Rabu, 14 Dis 2011, seawal jam 6.30 pagi, kami bergerak dari B. Penawar. Toyota Unser 1.8 yang dipandu sendat dengan bekalan. Makanan, beg pakaian dan tiga batang joran menjadi ‘penyeri’ perjalanan kami. Sambil melayan Retro Sinar dan sekali-sekali Klasik Nasional (anak-anak menjadi cepat terlelap) perjalanan hanya berhenti untuk mengisi petrol. Muka anak-anak mula ‘mencuka’ bila kenderaan yang dipandu membelok keluar ke tol Jasin menghala ke Bandaraya Bersejarah melalui lebuhraya AMJ yang baharu. Ambil kesempatan untuk hantar bahan cetakan di Bintang Printing di Taman Sri Kandang Melaka. Selesai ‘urusan sekolah’ tersebut, perjalanan diteruskan menuju utara sebaik saja keluar dari tol Ayer Keroh. Ketenangan sepanjang memandu kenderaan yang berusia 11 tahun sekali sekala terganggu dengan deringan telefon Nokia N97 hadiah dari isteri. Anak-anak buah mula ‘memancing’ supaya singgah dahulu di Shah Alam untuk menghilangkan lelah. Melihat daripada reaksi anak-anak khususnya Aiman cadangan mendapat bantahan. Takut hasrat untuk memancing tak kesampaian. Perjalanan mesti diteruskan. Sebaik saja kenderaan melepasi Bukit Jelutong melalui Lebuhraya Guthrie menuju ke Kuala Selangor barulah muka anak-anak ceria semula.
Melepasi Parit Empat Sekincan, mata mula meliar mencari lokasi yang dituju iaitu Homestay Hj Dorani. Anak-anak turut membantu. Bimbang terlajak. Namun, hasrat untuk terus ke homestay terpaksa ditangguhkan sebab perut mula keroncong untuk diisi. Tambahan pula umpan memancing belum dicari. Adik di Shah Alam terpaksa dihubungi untuk mendapatkan maklumat tentang kedai yang menjual umpan di bandar Sungai Besar. Dalam masa yang sama, beberapa’ tip’ memancing di sawah dipelajari melaluinya. Sungai Besar tak banyak berubah. Masih seperti dulu juga. Cuma satu yang isteriku rungutkan, kedai-kedai menjual baju dah ‘hilang’.......nasib baik! Kalau tidak, agenda baru akan masuk dalam atur cara percutian pada kali ini. Sebaik saja meletakkan kenderaan di hadapan KFC, langkah terus menghala ke sebuah kedai menjual peralatan memancing sebagaimana panduan yang diberikan oleh adik. Hasrat untuk membeli anak-anak katak (seperti yang dicadangkan) sebagai umpan tidak kesampaian kerana telah kehabisan. Memandangkan tiada pilihan, terpaksalah membeli umpun-umpun. Aiman yang sedari tadi memerhatikan urusan jual beli umpun-umpun dan beberapa peralatan memancing yang lain mula bersuara. Minta bantuan memasang umpan pada mata kail....geli katanya!.
Selesai mengalas perut dan membeli beberapa keperluan, kami terus menuju ke Kampung Hj Dorani. Hati mula berkocak kegembiraan melihat sawah padi menghijau terbentang luas di hadapan mata. Tanpa ditanya, Ilmu geografi yang dipelajari sehingga kami berdua memperoleh Ijazah pertama di UM, disampaikan kepada anak-anak. Kelat muka mereka mendengarnya. Homestay Hj Dorani kini di depan mata. Selesai berurusan dengan tuan rumah, terus menjengah bilik yang ditempah. Baru terasa penatnya lapan jam memandu dari Bandar Penawar bila melihat bilik kecil yang dilengkapi katil bersaiz sederhana beralaskan kain berona kuning. Hasrat untuk merehatkan badan terbantut, melihat Aiman dan Nazhan terkial-kial menyediakan joran. Puas memujuk supaya aktiviti memancing dimulakan lepas solat Asar, namun tidak diindahkan. Sekali lagi terpaksa mengalah dengan keinginan anak ‘jantan’yang membuak-buak apabila melihat parit-parit kecil di sekitar bendang yang menghijau. Lagi pun inilah sebenarnya hadiah hari lahir Aiman pada tahun ini. Alhamdulillah anak-anak yang lain memahami dan akur walau pun di hati hanya tuhan saja yang tahu perasaannya.
Sesi pertama memancing sangat menghampakan bagi seorang yang tidak begitu minat dengan hobi ini. Demi memenuhi hasrat anak, terpaksa juga menunggu ikan memakan umpan yang dipasang. Dalam hati mengharapkan ada ikan ‘buta’ yang menyambar umpun-umpun yang dibeli dengan harga RM14.00 itu. Dapatlah melegakan sikit rasa penat dan lenguh-lenguh badan. Terik matahari yang membakar tubuh makin terasa bahangnya. Hanya seekor anak ikan haruan yang sederhana kecilnya berjaya dinaikkan. Nikmat ‘pertarungan’ seperti cerita-cerita orang yang kemaruk memancing tidak terasa. Apa yang lebih menyedihkan joran Aiman masih belum mengena. Mukanya mula berkerut. Namun, satu yang perlu dipuji ialah semangatnya masih membara untuk menaikkan mangsa dengan jorannya sendiri. Menjelang maghrib, barulah anak ‘jantan’ kami akur dengan pujukan supaya mandi membersihkan badan. Malam itu, kami sekeluarga tidur selepas penat berjalan-jalan menikmati pemandangan sekitar homestay dengan ditemani cahaya bulan.
Esoknya lepas solat subuh, Aiman membimbit Nikon DSLR turun ke laman. Nak ambil gambar sawah padi yang masih diseliputi kabut. Cantik, katanya. Lepas sarapan di Sungai Besar, sesi memancing diteruskan. Kali ini lokasinya diubah ke Parit Empat Timur Sungai Besar. Harap-harap tidak mengecewakan khususnya untuk Aiman yang tak putus-putus berdoa dapat habuan. Adalah bahan cerita yang nak dibawa balik ke Bandar Penawar. Pantang nampak punca air pasti disuruhnya berhenti. Paling kurang meninjau-ninjau kalau-kalau ada ikan. Sehingga tengah hari nasib masih belum menyebelahi. Kepenatan sudah mula menjengah. Anak-anak yang lain mula merungut kepanasan sebab terlalu lama menunggu di dalam kereta. Aiman masih tetap dengan hasratnya untuk menaikkan walau seekor ikan. Puas dipujuk supaya berkemas namun tidak dipedulikannya. Akhirnya, dalam diam-diam dia berbisik......Yah, maaf ye, sebab Maman, ayah jadi kepenatan. Kekecewaannya dapat kami rasakan. Selamat tinggal Homestay Hj Dorani, ada masa nanti kami dating lagi.