1977 bukan sebarangan tahun. Kalaupun bukan kepada semua, tahun itu amat bermakna kepada Generasi 65 (G65). Tahun itulah menjadi titik mula keremajaan aku dan anak-anak G65. Tahun yang mengubah style dan gaya hidup kami. Gaya berjalan, percakapan, perbualan, pergaulan dan berpakaian. Siapa yang tak teruja, setelah sekian tahun berada di sekolah rendah bergelar ‘murid’, kini kami akan bergelar ‘pelajar’. Pelajar sekolah menengah.
Bertahun kami tunggu. Betapa kami sebenarnya cemburu melihat abang-abang yang terlebih dahulu berbaju putih, berseluar pendek hijau tua. Kakak-kakak pula lengkap berskirt hijau separas lutut dengan dipadankan berbaju putih berlengan pendek. Nampak kemas. Apatah lagi si kakak bertocang dan bersisir rapi. Berstoking yang juga berwarna putih berlipat dua inci di bahagian atas. Penampilan dan gaya merekalah yang membuatkan kami G65 teruja untuk membuka lembaran tahun 1977 ketika itu.
Pada tahun itulah aku dan rakan-rakan akan menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Sekolah Menengah Ayer Baloi (SMAB). Mengikut cerita, sekolahnya dua tingkat, berlantaikan simen. Punya kantin besar dan perpustakaan yang dipenuhi buku. Letaknya di bandar. Pekan Ayer Baloi atau lebih dikenali sebagai Tambor. Akan ada kereta, lori dan bas yang lalu lalang di depan sekolah. Sekolah yang punya pintu pagar. Ada pengawal selain pagar kawat mengelilinginya.
Semuanya menggamit perasaan kami, khususnya anak-anak kampung seperti aku yang masih terlalu asing dengan jalan tar dan kenderaan beroda empat. Kami tak sabar untuk meninggalkan alam kanak-kanak. Alam yang penuh warna warni. Alam yang mengajar aku menyanyi lagu-lagu Inggeris, Baa, Baa, Black Sheep dan twinkle twinkle little star, tanpa mengetahui maksudnya. Tiada lagi skirt dan seluar pendek berwarna biru yang lusuh bertahun dipakai. Guru-gurunya, bangunan berdinding papan bertiang konkrit, dan meja kerusi kayunya juga akan kami tinggalkan. Kami Cuma bawa kenangannya, termasuklah tanda suntikan BCG pada lengan kami yang tak mungkin hilang.
Sepanjang cuti panjang akhir 1976, kami sudah mula bercerita tentang alam baharu. Memasang telinga mendengar perbualan kakak dan abang tentang sekolah menengah. Membayang dan berimaginasi akan guru-gurunya. Memikir style dan gaya penampilan yang bagaimana untuk diketengahkan nanti. Walaupun dalam hati sebenarnya gementar. Suka dan takut berbaur mengocak benak kami. Sambil duduk di atas banir pokok getah, berselimpangkan lastik kayu, teman-teman seusia akan turut bercerita. Kami berkongsi andaian, keseronokan dan angan-angan. Bagi yang tak punya bahan tentang alam sekolah menengah untuk diceritakan, sekadar melopong mendengar penuh teliti.
Emak bapak turut terkena tempias. Sesekali mencuri dengar mereka berbincang membuat perancangan. Persalinan baharu sudah tentu perlu disediakan. Kalau dahulu cukup dengan berjalan kaki, kini kami perlu berbasikal. Paling kurang, bapak akan membelek-belek basikal yang lama bersandar di tiang rumah. Perlu disorong ke kedai untuk dibaikpulih. Mana-mana sendi dan rantai yang kering dimandikan minyak. Yang pusam warnanya akan bersapu cat. Biar nampak baharu untuk anak kesayangan mereka. Kesempitan wang, tidak memungkinkan untuk orang tua kami membeli basikal baharu. Jujur, keresahan mereka mencari sumber untuk menyediakan kelengkapan tak pernah kami peduli. Bagusnya kami pada waktu itu, tak pernah memilih. Apa yang disediakan, kami pakai. Biarpun kadang-kadang kami terpaksa mengenakan busana warisan daripada abang atau kakak, kami reda.
Kami yakin, emak bapak turut gusar. Mahu melepaskan anak-anak seusia 12 tahun berbasikal atau berkenderaan awam bukan perkara mudah. Lebih-lebih lagi yang duduk jauh di pedalaman seperti aku dan teman-teman. Berjam-jam diperlukan untuk kami yang bertubuh kecil kekurangan zat ini mengayuh basikal sebelum sampai ke SMAB. Emak bapak sudah tentu bimbang kalau-kalau basikal yang ditunggangi rosak dipertengahan jalan atau tertinggal bas di pekan. Kebimbangan mereka jarang dikongsi bersama kami. Namun, kami tahu mereka resah. Bagaimana cara nak membantu? Tanpa handphone, tanpa telepon. Semuanya mengharapkan semangat setia kawan. Juga, semangat persahabatan yang dipupuk selama enam tahun di sekolah rendah. Pendek kata, kami benar-benar selapit ketiduran, sebantal sekalang gulu. Paling kurang emak cuma berpesan. Jangan nakal-nakal di sekolah. Jaga air muka emak bapak, jalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak.
Antara yang menjadi igauan ngeri kami ialah penerimaan rakan-rakan baharu. Kami tahu, Sekolah Menengah Ayer Baloi (SMAB), menjadi tempat berkumpulnya anak-anak pra-remaja dari pelbagai tempat. Murid-murid sekolah rendah yang terletak sejauh kawasan Api-Api sehinggalah ke Sanglang bersempadan Benut, akan ditempatkan di SMAB. Sekolah Seri Anom, SK Ayer Baloi, SK Seri Sekawan Desa, SK Seri Senang Hati dan lain-lain akan berada di bawah satu bumbung. Bagaimana penerimaan mereka? Apa yang nak dibualkan? Sombongkah mereka? Bagaimana kami mampu bersaing? Semua itu menjadi topik perbincangan sepanjang cuti sekolah.
Lebih mendebarkan bila ada ,senior-senior, yang membawa cerita kurang enak tentang anak-anak pekan Tambor yang kononnya sukar didampingi, memilih untuk berkawan, menyombong dan bangga diri. Anak-anak SK Ayer Baloi yang dikhabarkan bijak-bijak belaka. Selalu makan roti bersapu kaya dan mentega. Paling kurang, sudah biasa makan telur separuh masak sebelum ke sekolah. Minum MILO bercampur susu awal pagi. Hebat dalam bersukan. Berbanding dengan kami, yang sesekali menjamah sarapan. Menambah angin kembung perut menelan ubi rebus cecah sambal hijau. Secara tidak langsung semua cerita itu, mendorong kami bersedia fizikal dan mental untuk berhadapan dengan dunia baharu dan rakan-rakan baharu!!
No comments:
Post a Comment