Allahuakbar..
Allahuakbar..
Kecuali semasa mengerjakan rukun Islam kelima, tahun ini baru berpeluang berhari raya Aidil Adha di perantauan. Memang benar2 mengujakan. Bertakbir dan bertahmid bersama masyarakat serumpun yang terpisah beribu kilometer menjentik sedikit rasa sayu.
Pelbagai persoalan bermain di minda. Benar, tiada yang boleh mendustakan, bahawa kalimah agung yang dilaungkan adalah simbol penyatuan.
Budaya dan amalan yang tidak jauh berbeza, seolah2 membuktikan teori asal usul masyarakat melayu yang dikaitkan dengan bangsa Champa ada kebenarannya. Ditambah pula dengan iras wajah yang hampir serupa. Malah, nama 'Kampong' Cham yang menjadi perkampungan terbesar komuniti muslim di Kemboja turut menimbulkan tanda tanya. Adakah istilah 'kampung' yang digunakan secara meluas di negara kita ada kaitan dengan asal usul Kampong Cham, kami kurang pasti.
Berkesempatan bersalaman dengan para jamaah di Masjid Salam Abdullah di Kg Brey Kchay Knong selepas solat Aidil Adha, aku gunakan sepenuhnya utk mengenali komuniti muslim ini. Cara mereka berserban, berjubah malah berbaju melayu cekak musang berbutang tiga dan lima begitu dekat dengan masyarakat melayu di semenanjung.
Proses asimilasi budaya berlaku dengan begitu pantas. Sajian yang dihidangkan untuk menjamu kami, walaupun tak sama tapi kaedahnya hampir serupa. Ayam kampung yang dimasak golek tetap menjadi 'ibu' kepada sajian yang disusun kemas berselang seli dengan ikan talapia goreng di dalam dulang.
Cita rasa hanya dibezakan oleh manis atau masinnya lauk yang dimasak oleh penduduk kampung. Kami menikmati juadah secara bersila bersama dengan sebahagian penduduk Kg Brey Kchay Knong. Pada ketika inilah kemesraan kami berputik.
Selesai makan, peserta kembara menyantuni anak2 dengan 'jajan' yang dibawa. Berbaris anak2 di halaman masjid menunggu kami selesai menjamu selera. Satu persatu tangan dihulur mengambil jajan yang kami bahagikan. Walaupun sekadar sedikit wang, sekeping coklat dan beberapa biji gula2 sebagai manisan, memadai untuk mereka berasa gembira.
Berlarian anak2 keluar dari perkarangan masjid menuju ke arah penjual belon dan aiskrim yang kebetulan berada di pinggir jalan. Biarpun terdapat pengumuman dari copong masjid, merayu agar duit pemberian diinfakkan semula ke tabung, tidak dihiraukan oleh anak2 yang sedang berebut menukarnya dengan mainan yang berwarna warni.
Selesai tugasan melayan anak2 dengan bungkusan 'jajan', peserta kembara korban mula mempersiapkan diri untuk aktiviti penyembelihan. Jubah yang dipakai untuk bersolat ditukar dengan busana yang lebih sesuai. Kami bergerak menuju kawasan lapang berhampiran masjid yang menempatkan 23 ekor lembu yang bersedia untuk dikorbankan dan diagih2kan kepada masyarakat setempat. Bagi melancarkan proses penyembelihan, penduduk kampung turut sama membantu menumbangkan lembu satu persatu, sebelum leher dicecah dengan mata parang yang tajam milik sang penyembelih.




No comments:
Post a Comment