Thursday, September 27, 2018

MISI KEMBOJA 6

Kampung Kekong terpaksa kami tinggalkan segera. Pergerakan untuk hari ini perlu dirancang secara rapi. Selain daripada jarak yang jauh untuk ke Sen Chomren, kami perlu singgah di Dong Kam Pet terlebih dahulu. Dalam masa yang sama, peserta akan singgah melihat perkembangan pembinaan Kompleks Pendidikan Yayasan ar-Rahmah dan kebun mangga yang diusahakan oleh pihak yayasan. Sebab itu, selewat-lewat jam 11.30 pagi, kami mesti bergerak menuju ke Dong Kam Pet yang masih terletak di Wilayah Tebong Khamom. Terdapat 12 ekor lembu yang menunggu giliran untuk dikorbankan di sini.

Mendung yang mula menampakkan pergerakkan menambah kebimbangan kami. Jika hujan sebelum selesai proses penyembelihan, akan mengundang kerumitan yang sukar nak dibayangkan.

Dong Kam Pet merupakan antara perkampungan muslim yang berhampiran dengan jalan utama. Menurut En Zahari, yang berusia sekitar 40an, dan pernah berkerja di Kuala Ketil, Kedah, perkampungan ini dihuni oleh 400 buah keluarga muslim yang rata-ratanya bekerja di sawah. Ramai yang telah berhijrah keluar, termasuk bermastautin di Malaysia untuk berebut mencari pendapatan. Surau kecil yang dibina di pinggir jalan masuk juga masih memerlukan sumbangan untuk disempurnakan.

Penyembelihan di Dong Kam Pet berjalan lancar. 12 ekor dengan 2 orang penyembelih cuma memerlukan masa tidak lebih 45 minit.

Selesai di Dong Kam Pet, pasukan kami meneruskan misi ke Sen Chomren. Dijangkakan untuk sampai ke kampung ini memerlukan masa yang agak lama. Selain mengejar waktu untuk solat, jumlah lembu yang akan dikorbankan juga merupakan antara yang paling banyak iaitu 62 ekor!!!.

Selepas hampir 2 jam bergerak dari Dong Kam Pet, kenderaan Starex yang telah 2 hari berkhidmat kepada kumpulan 1, membelok ke jalan bertanah merah. Melepasi sahaja pintu gerbang, Starex yang dipandu mulai terhoyong-hayang melayan lopak dan lumpur pada permukaan jalan. Agak mustahil untuk kami berehat tenang dan melelapkan mata dalam keadaan tersebut. Sesekali, pinggul kami terlompat dari tempat duduk bila tayar Starex melanggar lubang.

Jarak lebih kurang 10 kilometer jalan tanah merah itu, kami lalui terasa begitu lama. Bagi mengisi masa, kami berbincang memasang strategi bagaimana nak mengurus 62 ekor lembu agar cepat diselesaikan.

Diputuskan, pasukan penyembelih akan dibahagi dua dan operasi dilakukan serentak. Itupun dengan andaian semua lembu telah siap dibaringkan. Jika tidak, kami menjangkakan proses penyembelihan akan berlarutan sehingga lewat petang atau mungkin sahaja ke malam.

Kami sempat singgah ke tapak Kompleks Pendidikan Yayasan Rahmah yang tidak jauh dari masjid tempat operasi korban di Sen Chomren. Kompleks pendidikan yang merangkumi bangunan sekolah, asrama, surau, rumah guru dan bangunan pentadbiran, masih belum siap sepenuhnya. Kompleks pendidikan inilah yang dibangunkan dengan dana yang sebahagian besarnya disumbangan oleh Pekdis dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Johor melalui Misi Kembara Korban, Akikah dan Dana Pendidikan yang dianjurkan saban tahun sejak 2013. Dengan pembelian tanah seluas 5 ekar, proses pembinaan bangunan bermula pada tahun 2016.

Sesampainya di perkarangan masjid, kami berpandangan sesama sendiri. Tiada kelibat lembu yang terbaring, yang ada cuma tiga ekor yang sedang diiringi masuk ke laman masjid menuju padang bola sepak yang terletak di bahagian belakang. Kami mula berbisik, ragu bercampur cemas. Perancangan yang dibincangkan sepanjang perjalanan tidak menjadi.

Tiada siapa yang sanggup bertanya dengan komunikasi yang amat terhad sebegini. Kami mengubah perancangan. Perlu makan dan solat jamak takdim terlebih dahulu, sambil menunggu 62 ekor lembu sampai dan diuruskan oleh penduduk kampung. Beberapa anggota keselamatan Kemboja berlegar-legar di luar rumah tempat kami makan tengah hari. Resah juga dibuatnya, sebab pada empat lokasi sebelum ini, tiada seorang pun kelibat anggota keselamatan yang datang memantau.

Akhirnya, segala keresahan berkenaan lembu2 yang hendak disembelih terjawab bila Ustaz Mahir memberitahu, operasi penyembelihan akan dilakukan di rumah penduduk kampung. Hanya 6 ekor sahaja yang akan disembelih di perkarangan masjid.

Lega..Maksudnya, kami akan menggunakan strategi awal untuk mempercepatkan proses penyembelihan. Entah apa puncanya, seekor lembu yang telah siap dibaringkan mati sebelum sempat disembelih. Plan kontingensi terpaksa diambil. Seekor lembu ganti perlu disediakan.

Selesai sahaja proses penyembelihan yang agak meletihkan, kami bergerak ke lokasi berikutnya sebelum tiba Cina Mamut Hotel yang terletak di sempadan Vietnam pada jam 7.00 malam. Empat jam perjalanan benar2 memanaskan punggung. Di sinilah tempat semua peserta kembara berkumpul sebelum bergerak ke Ho Chi Menh keesokan harinya...



MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.

No comments:

Post a Comment