangan cepat bangga diri. Mungkin itu sekadar satu permulaan ujian Allah untuk menilai tahap ‘keangkuhan’ kita.
Dikaitkan dengan senario persekolahan masa kini, tanggapan ‘modal besar, untung besar’ turut menjadi penentu kepada perancangan pihak pengurusan setiap awal tahun. Penghasilan dan penyediaan perancangan tahunan yang kemas dan tersusun sudah menjadi satu kemestian kerana menjadi dokumen ‘wajib tayang’ kepada sesiapa juga tetamu yang hadir ke sekolah. Malah bagi sesetengah tetamu, mereka terlalu kritikal dalam menilai dokumen tersebut. Sehinggakan, mereka kadangkala mengambil masa yang lama untuk berhujah mempertikaikan kaedah atau format penulisan dokumen berbanding menilai keberkesanan pelaksanaan atau impak perancangan berkenaan!. Apa yang lebih mengharukan ialah, ada yang mengukur kehebatan sekolah berdasarkan ketebalan dokumen yang dipamerkan. Sebab itulah, ada segelintir yang berlumba-lumba merangka, menyusun dan menambah program agar nampak tebal dan hebat dipandang! Lebih kreatif, mereka akan membuat salinan untuk dijadikan ‘tanda aras’. Jarang sekali, yang mengamalkan prinsip ‘5S’,iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal dalam menyediakan perancangan tahunan. Tiada keberanian untuk menyisihkan program-program yang memang tidak mendatangkan impak merupakan satu penyakit. Lebih kronik penyakit itu, jika wujud kebimbangan bahawa orang terdahulu akan berasa hati!...dah menjadi budaya…dah menjadi warisan….kenapa nak buang!!.
Merancang untuk mengubah sesuatu memang sukar dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Kualiti dan praktikaliti perlu diberi keutamaan. Apatah lagi jika perubahan itu ingin dilaksanakan di sekolah. Perubahan yang berfokus dan boleh menyakinkan guru akan mudah diterima. Harus sedar bahawa sekolah mempunyai kekangan tersendiri yang boleh menghalang perubahan yang ingin dilaksanakan. Bahan mentah, masa, kos, beban tugas dan persekitaran perlu difikirkan. Jangan nanti perubahan cuba dibuat tetapi terhenti di pertengahan jalan. Boleh ‘pitam’ kita kena ‘kutuk’ rakan-rakan!. Apa yang paling penting, perubahan itu mesti boleh diterima majoriti warga sekolah dan mempunyai keadah yang jelas untuk dilaksanakan. Bukan ‘syok’ sendiri!. Biarlah perancangan kita mendatangkan impak perubahan yang ‘kecil’ tetapi ada istiqamahnya!
Sunday, October 9, 2011
ANAKLANANGSAKTI: BERSYUKURLAH
Kelmarin semua mata dan telinga hampir seluruh rakyat negara kita yang tercinta ini tertumpu kepada pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri. Bandar Penawar yang dilanda hujan serta ribut petir pada petang tersebut menghalang teman untuk menyaksikannya melalui kaca TV sebagaimana biasa. Walau bagaimanapun, intipati belanjawan dapat teman ketahui melalui Buletin Utama TV3, semasa bersama keluarga menikmati hidangan makan malam di Restoran Hj Daud, Air Tawar 5. Jangkaan menikmati ‘imbuhan’ untuk semua kakitangan awam sebagaimana yang digembar-gemburkan nyata tidak mengecewakan. Malah, diluar jangkaan…teman nak ucapkan terima kasih banyak-banyak.
