Wednesday, May 31, 2017

RAMADAN PART 5: PUASA & AIR BATU KETUL

Percaya atau tidak, antara hidangan berbuka yang boleh dianggap 'super mewah' ialah menu minuman berasaskan air batu. Sama ada cindol atau cincau, asal saja bercampur dengan air batu, pasti akan menjadi rebutan. Tinggal di kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, membuatkan air batu ketul terlalu sukar dan mahal untuk dimiliki pada ketika itu. Kami terpaksa berbasikal melalui jalan kecil tanah gambut dan tanah merah sejauh 4 hingga 5 km, ke pekan Jelotong bagi mendapatkannya. Tak termasuk basikal yang pancit atau rantai longgar yang tercabut, tidak kurang 45 minit untuk sampai ke pekan kecil di simpang jalan Pontian - Benut. Berbasikal sejauh itu pada bulan puasa ditambah pula dengan panasnya matahari, tak terasa peritnya, bila terbayang sejuknya cendol yang akan disedut masuk ke tekak waktu berbuka. Untuk mengelakkan kehabisan bekalan, kami akan ke pekan usai solat Asar. Kami mengayuh untuk mendapatkan seketul air batu ketul di kedai runcit Ah Lip di pekan. Berdebar menunggu giliran sebaik sahaja air batu bersaiz besar dikeluarkan dari kotak yang diperbuat daripada kayu. Menggunakan gergaji, air batu ketul dipotong-potong bersaiz 6 x 6 inci sebelum ditabur dengan serbuk kayu @ papan dan dibungkus dengan kertas surat khabar cina sebelum diikat dengan tali rapia warna hijau. Dengan harga 10 - 20 sen, air batu ketul itulah yang kami bawa balik. Kami gantung pada hendal basikal atau disepit di bahagian belakang. Bersama air batu ketul, kami gantungkan juga sebungkus plastik cendol atau cincau berharga 20 - 30 sen. Berayun-ayun kedua-dua bungkusan mengikut rentak kayuhan. Sejuk, bila sesekali peha terkena titisan air batu. Bimbang mencair, kami tak boleh berhenti mengayuh, malah kayuhan akan semakin laju. Sesampainya di rumah,kami akan bungkus menggunakan guni beras bagi mengekalkan ketulannya, menunggu waktu berbuka. Sebaik sahaja ramuan seperti santan dan gula melaka tersedia, barulah air batu ketul dicuci bagi menghilangkan serbuk papan yang menyelimutinya. Walaupun, kadangkala hanya tinggal sebesar penumbuk, cendol bercampur air batu ketul kami hirup dan nikmati dengan penuh kesyukuran!!!... indahnya Ramadan

No comments:

Post a Comment