Wednesday, January 23, 2013

SEKILAS BERITA : …JANJI DITEPATI




15 JANUARI 2013 (SELASA), Seramai 109 orang pelajar SAKTI yang memperoleh 8A dalam Peperiksaan PMR 2012 telah diraikan dalam satu majlis jamuan di Pulau Desaru Hotel. Hi Tea tersebut turut disertai oleh Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, GKMP dan YDP PIBG SAKTI, Tn Hj Othman bin Karsan. Majlis diadakan antara lain bertujuan untuk menzahirkan rasa penghargaan kepada pelajar-pelajar yang bertungkus lumus berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR 2012. Semoga majlia itu juga akan menjadi pembakar semangat calon-calon PMR 2013 yang turut mensasarkan keputusan terbaik. AMIN!.





SEKILAS BERITA: LDP PERTAMA 2013…..PBS



14 JANUARI 2013 (ISNIN), Bertempat di Bilik Mesyuarat Desaru telah berlangsung kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) pertama 2013. Pada kali ini, guru-guru SAKTI sekali didedahkan dengan isu-isu dan pengoperasian PBS yang disampaikan oleh Tn Hj Khairuddin bin Mohamad, pegawai peperiksaan PPD Kota Tinggi. Pelbagai isu terkini dan permasalahan yang berkait dengan PBS telah dibentangkan dalam kursus yang bermula pada jam 2.30 hingga 5.00 petang itu.

SEKILAS BERITA : HARI KELUARGA SAKTI 2013



13 JANUARI 2013 (AHAD), Kelab Bilik Guru SAKTI (KEBIRU) telah menganjurkan Hari Keluarga SAKTI bertempat di Starhill Resort, Kempas, Johor Bahru. Pelbagai aktiviti berupa permainan yang disertai oleh ahli dan keluarga KEBIRU telah diadakan. Diharapkan dengan program ini akan dapat merapatkan lagi ukhwah antara ahli. Majlis berakhir jam 4.30 petang sebaik sahaja selesai penyampaian hadiah dan cenderamata kepada pemenang setiap acara yang dipertandingkan. Tahniah kepada AJK KEBIRU!!!

Wednesday, January 9, 2013

SEKILAS BERITA: PMR SAKTI TERBAIK JOHOR

...Bersama Mencipta Sejarah...PMR 1.03

Turut berjasa..

Tahniah Cikgu..

Usaha yang kenal jemu menghasilkan kajayaan....
Satu majlis perhimpunan khas bagi meraikan kejayaan calon-calon PMR SAKTI 2012 telah berlangsung pada 07 Januari 2013. Majlis ini diadakan bagi menghargai kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh pejuang-pejuang SAKTI yang telah mencipta rekod GPS terbaik iaitu 1.03 dalam peperiksaan PMR yang lalu. Dengan keputusan ini juga, telah meletakkan SAKTI pada kedudukan pertama di negeri Johor di depan Sekolah Tun Fatimah (1.04) dan Sekolah Sultan Ismail JB (1.07). Seramai 109 (78.99%) calon yang memperoleh 8A dalam semua mata pelajaran telah menerima sijil penghargaan daripada Tuan Pengetua. Turut menerima sijil-sijil penghargaan dan cendera mata ialah guru-guru tingkatan 3, Ketua-ketua Panitia yang terlibat dan Guru-guru Kanan Mata Pelajaran. Sesungguanya, majlis ini akan menjadi perangsang kepada semua pelajar khususnya calon-calon PMR 2013 untuk menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan pada hujung tahun ini. TAHNIAH kepada guru-guru dan pelajar SAKTI.

SEKILAS BERITA : LAWATAN PENANDA ARAS PERTAMA 2013

Taklimat oleh Tn Hj Mohamad bin Hj Mahadi, Pengetua SAKTI

Perbincangan diketua oleh Pn Hjh jamilah Zamahsari
Seramai lima orang guru SK Bandar Penawar 2 yang diketuai sendiri oleh Tuan Guru Besar, En Jaafar bin Atan telah membuat lawatan penanda aras ke SM Sains Kota Tinggi pada 8 januari 2013 (Selasa). Tujuan lawatan adalah untuk mempelajari pengurusan berkaitan dengan Sekolah Berprestasi Tinggi. Sesi yang boleh dianggap sebagai Coaching & Mentoring ini berlangsung pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Sepanjang lawatan tersebut beberapa berbincangan profesional telah dilakukan melibatkan beberapa orang guru yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan SBP SAKTI. Kerjasama seumpama ini diharapkan akan berterusan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan kedua-dua pihak.

