Sunday, October 9, 2011

ANAKLANANGSAKTI: BERSYUKURLAH


Kelmarin semua mata dan telinga hampir seluruh rakyat negara kita yang tercinta ini tertumpu kepada pembentangan Bajet 2012 oleh YAB Perdana Menteri. Bandar Penawar yang dilanda hujan serta ribut petir pada petang tersebut menghalang teman untuk menyaksikannya melalui kaca TV sebagaimana biasa. Walau bagaimanapun, intipati belanjawan dapat teman ketahui melalui Buletin Utama TV3, semasa bersama keluarga menikmati hidangan makan malam di Restoran Hj Daud, Air Tawar 5. Jangkaan menikmati ‘imbuhan’ untuk semua kakitangan awam sebagaimana yang digembar-gemburkan nyata tidak mengecewakan. Malah, diluar jangkaan…teman nak ucapkan terima kasih banyak-banyak.

Apa pun persepsi orang ramai terhadap Belanjawan kali ini teman tak nak fikirkan sangat. Bonus tambahan setengah bulan gaji, kenaikan tahunan penjawat awam yang ditingkatkan mengikut gred antara RM80 – RM320, mansuhkan yuran persekolahan, skim baru bagi guru mengikut time-based dan bantuan RM100 murid tahun satu hingga tingkatan lima, sudah cukup untuk teman dan isteri menarik nafas lega. Perkataan pertama yang terpacul dari mulut selepas menghirup nescafe tarik pada malam itu ialah BERSYUKUR

Tidak perlu untuk mengetahui insentif-insentif lain yang memang sukar untuk difahami oleh orang yang tak begitu cerdik seperti teman, jelas bahawa bajet tahun ini memang menarik. Apa yang pastinya, dapat menepis tohmahan atau desas-desus awal tahun yang menyatakan kerajaan sudah muflis…kerajaan dah tak mampu membayar gaji kita….kerajaan terpaksa mengemis dan macam-macan lagi kata-kata ‘nista’ di warong-warong kopi pinggir jalan hingga di hotel-hotel mewah di ibu kota. Teman sendiri pada peringkat awalnya hampir-hampir terpengaruh dengan desas-desus tersebut. Mulalah teman berkira-kira macam mana nak teruskan hidup kalau gaji hanya boleh dibayar hingga bulan Jun! Alhamdulillah….BERSYUKUR kerana sehingga Oktober ini, ‘harimau’ teman masih mampu mengaum. Begitu juga ‘harimau’ teman-teman yang lain termasuk mereka yang berbuih-buih mempertahankan ‘fatwa’ bahawa kerajaan telah muflis!

Bagi mereka yang cerdik atau ‘pura-pura cerdik’ apatah lagi yang terlalu taksub dengan politik kepartian, Bajet 2012 dilihat ada kurangnya. Ada saja kedengaran rasa tak puas hati sehingga keluarlah istilah-istilah seperti Bajet Pilihanraya, Bajet Mengampu, Bajet Pikat Hati Rakyat, Bajet Penuh Tipu Muslihat dan macam-macam lagi. Sehinggakan ada yang sanggup ‘menunda tarikh’ untuk melafazkan rasa BERSYUKUR!. Biasalah…..manusia, amat sukar untuk mengembirakan semua orang! Apatah lagi kalau dah jadi ‘musuh’, gula pun boleh dikatakan ‘pahit’, hempedu pun boleh berasa madu. Cuma yang teman agak pelik, orang-orang seperti ini tak pernah pula tolak habuan yang diberi!!!. Sapu tetap sapu!!! Alasannya, itu dah memang hak aku!. Secara peribadi teman anggap orang seperti ini ibarat sesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tidak lalu!...BERSYUKURLAH.

