Wednesday, December 6, 2017

"Misteri Kereta Putih"


Memang benar-benar misteri kereta ini. Dah beberapa hari aku perhati, masih tidak beralih. Di bawah pohon inilah, dia parking. Sesekali diletaknya di bawah garaj. Sebelum jam sepuluh pagi, aku dah mula perasan kelibatnya. Pernah beberapa kali aku terpandang kereta putih ini kekal begitu posisinya, walaupun jam dah menunjukkan pukul  5 petang. Malah, sehari dua ini sampai ke malam, kereta putih ini tak beralih. 
Suatu hari, usai solat Magrib, aku memberanikan diri untuk menyiasat, apabila terdengar bunyi kerusi ditarik dan sayup2 lagu dari corong radio terpasang. Mana mungkin ada anak-anak SEHEBAT yang datang cuti-cuti sekolah begini. Lebih-lebih lagi bila bunyi yg kedengaran itu dari arah Pusat Sumber sekolah yg terletak pada aras 2, Blok Pentadbiran. 
Hari ini, dah masuk minggu ke-2 cuti persekolahan. Sudah tentu cikgu-cikgu juga sedang mengulit anak-anak supaya lena tidurnya. Atau, mungkin sedang berwisata bersama keluarga. 
Untuk ke tingkat dua, aku perlu melalui lorong kecil yg agak gelap bersebelahan dengan bilik kaunseling. Aku memberanikan diri untuk melihat apa yang sedang berlaku. Dalam masa yang sama, aku perlu berwaspada. 
Sebelum menapak pada anak mata tangga yang pertama, aku mendongak melihat ke atas. Ada pergerakkan…..hidungku juga menangkap bau yg tidak terlalu asing…..cat. Suara dan bunyi kerusi meja ditarik juga semakin jelas. Susuk tubuh manusia sekitar usia 30an juga semakain ketara. 
Tanpa disedari, aku mengambil masa yg agak lama memerhati perlakuannya, sambil  bersandar pada dinding yang cantik bercat baharu berwarna hijau muda. 
“Oh, Tn Haji, ingatkan siapa tadi. Dah beberapa hari ni, tak siap-siap. Tinggal nak touch-up yang bahagian atas. Tu yang guna tangga ni”, Cikgu Sharizan menjelaskan tanpa sempat aku bertanya. 
Dalam hati aku cuma mampu berbisik, aku tak pernah arah dan aku juga tak pernah paksa untuk Cikgu Sharizan datang cuti-cuti sekolah begini

Sunday, July 30, 2017

Part 25 : Generasi G65

1977 bukan sebarangan tahun. Kalaupun bukan kepada semua, tahun itu amat bermakna kepada Generasi 65 (G65). Tahun itulah menjadi titik mula keremajaan aku dan anak-anak G65. Tahun yang mengubah style dan gaya hidup kami. Gaya berjalan, percakapan, perbualan, pergaulan dan berpakaian. Siapa yang tak teruja, setelah sekian tahun berada di sekolah rendah bergelar ‘murid’, kini kami akan bergelar ‘pelajar’. Pelajar sekolah menengah.
Bertahun kami tunggu. Betapa kami sebenarnya cemburu melihat abang-abang yang terlebih dahulu berbaju putih, berseluar pendek hijau tua. Kakak-kakak pula lengkap berskirt hijau separas lutut dengan dipadankan berbaju putih berlengan pendek. Nampak kemas. Apatah lagi si kakak bertocang dan bersisir rapi. Berstoking yang juga berwarna putih berlipat dua inci di bahagian atas. Penampilan dan gaya merekalah yang membuatkan kami G65 teruja untuk membuka lembaran tahun 1977 ketika itu.
Pada tahun itulah aku dan rakan-rakan akan menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Sekolah Menengah Ayer Baloi (SMAB). Mengikut cerita, sekolahnya dua tingkat, berlantaikan simen. Punya kantin besar dan perpustakaan yang dipenuhi buku. Letaknya di bandar. Pekan Ayer Baloi atau lebih dikenali sebagai Tambor. Akan ada kereta, lori dan bas yang lalu lalang di depan sekolah. Sekolah yang punya pintu pagar. Ada pengawal selain pagar kawat mengelilinginya.
Semuanya menggamit perasaan kami, khususnya anak-anak kampung seperti aku yang masih terlalu asing dengan jalan tar dan kenderaan beroda empat. Kami tak sabar untuk meninggalkan alam kanak-kanak. Alam yang penuh warna warni. Alam yang mengajar aku menyanyi lagu-lagu Inggeris, Baa, Baa, Black Sheep dan twinkle twinkle little star, tanpa mengetahui maksudnya. Tiada lagi skirt dan seluar pendek berwarna biru yang lusuh bertahun dipakai. Guru-gurunya, bangunan berdinding papan bertiang konkrit, dan meja kerusi kayunya juga akan kami tinggalkan. Kami Cuma bawa kenangannya, termasuklah tanda suntikan BCG pada lengan kami yang tak mungkin hilang.
Sepanjang cuti panjang akhir 1976, kami sudah mula bercerita tentang alam baharu. Memasang telinga mendengar perbualan kakak dan abang tentang sekolah menengah. Membayang dan berimaginasi akan guru-gurunya. Memikir style dan gaya penampilan yang bagaimana untuk diketengahkan nanti. Walaupun dalam hati sebenarnya gementar. Suka dan takut berbaur mengocak benak kami. Sambil duduk di atas banir pokok getah, berselimpangkan lastik kayu, teman-teman seusia akan turut bercerita. Kami berkongsi andaian, keseronokan dan angan-angan. Bagi yang tak punya bahan tentang alam sekolah menengah untuk diceritakan, sekadar melopong mendengar penuh teliti.
Emak bapak turut terkena tempias. Sesekali mencuri dengar mereka berbincang membuat perancangan. Persalinan baharu sudah tentu perlu disediakan. Kalau dahulu cukup dengan berjalan kaki, kini kami perlu berbasikal. Paling kurang, bapak akan membelek-belek basikal yang lama bersandar di tiang rumah. Perlu disorong ke kedai untuk dibaikpulih. Mana-mana sendi dan rantai yang kering dimandikan minyak. Yang pusam warnanya akan bersapu cat. Biar nampak baharu untuk anak kesayangan mereka. Kesempitan wang, tidak memungkinkan untuk orang tua kami membeli basikal baharu. Jujur, keresahan mereka mencari sumber untuk menyediakan kelengkapan tak pernah kami peduli. Bagusnya kami pada waktu itu, tak pernah memilih. Apa yang disediakan, kami pakai. Biarpun kadang-kadang kami terpaksa mengenakan busana warisan daripada abang atau kakak, kami reda.
Kami yakin, emak bapak turut gusar. Mahu melepaskan anak-anak seusia 12 tahun berbasikal atau berkenderaan awam bukan perkara mudah. Lebih-lebih lagi yang duduk jauh di pedalaman seperti aku dan teman-teman. Berjam-jam diperlukan untuk kami yang bertubuh kecil kekurangan zat ini mengayuh basikal sebelum sampai ke SMAB. Emak bapak sudah tentu bimbang kalau-kalau basikal yang ditunggangi rosak dipertengahan jalan atau tertinggal bas di pekan. Kebimbangan mereka jarang dikongsi bersama kami. Namun, kami tahu mereka resah. Bagaimana cara nak membantu? Tanpa handphone, tanpa telepon. Semuanya mengharapkan semangat setia kawan. Juga, semangat persahabatan yang dipupuk selama enam tahun di sekolah rendah. Pendek kata, kami benar-benar selapit ketiduran, sebantal sekalang gulu. Paling kurang emak cuma berpesan. Jangan nakal-nakal di sekolah. Jaga air muka emak bapak, jalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak.
Antara yang menjadi igauan ngeri kami ialah penerimaan rakan-rakan baharu. Kami tahu, Sekolah Menengah Ayer Baloi (SMAB), menjadi tempat berkumpulnya anak-anak pra-remaja dari pelbagai tempat. Murid-murid sekolah rendah yang terletak sejauh kawasan Api-Api sehinggalah ke Sanglang bersempadan Benut, akan ditempatkan di SMAB. Sekolah Seri Anom, SK Ayer Baloi, SK Seri Sekawan Desa, SK Seri Senang Hati dan lain-lain akan berada di bawah satu bumbung. Bagaimana penerimaan mereka? Apa yang nak dibualkan? Sombongkah mereka? Bagaimana kami mampu bersaing? Semua itu menjadi topik perbincangan sepanjang cuti sekolah.
Lebih mendebarkan bila ada ,senior-senior, yang membawa cerita kurang enak tentang anak-anak pekan Tambor yang kononnya sukar didampingi, memilih untuk berkawan, menyombong dan bangga diri. Anak-anak SK Ayer Baloi yang dikhabarkan bijak-bijak belaka. Selalu makan roti bersapu kaya dan mentega. Paling kurang, sudah biasa makan telur separuh masak sebelum ke sekolah. Minum MILO bercampur susu awal pagi. Hebat dalam bersukan. Berbanding dengan kami, yang sesekali menjamah sarapan. Menambah angin kembung perut menelan ubi rebus cecah sambal hijau. Secara tidak langsung semua cerita itu, mendorong kami bersedia fizikal dan mental untuk berhadapan dengan dunia baharu dan rakan-rakan baharu!!