Apa pun persepsi orang ramai terhadap Belanjawan kali ini teman tak nak fikirkan sangat. Bonus tambahan setengah bulan gaji, kenaikan tahunan penjawat awam yang ditingkatkan mengikut gred antara RM80 – RM320, mansuhkan yuran persekolahan, skim baru bagi guru mengikut time-based dan bantuan RM100 murid tahun satu hingga tingkatan lima, sudah cukup untuk teman dan isteri menarik nafas lega. Perkataan pertama yang terpacul dari mulut selepas menghirup nescafe tarik pada malam itu ialah BERSYUKUR
Tidak perlu untuk mengetahui insentif-insentif lain yang memang sukar untuk difahami oleh orang yang tak begitu cerdik seperti teman, jelas bahawa bajet tahun ini memang menarik. Apa yang pastinya, dapat menepis tohmahan atau desas-desus awal tahun yang menyatakan kerajaan sudah muflis…kerajaan dah tak mampu membayar gaji kita….kerajaan terpaksa mengemis dan macam-macan lagi kata-kata ‘nista’ di warong-warong kopi pinggir jalan hingga di hotel-hotel mewah di ibu kota. Teman sendiri pada peringkat awalnya hampir-hampir terpengaruh dengan desas-desus tersebut. Mulalah teman berkira-kira macam mana nak teruskan hidup kalau gaji hanya boleh dibayar hingga bulan Jun! Alhamdulillah….BERSYUKUR kerana sehingga Oktober ini, ‘harimau’ teman masih mampu mengaum. Begitu juga ‘harimau’ teman-teman yang lain termasuk mereka yang berbuih-buih mempertahankan ‘fatwa’ bahawa kerajaan telah muflis!
Bagi mereka yang cerdik atau ‘pura-pura cerdik’ apatah lagi yang terlalu taksub dengan politik kepartian, Bajet 2012 dilihat ada kurangnya. Ada saja kedengaran rasa tak puas hati sehingga keluarlah istilah-istilah seperti Bajet Pilihanraya, Bajet Mengampu, Bajet Pikat Hati Rakyat, Bajet Penuh Tipu Muslihat dan macam-macam lagi. Sehinggakan ada yang sanggup ‘menunda tarikh’ untuk melafazkan rasa BERSYUKUR!. Biasalah…..manusia, amat sukar untuk mengembirakan semua orang! Apatah lagi kalau dah jadi ‘musuh’, gula pun boleh dikatakan ‘pahit’, hempedu pun boleh berasa madu. Cuma yang teman agak pelik, orang-orang seperti ini tak pernah pula tolak habuan yang diberi!!!. Sapu tetap sapu!!! Alasannya, itu dah memang hak aku!. Secara peribadi teman anggap orang seperti ini ibarat sesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tidak lalu!...BERSYUKURLAH.
Berbalik kepada soal BERSYUKUR, secara peribadi, teman membahagikannya kepada beberapa golongan. Pertama, ialah mereka yang benar-benar BERSYUKUR kerana memperoleh nikmat rezeki. Tidak kiralah besar atau kecil. Sama ada dalam bentuk harta kakayaan, gaji, pangkat mahupun kedudukan. Mereka menganggap rezeki sebagai ‘ujian’ terhadap keimanannya kepada Allah. Lalu mereka tidak putus-putus melafazkan rasa KESYUKURAN. Bukan setakat lafaz, mereka menunjukkannya pula melalui perbuatan. Bagi yang diberikan nikmat berbentuk wang ringgit, harta atau kenaikan gaji, mereka akan memulangkan semula sebahagian rezeki yang diterima kepada yang memerlukan melalui amalan derma dan sedekah. Bagi yang memperoleh nikmat pangkat dan kedudukan, mereka akan berusaha lebih bersungguh-sungguh. Selalu bermuhasabah dan menilai diri. Selalu akan berasa bimbang kalau-kalau hasil usahanya tidak memadai dangan rezeki yang diterima. Selalu berasa takut kalau-kalau rezeki yang diterima akan menyebabkan orang lain rasa tertindas dan menderita. Andai mereka anggota tentera, mereka akan pastikan tidak seinci pun tanah tercinta ini jatuh ke tangan musuh durjana dan kalau mereka adalah guru, mereka akan pastikan tiada seorang pun anak didik yang kandas dalam pelajarannya. Dalam diam, mereka akan memantapkan ilmu pedagogi, berkerja tanpa mengira masa dan memperbaiki penampilan diri agar dapat mengelak kata-kata nista….gaji saja besar tapi kerja tak seberapa!
