Thursday, September 27, 2018

MISI KEMBOJA 8

Kampung Truong di daerah Tan Chau di Barat Laut Ho Chi Minh, Vietnam, menjadi destinasi persinggahan terakhir misi kembara pada kali ini. Peserta tiba sekitar jam 11.40 pagi waktu tempatan. Kira-kira 45 minit perjalanan selepas melepasi sempadan.

Bas yang melalui jalan kecil berturap tar, berhenti betul-betul di hadapan kediaman keluarga Ustaz Mahir, Presiden Yayasan Al-Rahmah, Kemboja. Kami disajikan dengan hidangan makanan tengah hari sambil menunggu masuknya waktu Solat Jumaat. Talapia dan ayam goreng bercicahkan kuah lada menjadi santapan peserta kembara.

Selepas makan, kami berjalan kaki bergerak ke Masjid Jamiul Nia'mah yang tidak jauh dari situ. Masjid yang berkongsi kawasan dengan Madrasah Al Quran itu nampak agak kemas dan luas.

Melihat catatan-catatan pada papan putih yang tergantung, jelas masjid berkenaan menjadi nadi kepada kegiatan keagamaan masyarakat setempat. Beberapa jemaah kelihatan khusuk beriktikaf menunggu hadirnya waktu solat.

Menariknya, jidur yang digantung bersebelahan pintu masuk utama, turut dipalu bagi tujuan mengingatkan komuniti untuk memberhentikan segala aktiviti bagi sama-sama hadir ke masjid. Rentak paluannya saling tak tumpah seperti paluan jidur oleh Pak Bilal di kampung - kampung suatu ketika dahulu.

Masuk sahaja waktu solat, muazin dalam lingkungan umur 60an menjalankan tugasannya. Sekali lagi lunak taranumnya sama dengan kebanyakkan muazin di negara kita. Begitu juga dengan dua khutbah yang disampaikan oleh khatib muda, berserban tinggi dan berjanggut panjang, lancar membacanya di atas mimbar.

Khatib mengingatkan para jamaah akan pentingnya mengisi umur yang ada dengan amal solleh, bukannya melakukan dosa dan maksiat. Umur akan menjadi persoalan penting pada hari akhirat kelak. Disebalik putaran bumi dan matahari yang sentiasa terbit di Timur dan tenggelam di Barat, manusia perlu bijaksana menggunakan usia yang dipinjamkan.

Khatib juga mengajak jamaah agar sentiasa menghisab diri sebelum dihisab oleh Allah SWT.
Dengan nasihat dan peringatan yang sering dilontarkan melalui mimbar-mimbar masjid bukat setakat di negara kita tetapi juga di seluruh Nusatara, aku sebenarnya bertambah musykil dengan sikap umat mutakhir ini.

Perlu apakah kita berasa ego dengan pangkat, harta dan kekuasaan. Sehinggakan disesetengah wilayah, terpaksa menggunakan kekerasan dan kematian untuk berebutkan sesuatu. Pedoman apa yang digunakan pun aku kurang pasti.

Usai solat, kami bersegera untuk melakukan ibadah penyembelihan korban di kampung Truong. Memandangkan cuma lapan ekor lembu yang akan dikorbankan, penyembelihan hanya dilakukan oleh Ustaz Mohd Azman. Itupun setelah jari Ustaz Juhari selaku penyembelih pertama mengalami luka terkena mata pisau.

Jam 2.05 pm, kembara bergerak pulang.

Setakat catatan ini ditulis, sudah 2 jam setengah kenderaan kami bergerak menuju Ho Chi Minh City. Ada lebih kurang tiga atau mungkin empat jam lagi sebelum sampai. Namun, para peserta berasa lega selepas masing2 melepaskan 'hajat' di sebuah stesen minyak...

MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.

No comments:

Post a Comment