Part 24 : Kemenjadian

Kalau nak diikutkan bakat & potensi pada zaman persekolahannya, bidang yg diceburi jauh dari kebolehannya. Secara akademik, Mamat ni dahulu ngaji Quran Sunnah, Tasawur Islam, Bahasa Arab di samping subjek wajib yg lain.
Tulisan khatnya antara yg aku kagumi. Terbaik. Menghiasi kebanyakkan tembok, tiang dan alang bangunan sekolah, terutama surau.
Tulisaan khat SMKABP yg diguna sebagai kepala surat rasmi sekolah, awalnya adalah buah tangan Mamat ni. Aku yang suruh dia buat. Masa tu, belum ada perisian komputer seperti sekarang. Kalau ada pun, mungkin aku tak tahu @ mahir.
Depan aku, selamba dia selesaikan tugasannya bila aku suruh dia tulis nama rumah2 sukan utk dicetak pada tshirt rasmi sekolah. Begitu juga pada bendera SMKABP. Kemahirannya adalah anugerah Allah. Jujur, aku sangat kagum.
Itu yang aku membayangkan Mamat ni akan jadi ustaz. Ajar ilmu akhirat dan tulisan jawi.Sesuai dengan aliran yg diikuti di SMKABP.
Penglibatannya dlm koko pun tidak le menonjol. Kecuali dalam pertandingan khat, yang lain sekadar riuh2 gitu sahaja. Tendang bola pun tak begitu lancar sangat. Posisi mana pun aku dah lupa.
Cuma yg aku perasan, Mamat ni masuk KRS. Korhot terawal 93/94. Pakai seluar celoreng dan kasut kawad. Itu le mungkin yg jadi kebanggannya. Potensi dan minatnya mungkin ada di situ. Aku yang tak perasaan. Aku yang abaikan. Malah, ilmu yg aku bagi sebagai guru penasihatnya pun bukan le betul sangat.
Hakikatnya, ketetapan Allah tak akan ada sesiapa yg boleh jangka. Allah dah tentukan rezekinya. Bukan sahaja menjadi saudagar perabut jati yg punya rangkaian di seluruh Johor, mamat ni juga menjadi chef di restorannya di Tmn Bukit Indah. Degreenya pun, tak ada kaitan dgn tulisan khat atau paling kurang Quran Sunnah.
Paling aku kagumi, Mamat ni seorang pendaki gunung. Bukan calang2. Semua puncak gunung di dunia ini dah ditawannya. Bukan sekadar berlagu2 syahdu yg menjadi retorik.
Berkesempatan bertemu dengannya, aku cuma mampu mendengar cerita pengalamannya panjat gunung. Istilah2nya yg juga amat sukar utk aku hadam.
Terbaharu, Mamat ni dah mula diiktiraf antara mahaguru pendaki gunung. Tulisannya menjadi panduan. Memiliki hati budi yg luhur membantu rakan. Semoga misi Khafiz Al-Kicok berjaya dan sentiasa di lindungi Allah.
Kepada Allah sahaja yg mampu kita serahkan segala perancangan dan amalan. Syabas.

SEHEBAT... bitara dan berbudaya

 ....nyaman

 .... tenang

 ..... asyik

.... damai

Sunday, July 9, 2017

Part 22 : Hanya di JDT


'FASAL PADA MENYATAKAN HUKUM SEMBAHYANG QASAR DAN JAMAKNYA'
.....kemudian, jika adalah permulaan safarnya yang tersebut itu tempat kediamannya, putuslah safarnya samada diniat iqamah yakni berhenti padanya atau tiada dan samada baginya hajat padanya atau tiada........
.....jika ada baginya hajat yang diketahui akan bahawasanya hajatnya telah selesai pada empat hari maka jika tiada baginya hajat segala-segala, putuslah safarnya dengan berhentinya dan meninggal akan perjalanan....
Petikan Matla' Al-Badrain.
Kitab wajib sekolah agama kerajaan Johor. Aku & rakan2 berhempas pulas menghadamnya seawal usia 12 tahun (drj. 4 sekolah agama). Segala hukum hakam Al-Jenayat, At-Taharah, Al-Faraid, Al-Munakahat, Al-Muamalat dll dihurai guna bahasa yg sangat asing. Tanpa tanda baca, ayat yg berjela, berselang seli dgn dalil2 tanpa baris, dan bertulisan jawi, menjadikannya terlalu rumit utk disebut. Jauh sekali untuk difahami.
Dan...aku antara yg selalu dipilih utk membacanya. Arwah Ustaz Tawil akan khusuk menghurai mengikut perenggan dengan rotan sepanjang 2 kaki digenggam erat ditangan. Sesekali rotan yg pecah di hujung diketuknya pada meja, terutama jika ada rakan2 yg terlelap pada sesi persekolahan yg bermula jam 2 petang. Kaedah baca dan hurai diwariskan kpd ustaz2 selepas itu.
Matla' Al-Badrain, setebal 1 inci juga menjadi kitab yg akan diwirisi. Muka kitab yg lunyai jadi bukti pentingnya kitab lama ini. Bagi menambah kefahaman, pada ruang kiri dan kanan muka surat akan dipenuhi dengan catatan tambahan. Itupun blm pasti boleh difahami. Menghilangkan boring, ruangan itu juga menjadi tempat utk aku berkreativiti.
'Open book test' secara tersembunyi dan terlarang setiap kali periksa pun masih blm mampu 'meluluskan' pelakunya. Biasanya pelaku tak cukup masa utk mencari muka surat. Apatah lagi sub-topik yg ditanya dlm kertas2 soalan.
Dengan membimbit Matla' Al-Badrain, pastinya boleh memutik rasa riak bila berselisih dgn junior2 darjah 1,2 &3. Biarpun belum pasti memahaminya.....kini Matla' Al-Badrain, bertulis rumi. Namun, lenggok bahasanya masih kelak sama.

Ramadan Part 20:‘Perantau, Kereta & Seekor Ikan Tongkol’


Balik kampung dan Syawal tak boleh dipisahkan. Umpama garam dalam masakan.
Akhir 70an, keseronakan balik beraya bukan sahaja dinanti oleh ahli keluarga tetapi seluruh penduduk kampung akan turut merasainya. Almaklum, tak berapa kerat penduduk kampung yg merantau atau bekerja di luar. Dgn jumlah keluarga yg boleh dikira dengan jari, kepulangan perantau akan disambut.
Anak sipulan yg kerja di bandar dah balik. Satu kampung akan tahu. Cerita sipulan dah balik kampung dicanang dari mulut ke mulut. Biasanya ahli keluarga akan menunggunya di pekan Jelotong, kedai Ah Lip. Sama ada bermotorsikal atau berbasikal. Kalau perkhabaran tak sampai ke telinga, perantau akan berjalan kaki dari pekan.
Tanpa telepon, surat akan menjadi medium memberitahu kepulangannya bebarapa hari sebelum. Malah seminggu dua sebelum balik kampung, ahli keluarga dah mula pukul canang.
Memandangkan jalan masuk ke kampung hanya utk kenderaan beroda dua, maka yg berkereta (terlalu sedikit yg punya kereta sendiri..biasanya yg dibawa balik ialah kereta majikan) akan meletakkan kenderaannya di luar.
Kereta itulah nanti yg akan menjadi tumpuan anak2 kampung. Sanggup berbasikal beramai2 semata2 mengambil peluang memandangnya dari jauh atau dibelek2 tanpa menyentuhnya. Jika kebetulan enjin kereta dihidupkan, cukup untuk menggetarkan jantung kami, anak2 yg punya keinginan tinggi utk menjadi manusia serba tahu.
Bentuk, warna dan saiz kereta akan diberitakan pd mereka yg x berkesempatan melihatnya. Pada emak dan pada bapak. Biar mereka tahu. Usai solat Aidil Fitri cerita tentang sipulan balik bawa kereta akan tular dlm kalangan jemaah. Tumpang bangga emak bapak yg mendengarnya.
Penduduk kampung yg ‘terlebih’ prihatin kadang2 turut mengetahui buah tangan yg dibawa oleh para perantau yg balik beraya. Buah anggur, limau & epal menjadi ‘cangkingan’ mereka yg pulang dari Spore. Begitu juga dengan buah2an di dalam tin.
Sebagai anak kg yg agak mustahil utk merasa buah 'super mewah' ini, cuma boleh mengharap kalau2 disajikan bila aku dan teman berkunjung raya. Ada juga yg pulang berjalan kaki sambil menjinjit ikan2 ‘besar’ tongkol atau pari yg dibungkus dengan surat khabar sebelum diikat menggunakan tali rapia. Sama ada berniat mahu bermegah & menunjuk pd org kampung, wallahualam. Aku tak pasti.
Sebagai budak kecil, aku cuma menganggap perantau yg balik kampung sebagai orang2 kaya dan berharta. Berseluar panjang bellbottom, berbaju kemeja lengan panjang, bertali pinggang selebar 2 inci dan berkasut kulit kilat berkiwi, sudah cukup memutik rasa hormat penduduk kampung sepanjang lebaran yang menjelang.
Pada perantau inilah aku mengharap 10 @ 20 sen duit raya yg akan aku ikat kemas pada bucu sapu tangan atau aku selit pada songkok hitam yg separuh lusuh.
.......meriahnya Syawal

Ramadan Part 19 : AYAM!!


