Thursday, September 27, 2018

MISI KEMBOJA 4

Hari ini 23.8.18, jam 6.15 pagi waktu tempatan, kami bergerak dari Phnom Meas Guest House menuju ke lokasi seterusnya iaitu Kampung Kekong, Ding Kam Pet dan Sen Chomren. Kali ini pemandangannya agak berbeza. Ladang getah sudah mula menguasai pemandangan. Manakala pohon buah-buahan ditanam di keliling rumah. 

Kelibat penoreh yang tekun mencari rezeki mengingatkan aku akan kehidupan silam di kampung. Getah keping, getah beku dan bau yang kurang enak, ditambah dengan harga komoditi yang tidak setabil memungkinkan sektor ini dipinggirkan oleh generasi baharu. Berpindah mencari sumber yang mendatangkan hasil lebih lumayan. Malahan, banyak kebun getah yang telah ditukar status kepada kebun kelapa sawit.

Setelah hampir 1jam 45 minit, mengeraskan urat melalui jalan ladang, peserta kembara korban daripada kumpulan satu tiba di lokasi iaitu di Kampung Kekong, wilayah Tebong Khamom.

Operasi korban terletak di bahagian belakang Masjid ar- Rahman. Di sini kami ditugaskan untuk mengurus penyembelihan 28 ekor lembu. Kehadiran kami disambut oleh khariah masjid yang diketuai oleh Imam Yaakob bin Mohd Zin, anak-anak serta penduduk setempat.

Selesai membahagikan jajan kepada anak2 sekolah, kami terus melaksanakan ibadah korban untuk diagihkan kepada lebih kurang 140 keluarga muslim di sini. Dua muka baharu penyembelih iaitu Ustaz Samista dan Tn Hj Saharuddin telah ditugaskan buat pertama kalinya. 'Pengijazahan' kepada dua muka baharu pemutus urat leher lembu ini turut disempurnakan dalam satu majlis ringkas sebaik sahaja selesai proses penyembelihan.

Manakala seekor lembu yang terlepas dari tambatan terpaksa digantikan dengan yang baharu apabila misi mencarinya gagal. Peristiwa ini menjadi pengajaran berguna kepada misi korban kali ini.

Menariknya, kami sempat melawat Madrasah Abdul Rahim, sekolah rendah untuk anak-anak penduduk tempatan yang rata-ratanya berkerja sebagai penoreh, menanam kacang hijau, kacang tanah dan pokok gajus. Dua orang guru yang bertugas mengoperasikan madrasah berkenaan ialah Ust Yusof bin Mohd Nor dan Ust Sulaiman. Mereka agak fasih berbahasa melayu. Seorang daripada mereka pernah menetap di Ulu Tiram, Johor. Merekalah yang banyak membantu kami terutama apabila berhadapan dengan masalah komunikasi.

Keadaan sekolah dan kelas yang agak daif dan uzur menyentap keegoan para peserta kembara. Papan hijau bersaiz 6'×3' yang diletakkan pada tiang penyokong dan kapur tulis mengingatkan kami kepada filem Seniman Bujang Lapuk arahan P.Ramli. Di atas meja guru yang beralas kain, terletak dua naskah buku bertulis jawi. Manakala, 'bantal kecil' yang dibuat khas berfungsi sebagai pemadam papan tulis.

Sebatang rotan sepanjang tiga kaki turut diletakkan di atas meja guru. Fungsinya sudah pasti menjadi alat kawalan kelas atau sebagai petunjuk tulis baca pada papan hijau. Pada dinding bercat kuning air yang kian pusam warnanya pula, tergantung gambar pemimpin negara, Kaabah dan beberapa catatan dalam bahasa Kemboja.

Di hadapan meja guru, terdapat beberapa buah kerusi meja dari papan bersaiz 1.5'× 4' buatan sendiri. Di sinilah anak-anak seawal 6 tahun tekun menerima tunjuk ajar tentang tulis baca dan hukum hakam yang paling asas. Prasarana memang tidak semegah sokongan yang disediakan kepada anak- anak di negara kita. Namun, ketekunan dan ketabahan anak-anak kampung Kekong berhadapan dengan persekitaran yang serba kekurangan ini perlu diberikan penghormatan yang setingginya.

Keadaan inilah yang telah menggerakkan usaha para peserta untuk membuat kutipan kilat bagi membeli papan putih yang akan digunakan untuk ketiga-tiga bilik darjah.

Selesai tugasan sekitar jam 11.20 pagi, sekali lagi kami membasahi tekak dengan air kelapa lidah kucing yang telah tersedia sebelum menuju ke sebuah warong berdekatan untuk makan nasi berlauk masakan kari dan sup ayam kampung....



MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.MohamadAlim Konting's photo.

No comments:

Post a Comment