Monday, August 13, 2012

ANAKLANANG SAKTI : Pekan Tambor @ Ayer Baloi


Pekan Tambor yang aku tinggalkan sekian lama tak banyak berubah. Deretan rumah kedai beratap zink dan berdinding papan masih seperti dulu. Rumah kedai Allahyarham Cikgu Aliman (Guru Besar SKSSD sekitar 70an) masih wujud dan kekal menjual majalah serta surat khabar. Di rumah kedai itulah kami dihimpunkan dan menginap beberapa hari untuk latihan pusat atau bila terlibat dalam kejohanan olahraga MSSD yang biasanya diadakan di SK Ayer Baloi. Bangga dan gembira hanya tuhan saja yang tahu. Al-maklum awal tahun-tahun 70-an anak hingusan yang duduk di pedalaman pada masa itu 'agak' jakun dengan jalanraya yang lurus dan rata. Pelik dan terhibur dengan bunyi enjin bas dan kereta. Guru-guru yang masih aku ingat seperti Cikgu Abu Talib Othman, Cikgu Rahmat, Cikgu Salleh (Bahasa Inggeris), Cikgu Seman dan Cikgu Borhan Sadli menguruskan kami. Terima kasih kerana memberi peluang kami naik kereta (walaupun terpaksa berhempit-hempit). Mungkin perasaan gembira dan bangga yang dirasai sama seperti apa yang dirasai oleh kotinjen negara yang berjuang di Olimpik London ketika ini.

Baginda Sultan mencemar duli memilih juadah berbuka di Pekan Tambor

Segalanya lazat

Semoga Pekan Tambor akan lebih makmur
Tempoh hari aku kunjungi semula Pekan Tambor. Hasrat utamanya adalah untuk membeli juadah berbuka puasa. Sedang aku melihat-lihat juadah yang dijual, bahuku diusik. Sedikit terperanjat, kerana Baginda Sultan Johor berada bersama untuk membeli juadah yang disajikan. DAULAT TUANKU.

Thursday, August 9, 2012

WOW PARAGON 2012

Wow Paragon sedang mengulangkaji....jangan digangan

Wow Paragon bersama Ayahanda Pengetua sebelum Percubaan SPM 2012

Percubaan SPM bermula...teruskan menjawab

Ada sinar..SPM 2012
Paragon 2012 telah berjanji untuk mencipta nama.....sekarang ini nama mu masih teratas. Ukirlah secantik mana yang anda suka. Pasti nama mu akan terus dikenang sampai bila-bila. Kami akan terus berusaha membantu.....Syabas WOW Paragon!!!!!

SEKILAS BERITA: SEMINAR 3 BERUBAH WAJAH


Hasrat untuk memiliki bilik seminar yang luas dan selesa tercapai apabila kerja-kerja pengubahsuaian Bilik Seminar dan Bilik Bahasa telah dapat disempurnakan pada pertengahan bulan Julai yang lalu. Bilik baharu yang mampu menampung seramai 160 pelajar dalam satu-satu masa ini merupakan hasil peruntukan SBT dan telah mula digunakan oleh guru dan pelajar SAKTI. Dengan kemudahan ini diharap anak-anak SAKTI dapat memberikan lebih tumpuan untuk mengapai kecemerlangan sebagaimana yang diimpikan. TQ SBT.

SEKILAS BERITA : KUNJUNGAN SMAN61 JAKARTA KE SAKTI

Rombongan SMAN61 bersama Pentadbir SAKTI
Persahabatan bola keranjang.... SAKTI menang tipis
Majlis Malam Kebudayaan dan Makan Malam

Sekadar kenangan...
Tanggal 9 dan 10 Julai 2012, SAKTI telah menerima kunjungan rombongan guru, staf dan pelajar dari SMAN 61, Jakarta. Kunjungan ini sebagai sebahagian daripada program pengantarabangsaan yang sememangnya dirancang oleh kedua belah pihak. Sepanjang keberadaannya di SAKTI pelbagai program telah dijayakan bersama dengan penuh rasa muhibah dan persaudaraan. Antaranya ialah pertandingan bola keranjang, Malam Kebudayaan SAKTI - SMAN 61, Lawatan dan pameran PdP dan senamrobik. Program murni ini turut mengundang penglibatan dua buah sekolah berhampiran iaitu SMKA Bandar Penawar, SMK Bandar Penawar dan SK Bandar Penawar 2. Rombongan turut dibawa melawat ke sekolah-sekolah berkenaan bagi melihat dan mengetahui sendiri pencapaian dan sistem pengurusan sekolah-sekolah terbabit. Semoga hubungan erat ini akan terus berkekalan melalui program-program susulan yang akan dirancang.

Wednesday, July 4, 2012

DARI DAPUR KE BALAI SANTAPAN

SELESAI MAKAN DI BALAI SANTAPAN ISTANA ISKANDARIAH, HKSBP 12
Dari dapur ke Balai Santapan

Kata guruku,
Raja itu duduknya di singgahsana,
Ada daulat
Ada derhaka
Di hadapannya orang menjunjung sembah,
Sopan bahasa menjunjung titah

Kata guruku lagi,
Raja itu berdayang-dayang
Hidupnya hanya berteman bulan
Berhimpun rakyat serata negeri
Mencuri-curi pandang menatap wajah
Bila sesekali raja mencemar duli.

Ayahku pula pernah mengingatkan
Usahlah kau bermimpi anakku,
Menerima undangan putera raja
Bersantap sama di balai germalapan
Kerana kita anak desa.

Balai Santapan,
Istana Iskandariah, Kuala Kangsar 2012

Monday, June 18, 2012

Dari SAKTI ke Sariken

Dari Sakti ke Sariken.
Ada air mata yang tertumpah.
Mengalir membasahi bumi Santubung.
Ada insan yang terkorban.
Meruntun hati dan perasaan
Ada insan yang berkorban.
Demi satu ikatan.

16 Jun 2012
SMS Batu Pahat

SELIKAS BERITA : Untuk Rakan SAKTI

Selepas beduk dipalu
Selepas tangan ditadah memohon restu Ilahi
Meredah kabus pagi,
Menakung titisan embun
Menghilang dahaga
Sebelum hilang dek terik mentari
Terima kasih Sang Guru
Penyemai subur anak pertiwi
pengisi kemerdekaan yang akan ditinggalkan

16 Jun 2012
SMS Batu Pahat

SEKILAS BERITA: Untuk Seorang Rakan

Siri 1
Selagi kudrat masih terdaya
Selagi nafsu masih membara.
Selagi mimpi masih belum kesiangan.
Jadikan keinginan satu kenyataan.

Siri 2
Emak pernah berpesan.
Isi bumi ini adalah nikmat yang Allah kurniakan untuk hambaNya.
Kalaupun tidak semua mampu dikecapi.
Berusahalah untuk dapatkan satu daripadanya.
Jika tidak....kau dayus anakku.

Siri 3
Pesannya lagi,
Biarpun sedikit nikmat yang kau kecapi.
Kongsikanlah dengan anak-anak yang kau sayangi.
Kongsikanlah dengan isteri yang kau cintai.
Secubit sama dirasa.
Andai kurang tambahkanlah.
Andai sempit luaskanlah.

Siri 4
Ayahku juga turut berpesan..
Derita ayah bukan untuk diwarisi
Susah ayah bukan untuk ditangisi.
Sebab ayah tak reti tulis baca.
Apa lagi kira mengira.
Pergilah kau merantau.
Asal bila kau pulang nanti
biarlah dengan kebanggaan seorang lelaki.
bukan kesombongan yang mengikis harga diri.

Siri 5
Jangan sampai anak berkata.
Oh.....sekadar inikah yang mampu ayah berikan?
Setelah sekian lama ayah berkelana?
Meninggalkan kami dengan malam bertemankan bintang
dan siang bertemankan mentari.

24 Mei 2012
Ipoh


Thursday, April 19, 2012

SEKILAS BERITA: BERITA-BERITA TERTANGGUH


LDP cenderamata kepada Tn Hj Adzman bin Talib

Hari Bersama Pelanggan 1

Suasana perbincangan HBP

Penceramah LDP dari LPM

Perkongsian Pintar SAKTI -STF

Majlis Penutupan Karnival Bahasa Daerah

Cenderamata kepada En Rahim Bujang STF

SAKTI _STF

Penyampaian Hadiah Karnival Bahasa

Berikut Disenaraikan beberapa program yang telah dilaksanakan sepanjang Mac – April di SAKTI

1. Program Guru Muda PMR

Tarikh : 24 Mac 2012

Tempat : SMK Lokman Hakim, Kota Tinggi.

Subjek : Sains dan Matematik

2. Perkongsian Pintar SAKTI – STF

Tarikh : 30, 31 Mac dan 1 April 2012

Tempat : SAKTI

Sasaran : Semua calon SPM SAKTI dan STF

3. Karnival Bahasa Melayu Daerah Kota Tinggi

Tarikh : 4 - 7April 2012

Tempat : SAKTI

4. Hari Bersama Pelanggan Siri 1

Tarikh : 13 April 2012

Tempat : Dewan Seri Penawar, SAKTI.

5. Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan LDP

Tarikh : 14 April (Sabtu) 2012

Tempat : SAKTI

Sasaran: Semua guru SAKTI, SMKBP, SMKA, 5 wakil setiap sekolah dan PPD

Penceramah : Tn Hj Adzman bin Talib, KPP Unit Akademik LPM

Tajuk : Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

6. Wind Orchestra

Tarikh : 13,14 dan 15 April 2012

Tempat : Putrajaya

7. Kem Kecemerlangan Fizik SKK

Tarikh : 17,18 dan 19 April 2012

Tempat : Hulu Tiram, JB

Sasaran : Semua calon SPM SAKTI

ANAK LANANG SAKTI: 'STRESS'

Sudah agak lama tak kemaskini blog. Kurang ada kesempatan. Agak sebuk pada akhir-akhir ini. Banyak isu atau perkara baharu yang boleh jadikan bahan cerita. Semuanya terpaksa disimpan dalam kotak ingatan. Biasalah, sebagai seorang guru, cerita yang ada tidak lari dari lingkungan sekolah dan warganya. Entah kenapa bulan Mac dan April ini semacam tidak ada ruang untuk berehat. Kalau adapun cuma hari Ahad. Puas isteri 'berkias' supaya melapang-lapangkan hari untuk anak-anak, tapi masih tak berdaya untuk memenuhinya. Sehinggalah, pusat kesihatan bagi keizinan untuk bercuti selama dua hari mulai hari ini dan esok. Kalau ikut pegawai yang merawat, katanya terlalu 'stress'. Stress yang macaam mana pun aku tak pasti. Mungkin dia buat rumusan berdasarkan jawaapan aku bila ditanya. Apa yang aku rasa, demam panas, mengigil, batuk dan sakit sendi-sendi.
Sendirian berada di atas katil dalam keadaan sakit begini, agak membosankan. Nasib baik ada rakan-rakan yang kadangkala menghubungi untuk nak dapatkan pandangan terhadap beberapa isu di sekolah. Telepon, SMS dan e-mail jadi penghubung. Terfikir betapa hebatnya dunia komunikasi pada zaman sekarang. Keputusan dapat dibuat dengan pantas sekali. Bayangkan dalam beberapa perkara yang perlukan keputusan segera kami boleh berbincang dan buat keputusan walaupun pengetua berada di KL, rakan-rakan di sekolah dan aku di bilik 'tahanan' ini. Sejak jam 7.00 pagi tadi tidak kurang 20 panggilan dan SMS masuk dalam telepon bimbit aku. Cumanya aku sebenarnya masih kurang pasti sama ada panggilan dan SMS tersebut menambahkan 'stress' yang ada atau menjadi terapi untuk menghilangkannya!!!!!!

Wednesday, March 21, 2012

ANAKLANANG SAKTI : SPM 2011


IBU-BAPA YANG SABAR MENANTI....


Tepuk sorak rakan...bangga dan gembira


Pembentangan Tn Hj Mohamad Alim...


Teliti keputusan SPM



Keputusan SPM 2011 telah diumumkan. Prestasi SAKTI pada tahun ini lebih baik sedikit daripada tahun sudah. GPS lebih baik daripada 1.95 menjadi 1.91. Begitu juga jumlah pelajar cemerlang (9A)turut bertambah dari 25 kepada 30 orang. Tiada ungkapan yang dapat ditulis bagi melahirkan rasa TERIMA KASIH kepada guru-guru yang MEMBIMBING, ibu-bapa yang MENDORONG dan anak-anak yang BERSENGKANG MATA . Hampir semua yang cemerlang telah dijangka dan diduga daripada usaha masing-masing. Yang tidak diduga, PASTI mereka melakukan usaha lebih daripada orang lain untuk membuktikan bahawa mereka juga boleh melakukannya. Itulah cabaran dan persaingan. Saya pasti mereka lebih menikmati kepuasanya berbanding orang lain.