Dahulu, menyajikan hidangan raya bermenukan daging ayam sudah cukup menjadi kebanggaan. Hanya keluarga yg berada sahaja mampu membeli daging lembu sebagai tambahan utk dibuat rendang.
Beberapa minggu sebelum raya, bapak dah kenal pasti ayam mana nak disembelih. Sasaran bapak jelas, tak berubah. Biasanya, bapak akan memilih seekor ayam ‘jaguh’ & beberapa ekor ayam betina.
Utk dimasak sempena raya & monjong2, cukup 4@5 ekor akan menjadi mangsa parang yg diasah tajam. Hebatnya orang dulu2 ialah mampu mengenalpasti ayam yg menjadi empunya walaupun membesarnya bebas bercampur dgn ayam2 jiran.
Dapat sahaja isyarat drp bapak, aku akan mula operasi. Aku akan beritahu rakan2 ayam yg akan jadi mangsa. Walaupun boleh ditangkap menggunakan kaedah jerat, tetapi kami lebih suka menggunakan kaedah kejar dan kepung.
Lebih seronok dan mencabar. Memang nampak spt ‘kejam’, tapi itulah cara yg paling digemari kerana boleh menghasilkan kemeriaham jiran tetangga. Ayam yg menjadi sasaran akan dikejar keliling rumah. Dihambat ke setiap ceruk sehingga ayam lembik dan tak daya melarikan diri. Nasib x baik kepala terantuk kat gelegar atau tiang rumah. Dlm bab mengajar ayam ne, kaki luka tertusuk duri dah jadi lumrah. Akan jadi bahan utk cerita dgn kawan2 bila naik sekolah.
4 @ 5 orang akan membuat kepungan. Halakan pergerakkan ayam ke suatu sudut. Ayam akan terduduk lesu. Bagi yg masih liar, kami akan terus mengejarnya. Kami akan baling dgn menggunakan pelbagai objek. Asal jgn smpi ayam tu mati bagi memudahkan kami menangkapnya.
Paling puas bila larian ayam menuju ke banir pokok. Ayam akan tersepit sebelum kami dgn penuh bangga mencekupnya. Seolah2 tahu dirinya akan menjadi mangsa pisau tajam bapak, siayam cuba sedaya mungkin menyelamatkan diri. Malah ada yg terbang dan ‘berehat’ di dahan pokok atau bumbung. Kami tetap akan tunggu sambil berusaha memastikan ayam turun utk meneruskan ‘permainan’.
Bapak akan menyembelihnya sebelum ayam2 berkenaan direndam seketika ke dalam air yg panas mendidih. Ada ketikanya ayam menjadi bangkai lalu terpaksa ditanam , bila urat nadinya tak terputus.
Kami akan bersama2 mencabut bulu dan membersihkan organ dalaman. Kecuali najis, hempedu, kuku, paruh dan kulit kaki, tak ada bahagian ayam yg terbuang. Semua akan dimanfaatkan utk masakan bagi santapan kami sekeluarga pada pagi raya. Utk membersihkan najis dalam usus, kami akan menggunakan batang keladi. Usus ayam akan kami siat dan kikis. Ada kalanya ayam tak terus disembelih, kerana kami akan masukkannya ke dalam kurungan menunggu Penyimpan Mohor Besar Raja2 membuat pengumuman permulaan Syawal di radio berbeteri eveready cap kucing.
................meriahnya Syawal.

Wednesday, June 21, 2017

Ramadan Part18 : Dengang Perantau.

Lagu-lagu raya dah mula berkumandang. Bertambah kerap disiarkan bila lebaran semakin hampir. Ada yang tak ambil pusing, dengan berputarnya lagu2 raya di radio. Mungkin kerana adanya teknologi, maka lagu-lagu raya dah kurang 'sentimental value'nya, sebab boleh diulang putar bila-bila masa. Mungkin juga, kerana irama dan melodinya tak begitu sangkut pada gegendang telinga pendengar generasi baharu. Dahulu, aku tak boleh bayangkan suasana raya tanpa Dendan Perantau (P. Ramli),  Musafir Di Aidil Fitri (S.Jibeng), Selamat Hari Raya (Ahmad Jais), Selamat Hari Raya (Fazidah Joned, Sanisah Huri atau Saloma). Lagu-lagunya akan sentiasa ditunggu-tunggu. Walaupun liriknya agak mudah, melodinya mampu mengetarkan cuping telinga. Aku akan mencuri dengar dendangan lagu-lagu ini dari corong radio jiran sebelah rumah yang juga sepupu aku (Arwah Abg Ngadiman). Radionya jauh lebih berkualiti berbanding radio keluarga kami, yang semput2 bila baterinya lemah (bateri eveready cap kucing berwarna merah). Lagu-lagu inilah yang kami layan sambil mengacau dodol atau mengisi beras dalam kelongsong ketupat. Senikata yang dinyanyikan benar-benar dekat dengan suasana, jiwa dan kemeriahan lebaran. Anak-anak kecil yang masih pelat pun, akan cuba mengalunkan lagu-lagu raya....'menyuci hening dosa' (Ahmad Jais), pun disebut 'menyuci anjing dosa'!!!. Begitulah hebatnya 'pukulan' lagu-lagu raya zaman dahulu.    

RAMADAN PART 17 : 'Panjut @ pelita'

Apapun istilah dan sebutannya, panjut @ pelita tetap dikaitkan dengan hari lebaran. Walaupun ada tanggapan panjut @ pelita punya pengaruh hindu, namun agak sukar utk dibuktikan kebenarannya.
Pada aku, panjut @ pelita sekadar tradisi turun temurun. Dipasang pada hari2 terakhir Ramadan, khususnya mulai malam ke-27. Malam yg sebenarnya gelap gelita tanpa bulan yg boleh menyinari.
Apatah lagi di kampung yang tiada kemudahan elektrik spt hari ini. Maka, panjut @ pelita menjadi sangat penting utk menerangi jalan. Jalan yg diguna penduduk utk pergi dan balik ke masjid selain menjadi perhiasan. Membezakan suasana hari2 biasa dengan perayaan.
Dulu panjut @ pelita tak ada yg dibeli. Semuanya dibuatnya sendiri. Guna tin susu. Susu cop junjung. Gambar perempuan Belanda menjunjung baldi. Bagi yg mampu, akan guna buluh.
Pertengahan Ramadan dah mula kumpul tin2 susu. Cari di tempat pembuangan sampah. Ditebuk tengah utk dipasang sumbu. Sumbu dari kain kapas atau tali guni berwarna coklat.
Sebelum itu, sudu zink yg biasanya diguna utk susu getah digulung kemas, sebagai perumah tali sumbu. Dah siap, pelita akan diisi dengan minyak tanah. Memang saban tahun bapak akan beli satu tin besar minyak tanah utk persediaan raya. Minyak tanah dipindahkan dari tin besar ke dalam botol kaca menggunakan pam @ ompor.
Dalam masa yg sama, tiang2 utk diletakkan pelita perlu disediakan. Kayu2 yg lurus dipotong sebelum dipakukan papan di bahagian atasnya. Bagi yg kreatif, tiang2 pelita direka siap dengan penutup bagi mengelak hujan. Dipacak sepanjang jalan. Namun tak akan melepasi sempadan tanah orang.
Lepas berbuka akan meriahlah anak2 kg berpesta memasang pelita. Cantik!! api pelita yg melintuk2 ditiup angin, membantu menerangi jalan utk penduduk yg berbasikal atau berjalan kaki ke masjid atau yg ingin berziarah pada malam2 hari lebaran.
Pelita itu juga yang kami guna utk membakar mercun dan bunga api.
Kini, evolusi panjut @ pelita berlaku mengikut zaman. Daripada diletak di atas papan,pelita diikat dawai utk digantung pada paku. Tiada lagi tin2 susu cap junjung. Semua telah tersedia di kedai.
Tak perlu lagi guna minyak tanah. Guna kabel dan mentol lap lip bersumberkan elektrik. Cukup dengan on off suiz dlm rumah.....tiada lagi anak2 yg berkumpul dan memeriahkan jalanan lepas berbuka. Semuanya khusuk melayan Astro dan gajet atau menyiapkan kerja rumah agar tak dimarahi oleh ibu guru......................indahnya Ramadan.
LikeShow more reactions
Comment

RAMADAN PART 16 : 'Monjong2 @ Ponjongan'

Hari ini berbuka dengan ponjongan. Ada jiran monjong2. Mungkin asal tujuannya dulu utk bertukar2 juadah. Akhirnya, menjadi tradisi komuniti Jawa yg sukar dipisahkan.
Bermula pada 10 hari terakhir Ramadan hinggalah malam raya, aktiviti monjong2 makin galak . Memang ditunggu2 oleh semua.
Dahulu monjong2 menggunakan rantang bertingkat. Sama ada dibuat drp almunium atau zink, made in China. Pelbagai warna, biasanya kuning, putih dan merah. Seingat aku, setiap rantang ada 4 tingkat dengan saiz yg berbeza2. Ada satu yang agak tinggi dari yg lain, gunanya untuk isi nasi. Letaknya duduknya di tingkat yg paling bawah.
Setiap rumah mesti mempunyai koleksi rantang dlm simpanan. Namun, bila turn monjong2, biasanya akan meminjam dari jiran tetangga. Mengelakkan hilang atau tertukar, empunya akan meletakkan tanda. Biasanya diikat dengan tali rapia. Inilah hebatnya silaturahim orang dulu2. Pinjam meminjam dan berkongsi peralatan menjadi suatu yg biasa.
Sebab itu, untuk aktiviti monjong2, mereka akan berunding terlebih dahulu agar tidak bertembung. Namun, semakin menghampiri lebaran, pertembungan akan tetap berlaku. Maka akan berlonggoklah lauk pauk utk hari itu.
Menu untuk monjong2 biasanya lebih kurang sama dgn nasi ambeng. Cuma ada tambahan lauk berkuah berasaskan daging ayam. Kenapa monjong2 terlalu istemewa? Dahulu untuk menjamah hidangan yg sedap2 sangat sukar. Apatah lagi nak merasa makan berlaukan daging ayam. Hanya jika ada keramaian dan perayaan barulah kami dpt menjamahnya. Daging ayam menjadi makanan super mewah.
Monjong2 biasanya hanya untuk keluarga yg dianggap rapat sahaja. Saiz ponjongan juga kadang2 berbeza. Saudara terdekat biasanya akan ditambah ketulan daging ayamnya. Guna rantang yang paling besar.
Saiz ponjongan juga bergantung kepada saiz keluarga. Uniknya, sesiapa yg dapat ponjongan, akan sedaya upaya membalasnya.
Sama ada berjalan kaki atau berbasikal, aku akan bergerak dari rumah ke rumah yg terpilih bersama rantang2 berisi lauk pauk dan nasi. Bangga dan gembira.
Melalui monjong2, aku dapat mengenali dan membezakan keluarga dan saudara rapat di kampung. Ada rezeki, kadang2 tuan rumah hulur 10 atau 20 sen sebagai upah. Boleh guna untuk main tikam2 bunga api dan mercun.....indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 15 : 'Ngeblok Endok'