Golongan kedua ialah mereka yang melafazkan rasa BERSYUKUR, tetapi tidak mampu membuktikannya melalui tindakan. Mereka dihantui oleh rasa takut untuk menderma, bimbang menjejaskan perbelanjaan harian. Mereka juga masih mengekalkan usaha sedia ada yang biasa-biasa. Sukar untuk berubah apatah lagi menerima perubahan. Baginya, rezeki atau nikmat yang diperoleh memang sepatutnya mereka dapat. Golongan ketiga, ialah mereka yang masih melafazkan KESYUKURAN, tetapi hati kecilnya masih merungut-rungut kerana nikmat dan rezeki yang diperolehi masih tidak mencukupi dan memadai. Golongan ini sering mengeluh kerana menganggap imbuhan yang diterima tidak sepadan dengan usaha dan pengorbanannya. Untuk berubah jauh sekali malah mereka akan menolak apa saja perubahan yang berlaku akibat kekecewaannya itu. Rasa egonya semakin tinggi lantas mencari pengaruh untuk mendapat sokongan bagi menutup kelemahan diri. Sekadar penyibuk bukannya sibuk. Mulalah berkokok ke sana ke mari mencari bau busuk orang sedangkan busuk sendiri dianggap wangi.
Tuesday, October 4, 2011
SEKILAS BERITA: PMR 2011 BERMULA
Monday, October 3, 2011
SEKILAS BERITA: PECUTAN AKHIR PMR BERMULA
calon menggunakan ruang yang ada untuk bertanyakan sesuatu
Ustaz Arsam dan Ustazah Nora antar yang hadir membantu
SIFU Bahasa Melayu PMR bersama pelajar pada Malam Pecutan Akhir
Ya Allah,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa anak-anak SAKTI akan menduduki peperiksaan yang menentukan kejayaan dalam medan perjuangan mereka. Kami turut menyedari bahawa segala usaha yang kami lakukan adalah di bawah kekuasaan dan kehendak-Mu jua.Oleh itu, kami memohon kepada-Mu berikanlah taufik dan hidayah-Mu. Kuatkanlah ingatan mereka dan janganlah biarkan mereka terlupa. Lapangkanlah dada mereka dan janganlah Engkau sempitkannya. Permudahkanlah segala urusan mereka dan janganlah Engkau persulitkannya. AMIN
Sunday, October 2, 2011
SEKILAS BERITA : SOLAT HAJAT DAN HBP PMR DAN SPM
Alu-aluan Pengetua........ Amanat Tim. Pengarah Sekolah Kecemerlangan SBPSK
Ibu-bapa bersama calon-calon PMR menyusun meja...
Solat hajat Perdana dan Hari Bersama Pelanggan untuk calon-calon PMR dan SPM telah berlangsung di Surau Al-Jawahir, SM Sains Kota Tinggi, pada 30 Oktober 2011 (Jumaat), bermula pada jam 10.30 pagi. Sebelum itu, semua ibu-bapa dan calon PMR dan SPM telah berkumpul di Dewan Seri Penawar seawal jam 8.30 pagi, untuk mendengar amanat peperiksaan oleh Penolong Kanan Pentadbiran dan Ayahanda Pengetua SAKTI. Pada kali ini, majlis menjadi lebih bermakna kerana turut dihadiri oleh Pn Hjh Jamelah bt Mansor, Timbalan Pengarah Sekolah Kecemerlangan, SBPSK dan Pn Faridah bt Mohamed Zain, Ketua Penolong Pengarah, SBPSK. Beliau dalam ucapannya telah menyentuh banyak perkara khususnya yang berkaitan dengan anugerah Sekolah Kluster yang baharu diterima oleh SAKTI dan tanggungjawab calon-calon PMR dan SPM untuk menjulang nama dan kecemerlangan SAKTI. Dalam masa yang sama, kehadiran ibu-bapa yang sangat memberangsangkan amat memberi makna dan motivasi kepada guru dan calon-calon peperiksaan 2011 untuk berusaha meraih kecemerlangan pada kali ini. Kepada semua pihak yang terlibat khususnya Tim. Pengarah Sekolah Kecemerlangan SBPSK, pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih.