Wednesday, May 31, 2017
RAMADAN PART 5: PUASA & AIR BATU KETUL
Percaya atau tidak, antara hidangan berbuka yang boleh dianggap 'super mewah' ialah menu minuman berasaskan air batu. Sama ada cindol atau cincau, asal saja bercampur dengan air batu, pasti akan menjadi rebutan. Tinggal di kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, membuatkan air batu ketul terlalu sukar dan mahal untuk dimiliki pada ketika itu. Kami terpaksa berbasikal melalui jalan kecil tanah gambut dan tanah merah sejauh 4 hingga 5 km, ke pekan Jelotong bagi mendapatkannya. Tak termasuk basikal yang pancit atau rantai longgar yang tercabut, tidak kurang 45 minit untuk sampai ke pekan kecil di simpang jalan Pontian - Benut. Berbasikal sejauh itu pada bulan puasa ditambah pula dengan panasnya matahari, tak terasa peritnya, bila terbayang sejuknya cendol yang akan disedut masuk ke tekak waktu berbuka. Untuk mengelakkan kehabisan bekalan, kami akan ke pekan usai solat Asar. Kami mengayuh untuk mendapatkan seketul air batu ketul di kedai runcit Ah Lip di pekan. Berdebar menunggu giliran sebaik sahaja air batu bersaiz besar dikeluarkan dari kotak yang diperbuat daripada kayu. Menggunakan gergaji, air batu ketul dipotong-potong bersaiz 6 x 6 inci sebelum ditabur dengan serbuk kayu @ papan dan dibungkus dengan kertas surat khabar cina sebelum diikat dengan tali rapia warna hijau. Dengan harga 10 - 20 sen, air batu ketul itulah yang kami bawa balik. Kami gantung pada hendal basikal atau disepit di bahagian belakang. Bersama air batu ketul, kami gantungkan juga sebungkus plastik cendol atau cincau berharga 20 - 30 sen. Berayun-ayun kedua-dua bungkusan mengikut rentak kayuhan. Sejuk, bila sesekali peha terkena titisan air batu. Bimbang mencair, kami tak boleh berhenti mengayuh, malah kayuhan akan semakin laju. Sesampainya di rumah,kami akan bungkus menggunakan guni beras bagi mengekalkan ketulannya, menunggu waktu berbuka. Sebaik sahaja ramuan seperti santan dan gula melaka tersedia, barulah air batu ketul dicuci bagi menghilangkan serbuk papan yang menyelimutinya. Walaupun, kadangkala hanya tinggal sebesar penumbuk, cendol bercampur air batu ketul kami hirup dan nikmati dengan penuh kesyukuran!!!... indahnya Ramadan
Tuesday, May 30, 2017
RAMADAN PART 4 : AKU, TEWOL & LEMPENG SAGU
Berbuka tidak boleh dipisahkan dengan hidangan. Hari ini, bagi yang malas
kunjungilah sahaja bazar Ramadan. Beraneka makanan tersedia. Berbeza dengan
dahulu, juadahnya sangat terhad. Selain nasi yang menjadi hidangan wajib ada
masa berbuka, emak akan sediakan menu tambahan. Menu inilah yang menjadikan
puasa terlalu istimewa pada kami adik beradik. Ada rezeki lebih, kami akan bertukar-tukar sepinggan kecil juadah dengan jiran. Apa tah lagi apabila ada
ungkapan2 yang berbunyi ‘yang tak puasa jangan kacau, duduk jauh-jauh’.
Belebat pisang, jemput-jemput pisang, jemput-jemput
ubi, ubi keledek rebus, bubur candil, bubur
sumsum sering menjadi pilihan emak untuk melayan tekak kami. Lebih moden
sedikit, emak akan membuat kuih talam berlapis dua, berperasa dan berwarna
pandan. Atau, abuk-abuk berintikan gula melaka (kegemaran emak).
Namun, seingat
aku, setiap kali menjelangnya bulan puasa, emak akan mengeringkan ubi kayu yang dibelah dua. Setelah kering, ubi (gaplek)
ini akan ditumbuk sehingga menjadi tepung sebelum di masukkan ke dalam kukusan
yang beralas daun pisang. Emak akan masukkan sedikit gula merah dan diuli
hingga rata. Tewol ini biasanya akan dimakan bersama dengan parutan kelapa. Lemak dan kenyal rasanya.
Satu lagi hidangan masyarakat kampung menjelangnya puasa ialah emping atau lempeng
sagu. Sagu yang telah ditebang akan dipotong-potong sebelum dibuang kulitnya.
Diparut dan diletak di atas pangkin khas sebelum dipijak-pijak bagi mendapatkan
patinya. Inilah antara aktiviti yang ditunggu-tunggu. Namun, sebagai anak kecil yang tak cukup berat, biasanya aku dan teman sebaya hanya dibenarkan menjadi pemerhati. Pati sagu inilah yang akan dikeringkan dan dimasak mengikut keperluan.
Selebihnya disimpan atau diagih-agihkan kepada jiran tetangga.
Pendek kata
hidangan berbuka zaman aku kanak-kanak menggunakan sepenuhnya sumber alam. Duit bapak simpan untuk menggembirakan anak-anak dengan baju baharu dan membayar Fitrah!!! Indahnya Ramadan
Monday, May 29, 2017
RAMADAN PART 3: AKU, TARAWIH & KELANTUNGAN
Masih berkisar tentang kentung dan jidur. Kelantungan menjadi tradisi yang telah lama berakar di kebanyakan kampung yg dihuni oleh msy Jawa. Kentung akan diketuk berselang seli dengan jedur dengan nada yg tertentu. Nada yg dah sebati dlm minda masyarakat turun temurun.
Walaupun tak semua, kebanyakan kampung meneruskan ‘hiburan’ ini sebagai satu cara menarik anak2 ke masjid menunaikan tarawih. Aku menjadi ganerasi terakhir menikmatinya.
Kelantungan akan bermula sebaik sahaja salam pertama solat witir selepas tarawih. Kami akan mengerumuni kentung dan jidur dengan pemukul yg sedia di tangan.Bagi mengelakkan berebut pemukul, biasanya kami akan menyembunyikannya seawal solat Asar. Hanya satu pemukul yang ditinggalkan untuk Pak Bilal gunakan.
Hanya mereka yg ‘berwibawa’ sahaja berkelayakan untuk berkelantungan. Memukul kentung dan jidur mengikut rentak tridisi turun temurun. Mereka yg ‘lemah’ akan hanya tersengeh menahan keinginan yang membuak.
Fasa pertama kelantungan akan berakhir sebaik sahaja jemaah turun ke ambin untuk menikmati juadah sebelum bertadarus. Sambil menunggu selesainya otai bertadarus, kami bermain galah panjang.
Sebaik sahaja lampu gas dimatikan selepas jemaah bertadarus, fasa ke-2 kelantungan bermula. Kali ini akan menjadi lebih ‘panas’. Kami akan memasang pelita minyak tanah sebagai penyuluh. Tak cukup dengan kentung dan jedur, kami akan menggunakan tin bekas minyak sebagai instrumen tambahan.
Pelbagai rentak kami mainkan. Zapin, langam, sehinggalah rentak Pop Yeh Yeh kami ayun. Kebiasaannya kami akan berlawan dgn rakan2 di kampung bersebelahan. Bergoyang lantai masjid dikerjakan. Kami akan berkarya dan berinovasi semahunya sehingga lewat malam bila pelita minyak tanah terpadam sendiri. Atau, bila ada otai yang tinggal bersebelahan masjid datang memaki hamun. Apa tidaknya, mana mungkin boleh terlelap saat kami 'menggila' membuat persembahan.
Kami bertempiaran melarikan diri balik ke rumah. Setakat terjun dari anjung malah tingkap masjid sekalipun kami tak peduli. Yg penting tidak tertangkap atau dikenali. Esoknya, akan jadi bahan cerita otai2 kampung. Sehari dua kelantungan tak berbunyi. Masuk hari ketiga, tangan kembali gatal utk mengayun kayu berkelantungan lagi.
Awal 80an, budaya kelantungan pupus dari terus berakar dlm masyarakat kampung kami. Semuanya kerana bekalan elektrik yg membawa masuk set2 TV yg menjadi penghibur selepas Tarawih... indahnya Ramadan.
RAMADAN PART 2: Pak Bilal & Kentung @ kentrung
Salah satu alat komunikasi terpenting dalam masyarakat kampung ialah kentung@kentrung dan jedur. Kentung dibuat drp kayu keras yg dilubangkan dan digantung di masjid. Diketuk sekuat mungkin berselang dengan pukulan jedur yg dibuat daripada kulit lembu. Sebagai tanda masuknya waktu solat. Mengajak penduduk berjemaah.
Tanpa P.A Sistem ketukan kentung juga sebagai isyarat jika ada kematian. Nadanya sahaja yg berbeza.
Sepanjang Ramadan, kentung menjadi penentu kepada waktu berbuka dan imsyak. Hanya orang tertentu yg dibenarkan mengetuk kentung. Biasanya imam dan Pak Bilal. Yang lain, termasuk ketua kampung pun tak layak mengetuknya. Sebab itu Pak Bilal khususnya, menjadi individu yg sangat diberi tumpuan sepanjang Ramadan.
Kelibat Pak Bilal akan diperhati. Ketiadaan Pak Bilal di kampung akan menimbulkan kegusaran. Macam mana nak berbuka kalau Pak Bilal tak ada? Siapa nak ketuk kentung? Aku, yang baru mula belajar berpuasa akan menggunakan Pak Bilal sebagai penanda aras waktu berbuka.
Untuk memujuk agar aku terus bertahan menahan lapar hingga waktu berbuka, emak juga menggunakan isu Pak Bilal.
“Dah, kau pergi tengok Paman Amat, dah ke laut (ke masjid) atau belum? Gi tunggu kat anjung”, pujuk emak bila sesekali aku mengaruk nak berbuka awal.
Aku akan tunggu Pak Bilal berbasikal lalu depan rumah. Nampak sahaja Pak Bilal, aku akan menjerit.
“Emak!!! Paman Amat dah pergi masjid!!”. Aku akan berlari girang menuju ke dapur mengumpul sajian berbuka. Hati akan mengerutu resah dan aku akan mengaruk lagi kalau sayup2 bunyi kentung tak kedengaran akibat tiupan angin atau kebetulan hujan turun pada waktu magrib!!! Indahnya Ramadan.
RAMADAN PART 1: PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA
Dahulu, pengisytiharan permulaan puasa terlalu mendebarkan. Bergantung sepenuhnya kpd anak bulan, sama ada kelihatan atau sebaliknya. Melihatnya cuma dibeberapa tempat. Paling terkenal ialah di Teluk Kemang N9 dan Pontian Kecil Johor. Menjelang petang, masing2 membuat andaian berdasarkan keadaan awan. Bagi yg pandai berhujah akan dipercayai 'fatwanya'.
Tanpa bekalan elektrik, tumpuan penduduk kampung ialah pada radio. Radio yg berbateri kering berwarna merah, berbentuk selender, 2 inci. Itupun tak semua rumah memilikinya. Bagi memastikan suaranya tidak tersangkut2, bateri cap kucing terpaksa dijemur sepanjang hari. Pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja2 akan dinanti penuh debar.
Penduduk kampung yg tak beradio, mengharap ihsan jiran utk menyampaikan maklumat. Usai solat Magrib, kami akan ke rumah jiran dengan bercahayakan pelita minyak tanah utk mendapatkan berita.
"..........Majlis Mohor Besar Raja2 dengan ini mengumumkan, bahawa anak bulan TIDAK kelihatan di .......Maka, dengan ini diisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa ialah pada hari .....". Gembira bukan kepalang, kerana ada sehari lagi utk bersarapan.