Sehingga kini, aku tak dapat mencari maksud yg paling tepat ‘ngeblok endok’. Seperti mengacau dodol, ngeblok endok untuk membuat kuih bahulu cermai jadi penanda aras bahawa lebaran sudah makin hampir.
50 atau 60 biji telur akan dipecahkan. Diadun bersama tepung, gula pasir dan sedikit isin vanila. Dipukul menggunakan spring kawat berbentuk kon, bertangkai kayu.
Semua adunan dimasukkan ke dalam pasu seramik besar berwarna kuning. Biasanya, pasu besar ini akan dikongsi milik bersama jiran tetangga. Sebab itu mereka akan menetapkan hari utk ngeblok endok, agar tidak bertembung antara satu sama lain.
Aku bersama kakak akan ngeblok @ memukulnya tanpa henti. Makin lama dipukul, adunan akan sebati, bertukar warna menjadi putih dan semakin berat. Emak akan masukkan ke dalam acuan bahulu dgn berhati2. Acuan berbentuk bulat dari tembaga. Punya beberapa bekas pelbagai bentuk. Yang aku ingat ialah manggis dan ikan.
Adunan akan dibakar guna bara api. Biasanya emak akan guna tempurung atau kayu rambutan sebagai pembakarnya. Aku hanya ditugaskan untuk memastikan bara sentiasa hidup. Sama ada ditiup atau dikipaskan.
Bau harum bahulu cermai yang dibakar, menjadi menjadi cabaran besar buat aku. Emak akan buat peraturan ketat, hanya bahulu yang hangit sahaja yang boleh dimakan oleh kami adik beradik bila masuk waktu berbuka. Bahulu yg elok akan dibiarkan seketika sebelum disusun dlm tin biskut.
Untuk memberi tanda keluarga yang dah mula membuat kuih raya, biasanya cengkerang telur akan diletakkan pada pucuk daun nanas atau daun lidah buaya.....indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 14 : "Baju Raya Bertulang Belut"

Tidak seperti zaman sekarang, kami adik beradik tak pernah diberi peluang utk memilih baju raya. Baik dari segi warna atau pun fesyennya aku tak pernah ambil pusing. Tiada bertema2, yg penting baju baru.
Aku terlalu teruja bila emak mula mengunting kain untuk baju teluk belangaku. Memang emak jahit sendiri baju kami. Biasanya emak akan lekatkan kain yg dijahit pada bantal sebagai alas.
Hati semakin berbunga2 bila emak mula menebuk bahagian kepala. Setelah berulang kali dicuba emak akan mula tekun menjahit tulang belutnya. Halus jahitan emak. Proses terakhir ialah meletakkan kocek pada baju.
Dah siap, emak akan rendam dengan kanji. Kalau x silap cairan tepung ubi. Supaya baju tak mudah berkedut selepas digosok dengan seterika arang kayu.
Pernah sekitar tahun 70an emak membuatkan aku sepasang baju biru muda dari kain cotton. Malah Sampingnya pun dari kain yg sama, biru muda. Dipadankan dengan songkok dan selipar Jepun tebal 2 inci (pernah suatu ketika, trend selipar Jepun tebal2 dan berwarna warni).
Kasut khas utk raya? bapak tak pernah beli. Kalau beli pun, beli kasut sekolah...kasut raya merangkap kasut sekolah. Itupun aku x pernah ikut ke kedai. Bapak akan guna tali rapia utk ukuran.
Biasanya bapak akan beli kasut yg bersaiz lebih besar, agar boleh dipakai lama. Bahagian yang longgar akan disumbat dengan kertas. Lps raya kasut akan dibungkus semula dgn plastik, menunggu persekolahan dibuka. Kasut tetap dipadankan dgn stoking. Juga stoking putih sekolah.
Busana yg lain, aku pakai yg lama2 atau baju2 warisan yg masih sesuai. Emak akan tetas jahitannya, jika baju atau seluar yg ada tu sempit. Emak akan rendam dan basuh. Aku tetap reda menyambut raya dengan busana yg ada. Indahnya Ramadan & Syawal.

RAMADAN PART 13 : "Kad Raya"


Pagi tadi staf pejabat meletakkan sampul surat putih berstem 50 sen di atas meja. Aku amati tulisannya, kenal sungguh. Sejak sama2 dibangku sekolah lagi bentuknya tak berubah. Saban tahun kad rayanya antara yg pertama aku terima. Tak pernah jemu. Aku sendiri tak mampu nak membalasnya.Walaupun, cuma sekeping kad.
Dulu kad seumpama inilah yg ditunggu2 menjelangnya Aidil Fitri. Sama obsesnya seperti bermain meriam dan bunga api. Apa makna raya tanpa kad pengganti diri. Tak mampu nak beli, kami reka dan lukis sendiri. Biasanya gambar masjid...Masjid Negara atau Masjid Ubudiah atau gambar pemandangan rumah tepi pantai. Ada matahari yg bersinar dicelah2 pergunungan.
Kami lukis. Kami tambah dengan kata2 atau pantun raya. Kami karang guna bahasa yg paling cantik. Tunjuk kat kawan2. Kad kami berikan pada rakan2 rapat. Sama ada serah sendiri atau melalui orang lain.
Kami bermaaf-maafan melalui kad raya. Berbulan menjadi ‘musuh’ boleh bertegur sapa kerana sekeping kad raya. Akhir 70an, bila ada ahli keluarga yg menetap di luar negara, kad rayanya kami nanti. Sekeluarga akan duduk berkumpul membacanya. Emak sebak, bapak berusaha menggagahi hati. Juga kad raya dari sepupu2 seberang tambak. Rasa cukup berharga dengan sekeping kad raya.
Bila usia dah masuk pra remaja, aku mula kumpul duit. Beli kad raya yg murah2. Gambar pemandangan, kucing, pelita dan bunga2. Aku bagi pada kawan2, sanak saudara dan guru2 yg punya alamat lengkap. Bersetem 10 sen utk sampul terbuka dan 15 sen sampul tertutup.
Nikmat dan gembira bila menerima kad raya. Setiap petang menunggu kad raya di kedai yg menjadi wakil pos di kampung. Kami kumpul dan sematkan pada dinding papan berdekatan pintu utama. Atau, cari ranting kayu sebagai tempat menggantung. Saban hari maklumkan pada rakan2 jumlah kad yg telah diterima. Terasa tinggi darjatnya kalau jumlah kad yg dikumpul melebihi orang lain. Kini tradisi kad raya semakin sepi..
Terima kasih sahabatku Md Nor Shamat yg tak pernah putus mengirim kad raya...maaf zahir batin. Juga kepada sepupu Jamal Toha yg dahulunya beralamat di Alexandra Road Spore.....indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 12: "Lebaran & Meriam Pinang"

Part 12

Aku tak pernah bayangkan, lebaran tanpa mercun, bunga api dan meriam. Apatah lagi pada kehidupan anak2 desa, 4 dekad yg lalu.
Rasanya, tiada seorang pun individu pasca kanak2 yg tidak terlibat dgn permainan ini. Semuanya pernah merasai kenikmatannya. Kalau tidak, masakan aku bersama 4 atau 5 orang teman seusia sanggup meredah belukar kecil mencari pokok pinang liar utk ditebang.
Pokok pinang setinggi 30 - 40 kaki, kami gergaji. Potong2 utk dikongsi. Kami seret atau angkat beramai2 menggunakan basikal. Untuk mengeluarkan batang2 pinang dari kebun, memerlukan 2 atau 3 hari.
Tanpa bantuan org dewasa, kami menguruskannya dgn penuh kreativiti & berhati2. Berbincang mencari idea bersama teman, untuk mencipta meriam yg bunyinya mampu mengegar telinga. Kami berinovasi mencuba idea2 baharu. Mengubah suai melalui pemerhatian & pengalaman.
Kami bergotong royong membuang empulur. Menariknya keluar menggunakan kayu panjang yang berpaku di hujung. Mengikat kuat batang pinang menggunakan getah tiup motosikal yg kami ambil dari kedai arwah Paman Sam di pekan. Yg lebih otai akan mengikatnya dengan rantai basikal.
Pendek kata, untuk memastikan meriam pinang dapat dimainkan menjelang raya, awal Ramadan kami dah mula menguruskannya.
Dalam masa yang sama, kami akan sama2 mengumpul duit utk membeli karbait. Bahan terpenting utk meledakkan meriam pinang kami.
Bagi yg belum cukup ‘kejantannya’, memadai bermain meriam buluh atau meriam tanah. Menggunakan tin2 susu yg ditanam sebelum dicucuh api pada lubang yg ditebuk ditengah. Tin akan melambung tinggi berserta letupan yg sederhana kuat.
Peliknya, walaupun usia kami rata2 antara 11,12 &13 tahun, emak bapak tak begitu serius menghalang. Malah, sepanjang yg aku ingat, tak ada sesiapa pun antara kami ditimpa kecelakaan. Jauh sekali beraya di hospital.
Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 11: "Aku & Pucuk Meranti"


Bapak seorang petani tulen. Bukan setakat penoreh getah dan pekebun nanas. Bapak juga bercucuk tanam. Keladi, keledek apatah lagi ubi, kami x pernah beli. Halia, timun, tomato, kangkung, kacang panjang dan meranti juga bapak usahakan.
Tanpa pernah merasa duduk di bangku sekolah, itu yang bapak mampu. Modal membesarkan kami 8 beradik. Tangannya sejuk utk berbudi pada tanah. Panennya tak pernah mengecewakan.
Walaupun x pandai membaca, bapak hebat dlm mencongak. Bapak akan pastikan semua yg ditanam boleh dituai hasilnya terutamanya pada bulan Ramadan.
Balik sekolah agama, hasil mahsul bapak dah tersedia. Bapak akan susun di ruang dapur mengadap pintu tengah. Jarang sekali bapak guna penimbang. Bapak cuma guna cekak dan longgok.
Agak bapak resa tak puas hati, bapak akan tambah. Kacang panjang, timun, meranti dan sayuran lain, bapak ikat guna tali pisang (kulit pokok pisang yang disiat2 sebelum dikeringkan). Lepas itu disusun dlm bakul sebelum diikat pada belakang basikal kargonya. Usai sekolah petang (agama), aku akan memulakan tugas menjaja keliling kampung.
Tomato dan halia, bapak jual pada peraih berbangsa cina. Kaw Ti namanya. Rakan mesra bapak. Sama2 pekebun sayur.
Memang letih menyelusuri dari rumah ke rumah dengan berbasikal yang lebih besar dan berat daripada tubuhku yg kedengking kecil. Lebih2 lagi dlm keadaan berpuasa.
Utk lebih cepat, biasanya aku akan guna jalan shortcut. Melintas dari kebun ke kebun. Tak perlu ikut jalan besar. Gembira sungguh jika ada yang membeli. Berganda sukanya jika ada yg bagi tip peribadi.
Biasanya, sebelum waktu berbuka aku sudah sampai ke rumah menghabiskan jualan. Pernah juga aku berbuka dengan timun dan kacang panjang dalam perjalanan pulang.
Dengan nilai sayuran secekak 20 atau 30 sen, aku tak pernah tanya keuntungan yg bapak dapat. Aku cuma menunggu, kalau2 bapak bagi upah 10 sen atau 20 sen.
Dengan upah itu, bolehlah aku beli karbait utk meriam batang pinang atau main tikam2 mengumpul koleksi mercun dan bunga api utk aidil fitri......Indahnya Ramadan.

