Friday, August 24, 2012

ANAKLANANG SAKTI: Nostalgia Aku dan Hari Raya


Nostalgia Raya 1 : Meriam Batang Pinang
Petang-petang begini 38 tahun lalu aku menyelusuri belukar. Lokasinya di belakang rumah Embah Ngalimon atau Embah Tarob. Berbekalkan parang dan gergaji separuh tumpul kami menebang pokok pinang. Kami angkat ramai-ramai. Rendam dalam parit utk beberapa hari. Korek buang empulur.Guna kayu yang hujungnya berpaku. Ikat kuat-kuat guna “bladar” basikal. Kongsi-kongsi beli karbait dipekan Jelotong, kedai Soo Yang..Biasanya menjelang raya seperti ini kami berpesta. Lawan meriam mana yang paling kuat bunyinya……alahai seronoknya.Selamat Hari Raya untuk teman-teman  meriam batang pinang Aris, Tugiran, Amat Safiei, Alid Nawawi, Leman, Tumin, termasuk Soo Meng dan Vee Meng anak Meng Wang.

Nostalgia Raya 2 : Cendol + Ais
Dulu-dulu minuman yang paling bernilai masa bulan puasa ialah cendol + ais @ air batu. Sebabnya, nak dapatkan ais amat sukar sekali. Kena pergi Jelotong, kayuh basikal. Kurang lebih 6 km dari rumah. Biasanya lepas Solat Asar baru memulakan kayuhan. Balik bawa seketul ais yang besarnya 6 x 6 inci bersalut abu papan sebelum dibungkus dengan surat khabar. Ikat kuat-kuat di belakang basikal atau digantung. Sejuk peha bila sesekali terkena titisan. Setibanya waktu berbuka ketulan ais yang tinggal sebesar penumbuk menjadi pembuka selera yang maha menyegarkan bila dicampur dengan cendol yang dibeli dengan harga 20 sen. Selamat Hari Raya.

Nostalgia Raya 3 : Penjual Sayur
Sebagai seorang anak kepada petani @ pekebun sayur tulen, tugas aku masa berumur 11 atau 12 tahun ialah menjual sayur-sayuraan keliling kampung. Hampir sepanjang bulan Ramadan sehingga ke beberapa hari sebelum raya aku mengusung daun meranti, timun, kacang panjang, kangkung dan sesekali kentang “jembut” menggunakan basikal “kargo” yang besarnya 3x ganda berbanding tubuh kurusku yang melidi. Dengan berseluar pendek separas lutut dan berbaju belang (koyak di bawah ketiak) aktiviti secara “paksa rela” ini dilakukan sebaik saja pulang dari sekolah agama. Tanpa menggunakan timbangan, biasanya nilai secekak meranti, kacang panjang dan kangkung ialah 15 sen. Aku tak pernah tanya ayah berapa untungnya. Yg pasti aku gembira dapat upah 20 sen atau kadang- kadang  10 sen sehari. Aku hanya akan pulang ke rumah sebelum maghrib. Pernah satu petang peha tertusuk besi pedal basikal sebab terhumban ke dlm parit kecil sempadan kebun Wak Disul dan Embah Saien. Kalau ikut dari segi  kedalaman luka dan sedikit daging peha yang terkeluar, mungkin kena 5 atau 6 jahitan. Tapi, masa itu aku hanya kunyahkan daun senduduk muda dan  tekapkan pada luka. Alhamdulillah aku masih mampu mengayuh balik ke rumah. Namun, lukanya masih ada hingga kini. Terima kasih Mahadi @ Ri dan Arwah Mat Karton yang membantuku.

Nostalgia Raya 4 : Ngeblok Endok
Tak semua orang punya pengalaman “ngeblok endok” untuk buat baulu. Apa tah lagi zaman teknologi yg semuanya guna alat yg dikeluarkan dari poket masing-masing. Dulu “ngeblok endok” menjadi aktiviti wajib sebelum raya. Anak-anak sebaya aku biasanya jadi ‘mangsa’. 100 malah kadang-kadang 120 biji telor + tepung + *#!? dipukul  guna alat seperti spring sampai naik sblm dituang dalam loyang @ acuan. Emak tukang bakar guna kayu api yang diletakkan di bahagian bawah dan atas loyang. Tukang “ngeblok” tak boleh berhenti…takut bantat. Sambil mengeblok dengar permintaan melalui telefon diradio (rancangan yang paling ditunggu-tunggu. Biasanya lepas 12 malam)……alahai seronoknya raya.

