Wednesday, August 10, 2011

anaklanangsakti :BABI @ KHINZIR

seekor yang tumbang akibat racun

Salah satu keunikan haiwan ini ialah kerana namanya. Dalam masyarakat Melayu kita, menyebut nama haiwan ini amat sukar sekali. Walau pun cuma dua suku kata, tapi impaknya cukup besar. Menyebut namanya saja boleh mencetuskan pertelingkahan dan permusuhan. Terutama bila tak kena pada tempat atau masanya. Bagi manusia Melayu yang menjaga tata susila bahasa dalam kehidupan, nama haiwan ini jarang malah mungkin tak pernah diucap sepanjang hayatnya. Kalau pun teringin sangat, mereka sanggup mencari perkataan-perkataan lain yang seerti …khinzir, kaki pendek dll. Bagi anak-anak kecil, mereka sudah terasuh supaya tidak menyebutnya. Biasanya, mereka tidak pernah nak bertanya atau mempertikaikan kenapa dan mengapa nama haiwan ini tak boleh disebut. Biarpun untuk tujuan pembelajaran, anak-anak pastinya akan menyisihkan haiwan malang ini. Pendek kata, daripada pelempang naik ke muka, lebih baik mendiamkan diri dari menyebutnya.

Bercerita tentang haiwan ini dari sudut agama lagi keras hukumnya. Biarpun masih boleh disebut, tetapi tak boleh dipegang sesuka hati. Haiwan ini bukan seperti kucing yang boleh dibela, dibelai, dimanja atau dibiarkan bebas keluar masuk rumah. Juga bukan seperti lembu, kambing yang boleh dimakan dagingnya malah wajib dizakatkannya bila cukup tempoh. Seperti anjing, hairaiki najisnya juga berada pada kedudukan yang tertinggi. Bukan setakat dibasuh hingga bersih tetapi ada syarat-syarat tambahan untuk mensucikannya……..samak. Itulah ‘hebatnya’ haiwan ini.

Sebab itulah, bila nampak saja haiwan ini memasuki kawasan SAKTI, kami khususnya penghuninya tak boleh duduk diam. Kami akan menggunakan apa saja cara untuk menghapuskannya. Panggil pemburu, cuma menghabiskan peluru . Lubang perangkap pernah dicuba, tapi tak berjaya. Dihalau dengan cara baik, tak diendahkannya. Akhirnya, terpaksalah kami bubuh racun dalam “periuk nasinya”…..lihatlah apa yang berlaku.



Monday, August 8, 2011

anaklanangsakti: SEIA SEKATA


Dalam kehidupan kadangkala ada sesuatu yang kita rancang tak pernah menjadi. Ada juga yang kita impikan tak pernah kesampaian. Malah kadang-kadang panas yang kita harapkan hingga ke petang, ribut petir pula yang datang pada pagi hari. Tak perlulah kita terlalu menyalahkan perancangan apatah lagi memperlekeh strategi. Degup nadi sebenarnya telah ditetapkan oleh yang maha kuasa. Begitulah juga dengan sekumpulan guru SAKTI yang memakai baju biru sedondon pada Jumaat, 05 Ogos yang lalu...tanpa perancangan tapi MENJADI.

Friday, August 5, 2011

SEKILAS BERITA: TADARUS AL-QURAN







Sempena Ramadan yang mulia ini Program Tadarus Al-Quran yang melibatkan guru-guru SAKTI telahpun bermula pada Jumaat, 05 Ogos 2011, jam 7.15 hingga 7.50 pagi. Guru-guru telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membaca al-Quran mengikut juzuk yang telah ditetapkan. Dengan adanya tadarus ini, maka program Budaya al-Quran yang selama ini diadakan setiap pagi Jumaat ditangguhkan sehingga Ramadan berakhir. Mudah-mudahan amalan ini akan berterusan dan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Amin.