Sunday, May 14, 2017
MAK ANDAM vs CIKGU
Dahulu, Mak Andam merupakan individu yang penting dlm
komuniti desa @ kampung. Dalam majlis perkahwinan, walaupun tak setaraf Tok
Kadi, Mak Andam tetap dihormati. Sebab itu, Mak Andam tetap dicari. Tahun 70an
dahulu, dijemputnya Mak Andam, membonceng basikal. Sesiapa yang terpilih untuk
menjemput Mak Andam pun dah boleh tersenggeh berbangga. Pasti terkena tempias
glamournya. Perasaan ‘riak’ menyelinap
masuk ke pembuluh darah bila basikal yang membawa Mak Andam berhenti di
perkarangan rumah pengantin. Bunyi-bunyian akan berhenti untuk memberikan
laluan pengumuman ketibaan Mak Andam. Raga yang berisi persalinan dan alat
solek bersambut tanpa disuruh. Payung (biasanya berwarna kuning), kemas diletak
di atas pangkin. Bimbang terlangkah. Mak Andam akan terus masuk ke bilik,
menyusun kerja dan memulakan tugasnya. Mak Andam jarang berborak-borak kosong
dengan tetamu. Sudut yang dipisahkan dengan tirai kain menjadi tempat
operasinya. Juga akan menjadi tumpuan
anak-anak gadis kampung yang dijemput. Mereka tidak bersuara. Namun, matanya
pasti tajam memerhati gerak geri Mak Andam. Dari meletak sanggul, menyisipkan
jarum, menyapu bedak, meletak gincu di bibir, mengores celak hitam, mengenakan
selindang dan menyusun kuntuman bunga akan terus diperhati dan disimpan dlm
memori. Tentunya akan menjadi bahan cerita yang akan disampaikan kepada
teman-teman seusia. Biasanya Mak Andam akan disediakan pendamping yang
bertindak sebagai pembantu. Pendampingnya adalah individu yang dipercayai oleh
keluarga pengantin. Apa saja yang Mak Andam minta, akan dicari dan disediakan.
Yang penting Mak Andam selesa dan tak merajuk. Begitulah tingginya status Mak
Andam dulu-dulu.
Ramai yang percaya tanpa Mak Andam, seri pengantin tak
‘naik’. Majlis menjadi hambar. Bukan bermakna pengantin tak boleh bersolek
sendirian, tapi jika ada Mak Andam, pengantin akan lebih yakin untuk duduk di
atas pelamin. Walaupun, mungkin sekadar ditepekkan dengan bedak sejuk. Paling
kuat pun dihembus-hembus ayat & mentera kat dahi. Kelibat Mak Andam akan
semakin hilang bila selesai upacara ‘buka kipas’. Sebaik sahaja ‘ufti’ beralih
tangan, Mak Andam tak lagi dihirau. Tumpuan beralih kepada pasangan pengantin.
Tepuk sorak dan riuh rendahnya majlis bertumpu kepada aksi mempelai di atas
pelamin. Mak Andam mengundur diri. Biasanya, akan berdiri menjadi pemerhati di
sudut ruang rumah.Nampak macam tenang, sebenarnya Mak Andam berdebar menunggu,
kalau-kalau ada suara-suara sumbang yang x puas hati dengan hasil kerjanya.
Bangga Mak Andam jika ada sosek-sosek memuji seri pengantin. Mak Andam puas!!
Mak Andam akan pulang ke rumah dengan tenang. Berbekalkan sedikit bontrotan dan
upah, Mak Andam dah boleh berkira-kira ‘kesibukkan’ pada musim perkahwinan
berikutnya. Sepanjang dibonceng untuk dihantar pulang, Mak Andam dah boleh
memikirkan inovasi dan kreativiti untuk solekan. Dengan modal yang ada,paling
kurang bedak sejuk dan gincu akan ganti dengan jenama yang baharu. Mak Andam
tahu benar, apa saja jenama yang digunakan, akan menjadi ikut-ikutan oleh
gadis-gadis kampung. Tanpa, TV, Facebook, Wapps, Instagram, dll, Mak Andam
sebenarnya menjadi individu yang paling berpengaruh untuk melariskan jualan
produk kecantikan yang mungkin menyamai Neelofa pada hari ini.
