Sunday, May 24, 2015

CIKGU NASIR

Awal 80an siapa yang pernah bersekolah di SMK Ayer Baloi pasti akan mengenali Cikgu Nasir. Cikgu disiplin yang aku kira paling efektif dan berprolifik, sekurang-kurangnya pada waktu dan ketika itu. Sebut saja namanya, ramai yang kecut perut. Tanpa misai pun Cikgu Nasir tetap nampak bengisnya. Pada kami garangnya seperti harimau beranak muda. Cikgu Nasir ditakuti bukan dimusuhi. Hitam manis dan jarang ketawa. Namun, aku tahu bila sesekali tersenyum, Cikgu Nasir memiliki gigi yang cantik memutih. Dengan rambut lurus berbelah tepi, bersisir rapi. Cikgu Nasir akan berjalan menghayun rotan. Langkahnya amat tersusun dan sentiasa kelihatan tenang. Auranya cukup hebat. 
Kereta Volkswagen yang menjadi kenderaannya sering menjadi intipan pelajar termasuk aku pada awal pagi. Lapang sedikit dada, andai motokar itu tiada di pakir. Saat untuk bertemunya adalah satu truma yang tidak boleh dibayangkan ketika itu. Apatah lagi kalau ada pengawas yang datang memanggil atau pengumuman agar hadir ke bilik disiplin. Kalau tidak bergetar lutut, pasti dada akan berombak kencang. Lantaran itu, daripada terserempak, lebih baik mengelak. Dari hujung kasut hingga ke rambut, akan dipastikan kemas dan rapi. Juga cara bercakap dan berdiri. Walau pun aku tidak pernah ‘ disesah’, teman-teman yang pernah ‘dihayun’ kerana pelbagai kesalahan selalu bercerita. Pedihnya bukan kepalang. Sebab itu, jarang yang mengulangi kesilapan. Teman-teman yang ‘ungkal’ ibarat dihentak tak masuk diumpil tak bergerak akan menjadi buruannya.   
Cikgu Nasir sebenarnya tidak segarang yang kami bayangkan sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas. Beliau, seorang guru yang masih mahu bergurau senda dengan anak muridnya. Cuma, auranya sebagai Guru Disiplin menyebabkan kami jarang ketawa. Komedi macam mana sekalipun ceritanya, senyum kami masih tetap terkawal. Pernah satu hari Cikgu Nasir memberitahu, dia tidak mahu kami menjadi murid yang tidak terurus. Baginya, sukar jika belukar sudah menjadi rimba untuk dibersihkan. Kenapa nak takut? Seruas tebu yang berulat, seruaslah yang dibuang, sapa yang salah dia saja yang dikenakan hukuman.
Sebagai guru yang ditugaskan mengajar Pendidikan Jasmani, sesekali Cikgu Nasir berseluar pendek dan bertshirt putih. Sentiasa kemas. Jarang aku melihat bajunya dilepaskan keluar. Cikgu Nasir juga minat pada permainan hoki. Kali terakhir berjumpa dengan Cikgu Nasir ialah pada tahun 2005, di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim Johor bahru (IPG). Semoga Cikgu Nasir sentiasa dirahmati. Banyak sebab untuk aku mengagumi Cikgu Nasir.

SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA PENDIDIK

No comments:

Post a Comment