Thursday, August 4, 2011

anaklanangsakti: PERIKSA OH PERIKSA











Pelajar dan peperiksaan tidak boleh dipisahkan…umpama malam dan bintang. Oleh yang demikian, anak-anak SAKTI khususnya yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM tidak boleh mengeluh. Anda juga tidak boleh untuk berkata…… ‘aku belum bersedia’. Suka ataupun tidak , anda perlu memberi fokus. Guru-guru telah bertungkus lumus melatih, membimbing dan memberikan panduan untuk anda bersedia menghadapinya. Bengkel, Qiamullail, Kelas Tambahan, Seminar, Aku Janji, Program Hikmah, Perkongsian Pintar, Motivasi merupakan antara program yang telah dilaksanakan. Itu tak termasuk modul dan latihan.Tak cukup bangunan sekolah, dewan makan digunakan. Bosan di dewan makan, surau menjadi tempat persinggahan. Malah ada ketikanya kita sama-sama berkelana ke Masjid As-Sifa’ mencari tempat yang sesuai untuk memperoleh ketenangan.

Pengorbanan guru untuk mempersiapkan anda, tak usah nak cerita. Ada guru yang ‘bergaduh’, berebut tempat, ada guru yang ‘bertengkar’ berebut masa. Tak sempat siang, ada guru yang datang bertemu pelajar pada sebelah malam. Malah pada saat orang lain dibuai mimpi, ada guru masih bersengkang mata bersama sekumpulan pelajarnya. Semuanya gara-gara inginkan kepuasan. Kepuasan dalam berkerja dan berkerjaya. Kepuasan dalam memikul amanah berdasarkan gaji yang diterima. Malah kadang-kadang macam tak setimpal dengan apa yang kami dapat setiap bulan. Apa yang paling utama ialah kepuasan untuk melihat anak didiknya cemerlang dan terbilang.

Oleh itu, anak-anak SAKTI perlu lebih kuat dan berkeyakinan. Hadapi peperiksaan percubaan ini dengan penuh semangat dan bersaing secara sihat. Jangan hancurkan harapan orang di sekeliling anda. …….PATAH SAYAP BERTONGKATKAN PARUH… Selamat menghadapi Peperiksaan Percubaan SBP.

Friday, July 29, 2011

SEKILAS BERITA : ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2010





TAHNIAH !!!



Tn Hj Hassan bin Topit
Tn Hj Mohamad Alim bin Konting
Pn Juliana bt Madon
Cik Khadijah bt Omar
Pn Mazlena bt Murshed
Pn Latifah bt Rawi
Pn Zanita bt Sabran

dan terima kasih atas penganugerahan ini.
“JANGAN BERKERJA SEPERTI KUCING MENGEJAR EKORNYA"


intipati ucapan Tim. Pengarah Pelajaran Johor, En Md Hasidin bin Zaini.

Thursday, July 28, 2011

anaklanangsakti: “PUNGGAHAN”

