Monday, June 5, 2017

RAMADAN PART10: 'TIKAM-TIKAM @ JUDI KECIL'

Semalam dalam Part 9, aku ada menyebut tentang ‘tikam-tikam’. Aku dan teman-teman sekampung akan main tikam-tikam beberapa minggu sebelum hari raya.
Satu jenis permainan yang mengendaki kita membeli beberapa nombor yang tersembunyi. Sekiranya nombor tersebut berpadanan dengan mercun atau bunga api yang dipaparkan maka, mercun atau bunga api akan menjadi milik kita. Kalau tidak, duit akan menjadi milik tokey.
Berapa banyak Meng Wang dan anak-anaknya dapat untung sepanjang Ramadan dengan aktiviti ini, aku tak pasti. Judi?. MEMANG!!. Cuma dahulu aku tak pernah dimaklumkan. Apatah lagi dilarang. Kami jahil.Tarikan untuk memiliki mercun dan bunga api yang pelbagai jenis sangat kuat.
Maka, aku akan bertunggu tangga di kedai runcit yang kebetulannya tak jauh dari rumah. Kalau pun tak menikam, aku tumpang sekaki teman-teman yang berduit. Paling kurang akan tolong pilih dan siatkan nombor. Kalau kebetulan ‘terkena’ berturut-turut, teman-teman akan anggap aku ada ‘ong’. Aku akan dapat percuma, sebagai habuan. Untuk hari-hari berikutnya, teman-teman akan melantik aku menjadi tukang siat.
Pertengkaran dengan tokey dan penipuan akan tetap berlaku. Terutama bila melibatkan no 6 dan 9, 0 dan 8. Malah, kadang-kadang kami terpaksa merosakkan nombor yang diperolehi semata-mata nak dapatkan mercun dan bunga api yang disangkut. Siapa yang pandai berhujah biasanya akan menang. Provokasi juga akan digunakan sepenuhnya agar tokey menyerah kalah!!!!
Bunga api yang pelbagai jenis dan unik akan disimpan dan dikumpulkan untuk dibakar pada malam raya, yang biasa-biasa akan menjadi bahan bakar sebelum solat tarawih.
Mengapa tikam-tikam hanya muncul pada Ramadan ? Rasanya permainan ini menjadi propaganda yang cukup licik untuk mengurangkan ibadah puasa kami.... Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 9 : SENTAL LANTAI DAN SYLING LAMA

Beberapa hari seorang teman Cg Hj Zainuddin, mengingatkan aku, tentang tradisi basuh rumah @ lantai. Benar, antara persiapan wajib kami untuk menyambut hari raya.
Kalaupun bukan semua, tapi membasuh lantai sebelum Syawal menjadi kewajiban sebelum munculnya teknologi tikar getah. Kami adik beradik akan dikerah untuk melakukannya.
Biasanya, emak akan pastikan lantai dapur sampai ke ruang tamu akan ‘bercahaya’. Lantai dapur yang dibuat drp pokok nibung yang dibelah2 kecil akan kami sental semahunya. Daki lantai tetap akan alah dengan berus khas berbentuk empat segi atau bujur yg dibuat menggunakan dawai almunium atau tembaga. Begitu juga daki lantai papan di ruang tamu. Kadang2 jari kami terluka terkena paku yg terjojol pada lantai. Pedih!!!
Kami adik beradik akan diagih2kan tugas dan kawasan. Namun, utk mengangkut air dari kolam @ perigi, kami akan buat bersama. Kami akan beratur dari kalom ke pelantar rumah. Air akan dituang ke dalam beberapa besen besar sebagai transit.
Biasanya emak atau adik beradik yg dipercayai akan bertindak sebagai mandur @ quility control. Emak akan menyuruh kami ulangi jika hasilnya tak memenuhi piawai. Bangga bila lantai yang disental menjadi putih bersih apabila dibilas.
Kami akan bersaing sesama sendiri untuk memperolehi hasil kerja yg terbaik.Untuk menyiapkan keseluruhan ruang lantai, biasanya kami akan menggunakan masa 2 hari.
Dalam masa yang sama emak akan menyiapkan sulaman tikar mengkuang yg berwarna warni sebagai alas sempena lebaran nanti.
Selesai membasuh dan mengelakkan 'pencerobohan' aku akan cepat2 ke bawah rumah untuk mencari kalau2 ada syling yg muncul ke permukaan tanah, apabila debu2 tanah gambut mendak akibat siraman air. Pantang nampak sesuatu yg bercahaya, aku akan kuis2 untuk memastikannya.
Biasanya aku tak kecewa. Dapat 10 atau 20 sen sudah dikira mewah. Kalau habuannya besar, aku kongsi dgn kakak. Aku akan asah menggunakan permukaan pasu besar, sehinggalah ‘bunga’ dan ‘ibu’ syling kelihatan. Dapatlah aku gunakan buat beli mercun atau tikam2 setelah puas berdebat dengan Siew Meng, anak owner kedai runcit di kampung.... Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 8: "....KAU KOREK HIDUNG,..AKU NAMPAK TADI"

Sejak hari pertama lagi aku cuba nak ingat tahun bila aku mula belajar berpuasa. Gagal. Sel memori tak berhubung walau dah seminggu Ramadan.
Seingat aku, dulu emak tak pernah paksa. Emak cuma suruh aku cuba2 dahulu. Aku mengaku, awal2 dulu, aku cuma puasa ikut-ikutan. Secara formalnya, aku pun tak pernah dibaritahu akan wajib dan haramnya. Mungkin terlalu kecil masa itu.
Namun, seperti anak2 lain, naluri ‘bongkak’ & menunjuk2 tetap ada. Sebab itu, aku dgn bangga akan beritahu jiran2 tetangga, yg aku dah berpuasa walaupun tak pernah ditanya.
Benar, berpuasa zaman awal kanak2 terlalu banyak cabarannya & sarat dgn konflik. Masa siang dirasakan terlalu panjang. Mungkin kerana tiada gajet @ Astro yg menghayalkan. Setiap detik selepas Zohor, pasti emak rimas dgn pertanyaan bila boleh berbuka. Berguling2 aku di hadapan jam dinding. Memahami fungsi jarum pendek dan panjang. Malas nak melayan mungkin, emak akan suruh aku berbuka. Puasa setengah hari, selesai cerita.
Peraturan2 ketat dlm bab membatalkan puasa juga, menambahkan cabaran & konflik bagi yg baru berjinak2 menghayati Ramadan. Tak pasti fatwa mana yg dipakai. Namun, aku tetap akur & yakin.
Dakwanya, org puasa tak boleh telan air liur, batal. Tak boleh korek hidung, juga boleh batal. Kentut dalam air, pun tidak dibenarkan. Tiga perkara ini memang aku jaga. Aku akan sentiasa meludah bagi memastikan tekak sentiasa kering. Berhenti dari berkubang, setiap kali terasa nak buang angin.
Paling baran bila ada teman2 yg menuduh aku menelan air liur atau mengorek hidung. Tak cukup menuduh, mereka mewar2kan pada org lain. Biasanya perkara2 spt ini akan menyebabkan pergaduhan dan ejek mengejek. Utk menyelesaikannya, emak putuskan, siapa yg bergaduh dan menangis, pun boleh batal puasanya. Selesai!!. Lagilah konflik aku dibuatnya.
Namun, satu ‘kebaikkan’ dengan peraturan ketat ini ialah, boleh dimanipulasikan bila keadaan terdesak @ terlalu lapar. Setiap kali terserempak tak puasa, kata2 ini akan terpacul, “aku tadi terkorek hidung, tu yg aku makan...”
Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 7 : KAYU API