Yang kurang berjaya anda bukan GAGAL. KELANGSUNGAN HIDUP tidak terletak sepenuhnya pada slip keputusan yang diterima. Berapa banyak pun air mata yang mengalir pasti tak akan mengubah apa-apa. Anda kena menerimanya dan teruskan dengan perancangan hidup yang lebih rapi. Mungkin masanya akan tiba satu hari nanti untuk anda menjadi orang yang HEBAT.

Kepada anak-anak SAKTI yang menjadi calon SPM 2012, anda sendiri telah dapat melihat suasana kemeriahan, kesedihan, kesahduan dan sorak gembira rakan-rakan di Dewan Seri Penawar. Anda dapat melihat betapa mereka yang cemerlang telah kami raikan di atas pentas dengan kuntuman bunga walaupun tak seberapa nilainya tapi penuh makna. Dewan Seri Penawar pasti akan menjadi lokasi untuk tujuan yang sama pada 2013 nanti dan andalah yang akan memainkan watak utamanya. Mulai sekarang anda perlu pahatkan semangat dan keinginan sama ada untuk ditepuk atau menepuk. Anda memiliki riputasi hebat berdasarkan PMR 2010. Rekod GPS PMR masih dalam genggaman anda!!! Alangkah seronoknya jika anda dapat memecahkan sekali lagi GPS sekolah dalam SPM.

Ayuh, kita rapatkan saf, kita susun gerak kita dengan lebih cermat dan teliti. Jangan ada ruang untuk sesiapa menganggu. Jangan ada yang tercicir atau terpaksa dicicirkan. Kita sama-sama berpadu tenaga Insyallah…. SAKTI boleh!

Saturday, March 3, 2012

SEKILAS BERITA: SELAMAT HARI LAHIR KE 52




Pada 03 Mac 2012 (Sabtu) merupakan hari yang paling bermakna kepada seluruh warga sekolah kerana berkesempatan untuk sama-sama meraikan sambutan hari lahir pengetua ke-52. Upacara memotong kek oleh Tn Hj Mohamad bin Mahadi telah berlangsung di Kafetaria SAKTI sebelum bermulanya Larian SAKTI 2012. Semoga dipanjangkan umur dan diberi kesihatan serta kesempurnaan dalam hidup seterus dapat membimbing SAKTI mencapai Misi dan Visi sekolah.

SEKILAS BERITA: LARIAN SAKTI 2012




03 MAC (Sabtu) - Larian Sakti 2012 yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum sekolah telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.15 pagi dan berakhir pada 11.30. Pada tahun ini pasukan Alfa telah berjaya merangkul kejuaraan diikuti oleh pasukan Gama, Beta dan Sigma. Larian ini telah disempurnakan permulaannya oleh Yang Berusaha Tn Hj Mohamad bin Mahadi, Pengetua SAKTI. Turut terlibat membantu menganjurkan kejohanan ialah RELA Bandar Penawar, Polis Balai Polis Bandar Penawar, Lembaga Getah Malaysia dan Sekolah Sukan Bandar Penawar. Kepada semua yang terlibat diucapkan terima kasih dan kepada yang berjaya TAHNIAH diucapkan.

Friday, March 2, 2012

ANAKLANANG SAKTI : ADA YANG BAHARU DI SAKTI


Mercu Tanda Baharu "SAKTI- SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI" Terima kasih kepada para penyumbang utama anak-anak SAGACIOUS 94. Anda pernah menjadi sebahagian daripada kami. Begitu juga Koperasi sekolah dan PIBG.





Wakaf Pembelajaran bersebelahan Blok B Pentadbiran - Terima kasih kepada YB Hamimah Manshor, keperihatinan YB amat kami sanjung tinggi dan dihargai. Terima kasih daun keladi.....



Wajah baharu bas SAKTI. Yang lama dilupa jangan, yang baharu khabar-khabarkan. Kepada pihak yang berkerja keras menguruskan penampilan terkini bas SAKTI, syabas dan terima kasih.......Ayahanda Hj Hassan, Burn, En Mislah, En Din dan En Zol. Reka bentuk yang hebat dan 'garang'. TAHNIAH SEMUANYA.