Seronoknya menyambut Ramadan di kampung. Sejak aku belum pandai membersihkan hingus sampailah sekarang, amalan “punggahan” masih terpelihara. Kalau dahulu, inilah masanya untuk menikmati makanan yang enak-enak….makan daging ayam, serundeng dan sedikit ikan masin. Dalam masa yang sama dapat pergi “monjong-monjong”, naik basikal bawak “rantang” ke rumah saudara-mara terdekat…..tiada bantahan. Sekarang aku dan anak-anakku tetap setia dengan amalan ini, bukan kerana daging ayamnya tapi kerana “power of mak”. Semua anak-anak kena balik…. Alhamdulillah, dapat berkumpul adik beradik sebelum puasa. Aku masih tetap dengan tugasan 30 tahun dulu…”monjong-monjong”. Cuma bezanya, kali ini aku tidak lagi berbasikal sebaliknya berkereta bersama anak-anak. Tidak ada lagi “rantang” untuk dibawa, cuma bungkusan nasi dan lauk pauk sebagai ganti. Dari “darat” sampai “ke laut” rumah saudara mara dikunjungi. Anak-anak mengucap salam, aku sekadar duduk di kereta memerhatikan. Sesekali ucapan salam diganti dengan bunyi “hon”. Wajah saudara-mara yang muncul sudah jauh berubah. Tak seperti 30 tahun dulu.
Malam…jiran tetangga datang, baca tahlil “ngirim aruah”. Mudah-mudahan pahala bacaan sampai kepada simati. Nasi “ambeng” menjadi sajian……. Seketul ayam di kelilingi lauk pauk dihimpun di atas longgokan nasi yang diisi di dulang besar. Bukan untuk dimakan tetapi sekadar untuk dijamah. Bakinya dibahagi-bahagi untuk dibawa pulang. Itulah “berkatnya”. Aku tak pasti, adakah lagi kenikmatannya amalan ini. Sesekali hati nakalku berdetik. Namun, sepanjang melalui lebuh raya Senai-Desaru,untuk pulang ke Bandar Penawar, aku membuat rumusan….hebatnya “Punggahan”. Di situ ada kesyukuran, kasih-sayang, bantu membantu, kegembiraan, persaudaraan, kesabaran dan ketakwaan. Mataku menjeling anak-anak yang nyenyak dikerusi belakang. Mudah-mudahan mereka akan mewarisi “PUNGGAHAN”.

SELAMAT BERPUASA



Semoga Ramadan kali ini akan lebih bermakna kepada semua warga SAKTI. Ambillah kesempatan dengan nikmat umur yang masih berbaki untuk meningkatkan amalan. Semuanya dari ALLAH dan untuk ALLAH.

Thursday, July 21, 2011

SEKILAS BERITA : JADUAL ANJAL PMR DAN SPM

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, pihak sekolah telah melaksanakan jadual anjal yang bermula pada 11 Julai 2011. Pelaksanaan jadual ini menjadi titik tolak kepada kesungguhan pihak sekolah dalam menyediakan calon-calon PMR dan SPM yang mantap sebelum memasuki dewan peperiksaan pada hujung tahun ini. Dengan pemantauan guru, calon-calon PMR dan SPM menjalani proses ‘latih tubi’ secara berterusan mengikut waktu dan subjek yang telah ditetapkan. Sesi menjawab kertas-kertas soalan, perbengkelan dan perbincangan mengisi slot sepanjang program berlangsung. Syabas kepada guru yang menyediakan modul. Syabas juga kepada anak-anak yang tekun dan akur mengikuti program berkaitan. Semoga program ini mendatangkan impak yang maksimum dalam keputusan PMR dan SPM nanti.

SEKILAS BERITA : PERKONGSIAN PINTAR SPM SAKTI – PPD KOTA TINGGI

Kerjasama erat SAKTI-PPD Kota Tinggi dalam memastikan kecemerlangan akademik SPM 2011 dapat dilihat melalui perkongsian pintar calon-calon SPM pada tahun ini. Seramai 34 pelajar SPM yang mewakili setiap sekolah menengah di Kota Tinggi telah berkampung di SAKTI mulai 10 hingga 15 Julai. Mereka berpeluang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran serta kehidupan harian bersama pelajar-pelajar SAKTI. Sepanjang berada di SAKTI peserta telah dibekalkan dengan modul-modul pembelajaran yang disediakan oleh guru-guru SAKTI.Semoga dengan usaha ini kedua-dua pihak iaitu SAKTI dan PPD Kota Tinggi akan memperoleh manfaatnya melalui pencapaian cemerlang calon-calon SPM 2011, Insya Allah.

SEKILAS BERITA : PERKONGSIAN PINTAR SPM SAKTI – SMK PASIR GUDANG 2



Baru-baru ini SAKTI telah menerima kunjungan seramai 25 pelajar dari SMK Pasir Gudang 2 sempena program kecemerlangan dan peningkatan akademik sekolah tersebut. Pelajar-pelajar berkenaan telah ditempatkan di SAKTI mulai 20 hingga 24 Jun 2011. Mereka berpeluang untuk mengikuti proses P&P di samping merasai sendiri cara kehidupan pelajar SAKTI. SELAMAT MAJU JAYA KEPADA CALON-CALON SPM DAN PMR SMKPG2.