Melihat kelibat bapak membawa gergaji panjang 6 kaki berwarna hitam cukup membuatkan jantungku berkocak. Di pangkin bapak duduk bersila, tekun mengasah mata gergaji buatan England.Tentu ada misi yg perlu dilunaskan. Sah, operasi mencari kayu api.
Biasanya, sebelum puasa lagi bapak dah mengumpulnya. Namun, tahun itu entah kenapa usaha mencarinya terbantut. Suka ataupun tidak, aku terpaksa mengikutnya. Tanpa kayu api, sambutan hari raya boleh bertukar bencana.
Dgn basikal kargo, aku membonceng di belakang. Gergaji yg baharu diasah tajam diselitkan antara besi palang basikal. Kami menuju ke kebun getah yg sudah ditebang di belakang rumah jiran. Tidak jauh, selang dua rumah.
Bapak beritahu, kena cari juga kayu api. Paling tidak utk lepaskan persiapan hari raya. Aku akur. Diam. Cuma membayangkan, bagaimana peritnya tekak dlm keadaan puasa begini.
Sambil menunggu bapak mencari dan memilih batang pokok yg sesuai, aku akan mengutip cendawan kukur yg memutih tumbuh di dahan. Selesai memilih, kami mengambil kedudukan. Batang pokok yg dipilih mesti lurus dan berurat selari supaya mudah dibelah.
Bapak mengawal hujung gergaji, manakala aku mengawal hujung yg satu lagi. Memulakan ayunan gergaji ke depan dan ke belakang. Perit dan letih. Walaupun, sebenarnya aku cuma diarahkan utk mengawal pergerakkan gergaji sahaja. Bapaklah yg menggunakan sepenuh tenaga utk mengerakkannya. Sesekali aku menguis2 kumbang, sambil sebelah tangan mengawal ayunan.
Batang pokok getah, kami potong2 lebih kurang dua kaki sebelum dikumpulkan berdekatan basikal. Utk dibawa pulang kami susun potongan2 kayu secara melintang pada bahagian tiga palang besi basikal kargo bapak. Kami tolak sama2.
Esoknya, bapak akan belah potongan kayu menjadi kayu yg lebih kecil saiznya. Aku akan susun kayu2 api bertingkat2 berbentuk empat segi sama mengadap matahari. Biar cepat kering, sebelum boleh digunakan untuk persiapan masakan kuih raya.
Pada bahagian lubang susunan kayu itulah juga digunakan untuk menyimpan ayam yg akan disembelih pada lebaran nanti.... Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 6:....ADUHAI

Malam tadi berpeluang bersolat tarawih di kampung. Jauh beza dgn 40 tahun dahulu. Tiada lagi basikal yg disandarkan pada tiang2 masjid. Cuma, motosikal yg memenuhi parking dan beberapa buah kereta di laman bertar.
Penghawa dingin jenama Daikin sumbangan anak2 perantau Parit Kahar yg dipasang keliling dewan solat menambah keselesaan. Dahulu bahang haba dari masjid berbumbung zink amat merimaskan jemaah.
Paluan kentung memanggil jemaah juga telah diganti dgn P.A Sistem. Kentungnya masih utuh disudut masjid menunggu tali pengantungnya mereput. Jidur dari kulit lembu buatan tangan sebesar dua pemeluk dah tak nampak bayangnya.
Suasananya lebih tenang dan tersusun. Tiada lagi bunyi lantai papan yang berkeriuk setiap kali jemaah meletakkan lutut utk bersujud.
Wajah2 jemaah yg sering menyergah kami saat membuat bising di saf belakang, sudah tiada kelihatan. sebahagiannya sudah dijemput ‘pulang’. Jika adapun, seorang dua yang agak lemah merundukkan diri di sudut dinding. Jelas, saat aku menghulur tangan bersalaman, renungan matanya juga tak setajam dulu.
Rakan2 yang dahulunya menjadi peneman bermain kelantungan juga telah berubah pembawaannya. Semuanya sudah duduk khusuk di baris hadapan. Berketayap menutupi kemas rambut yg kian memutih. Malah seorangnya bertindak sebagai bilal pada malam tadi.
Dahulu mereka inilah yg sama2 mencari ikan pelaga di perigi masjid menunggu jemaah melengkapkan tarawih 20 rakaat. ‘Meminjam’ lampu suluh berbeteri empat untuk mengesan kedudukan cicak sebelun dipanah dengan lidi tajam. Mereka jugalah yg mengintai2 hidangan moreh yg belum waktunya disaji.
Memacak tiang kayu untuk bermain galah panjang saat jemaah bertadarus. Mencucuk telapak kaki teman2 yg cuba menikmati khusuknya solat dari celahan lantai papan.
Paling pasti, mereka inilah rakan yg sama2 mencipta rentak kelantungan utk di’persembahkan’ sebagai hiburan malam yang menggila...Allahuakbar!!!!!!
Masa silam yg kian mengukuh saat usia mereput...Indahnya Ramadan.

Wednesday, May 31, 2017

RAMADAN PART 5: PUASA & AIR BATU KETUL

Percaya atau tidak, antara hidangan berbuka yang boleh dianggap 'super mewah' ialah menu minuman berasaskan air batu. Sama ada cindol atau cincau, asal saja bercampur dengan air batu, pasti akan menjadi rebutan. Tinggal di kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, membuatkan air batu ketul terlalu sukar dan mahal untuk dimiliki pada ketika itu. Kami terpaksa berbasikal melalui jalan kecil tanah gambut dan tanah merah sejauh 4 hingga 5 km, ke pekan Jelotong bagi mendapatkannya. Tak termasuk basikal yang pancit atau rantai longgar yang tercabut, tidak kurang 45 minit untuk sampai ke pekan kecil di simpang jalan Pontian - Benut. Berbasikal sejauh itu pada bulan puasa ditambah pula dengan panasnya matahari, tak terasa peritnya, bila terbayang sejuknya cendol yang akan disedut masuk ke tekak waktu berbuka. Untuk mengelakkan kehabisan bekalan, kami akan ke pekan usai solat Asar. Kami mengayuh untuk mendapatkan seketul air batu ketul di kedai runcit Ah Lip di pekan. Berdebar menunggu giliran sebaik sahaja air batu bersaiz besar dikeluarkan dari kotak yang diperbuat daripada kayu. Menggunakan gergaji, air batu ketul dipotong-potong bersaiz 6 x 6 inci sebelum ditabur dengan serbuk kayu @ papan dan dibungkus dengan kertas surat khabar cina sebelum diikat dengan tali rapia warna hijau. Dengan harga 10 - 20 sen, air batu ketul itulah yang kami bawa balik. Kami gantung pada hendal basikal atau disepit di bahagian belakang. Bersama air batu ketul, kami gantungkan juga sebungkus plastik cendol atau cincau berharga 20 - 30 sen. Berayun-ayun kedua-dua bungkusan mengikut rentak kayuhan. Sejuk, bila sesekali peha terkena titisan air batu. Bimbang mencair, kami tak boleh berhenti mengayuh, malah kayuhan akan semakin laju. Sesampainya di rumah,kami akan bungkus menggunakan guni beras bagi mengekalkan ketulannya, menunggu waktu berbuka. Sebaik sahaja ramuan seperti santan dan gula melaka tersedia, barulah air batu ketul dicuci bagi menghilangkan serbuk papan yang menyelimutinya. Walaupun, kadangkala hanya tinggal sebesar penumbuk, cendol bercampur air batu ketul kami hirup dan nikmati dengan penuh kesyukuran!!!... indahnya Ramadan

Tuesday, May 30, 2017

RAMADAN PART 4 : AKU, TEWOL & LEMPENG SAGU

Berbuka tidak boleh dipisahkan dengan hidangan. Hari ini, bagi yang malas kunjungilah sahaja bazar Ramadan. Beraneka makanan tersedia. Berbeza dengan dahulu, juadahnya sangat terhad. Selain nasi yang menjadi hidangan wajib ada masa berbuka, emak akan sediakan menu tambahan. Menu inilah yang menjadikan puasa terlalu istimewa pada kami adik beradik. Ada rezeki lebih, kami akan bertukar-tukar sepinggan kecil juadah dengan jiran. Apa tah lagi apabila ada ungkapan2 yang berbunyi ‘yang tak puasa jangan kacau, duduk jauh-jauh’.  

Belebat pisang, jemput-jemput pisang, jemput-jemput ubi, ubi  keledek rebus, bubur candil, bubur sumsum sering menjadi pilihan emak untuk melayan tekak kami. Lebih moden sedikit, emak akan membuat kuih talam berlapis dua, berperasa dan berwarna pandan. Atau, abuk-abuk berintikan gula melaka (kegemaran emak). 

Namun, seingat aku, setiap kali menjelangnya bulan puasa, emak akan mengeringkan ubi kayu yang dibelah dua.  Setelah kering, ubi (gaplek) ini akan ditumbuk sehingga menjadi tepung sebelum di masukkan ke dalam kukusan yang beralas daun pisang. Emak akan masukkan sedikit gula merah dan diuli hingga rata. Tewol ini biasanya akan dimakan bersama dengan parutan kelapa. Lemak dan kenyal rasanya. 

Satu lagi hidangan masyarakat kampung menjelangnya puasa ialah emping atau lempeng sagu. Sagu yang telah ditebang akan dipotong-potong sebelum dibuang kulitnya. Diparut dan diletak di atas pangkin khas sebelum dipijak-pijak bagi mendapatkan patinya. Inilah antara aktiviti yang ditunggu-tunggu. Namun, sebagai anak kecil yang tak cukup berat, biasanya aku dan teman sebaya hanya dibenarkan menjadi pemerhati. Pati sagu inilah yang akan dikeringkan dan dimasak mengikut keperluan. Selebihnya disimpan atau diagih-agihkan kepada jiran tetangga. 

