Wednesday, August 12, 2015

Induk Yang Berjasa

Izinkan saya menyambung cerita……Inilah pasangan ‘induk’asal yang masih setia di SAKTI. Tekadnya masih bulat untuk terus memberi  khidmat. Biarpun menghampiri 2 dekad, masih belum memasang keinginan untuk beralih angin. Induk-induk yang lain sudah lama berterbangan di seluruh Malaya. Hinggap dan bersarang di mana-mana dahan menghirup udara segar. Namun, pasangan ‘induk’ ini tidak begitu. Katanya, SAKTI terlalu istimewa. Dari seorang hingga kini berenam dan berlima masih setia melalui pintu gerbang yang sudah tiga kali bertukar ganti. Jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya untuk SAKTI. Sebahagian besar ruang memorinya juga digunakan untuk menyimpan segala kenangan 19 tahun lalu. Lebih menarik, semua cahaya matanya juga beralamatkan SM Sains Kota Tinggi. Suatu hari pernah anaknya memberitahu, rumah kuarters itu, mama dah beli!!!.
Bermula dengan kisah berkongsi pelita dan periuk nasi, pasangan ‘induk’ ini boleh melopongkan mulut pendengar. Duduklah dari pagi hingga ke petang, pasangan ‘induk’ ini boleh berbicara perihal SAKTI persis seorang penglipur lara. Lebih menghayalkan bila disertai dengan pelbagai sajian. Tak cukup dengan lontaran suaranya,ayunan tangan akan memeriahkan lagi suasana. Pendek kata, kepada sesiapa yang berhajat untuk menghasilkan dokumentari berkaitan SAKTI, cukuplah mewawancara pasangan ‘induk’ ini. Berketaknya masih menggunakan nada yang sama, jeda dan intonasinya juga tidak jauh beza. Dari SAKTI yang gersang sehinggalah dipenuhi dengan tumbuhan menghijau, pasangan ini boleh mengenalpasti di mana onak, duri dan ranjau. Ranting dan dahan mana yang boleh dipaut atau reput. Daun atau pucuk mana yang beracun. Pendek kata sekecil2 haiwan dan binatang liar dapat diketahui jantan betinanya.

Kepada anak-anak SAKTI 1996 hingga 2015, pasangan ‘induk’ ini jangan mudah dilupa. Daripadanya anda mengenali Ramayana,  Mahabrata & A-Farmosa. Juga formula-formula Matematik warisan Ibnu-Sina. Biar sesukar manapun anda belajar, sukar lagi pasangan ini mengajar. Mungkin tanpa bantuannya, tiada pangkat atau gelaran pada nama anda sama ada di hujung atau di pangkal. Banyak juga air matanya tumpah lantaran usaha anda yang mudah dikira. Ingatannya juga masih berbisa. Sesekali masih ligat bercerita tentang Anas Bostamam (1998), Munzir Ahmad Fuad (2005), Farina Idayu Iskandar (1997) atau Azni Nabila Wahid (2005) dan beratus-ratus lagi nama yang tersimpan rapi dalam uncang memorinya. Tahniah Cikgu Jamilah dan Cikgu Nor Jaslina kerana masih kekal di SAKTI.

Tuesday, August 11, 2015

SELAMAT HARI LAHIR KE-19...SAKTI

Esok 12 Ogos 2015, usianya genap 19 tahun. Tambah ayu dan anggun. Soleknya tidak lagi seperti gadis sunti yang baharu mengenal bedak dan gincu. Ayunan langkahnya juga kian tersusun dan teratur. Tidak lesu seperti dulu. Lenggok dan gayanya tidak lagi janggal. Jalannya tidak lagi tersandung kaki sendiri. Kalau dahulu cuma berselipar, kini dah pandai bertumit tinggi. Pendek kata menyenangkan mata yang memandang. Kalau dulu rambutnya keras berpintal, kini bersisir rapi. Bicaranya pun mula didengari khayalak. Tinggi pekerti menjadi ikutan. Tidak keterlaluan jika dinyatakan, ramai yang memasang angan-angan untuk menyuntingnya. Kalau tidak pun mengambil aura duduk di sisi,dapat mencium wangiannya pun sudah memadai. Kini, semerbak harumannya telah melepasi sempadan negeri. Nun jauh dari Timur hingga ke Barat mula memberi sanjungan. Bukan sedikit yang cuba mencungkil rahsia menjadi cantik rupawan.
Biarpun belum layak digelar primadona, satu hari nanti gelaran yang menjadi rebutan itu akan menjadi miliknya. Mutahir ini, setiap kali hadir di majlis keramaian, duduknya pula di baris hadapan. Sebaris dengan rakan-rakan yang sekian lama diperhati orang. Pendek kata tegak sama tinggi, duduk sama rendah, sukat sama paras.  Tidak lagi seperti dahulu. Segan diperhati orang, maka lebih selesa duduk di belakang. Sering kali menganggap diri,  melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak mengurang.  
Kata orang, bila baik rupa parasnya, maka baiklah juga andamannya. Bersyukur memiliki barisan ‘Mak Andam’ yang setia memberi khidmat. Usahanya tak pernah putus. Ibarat tak mara berdayung, bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu. Ada sahaja ramuan yang disediakan untuk menambah seri wajah. Meskipun ada ketikanya pahit untuk ditelan tapi hasilnya menakjubkan. Malah ramuan itulah juga yang diintai orang, setiap kali datang bertandang. Bukan tak pernah dirundung malang, tapi Mak Andam tetap terus berusaha membesar dan menjaga. Sesekali bila wajah ditumbuhi jerawat, Mak Andam akan cepat-cepat membancuh ramuan untuk merawat. Sekali tak berjaya, dua tiga kali Mak Andam akan mencuba. Ibarat, mudik menyongsong arus, hilir menyongsong pasang. Tidak dilupa siang malam berdoa memohon rahmat, agar seri bukan setakat di muka tapi terus dari hati dan jiwa.

SELAMAT HARI LAHIR SAKTI. Semoga SAKTI menjadi induk benih yang baik. Setiap bibit semuanya tumbuh. Yang tinggi menjulang ke awan, yang rendang menjadi tempat berteduh, yang kuat menjadi pendinding, yang cantik penyeri halaman. Ikhlas… Cikgu Alim.