Wednesday, May 3, 2017
Catatan Pengetua 4
Keputusan SPM telah pun
diketahui. Warga SEHEBAT terutamanya guru-guru pasti menerimanya dengan reaksi
yang pelbagai. Panen kali ini kurang menjadi. KPI yang ditandai melalui Gred
Purata Sekolah (GPS), mengundang pelbagai persoalan. Anak-anak NEOS juga
pastinya kurang gembira. Hasrat untuk mel etakkan GPS pada
angka 1.92 tidak kesampaian. Malah, berlaku penurunan daripada 2.04 (2015)
kepada 2.2 (2016). Peratus calon
cemerlang juga berkurangan. Tahun 2015, SEHEBAT mencatat 17.61 % atau 28 calon,
manakala SPM 2016 cuma 13.95% atau 24 calon meraih keputusan cemerlang 9A.
Jumlah ini jauh tersasar sebagaimana angka yang diharapkan.
Marilah kita sama-sama mencari di mana kesilapannya. Kita tidak boleh berterusan berkeluh kesah. Jauh sekali menyalahkan orang lain. Warga SEHEBAT yang hebat akan cepat mengorak langkah. Saya percaya dan yakin, SEHEBAT masih relevan untuk menjadi pesaing dalam kalangan sekolah-sekolah SBP. Jangan sesekali membenarkan SEHEBAT tercicir jauh daripada rakan-rakan yang lain. SEHEBAT memiliki kemampuan, guru-guru yang hebat dan anak-anak yang mendengar kata. Biarkan keputusan SPM yang lalu itu dijadikan sempadan.
Marilah kita sama-sama mencari di mana kesilapannya. Kita tidak boleh berterusan berkeluh kesah. Jauh sekali menyalahkan orang lain. Warga SEHEBAT yang hebat akan cepat mengorak langkah. Saya percaya dan yakin, SEHEBAT masih relevan untuk menjadi pesaing dalam kalangan sekolah-sekolah SBP. Jangan sesekali membenarkan SEHEBAT tercicir jauh daripada rakan-rakan yang lain. SEHEBAT memiliki kemampuan, guru-guru yang hebat dan anak-anak yang mendengar kata. Biarkan keputusan SPM yang lalu itu dijadikan sempadan.
Diagnosis yang jujur dan telus perlu
dilakukan. Setiap panitia perlu melihat secara mendalam akan akar puncanya.
Warga SEHEBAT perlu berlapang dada. Perlu juga berjiwa besar untuk bersedia
belajar dari orang lain. Mencedok pengalaman daripada sekolah-sekolah hebat
yang memang ketara kehebatannya, bukanlah satu kesahalan. Kita perlu sentiasa
memeriksa pengurusan diri kita, pedagogi kita dan kolaburasi kita. Tampal
mana-mana kebocoran sekiranya ada.
Bertukar-tukar amalan pedagogi yang terbaik, amat disanjung. Dalam masa yang
sama, anak-anak SEHEBAT juga perlu
bersedia melakukan perubahan dalam tindak cara pembelajaran dan kehidupan.
Perlu pantas dalam setiap tindakan dan pergerakan. Anak-anak juga perlu
memiliki daya yang kuat untuk mendorong diri sendiri agar bersaing memperoleh
kejayaaan. Menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin, terutama waktu prep
siang dan malam masih menjadi kunci utama kecemerlangan sekolah-sekolah SBP….JOM KITA BANGKIT.
Catatan Pengetua 3
Lebih setahun SEHEBAT BITARA DAN BERBUDAYA dipilih
menjadi ‘tagline’ sekolah yang kita cintai ini. Kefahaman terhadap maksud dan
hasrat yang ingin digapai melaluinya, juga diharapkan semakin mengukuh. SEHEBAT
mahu melahirkan modal insan yang unggul dalam segenap bidang, di samping
memiliki sifat-sifat diri dan keperibadian terpuji. Cerdik akal sahaja tidak
memadai, kalau tidak disertai d engan
unsur-unsur etika yang mengawal tata aturan hidup, sikap dan norma perlakuan.