SEKILAS BERITA : PENDAFTARAN TINGKATAN SATU 2013

Pendaftaran bermula
Aku janji


Tanggal 7 Januari 2013 menjadi detik bersejarah kepada seramai 119 orang pelajar baharu tingkatan 1. Mereka secara rasminya menjadi warga SAKTI selepas melalui proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.00 pagi di Dewan Seri Penawar. Dalam majlis tersebut beberapa siri taklimat daripada pihak pengurusan SAKTI dibuat bagi menjelaskan secara lebih terperinci berkaitan SM Sains Kota Tinggi yang tercinta ini.

Monday, December 24, 2012

SEKILAS BERITA : MONOLOG



Monolog
Lebih sedekad, kami memendam rasa. Lebih sedekad juga Sakti cuba untuk menjadi pesaing kepada rakan-rakan sama ada yang seangkatan mahupun yang telah lama di medan perjuangan. Saban tahun mengerah kudarat mengatur pelbagai strategi.Mana yang kurang ditambah, yang cacat diperbaiki, dan yang tidak berkesan dibuang.Berguru dan menimba ilmu dari rakan yang lebih hebat menjadi rutin tahunan.Saban tahun juga menghantar rombongan untuk merisik-risik azimat orang.Namun, semuanya kurang menjadi, semuanya berakhir dengan kekecewaan.Ada juga benarnya kata orang, berketak ayam mandul, orang berketak dia berketak, orang bertelur dia tidak.Jangankan nak duduk di singgahsana, nak menjadi pengapit kepada Sang Raja pun jauh panggang dari api. Biasanya sekadar menjadi penabur beras kunyit atau tepak sirih untuk menambah seri majlis orang.Selalu juga menjadi tukang tepuk bukan menerima tepukan.Tomahan dan sindiran bukan kepalang pedihnya.Lebih sadis bila ada yang hilang kepercayaan, hilang keyakinan.Segagah gagah ‘Sakti’, kadang-kadang timbul juga rasa kecewanya.Jenuh juga memujuk hati sendiri untuk banyakkan bersabar.Sesekali teringin menjadi harimau setelah bertahun-tahun menjadi kambing.Mungkin belum tiba masanya.Malah, menipu diri sendiri seolah-olah kuat semangat untuk meyakinkan rakan-rakan sebenarnya juga satu bebanan yang cukup berat untuk ditanggung.
Kepimpinan
Tegaknya sireh kerana junjungan dan kalau nak belayar biarlah bernakhoda, kalau nak berjalan biarlah dengan orang tua.Kata-kata ini menjadi azimat tersembunyi.Memang naluri manusia secara semulajadinya tidak suka dipimpin dan juga tidak suka dibimbing.Fitrahnya manusia inginkan kebebasan. Bebas membuat sesuatu yang disukainya,biarpun nampak salah pada pandangan orang lain. Namun dalam organisasi naluri seperti itu perlu dihindari.Apatah lagi, kita telah bersetuju untuk terikat dengan pekeliling dan peraturan pihak yang memberi kita ‘makan’.Dalam hal ini Sakti boleh dikatakan cukup bertuah.Sakti memiliki ‘junjungan’ yang kuat untuk dipaut.Biarpun sering bertukar ganti, akarnya sudah jauh memasak bumi.Berfokus dan memiliki misi yang turut dikongsi bersama warganya.Tidak lokek menabur ilmu, tidak kedekut menilai budi.Pengetua menjadi petunjuk arah, meniup semboyan semangat manakala guru-gurunya sederap mendayung membawa muatan menuju destinasi.Biarpun kadangkala berlaku ‘provokasi’ yang melampau, namun untuk melepaskan pendayung tidak sekali-kali.Jauh sekali bertindak menebuk sampan dan membiarkannya karam.Malah sepanjang pelayaran, lupa mengingatkan, terlelap menjagakan.Si cerdik teman berunding, si bodoh disuruh arah.Sekali sekala bila berdepan halangan dan musibah cepat-cepat berunding kerana maufakat itu membawa berakah dalam kehidupan.Prinsip itu amat ampuh dan setiasa berada dalam genggaman.
X-Faktor pemangkin kecemerlangan