SEKILAS BERITA : HARI BERSAMA PELANGGAN SIRI 1

Pada 08 Julai 2011 (Jumaat), SAKTI telah mengadakan Hari Bersama Pelanggan (HBP) yang bertempat di DSP dan Surau Al Jawahir. Sambutan HBP pada kali ini amat menggalakkan dan di luar jangkaan pihak sekolah. Pelbagai isu telah diutarakan oleh para ibu-bapa sepanjang program berlangsung. Perjumpaan pengetua dengan ibu-bapa pelajar PMR dan SPM yang gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam peperiksaan pertengahan tahun turut diadakan di Surau Al-Jawahir. Dalam perjumpaan tersebut Penolong Kanan SAKTI turut menyampaikan taklimat berkaitan prestasi pelajar dan harapan sekolah kepada calon-calon peperiksaan awam 2011. Sesi dialog dan luahan rasa ibu-bapa pelajar yang terlibat turut diadakan. Terima kasih kepada semua ibu-bapa yang hadir memberikan sokongan dalam menjayakan HBP tahun ini.

SEKILAS BERITA : PROGRAM QIAMULLAIL SPM 2011

Qiamullail SPM 2011 telah berlangsung dangan jayanya pada 2 Julai yang lalu di Masjid As-Sifa, Bandar Penawar. Seramai 135 pelajar tingkatan 5 telah terlibat dalam program ini. Ayahanda pengetua bersama Pengerusi Jawatan Kuasa Masjid dan imam turut hadir dalam sesi penutupan program berkenaan. Mudah-mudahan program ini dapat membantu meningkatkan kecemerlangan calon-calon SPM 2011. TAHNIAH.

SEKILAS BERITA: PROGRAM QIAMULLAIL PMR











Bertempat di Masjid As-Sifa’ Bandar Penawar berlangsung program qiamullail pelajar-pelajar tingkatan 3 yang akan menduduki PMR hujung tahun ini. Program ini memberi tumpuan kepada proses pengukuhan kerohanian para pelajar yang terlibat. Sepanjang program berkenaan para pelajar turut diberikan bimbingan dan motivasi oleh guru-guru yang terlibat. Program bermula pada jam 6.30 petang 17 Jun dan berakhir dengan aktiviti gotong-royong pada keesokan harinya. Tahnian dan terima kasih kepada pelajar dan guru yang terlibat.

SEKILAS BERITA : SEKOLAH KLUSTER DAN TAWARAN BAHARU PENGETUA







SAKTI menjadi salah sebuah sekolah di negeri Johor yang telah dicalonkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Tawaran Baharu Pengetua pada tahun ini. Beberapa orang pegawai nazir telah ‘berkunjung’ bagi proses pemantauan dan penilaian yang berlangsung pada 16 dan 23 Mei 2011. Semoga apa yang dihasratkan oleh warga SAKTI akan tercapai.

Thursday, July 14, 2011

SEKILAS BERITA: LAWATAN PENANDA ARAS KE SASER






Pada 2 April 2011, seramai 45 orang guru SAKTI talah melakukan lawatan penanda aras ke SASER Seremban. Rombongan diketuai sendiri oleh pengetua SAKTI Tn Hj Hassan bin Topit. Matlamat utama lawatan adalah untuk mempelajari kecemerlangan pengurusan dan program-program akademik yang telah meletakkan SASER sebagai sekolah terunggul di Malaysia. Sesi dialog, perbengkelan dan taklimat telah diadakan sepanjang program tersebut berlangsung. Semoga SAKTI akan turut seiring dengan SASER dalam usaha menjana kecemerlangan warganya.