Berbalik kepada soal BERSYUKUR, secara peribadi, teman membahagikannya kepada beberapa golongan. Pertama, ialah mereka yang benar-benar BERSYUKUR kerana memperoleh nikmat rezeki. Tidak kiralah besar atau kecil. Sama ada dalam bentuk harta kakayaan, gaji, pangkat mahupun kedudukan. Mereka menganggap rezeki sebagai ‘ujian’ terhadap keimanannya kepada Allah. Lalu mereka tidak putus-putus melafazkan rasa KESYUKURAN. Bukan setakat lafaz, mereka menunjukkannya pula melalui perbuatan. Bagi yang diberikan nikmat berbentuk wang ringgit, harta atau kenaikan gaji, mereka akan memulangkan semula sebahagian rezeki yang diterima kepada yang memerlukan melalui amalan derma dan sedekah. Bagi yang memperoleh nikmat pangkat dan kedudukan, mereka akan berusaha lebih bersungguh-sungguh. Selalu bermuhasabah dan menilai diri. Selalu akan berasa bimbang kalau-kalau hasil usahanya tidak memadai dangan rezeki yang diterima. Selalu berasa takut kalau-kalau rezeki yang diterima akan menyebabkan orang lain rasa tertindas dan menderita. Andai mereka anggota tentera, mereka akan pastikan tidak seinci pun tanah tercinta ini jatuh ke tangan musuh durjana dan kalau mereka adalah guru, mereka akan pastikan tiada seorang pun anak didik yang kandas dalam pelajarannya. Dalam diam, mereka akan memantapkan ilmu pedagogi, berkerja tanpa mengira masa dan memperbaiki penampilan diri agar dapat mengelak kata-kata nista….gaji saja besar tapi kerja tak seberapa!

Golongan kedua ialah mereka yang melafazkan rasa BERSYUKUR, tetapi tidak mampu membuktikannya melalui tindakan. Mereka dihantui oleh rasa takut untuk menderma, bimbang menjejaskan perbelanjaan harian. Mereka juga masih mengekalkan usaha sedia ada yang biasa-biasa. Sukar untuk berubah apatah lagi menerima perubahan. Baginya, rezeki atau nikmat yang diperoleh memang sepatutnya mereka dapat. Golongan ketiga, ialah mereka yang masih melafazkan KESYUKURAN, tetapi hati kecilnya masih merungut-rungut kerana nikmat dan rezeki yang diperolehi masih tidak mencukupi dan memadai. Golongan ini sering mengeluh kerana menganggap imbuhan yang diterima tidak sepadan dengan usaha dan pengorbanannya. Untuk berubah jauh sekali malah mereka akan menolak apa saja perubahan yang berlaku akibat kekecewaannya itu. Rasa egonya semakin tinggi lantas mencari pengaruh untuk mendapat sokongan bagi menutup kelemahan diri. Sekadar penyibuk bukannya sibuk. Mulalah berkokok ke sana ke mari mencari bau busuk orang sedangkan busuk sendiri dianggap wangi.

Ada satu lagi golongan yang teman agak simpati khususnya bila dikaitkan dengan Bajet 2012 yang dibentangkan kelmarin, iaitu mereka yang enggan BERSYUKUR malah memaki- hamun serta mencerca apa yang YAB Perdana Menteri bentangkan, lantaran tiada satu pun bajet itu dapat memberi manfaat kepada dirinya. Kepada golongan ini, teman nasihatkan agar banyak-banyak bersabar, berdoa dan bertawakal mudah-mudahan untuk Bajet 2013 akan memihak kepadanya!. Tidak adil pula andai teman tidak menyebutkan satu lagi kelompok kecil yang agak pelik sifatnya. Kelompok ini tidak pernah ambil pusing dengan apa yang berlaku malah tidak sedar Bajet 2012 telah dibentangkan! Mungkin mereka juga tidak perasan bahawa gajinya akan bertambah Januari nanti! Inilah kelompok yang tak masuk orang!. Apapun teman nak ucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang masih sudi melihat atau menjeling tugas dan sumbangan teman dan rakan-rakan dalam bidang perguruan. Dengan kata lain sumbangan kecil ini dihargai. SYUKUR ALHAMDULILLAH.

No comments:

Post a Comment