Cemburu bagi orang yang sedang bercinta ada bahayanya. Namun, cemburu melihat kehebatan orang lain untuk sama-sama mengapai kejayaan ada juga baiknya.Apatah lagi, bila cemburu itu turut dikongsi dalam organisasi. Usian Bolt tidak mungkin mampu mencipta kemashyuran dengan deretan rekod baharu kalau berlari bersendirian di tengah padang. Lantaran itu bukanlah sesuatu yang memalukan untuk diberitahu bahawa Sakti memang mencemburui kehebatan rakan-rakan.Bukan baru sekarang, tetapi sejak Sakti mula ditubuhkan. Rasa cemburu akan semakin membuak-buak bila warga Sakti mula merasai keseronokan dan nikmat bila sekali-sekala menerima tepukan dalam apa jua lapangan sama ada kurikulum mahupun kokurikulum. Lantas, apabila bercerita tentang kecemerlangan akademik umpamanya, seluruh warga Sakti akan berpaling ke STF (Sekolah Tun Fatimah). Sekolah yang telah separuh abad unggul dengan prestasinya yang tersendiri.Secara metosnya, mungkin sukar untuk diganggu gugat. Sejujurnya, Sakti tidak pernah jemu mengorek rahsia kehebatan STF juga rakan-rakan pemuka yang lain. Kami akan membawa pulang kaedah dan strategi yang digunakan untuk diadun semula bagi menjana kecemerlangan Sakti. Sekiranya perlu, Sakti akan tambahkan lagi dengan sedikit ‘perasa’ agar bersesuaian dengan cita rasa. Bagi yang diberi peluang berlari bersama Usain Bolt, pasti secara automatisnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyainginya. Mana mungkin sebagai pesaing kepada legenda itu, kita langsung tidak melakukan persiapan rapi.Malu bukan kepalang kalau tertinggal jauh ke belakang diiringi dengan gegak gempita sorakkan di tepi gelanggang. Inilah STF, yang menjadi teman dan lawan dalam persaingan. Berpegang kepada prinsip orang yang menunggu perigi tak mungkin mati dahaga maka STF akan kekal menjadi x-faktor kecemerlangan Sakti.
Penjenamaan Sakti
Suatu perkara yang paling dibimbangi bagi seorang ahli politik ialah apabila kehadirannya dalam apa jua majlis sama ada kecil mahupun besar tidak diketahui atau dirasai oleh tetamu yang lain.Peringkat awal, untuk hebat dan kelihatan hebat perlu ada sedikit usaha untuk dikenali walaupun tidak disegani.Sebab itulah, walaupun sekadar tokoh politik kecil, mereka sanggup mengupah individu berkaca mata hitam mengiringinya walau ke mana tokoh ini pergi. Barulah nampak kehebatannya!!. Strategi yang sama perlu Sakti gunakan bagi menyakinkan orang. Jangan sampai kewujudan Sakti seperti melukut di tepi gantang, masuk tidak menambah, keluar tidak mengurang. Lebih malang jika berita kewujudan Sakti sudah terdengar, tetapi bukti belum ada. Umpama ombaknya kedengaran, pasirnya tiada kelihatan.Lantas untuk mengukuhkan penjenamaan Sakti di persada pendidikan negara, sesuatu perlu dilakukan. Mungkin orang tidak akan memakai ubat gigi ‘Colgate’ kalau tidak kerana Colgate telah lama dikenali. Sebab itu sesekali ada kedengaran khalayak berbisik bertanya…Sakti tu di mana?.. Macam mana?..mana lebih bagus antara Sakti dengan STF, antara Sakti dengan Sains Johor. Bermacam kemuskilan yang sebenarnya perlu dijawab dan bukan tugas pengetua seorang untuk menyelesaikannya. Semua guru, staf sokongan termasuk pelajar dan ibu-bapa yang bernaung di bawah jenama Sakti perlu memecahkan kebuntuannya dengan cara tersendiri. Salah satu caranya ialah dengan melastarikan kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang.Status Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi Tinggi yang diperoleh diharap dapat memudahkan usaha meraih kepercayaan khalayak terhadap Sakti.

