
Telah menjadi fitrah kehidupan, manusia seringkali mengharapkan habuan yang besar dari usaha yang juga besar. Seorang peniaga selalu berangan-angan mengaut keuntungan yang besar setelah melabur modal yang besar untuk perniagaannya.Golongan ini sanggup bergolok bergadai menyediakan modal bagi memastikan habuan yang diterima melalui perniagaannya lumayan. Lantaran itu, kita tidak perlu berasa pelik bila mendengar atau membaca berita bahawa ramai dalam kalangan peniaga yang kecewa apabila mengalami kegagalan dalam urusan perniagaannya. Malah, tidak kurang juga yang muflis sehingga sanggup membunuh diri. Semuanya gara-gara hajat daripada usaha yang besar tidak mendatangkan pulangan yang besar sebagaimana yang diimpikan.
Kekecewaan mengaut ‘laba’ yang lumayan setelah berbelanja ‘besar’ cuma mendedahkan kelemahan diri. Golongan ini tidak memiliki jatidiri yang kuat sehingga gagal mendepani cabaran dan rintangan. Mereka hanya bergantung kepada ‘fitrah’ tanpa memikirkan bahawa ada kuasa lain yang secara mutlaknya menentukan ‘untung rugi’ urusan seharian kita. Sekadar untuk berduka seketika mungkin masih boleh diterima. Apatah lagi bila dukacita itu, kita gunakan untuk bermuhasabah diri dan memasang strategi untuk terus bangkit dari kegagalan.
Sebenarnya, impak atau keberhasilan sesuatu usaha tidak bergantung sepenuhnya kepada skala modal yang kita laburkan. Ada rakan-rakan di sekeliling kita hanya mengeluarkan modal yang sedikit tetapi berjaya mengaut keuntungan yang dia sendiri tidak menjangkakan. Hebat bukan? Biasanya orang-orang seperti ini akan mendapat lebih tumpuan. Rakan taulan akan bertanya….apa rahsianya?,…. hebatnya kau!, ….kau pakai ubat guna-guna kot!. Untuk menjawab pertanyaan yang bertali arus itu nyata lebih sukar sebab kita tidak bersedia!. Namun perlu diingat, apa sahaja jawapan yang kita berikan perlu berhati-hati. Si yang bertanya pasti akan menggunakan jawapan kita untuk dianasilis. Apatah lagi jika yang bertanya itu adalah ‘pesaing’ kita. Namun, jangan cepat bangga diri. Mungkin itu sekadar satu permulaan ujian Allah untuk menilai tahap ‘keangkuhan’ kita.
Dikaitkan dengan senario persekolahan masa kini, tanggapan ‘modal besar, untung besar’ turut menjadi penentu kepada perancangan pihak pengurusan setiap awal tahun. Penghasilan dan penyediaan perancangan tahunan yang kemas dan tersusun sudah menjadi satu kemestian kerana menjadi dokumen ‘wajib tayang’ kepada sesiapa juga tetamu yang hadir ke sekolah. Malah bagi sesetengah tetamu, mereka terlalu kritikal dalam menilai dokumen tersebut. Sehinggakan, mereka kadangkala mengambil masa yang lama untuk berhujah mempertikaikan kaedah atau format penulisan dokumen berbanding menilai keberkesanan pelaksanaan atau impak perancangan berkenaan!. Apa yang lebih mengharukan ialah, ada yang mengukur kehebatan sekolah berdasarkan ketebalan dokumen yang dipamerkan. Sebab itulah, ada segelintir yang berlumba-lumba merangka, menyusun dan menambah program agar nampak tebal dan hebat dipandang! Lebih kreatif, mereka akan membuat salinan untuk dijadikan ‘tanda aras’. Jarang sekali, yang mengamalkan prinsip ‘5S’,iaitu sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal dalam menyediakan perancangan tahunan. Tiada keberanian untuk menyisihkan program-program yang memang tidak mendatangkan impak merupakan satu penyakit. Lebih kronik penyakit itu, jika wujud kebimbangan bahawa orang terdahulu akan berasa hati!...dah menjadi budaya…dah menjadi warisan….kenapa nak buang!!.
Merancang untuk mengubah sesuatu memang sukar dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Kualiti dan praktikaliti perlu diberi keutamaan. Apatah lagi jika perubahan itu ingin dilaksanakan di sekolah. Perubahan yang berfokus dan boleh menyakinkan guru akan mudah diterima. Harus sedar bahawa sekolah mempunyai kekangan tersendiri yang boleh menghalang perubahan yang ingin dilaksanakan. Bahan mentah, masa, kos, beban tugas dan persekitaran perlu difikirkan. Jangan nanti perubahan cuba dibuat tetapi terhenti di pertengahan jalan. Boleh ‘pitam’ kita kena ‘kutuk’ rakan-rakan!. Apa yang paling penting, perubahan itu mesti boleh diterima majoriti warga sekolah dan mempunyai keadah yang jelas untuk dilaksanakan. Bukan ‘syok’ sendiri!. Biarlah perancangan kita mendatangkan impak perubahan yang ‘kecil’ tetapi ada istiqamahnya!
No comments:
Post a Comment