Peka dengan budaya juga akan membantu seseorang memiliki jati diri yang kukuh,
seterusnya berbangga dengan satu-satunya watan yang kita miliki ini. Malah, ada
orang meletakkan budaya itu terlalu tinggi nilainya, sebagaimana perumpamaan, laut budi tepiannya akal.
Berbudaya bukan sekadar disebut atau ditulis di dinding-dinding sebagai mural. Berbudaya adalah amalan. Menghormati guru, tetamu dan rakan-rakan sepermainan, meringankan lidah mengucap salam, meringankan tangan menghulur bantuan, menyusun hujah, dan mengawal bicara dengan memilih kata-kata adalah eviden yang amat mudah dinilai melalui pemerhatian dan pendengaran. Walaupun, tanpa markah atau gred, kadang kala eviden ini akan lebih kekal terpahat dalam ingatan. Mudah dibawa dan dijaja ke mana-mana. Jika bagus, SEHEBAT akan mengharum. Jika sebaliknya, akan menjadi beban berat yang akan menengelamkan segala macam kecemerlangan yang telah kita miliki.
Penerapan budaya dan amalan baik sudah semestinya memerlukan masa yang lama. Bukan seperti menadah hujan dari langit, proses pembudayaan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kunci utamanya, terletak pada keterbukaan hati kita untuk menerima segala teguran dan nasihat yang baik dan membina. Sejauh mana kita boleh berlapang dada dengan pandangan-pandangan baharu yang mungkin bertentangan dengan prinsip dan amalan yang telah berteritip dalam kehidupan seharian, juga perlu diberikan perhatian. Akhirnya, budaya elok yang diterapkan di SEHEBAT, sewajarnya perlu dikembangbiakkan dalam keluarga dan komuniti masyarakat apabila anak-anak selesai menamatkan pengajian di sini. Tidak perlulah kita menjadi pelangi yang hanya cantik dipandang tetapi kurang memberi erti kepada orang di sekelilingnya. Mudah-mudahan, produk SEHEBAT memiliki keseimbangan antara IQ, EQ, dan SQ
Berbudaya bukan sekadar disebut atau ditulis di dinding-dinding sebagai mural. Berbudaya adalah amalan. Menghormati guru, tetamu dan rakan-rakan sepermainan, meringankan lidah mengucap salam, meringankan tangan menghulur bantuan, menyusun hujah, dan mengawal bicara dengan memilih kata-kata adalah eviden yang amat mudah dinilai melalui pemerhatian dan pendengaran. Walaupun, tanpa markah atau gred, kadang kala eviden ini akan lebih kekal terpahat dalam ingatan. Mudah dibawa dan dijaja ke mana-mana. Jika bagus, SEHEBAT akan mengharum. Jika sebaliknya, akan menjadi beban berat yang akan menengelamkan segala macam kecemerlangan yang telah kita miliki.
Penerapan budaya dan amalan baik sudah semestinya memerlukan masa yang lama. Bukan seperti menadah hujan dari langit, proses pembudayaan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kunci utamanya, terletak pada keterbukaan hati kita untuk menerima segala teguran dan nasihat yang baik dan membina. Sejauh mana kita boleh berlapang dada dengan pandangan-pandangan baharu yang mungkin bertentangan dengan prinsip dan amalan yang telah berteritip dalam kehidupan seharian, juga perlu diberikan perhatian. Akhirnya, budaya elok yang diterapkan di SEHEBAT, sewajarnya perlu dikembangbiakkan dalam keluarga dan komuniti masyarakat apabila anak-anak selesai menamatkan pengajian di sini. Tidak perlulah kita menjadi pelangi yang hanya cantik dipandang tetapi kurang memberi erti kepada orang di sekelilingnya. Mudah-mudahan, produk SEHEBAT memiliki keseimbangan antara IQ, EQ, dan SQ
Subscribe to:
Posts (Atom)