Dahulu, Mak Andam merupakan individu yang penting dlm
komuniti desa @ kampung. Dalam majlis perkahwinan, walaupun tak setaraf Tok
Kadi, Mak Andam tetap dihormati. Sebab itu, Mak Andam tetap dicari. Tahun 70an
dahulu, dijemputnya Mak Andam, membonceng basikal. Sesiapa yang terpilih untuk
menjemput Mak Andam pun dah boleh tersenggeh berbangga. Pasti terkena tempias
glamournya. Perasaan ‘riak’ menyelinap
masuk ke pembuluh darah bila basikal yang membawa Mak Andam berhenti di
perkarangan rumah pengantin. Bunyi-bunyian akan berhenti untuk memberikan
laluan pengumuman ketibaan Mak Andam. Raga yang berisi persalinan dan alat
solek bersambut tanpa disuruh. Payung (biasanya berwarna kuning), kemas diletak
di atas pangkin. Bimbang terlangkah. Mak Andam akan terus masuk ke bilik,
menyusun kerja dan memulakan tugasnya. Mak Andam jarang berborak-borak kosong
dengan tetamu. Sudut yang dipisahkan dengan tirai kain menjadi tempat
operasinya. Juga akan menjadi tumpuan
anak-anak gadis kampung yang dijemput. Mereka tidak bersuara. Namun, matanya
pasti tajam memerhati gerak geri Mak Andam. Dari meletak sanggul, menyisipkan
jarum, menyapu bedak, meletak gincu di bibir, mengores celak hitam, mengenakan
selindang dan menyusun kuntuman bunga akan terus diperhati dan disimpan dlm
memori. Tentunya akan menjadi bahan cerita yang akan disampaikan kepada
teman-teman seusia. Biasanya Mak Andam akan disediakan pendamping yang
bertindak sebagai pembantu. Pendampingnya adalah individu yang dipercayai oleh
keluarga pengantin. Apa saja yang Mak Andam minta, akan dicari dan disediakan.
Yang penting Mak Andam selesa dan tak merajuk. Begitulah tingginya status Mak
Andam dulu-dulu.
Ramai yang percaya tanpa Mak Andam, seri pengantin tak
‘naik’. Majlis menjadi hambar. Bukan bermakna pengantin tak boleh bersolek
sendirian, tapi jika ada Mak Andam, pengantin akan lebih yakin untuk duduk di
atas pelamin. Walaupun, mungkin sekadar ditepekkan dengan bedak sejuk. Paling
kuat pun dihembus-hembus ayat & mentera kat dahi. Kelibat Mak Andam akan
semakin hilang bila selesai upacara ‘buka kipas’. Sebaik sahaja ‘ufti’ beralih
tangan, Mak Andam tak lagi dihirau. Tumpuan beralih kepada pasangan pengantin.
Tepuk sorak dan riuh rendahnya majlis bertumpu kepada aksi mempelai di atas
pelamin. Mak Andam mengundur diri. Biasanya, akan berdiri menjadi pemerhati di
sudut ruang rumah.Nampak macam tenang, sebenarnya Mak Andam berdebar menunggu,
kalau-kalau ada suara-suara sumbang yang x puas hati dengan hasil kerjanya.
Bangga Mak Andam jika ada sosek-sosek memuji seri pengantin. Mak Andam puas!!
Mak Andam akan pulang ke rumah dengan tenang. Berbekalkan sedikit bontrotan dan
upah, Mak Andam dah boleh berkira-kira ‘kesibukkan’ pada musim perkahwinan
berikutnya. Sepanjang dibonceng untuk dihantar pulang, Mak Andam dah boleh
memikirkan inovasi dan kreativiti untuk solekan. Dengan modal yang ada,paling
kurang bedak sejuk dan gincu akan ganti dengan jenama yang baharu. Mak Andam
tahu benar, apa saja jenama yang digunakan, akan menjadi ikut-ikutan oleh
gadis-gadis kampung. Tanpa, TV, Facebook, Wapps, Instagram, dll, Mak Andam
sebenarnya menjadi individu yang paling berpengaruh untuk melariskan jualan
produk kecantikan yang mungkin menyamai Neelofa pada hari ini.
No comments:
Post a Comment