Izinkan saya menyambung cerita……Inilah pasangan ‘induk’asal
yang masih setia di SAKTI. Tekadnya masih bulat untuk terus memberi khidmat. Biarpun menghampiri 2 dekad, masih
belum memasang keinginan untuk beralih angin. Induk-induk yang lain sudah lama
berterbangan di seluruh Malaya. Hinggap dan bersarang di mana-mana dahan menghirup
udara segar. Namun, pasangan ‘induk’ ini tidak begitu. Katanya, SAKTI terlalu
istimewa. Dari seorang hingga kini berenam dan berlima masih setia melalui pintu
gerbang yang sudah tiga kali bertukar ganti. Jiwa dan raga diserahkan
sepenuhnya untuk SAKTI. Sebahagian besar ruang memorinya juga digunakan untuk
menyimpan segala kenangan 19 tahun lalu. Lebih menarik, semua cahaya matanya juga
beralamatkan SM Sains Kota Tinggi. Suatu hari pernah anaknya memberitahu, rumah
kuarters itu, mama dah beli!!!.
Bermula dengan kisah berkongsi pelita dan periuk nasi,
pasangan ‘induk’ ini boleh melopongkan mulut pendengar. Duduklah dari pagi
hingga ke petang, pasangan ‘induk’ ini boleh berbicara perihal SAKTI persis
seorang penglipur lara. Lebih menghayalkan bila disertai dengan pelbagai
sajian. Tak cukup dengan lontaran suaranya,ayunan tangan akan memeriahkan lagi suasana.
Pendek kata, kepada sesiapa yang berhajat untuk menghasilkan dokumentari
berkaitan SAKTI, cukuplah mewawancara pasangan ‘induk’ ini. Berketaknya masih menggunakan
nada yang sama, jeda dan intonasinya juga tidak jauh beza. Dari SAKTI yang
gersang sehinggalah dipenuhi dengan tumbuhan menghijau, pasangan ini boleh
mengenalpasti di mana onak, duri dan ranjau. Ranting dan dahan mana yang boleh
dipaut atau reput. Daun atau pucuk mana yang beracun. Pendek kata sekecil2
haiwan dan binatang liar dapat diketahui jantan betinanya.
Kepada anak-anak SAKTI 1996 hingga 2015, pasangan ‘induk’
ini jangan mudah dilupa. Daripadanya anda mengenali Ramayana, Mahabrata & A-Farmosa. Juga
formula-formula Matematik warisan Ibnu-Sina. Biar sesukar manapun anda belajar,
sukar lagi pasangan ini mengajar. Mungkin tanpa bantuannya, tiada pangkat atau
gelaran pada nama anda sama ada di hujung atau di pangkal. Banyak juga air
matanya tumpah lantaran usaha anda yang mudah dikira. Ingatannya juga masih
berbisa. Sesekali masih ligat bercerita tentang Anas Bostamam (1998), Munzir
Ahmad Fuad (2005), Farina Idayu Iskandar (1997) atau Azni Nabila Wahid (2005)
dan beratus-ratus lagi nama yang tersimpan rapi dalam uncang memorinya. Tahniah
Cikgu Jamilah dan Cikgu Nor Jaslina kerana masih kekal di SAKTI.
No comments:
Post a Comment