Pendek kata hidangan berbuka zaman aku kanak-kanak menggunakan sepenuhnya sumber alam. Duit bapak simpan untuk menggembirakan anak-anak dengan baju baharu dan membayar Fitrah!!! Indahnya Ramadan

Monday, May 29, 2017

RAMADAN PART 3: AKU, TARAWIH & KELANTUNGAN


Masih berkisar tentang kentung dan jidur. Kelantungan menjadi tradisi yang telah lama berakar di kebanyakan kampung yg dihuni oleh msy Jawa. Kentung akan diketuk berselang seli dengan jedur dengan nada yg tertentu. Nada yg dah sebati dlm minda masyarakat turun temurun.
Walaupun tak semua, kebanyakan kampung meneruskan ‘hiburan’ ini sebagai satu cara menarik anak2 ke masjid menunaikan tarawih. Aku menjadi ganerasi terakhir menikmatinya.
Kelantungan akan bermula sebaik sahaja salam pertama solat witir selepas tarawih. Kami akan mengerumuni kentung dan jidur dengan pemukul yg sedia di tangan.Bagi mengelakkan berebut pemukul, biasanya kami akan menyembunyikannya seawal solat Asar. Hanya satu pemukul yang ditinggalkan untuk Pak Bilal gunakan.
Hanya mereka yg ‘berwibawa’ sahaja berkelayakan untuk berkelantungan. Memukul kentung dan jidur mengikut rentak tridisi turun temurun. Mereka yg ‘lemah’ akan hanya tersengeh menahan keinginan yang membuak.
Fasa pertama kelantungan akan berakhir sebaik sahaja jemaah turun ke ambin untuk menikmati juadah sebelum bertadarus. Sambil menunggu selesainya otai bertadarus, kami bermain galah panjang.
Sebaik sahaja lampu gas dimatikan selepas jemaah bertadarus, fasa ke-2 kelantungan bermula. Kali ini akan menjadi lebih ‘panas’. Kami akan memasang pelita minyak tanah sebagai penyuluh. Tak cukup dengan kentung dan jedur, kami akan menggunakan tin bekas minyak sebagai instrumen tambahan.
Pelbagai rentak kami mainkan. Zapin, langam, sehinggalah rentak Pop Yeh Yeh kami ayun. Kebiasaannya kami akan berlawan dgn rakan2 di kampung bersebelahan. Bergoyang lantai masjid dikerjakan. Kami akan berkarya dan berinovasi semahunya sehingga lewat malam bila pelita minyak tanah terpadam sendiri. Atau, bila ada otai yang tinggal bersebelahan masjid datang memaki hamun. Apa tidaknya, mana mungkin boleh terlelap saat kami 'menggila' membuat persembahan.
Kami bertempiaran melarikan diri balik ke rumah. Setakat terjun dari anjung malah tingkap masjid sekalipun kami tak peduli. Yg penting tidak tertangkap atau dikenali. Esoknya, akan jadi bahan cerita otai2 kampung. Sehari dua kelantungan tak berbunyi. Masuk hari ketiga, tangan kembali gatal utk mengayun kayu berkelantungan lagi.
Awal 80an, budaya kelantungan pupus dari terus berakar dlm masyarakat kampung kami. Semuanya kerana bekalan elektrik yg membawa masuk set2 TV yg menjadi penghibur selepas Tarawih... indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 2: Pak Bilal & Kentung @ kentrung


Salah satu alat komunikasi terpenting dalam masyarakat kampung ialah kentung@kentrung dan jedur. Kentung dibuat drp kayu keras yg dilubangkan dan digantung di masjid. Diketuk sekuat mungkin berselang dengan pukulan jedur yg dibuat daripada kulit lembu. Sebagai tanda masuknya waktu solat. Mengajak penduduk berjemaah.
Tanpa P.A Sistem ketukan kentung juga sebagai isyarat jika ada kematian. Nadanya sahaja yg berbeza.
Sepanjang Ramadan, kentung menjadi penentu kepada waktu berbuka dan imsyak. Hanya orang tertentu yg dibenarkan mengetuk kentung. Biasanya imam dan Pak Bilal. Yang lain, termasuk ketua kampung pun tak layak mengetuknya. Sebab itu Pak Bilal khususnya, menjadi individu yg sangat diberi tumpuan sepanjang Ramadan.
Kelibat Pak Bilal akan diperhati. Ketiadaan Pak Bilal di kampung akan menimbulkan kegusaran. Macam mana nak berbuka kalau Pak Bilal tak ada? Siapa nak ketuk kentung? Aku, yang baru mula belajar berpuasa akan menggunakan Pak Bilal sebagai penanda aras waktu berbuka.
Untuk memujuk agar aku terus bertahan menahan lapar hingga waktu berbuka, emak juga menggunakan isu Pak Bilal.
“Dah, kau pergi tengok Paman Amat, dah ke laut (ke masjid) atau belum? Gi tunggu kat anjung”, pujuk emak bila sesekali aku mengaruk nak berbuka awal.
Aku akan tunggu Pak Bilal berbasikal lalu depan rumah. Nampak sahaja Pak Bilal, aku akan menjerit.
“Emak!!! Paman Amat dah pergi masjid!!”. Aku akan berlari girang menuju ke dapur mengumpul sajian berbuka. Hati akan mengerutu resah dan aku akan mengaruk lagi kalau sayup2 bunyi kentung tak kedengaran akibat tiupan angin atau kebetulan hujan turun pada waktu magrib!!! Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 1: PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA


Dahulu, pengisytiharan permulaan puasa terlalu mendebarkan. Bergantung sepenuhnya kpd anak bulan, sama ada kelihatan atau sebaliknya. Melihatnya cuma dibeberapa tempat. Paling terkenal ialah di Teluk Kemang N9 dan Pontian Kecil Johor. Menjelang petang, masing2 membuat andaian berdasarkan keadaan awan. Bagi yg pandai berhujah akan dipercayai 'fatwanya'.
Tanpa bekalan elektrik, tumpuan penduduk kampung ialah pada radio. Radio yg berbateri kering berwarna merah, berbentuk selender, 2 inci. Itupun tak semua rumah memilikinya. Bagi memastikan suaranya tidak tersangkut2, bateri cap kucing terpaksa dijemur sepanjang hari. Pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja2 akan dinanti penuh debar.
Penduduk kampung yg tak beradio, mengharap ihsan jiran utk menyampaikan maklumat. Usai solat Magrib, kami akan ke rumah jiran dengan bercahayakan pelita minyak tanah utk mendapatkan berita.
"..........Majlis Mohor Besar Raja2 dengan ini mengumumkan, bahawa anak bulan TIDAK kelihatan di .......Maka, dengan ini diisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa ialah pada hari .....". Gembira bukan kepalang, kerana ada sehari lagi utk bersarapan.

Sunday, May 14, 2017

MAK ANDAM vs CIKGU

Dahulu, Mak Andam merupakan individu yang penting dlm komuniti desa @ kampung. Dalam majlis perkahwinan, walaupun tak setaraf Tok Kadi, Mak Andam tetap dihormati. Sebab itu, Mak Andam tetap dicari. Tahun 70an dahulu, dijemputnya Mak Andam, membonceng basikal. Sesiapa yang terpilih untuk menjemput Mak Andam pun dah boleh tersenggeh berbangga. Pasti terkena tempias glamournya.  Perasaan ‘riak’ menyelinap masuk ke pembuluh darah bila basikal yang membawa Mak Andam berhenti di perkarangan rumah pengantin. Bunyi-bunyian akan berhenti untuk memberikan laluan pengumuman ketibaan Mak Andam. Raga yang berisi persalinan dan alat solek bersambut tanpa disuruh. Payung (biasanya berwarna kuning), kemas diletak di atas pangkin. Bimbang terlangkah. Mak Andam akan terus masuk ke bilik, menyusun kerja dan memulakan tugasnya. Mak Andam jarang berborak-borak kosong dengan tetamu. Sudut yang dipisahkan dengan tirai kain menjadi tempat operasinya.  Juga akan menjadi tumpuan anak-anak gadis kampung yang dijemput. Mereka tidak bersuara. Namun, matanya pasti tajam memerhati gerak geri Mak Andam. Dari meletak sanggul, menyisipkan jarum, menyapu bedak, meletak gincu di bibir, mengores celak hitam, mengenakan selindang dan menyusun kuntuman bunga akan terus diperhati dan disimpan dlm memori. Tentunya akan menjadi bahan cerita yang akan disampaikan kepada teman-teman seusia. Biasanya Mak Andam akan disediakan pendamping yang bertindak sebagai pembantu. Pendampingnya adalah individu yang dipercayai oleh keluarga pengantin. Apa saja yang Mak Andam minta, akan dicari dan disediakan. Yang penting Mak Andam selesa dan tak merajuk. Begitulah tingginya status Mak Andam dulu-dulu.


Ramai yang percaya tanpa Mak Andam, seri pengantin tak ‘naik’. Majlis menjadi hambar. Bukan bermakna pengantin tak boleh bersolek sendirian, tapi jika ada Mak Andam, pengantin akan lebih yakin untuk duduk di atas pelamin. Walaupun, mungkin sekadar ditepekkan dengan bedak sejuk. Paling kuat pun dihembus-hembus ayat & mentera kat dahi. Kelibat Mak Andam akan semakin hilang bila selesai upacara ‘buka kipas’. Sebaik sahaja ‘ufti’ beralih tangan, Mak Andam tak lagi dihirau. Tumpuan beralih kepada pasangan pengantin. Tepuk sorak dan riuh rendahnya majlis bertumpu kepada aksi mempelai di atas pelamin. Mak Andam mengundur diri. Biasanya, akan berdiri menjadi pemerhati di sudut ruang rumah.Nampak macam tenang, sebenarnya Mak Andam berdebar menunggu, kalau-kalau ada suara-suara sumbang yang x puas hati dengan hasil kerjanya. Bangga Mak Andam jika ada sosek-sosek memuji seri pengantin. Mak Andam puas!! Mak Andam akan pulang ke rumah dengan tenang. Berbekalkan sedikit bontrotan dan upah, Mak Andam dah boleh berkira-kira ‘kesibukkan’ pada musim perkahwinan berikutnya. Sepanjang dibonceng untuk dihantar pulang, Mak Andam dah boleh memikirkan inovasi dan kreativiti untuk solekan. Dengan modal yang ada,paling kurang bedak sejuk dan gincu akan ganti dengan jenama yang baharu. Mak Andam tahu benar, apa saja jenama yang digunakan, akan menjadi ikut-ikutan oleh gadis-gadis kampung. Tanpa, TV, Facebook, Wapps, Instagram, dll, Mak Andam sebenarnya menjadi individu yang paling berpengaruh untuk melariskan jualan produk kecantikan yang mungkin menyamai Neelofa pada hari ini. 

Wednesday, May 3, 2017

Catatan Pengetua 4

Keputusan SPM telah pun diketahui. Warga SEHEBAT terutamanya guru-guru pasti menerimanya dengan reaksi yang pelbagai. Panen kali ini kurang menjadi. KPI yang ditandai melalui Gred Purata Sekolah (GPS), mengundang pelbagai persoalan. Anak-anak NEOS juga pastinya kurang gembira. Hasrat untuk mel etakkan GPS pada angka 1.92 tidak kesampaian. Malah, berlaku penurunan daripada 2.04 (2015) kepada 2.2 (2016).  Peratus calon cemerlang juga berkurangan. Tahun 2015, SEHEBAT mencatat 17.61 % atau 28 calon, manakala SPM 2016 cuma 13.95% atau 24 calon meraih keputusan cemerlang 9A. Jumlah ini jauh tersasar sebagaimana angka yang diharapkan.