Nostalgia Raya 5 : Nyembeleh Ayam
“Bapak arek nyembeleh ayam….bapak arek nyembeleh ayam”, itulah antara ungkapan yg selalu diucapkan menjelang raya. Kadang2 belum pun orang bertanya  aku dah bagi jawapannya dahulu.Pusing keliling rumah tetangga aku khabarkan hasrat bapak nak sembelih ayam untuk sajian pagi raya. Modus operandi operasi yg standard memerlukan 5 langkah ; Kenalpasti sasaran, kejar utk melemahkan, tangkap, kurung dan disembelih pada pagi raya. Biasanya operasi mengejar, melemah, menangkap dan mengurung calon-calon ayam yg nak disembelih dilakukan 3 @ 4 hari sebelum raya. Bapak akan memberi arahan kpd kami ayam-ayam mana yg akan menjadi mangsa.( Dgn kemahiran yg ada, bapak mampu mengesan tuan punya ayam yang sememangnya lepas bebas bercampur gaul dgn ayam-ayam jiran yg kebetulannya juga Wak dan Paman ku sendiri) Aku beserta sepupu pepapat sentiasa siap sedia menerima arahan. Apabila sasaran dah dikenal pasti, barulah kami mengejarnya keliling rumah….lintang pukang ayam-ayam tu dikerjakan. Kami akan tunggu haiwan tu letih atau kami akan halakan ke satu sudut kecil utk memerangkapnya. Operasi akan lebih mudah (tapi kurang seronok) jika ayam secara tak sengaja tersepit sesuatu. Habis semak samun, longkang (bace’aan) pelantar kami redah. Bagi ayam yg “cerdik” sikit, akan terbang ke bumbung bangsal atau pokok…kami baling dengan segala benda supaya dapat meneruskan “pertarungan”. Biasanya menjelang magrib barulah operasi selesai. Kami tak pernah rasa letih @ penat apatah lagi bila melihat beberapa ekor sudah berada dalam sungkupan. Berapa ekor yg nak disembelih akan menentukan skala sambutan perayaan!!!! Biasanya kami hanya asingkan “najis”, bulu, hempedu, isi pedal, sebahagian muncung, sisik kaki dan kuku ayam..yg lain menjadi sajian pagi raya..al-maklum dulu-dulu juadah berasaskan daging ayam sangat berharga . Mungkin setahun sekali dapat merasa!!!! Alahai seronoknya raya.

Nostalgia Raya 6 : Klantungan
“Klantungan” aktiviti yang paling unik zaman aku masih kanak-kanak. Hanya boleh dilakukan sebaik sahaja selesai solat Taraweh. Malam-malam lain tidak dibenarkan sama sekali. Tak semua kampung (walaupun majoritinya orang Jawa) mengamalkan tradisi yang dibawa masuk dari Tanah Jawa ini. Aktivitinya amat mudah. Pemain akan mengetuk ‘kentung’ (sebatang kayu yang biasanya digantung di masjid untuk diketuk menjelang waktu solat. Kentung yang berpasangan dengan ‘jidor’ menjadi p.a sistem yang paling efektif untuk mengingatkan penduduk bukan sahaja waktu solat tetapi juga bila ada kematian) secara berpasangan mengikut rentak-rentak tertentu berselang seli. Untuk lebih seronok ‘jidor’ juga turut dipalu mengikut alunan lagu. Rentak atau lagu tidak boleh sembarangan. Biasanya orang tua- tua akan marah menjeling bila ada rakan-rakan yang terlebih kreatif cuba mencipta rentak baharu. Memandangkan sumber hiburan pada masa itu sangat terbatas, maka “klantungan” akan menjadi rebutan. Ada yang terlalu obses sehingga sanggup datang ke masjid seawal waktu asar untuk menyembunyikan pemukul ‘kentung’. Sebab itulah aktiviti ini hanya dilakukan oleh ‘pemain-pemain’ regular @ senior. Aku?...hanya mampu berdoa supaya ‘pemain-pemain’ senior  tak pergi solat Taraweh untuk tunjuk bakat. Sekali-sekala untuk nak lepas ‘gian’, aku curi-curi main seorang diri. Itu pun lepas larut malam tanpa memasang pelita. Ajak seorang dua teman sebagai pemerhati dan menjaga keselamatan (kata orang tua-tua di masjid banyak Jin) Tangan kiri dan kanan mengetuk ‘kentung’…..sampai letih. Rakan-rakan yang hilang sabar menunggu giliran biasanya akan mengetuk tin minyak tanak sebagai galang ganti. Nasib tak baik, terpaksa terjun dari beranda masjid menyelamatkan diri bila ternampak kelibat orang datang untuk memarahi kerana terganggu dengan gema ‘klantungan’ (biasanya kami tak pernah tertangkap). Kini ”klantunagan” tidak lagi dibenarkan. Mungkin juga anak-anak remaja Pt Kahar tak pernah mendengar alunannya. Kepada rakan-rakan, Yoyok, Tumin, Mail, Ri, Aris, Sukri, Rahim dan lain-lain Selamat Hari Raya. Kepada Ustaz dan Paman Samiran yang selalu ‘mengejar’ kami….ampun maaf dipinta.  

No comments:

Post a Comment