Tuesday, August 11, 2015

SELAMAT HARI LAHIR KE-19...SAKTI

Esok 12 Ogos 2015, usianya genap 19 tahun. Tambah ayu dan anggun. Soleknya tidak lagi seperti gadis sunti yang baharu mengenal bedak dan gincu. Ayunan langkahnya juga kian tersusun dan teratur. Tidak lesu seperti dulu. Lenggok dan gayanya tidak lagi janggal. Jalannya tidak lagi tersandung kaki sendiri. Kalau dahulu cuma berselipar, kini dah pandai bertumit tinggi. Pendek kata menyenangkan mata yang memandang. Kalau dulu rambutnya keras berpintal, kini bersisir rapi. Bicaranya pun mula didengari khayalak. Tinggi pekerti menjadi ikutan. Tidak keterlaluan jika dinyatakan, ramai yang memasang angan-angan untuk menyuntingnya. Kalau tidak pun mengambil aura duduk di sisi,dapat mencium wangiannya pun sudah memadai. Kini, semerbak harumannya telah melepasi sempadan negeri. Nun jauh dari Timur hingga ke Barat mula memberi sanjungan. Bukan sedikit yang cuba mencungkil rahsia menjadi cantik rupawan.
Biarpun belum layak digelar primadona, satu hari nanti gelaran yang menjadi rebutan itu akan menjadi miliknya. Mutahir ini, setiap kali hadir di majlis keramaian, duduknya pula di baris hadapan. Sebaris dengan rakan-rakan yang sekian lama diperhati orang. Pendek kata tegak sama tinggi, duduk sama rendah, sukat sama paras.  Tidak lagi seperti dahulu. Segan diperhati orang, maka lebih selesa duduk di belakang. Sering kali menganggap diri,  melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak mengurang.  
Kata orang, bila baik rupa parasnya, maka baiklah juga andamannya. Bersyukur memiliki barisan ‘Mak Andam’ yang setia memberi khidmat. Usahanya tak pernah putus. Ibarat tak mara berdayung, bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu. Ada sahaja ramuan yang disediakan untuk menambah seri wajah. Meskipun ada ketikanya pahit untuk ditelan tapi hasilnya menakjubkan. Malah ramuan itulah juga yang diintai orang, setiap kali datang bertandang. Bukan tak pernah dirundung malang, tapi Mak Andam tetap terus berusaha membesar dan menjaga. Sesekali bila wajah ditumbuhi jerawat, Mak Andam akan cepat-cepat membancuh ramuan untuk merawat. Sekali tak berjaya, dua tiga kali Mak Andam akan mencuba. Ibarat, mudik menyongsong arus, hilir menyongsong pasang. Tidak dilupa siang malam berdoa memohon rahmat, agar seri bukan setakat di muka tapi terus dari hati dan jiwa.

SELAMAT HARI LAHIR SAKTI. Semoga SAKTI menjadi induk benih yang baik. Setiap bibit semuanya tumbuh. Yang tinggi menjulang ke awan, yang rendang menjadi tempat berteduh, yang kuat menjadi pendinding, yang cantik penyeri halaman. Ikhlas… Cikgu Alim.

No comments:

Post a Comment