Sunday, September 30, 2018

NOREH Part 2

Cerita hujan dan torehan tak mungkin terpisah. Bagi bapak hujan adalah satu 'ancaman'. Akan putuslah pendapatan pada hari itu. Bapak mula  berkira2 wangnya di saku utk menyuapi mulut kami jika hujan berterusan tanpa henti. Aku pula menganggap hujan sebagai 'rezeki'. Malah kekadang bertindak seperti bomoh. Berdoa agar hujan turun dini hari. Bolehlah aku bermain polis santeri dgn teman2. Sebab itu, awan kelabu pun aku akan khabarkan pada bapak sebagai mendung gelap, gerimis dikatakan hujan lebat, guruh pun seperti halilintar. Segalanya utk mempengaruhi bapak supaya tidak ke kebun.

Paling dramatik bila siap menoreh baru ada tanda2 langit, hujan nak turun. Kami akan berkejaran. Paling seronok akan bersahut-sahutan dengan penoreh2 kebun bersebelahan. Meriah.

"Dah balik!!!! hujan nak turun!!!. Mbangkit-mbangkit!!!". 

Kami akan bersegera ke depan mencapai baldi. Berlari melangkahi banir dan akar pokok menyelamatkan sebanyak mungkin susu getah dalam cawan yg masih mahu menampung titisan. 

Saat ini mungkin bapak dan emak rasa kecewa. Namun, aku tak pernah ambil peduli ketika itu.  Biasanya susu getah yg telah bercampur air hujan akan rosak. Akan cepat 'membubur'. Tidak boleh dijadikan getah keping. Akan dibiarkan dalam baldi selepas dimasukkan sebanyak mungkin skrap yg bercampur kulit2 pokok untuk menambah berat. Kami akan sembunyikan di sebalik timbunan resam, menunggu keesokkan hari utk dijual sebagai 'ojol'. 

Basah kuyup bapak mengayuh basikalnya. 

Aku yg duduk di palang sesekali merasa masinnya peluh bapak yg bercampur dengan air hujan yg menitik dari topi yg dipakai...

No comments:

Post a Comment