Marilah kita sama-sama mencari di mana kesilapannya. Kita tidak boleh berterusan berkeluh kesah. Jauh sekali menyalahkan orang lain. Warga SEHEBAT yang hebat akan cepat mengorak langkah. Saya percaya dan yakin, SEHEBAT masih relevan untuk menjadi pesaing dalam kalangan sekolah-sekolah SBP. Jangan sesekali membenarkan SEHEBAT tercicir jauh daripada rakan-rakan yang lain. SEHEBAT memiliki kemampuan, guru-guru yang hebat dan anak-anak yang mendengar kata. Biarkan keputusan SPM yang lalu itu dijadikan sempadan.

Diagnosis yang jujur dan telus perlu dilakukan. Setiap panitia perlu melihat secara mendalam akan akar puncanya. Warga SEHEBAT perlu berlapang dada. Perlu juga berjiwa besar untuk bersedia belajar dari orang lain. Mencedok pengalaman daripada sekolah-sekolah hebat yang memang ketara kehebatannya, bukanlah satu kesahalan. Kita perlu sentiasa memeriksa pengurusan diri kita, pedagogi kita dan kolaburasi kita. Tampal mana-mana  kebocoran sekiranya ada. Bertukar-tukar amalan pedagogi yang terbaik, amat disanjung. Dalam masa yang sama, anak-anak SEHEBAT juga  perlu bersedia melakukan perubahan dalam tindak cara pembelajaran dan kehidupan. Perlu pantas dalam setiap tindakan dan pergerakan. Anak-anak juga perlu memiliki daya yang kuat untuk mendorong diri sendiri agar bersaing memperoleh kejayaaan. Menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin, terutama waktu prep siang dan malam masih menjadi kunci utama kecemerlangan sekolah-sekolah SBP….JOM KITA BANGKIT.

Catatan Pengetua 3

Lebih setahun SEHEBAT BITARA DAN BERBUDAYA dipilih menjadi ‘tagline’ sekolah yang kita cintai ini. Kefahaman terhadap maksud dan hasrat yang ingin digapai melaluinya, juga diharapkan semakin mengukuh. SEHEBAT mahu melahirkan modal insan yang unggul dalam segenap bidang, di samping memiliki sifat-sifat diri dan keperibadian terpuji. Cerdik akal sahaja tidak memadai, kalau tidak disertai d engan unsur-unsur etika yang mengawal tata aturan hidup, sikap dan norma perlakuan. Peka dengan budaya juga akan membantu seseorang memiliki jati diri yang kukuh, seterusnya berbangga dengan satu-satunya watan yang kita miliki ini. Malah, ada orang meletakkan budaya itu terlalu tinggi nilainya, sebagaimana perumpamaan, laut budi tepiannya akal.
 Berbudaya bukan sekadar disebut atau ditulis di dinding-dinding sebagai mural. Berbudaya adalah amalan. Menghormati guru, tetamu dan rakan-rakan sepermainan, meringankan lidah mengucap salam, meringankan tangan menghulur bantuan, menyusun hujah, dan mengawal bicara dengan memilih kata-kata adalah eviden yang amat mudah dinilai melalui pemerhatian dan pendengaran. Walaupun, tanpa markah atau gred, kadang kala eviden ini akan lebih kekal terpahat dalam ingatan. Mudah dibawa dan dijaja ke mana-mana. Jika bagus, SEHEBAT akan mengharum. Jika sebaliknya, akan menjadi beban berat yang akan menengelamkan segala macam kecemerlangan yang telah kita miliki.   
Penerapan budaya dan amalan baik sudah semestinya memerlukan masa yang  lama. Bukan seperti menadah hujan dari langit, proses pembudayaan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kunci utamanya, terletak pada keterbukaan hati kita untuk menerima segala teguran dan nasihat yang baik dan membina. Sejauh mana kita boleh berlapang dada dengan pandangan-pandangan baharu yang mungkin bertentangan dengan prinsip dan amalan yang telah berteritip dalam kehidupan seharian, juga perlu diberikan perhatian. Akhirnya, budaya elok yang diterapkan di SEHEBAT, sewajarnya perlu dikembangbiakkan dalam keluarga dan komuniti masyarakat apabila anak-anak selesai menamatkan pengajian di sini. Tidak perlulah kita menjadi pelangi yang hanya cantik dipandang tetapi kurang memberi erti kepada orang di sekelilingnya. Mudah-mudahan, produk SEHEBAT memiliki keseimbangan antara IQ, EQ, dan SQ 

Wednesday, January 4, 2017

CATATAN PENGETUA 2: SELAMAT DATANG PUTERA PUTERI F1

Selamat datang kepada putera puteri Tingkatan Satu SEHEBAT. Tahniah kerana anda terpilih dalam  kalangan ribuan murid yang memasang keinginan untuk ke SBP. Kehadiran anda ke SEHEBAT adalah manifestasi kepada usaha dan kesungguhan anda semasa berhadapan dengan UPSR yang lalu. Bermakna, anda memiliki semangat dan daya juang yang cukup tinggi sehingga berjaya melepasinya. Kekalkan keinginan dan momentum anda untuk terus berjaya. Kami bersedia dan sentiasa berusaha untuk memberikan bimbingan yang terbaik.

SEHEBAT ibarat dunia kecil, yang menyediakan pelbagai peluang untuk anda meneruskan kecemerlangan dan menyerlahkan potensi diri masing-masing. Sama ada melalui pembelajaran secara formal di dalam kelas, atau bedasarkan pemerhatian dan kehidupan langsung di asrama, semuanya akan membantu anda mempelajari sesuatu untuk kemandirian hidup. Di sinilah juga anda akan berpeluang melakukan sesuatu secara jujur dengan dorongan diri sendiri. Tanpa sedar, anda akan dilatih untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi secara lebih bertanggungjawab. Di SEHEBAT, anda akan benar-benar merasai nikmat persahabatan dan berkasih sayang!. Umpama, sekain sebaju, selauk senasi, sebantal sekalung ulu, setikar seketiduran.

Bertimbang rasa, berkerjasama, saling membantu, menghormati orang lain,  meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat, juga akan menjadi bumbu yang cukup melazatkan. Semuanya akan anda kutip di SEHEBAT. Gunakan peluang dan kesempatan yang anda perolehi untuk berdikari dan menguji daya tahan demi kelangsungan hidup dengan sokongan serta bantuan yang minima daripada ibu-bapa dan keluarga. Dalam masa yang sama, kecenderungan untuk cemerlang dalam akademik, tetap akan diberikan keutamaan. Di situlah letaknya persaingan. Tidak kiralah sama ada anda akan menjadi pendahulu atau sebaliknya, SEHEBAT akan cuba menyediakan landasan terbaik untuk anda bersaing. Prasyaratnya ialah kemahuan dan kesungguhan. Kalau pengayuh pun sayang untuk dibasahkan, maka sampan tidak akan sampai ke seberang. Selamat menjadi keluarga besar SEHEBAT… Bitara dan Berbudaya.


PENGETUA SEHEBAT

CATATAN PENGETUA 1

Selamat kembali ke SEHEBAT untuk sesi persekolahan 2017. Tahun yang akan menjadi titik mula kepada beberapa tranformasi dalam sistem pendidikan. Pengenalan kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2017, bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),  dijangka akan mengubah landskap pendidikan negara secara menyeluruh. Sebagai warga pendidikan, SEHEBAT dengan penuh iltizam akan menyertai rakan-rakan yang lain, khususnya dalam kalangan SBP untuk memastikan usaha-usaha ke arah perubahan tersebut akan terlaksna dengan jayanya. Untuk tujuan itu, warga SEHEBAT perlu bersedia merubah paradigma bukan sahaja dari segi kefahaman, tetapi juga sikap dan amalan. Perubahan dan pembaharuan dari segi amalan pedagogi, pentaksiran, kandungan sukatan, dan peruntukan masa, dijangka akan menjadi cabaran besar yang mesti ditangani bersama. Kesediaan dan keikhlasan kita untuk berubah akan menjadi tunjang kepada sejauh mana transformasi ini berjaya. Permasalahan yang berlaku perlu ditangani secara berhikmah, kreatif dan berinovatif. Penjanaan idea yang kritis dan membina oleh warga  SEHEBAT amat dialu-alukan. Percayalah, rungutan tidak akan menyelesaikan masalah.  Menyongsang arus juga, akan hanya merosakkan kapal dan melewatkannya untuk sampai ke destinasi.
Tahun 2017 juga akan menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada warga SEHEBAT. Meskipun masih dianggap baharu, SEHEBAT perlu menggandakan usaha dan ikhtiar untuk memberi ‘saingan’ dalam segenap bidang, sama ada kurikulum, sahsiah ataupun kokurikulum khususnya, dalam kalangan SBP. Hal ini juga akan membantu dan mengekalkan reputasi SEHEBAT dan SBP secara amnya pada kaca mata masyarakat. Kejelekitan dan kebersamaaan yang diadun secara ikhlas dan jujur oleh segenap warga SEHEBAT akan menjadi kunci kepada kecemerlangan. Sering saya perkatakan, kalaupun tidak menjadi pemuka, biarlah kita menjadi pesaing yang disegani di dalam gelanggang. Marilah kita sama-sama melakukan tatarias yang terbaik untuk SEHEBAT, agar cantik, menarik dan kondusif  sebagai gedung pengajaran dan pembelajaran. Rapatkan saf dan hindarilah prasangka yang memusnahkan, umpama seikat bak sirih, serumpun bak serai. Mudah-mudahan SEHEBAT akan melahirkan modal insan yang diidamkan sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PENGETUA SEHEBAT