Penutup
Terkini keputusan PMR 2012 menjadi bukti.Mengundang pula kejutan yang bukan kepalang kepada lawan dan juga kawan.Semua pihak yang bernaung di bawah jenama Sakti berhak menerima pujian. Khususnya, rakan-rakan guru yang saban hari menapak ke kelas dengan doa dan harapan. Anak-anak yang tetap akur menerima suapan biarpun ada kalanya pahit untuk ditelan. Inilah bukti kesungguhan, tidak akan serik luka dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua. Hasilnya, dapatlah duduk disinggahsana. Jangan malu untuk berbangga dan bergembira sebab lama sudah Sakti menahan keinginan, ibarat menyepit lidah ke lantai!!. Dalam masa yang sama jangan lupa mencari dan mencipta strategi baru yang lebih ampuh agar tidak mudah disingkirkan. Jangan pula nanti, kerusi belum lagi panas dah kena berdiri!!Mana muka nak kena letak. Ingat selalu  pesanan orang, bersaing itu payah…mendahului itu sukar. Sebab itu orang lebih suka memburu daripada diburu di lapangan.Warga Sakti perlu merapatkan barisan kerana kita hanya boleh berusaha TUHAN yang akan menentukan.
TQ
PK 1

Thursday, October 4, 2012

SEKILAS BERITA : MAJLIS PERSARAAN TN HJ KAMARDIN DAN PN HJH SHARIFAH

PENOLONG-PENOLONG KANAN SM KOTA TINGGI

Satu majlis telah dianjurkan oleh M4P daerah Kota Tinggi sempena persaraan Tn Hj Kamardin, bekas Penolong Kanan SMK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi dan Pn Hjh Syarifah Penolong Kanan SMK Tanjung Pengelih. Majlis makan tengah hari yang turut dihadiri oleh En Maat bin Kozin, wakil rasmi Tuan PPD Kota Tinggi ini telah diadakan di Pulai Hotel, Desaru pada 4 Oktober 2012 (Khamis). Semoga kedua-dua bekas Penolong Kanan ini akan sentiasa dirahmati dan diberi kebahagiaan berpanjangan.
(disertakan puisi yang dideklamasikan olen Pn Syarifah)

Rupa-rupanya , aku..
Tiba jua di muara waktu
Perpisahan yang hadir menjadi rindu
Tinggalkan jejak yang banyak liku

Berdiri bersama denai kenangan
Bercambah mesra menjadi jambangan
Pasti terdengar dengar nanti
Sahutan salam anak-anak didik,
Sapaan salam rakan sekerja.

Ku ingin menyusun jemari ini,
Yang terkhilaf dimaafi
Yang sesal diinsafi
Yang lebih dibahagi
Yang kurang dilengkapi.

Agar saat perpisahan ini indah
Terlerai segala durja gundah
Tersirna cebisan amanah
Terurai segala yang bercanggah

Selamat tinggal suara-suara ceria
Rakan sekerja, teman bergurau senda,
Padang perhimpunan dan padang perkasa
Kelas dan anak-anak keletah bersahaja
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah.

Selamat datang persaraan
Kerana segala-galanya janya kesementaraan
Melengkapi perjalanan, sebuah kehidupan

Di sini aku pasti merindui
Kesebukan tugas seorang guru,
Terasa sedih berbekam pilu,
Rutin 33 tahunku akan berlalu,
Namun, pasti aku tersenyum
Pabila terkenang memori lalu.

Seribu kesyukuran pada Ilahi
Moga hidupku terus diberkati
Bersama keluarga yang dikasihi,
Agar terpelihara kesihatan diri…

Duhai teman-teman
Iringi daku dengan doa ikhlas tulus di hati
Sejahtera dan bahagis
Dalam sisa yang masih berbaki
Jeling-jeling daku jika rindu masih bertemu
Sapa-sapalah daku andai mesra akrab berpadu

Sudah sampai saat dan tika
Pergi dengan keredaan di hati
Moga ilmu yang dicurah setulus jiwa
Akan diberkati oleh Ilahi

Selamat tinggal teman-teman seperjuangan
Iringi daku dalam doa kelian,
Tanpa benci, amarah dan muslihat
Lepaskan daku dengan senyuman mesra
Senyuman yang banyak citra rasa…

Terima kasih cerita dahulu
Terima kasih untuk kenangan yang terukir
Terima kasih anak-anak dan teman-teman