Tuesday, September 27, 2011

SEKILAS BERITA: AL-FATIHAH ALLAHYARHAM MOHD SYAFIQ SAMSUDDIN




SAKTI: 2008 - 2011


SEMOGA ALLAHYARHAM ANAKANDA MOHD SYAFIQ BIN SAMSUDDIN


DITEMPATKAN BERSAMA ORANG-ORANG YANG SOLLEH. AMIN

Tuesday, September 20, 2011

anakalanangsakti: PENGETUA CEMERLANG, TN. HJ HASSAN BIN TOPIT

Tuan umpama "geliga sakti"


Apa yang dijahit menjadi baju.

Apa yang ditanam cepat tumbuh,

Apa yang disiram, basah,

Apa yang dijemur, kering

Apa yang dibakar, hangus,

Apa yang ditiup, terbang,

Apa yang dikait, serta-merta jatuh,

Apa yang dijerat, terus mengena.

Apa yang dipinta, semuanya jadi.............

anaklanangsakti: 3+1

Barisan GKMP dengan pakaian rayanya masing-masing



Adat orang bekerja bersama-sama,

Masing-masing menyumbangkan tenaga,

mengikut kepandaiannya.

Yang pandai mengarah,

maka mengarahlah dia.

Yang pandai merancang,

maka merancanglah dia.

Yang pandai mengarang,

maka mengaranglah dia.

Yang pandai menghias,

maka menghiaslah dia.

Yang pandai menghidang,

maka menghidanglah dia.

Yang pandai bercakap,

maka bercakaplah dia.

tanpa anda, ada kerja yang tak menjadi.

Terima kasih.

Monday, September 19, 2011

SEKILAS BERITA: SAMBUTAN AIDILFITRI @ KEMERDEKAAN 2011


Menyampaikan hadiah kepada pemenang
pertandingan sempena Bulan Kemerdekaan


Hj Baharum, Pengetua SMKBP.
Terima Kasih kerana sudi hadir ke Rumah Terbuka kami.



Juga kepada Hjh Rusidah, Pengetua SMKLH.
Maaf terpaksa duduk di luar.


Gembira dengan kehadiran tetamu....TQ


Antara juadah Jamuan Hari Raya SAKTI


Aidilfitri 1

Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Sambutan Kemerdekaan telah dilangsungkan di Dewan Sri Balau pada 14 September (Rabu), bermula jam 8.00 malam. Buat pertama kalinya, pada tahun ini kedua-dua sambutan telah diadakan secara serentak. Beberapa acara yang melibatkan pelajar turut diadakan selain majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan sempena Bulan Kemerdekaan SAKTI 2011.

Aidilfitri 2


Sempena lebaran yang mulia, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada rakan taulan dan kenalan, andai ada keterlanjuran kata semasa bicara, dan yang terguris rasa sepanjang kita bersama. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke majlis rumah terbuka tempohari. Semoga persahabatan dan persaudaraan kita akan terus berkekalan. AMIN.

Tuesday, September 13, 2011

SEKILAS BERITA : SEMOGA MOHD SYAFIQ SAMSUDDIN CEPAT SEMBUH



Pengetua menyampaikan sedikit sumbangan daripada warga SAKTI



Penderitaan yang ditanggung dirasai oleh semua warga SAKTI

Pada 26 Ogos 2011 (Jumaat), rombongan dari SAKTI yang diketuai sendiri oleh Tn Hj Hassan bin Topit bersama beberapa orang guru dan staf telah berkunjung ke rumah Mohd Safiq bin Samsudin di Felda Inas Kulai. Mohd Safiq merupakan pelajar SAKTI yang mengalami kecedaraan semasa mewakili daerah dalam pertandingan ragbi peringkat negeri pertengahan tahun ini. Kunjungan yang turut disertai oleh wakil PIBG telah memberikan sumbangan hasil kutipan guru, staf sokongan, pelajar dan PIBG. Semoga Mohd Safiq akan cepat sembuh dan dapat meneruskan persekolahan di SAKTI.

Wednesday, September 7, 2011

SEKILAS BERITA: Mesyuarat Pengurusan dan Pentadbiran Bil. 09/2011



  • TAHNIAH!!!! kepada semua warga sekolah yang berusaha keras sehingga menerima Anugerah Baiah Pengetua.


    • Anugerah akan disampaikan oleh Tim. Perdana Menteri pada 13 Sept 2011.Bimbingan kepada guru dan staf baharu mesti diteruskan bagi memastikan warga sekolah bergerak dalam satu matlamat.

    • Rujuk semula 6 matlamat strategik JPNJ.

    • Barisan pengurusan pendidikan berintegriti.

    • Sumber manusia yang berkualiti.

    • Mempunyai kemudahan pendidikan berkualiti.

    • Mempunyai sistem pengurusan yang cekap dan berkesan.

    • Melahirkan insan berkualiti

    • Mencapai prestasi cemerlang dalam pentaksiran & penilaian

    • Pembentangan headcount dan post mortem SPM.

    • Pembentangan headcount dan post mortem PMR.

    • Tender kantin telah dibuka. Tarikh tutup 22 Ogos lalu.

    • Sambutan Hari Raya akan digabungkan dengan Sambutan Ambang Merdeka pada 14 Sept.

    • Hari Bersama Pelanggan dan Solat hajat tingkatan 3 dan 5 pada 30 Sept.

    • Perkhemahan fasilitator di Sg Lebam pada 9 hingga 11 Sept.

    • Program Perfect Score SPM akan diadakan di Asahan Melaka.

    • Pengurusan stress pelajar tingkatan 3 dan 5 pada 8 dan 9 Sept.

    • Mock Interview tingkatan 5 pada 10 Sept (Sabtu)

    • Perunding kerjaya kepada pelajar tingkatan 5 pada 12 Sept (Isnin)

Monday, September 5, 2011

anaklanangsakti : Hikmah Syawal

Syawal kali ini, kami sekeluarga menyambutnya dengan agak sederhana. Tak tahu kenapa "mood" untuk beraya tak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Mungkin faktor usia yang semakin meningkat. Selesai mengunjungi sanak saudara terdekat pada raya pertama terus "memerap" kat rumah emak. Anak-anak tak pula mendesak untuk berjalan. Masuk hari kedua otak berlegar mencari rumah untuk dikunjungi. Tergerak hati untuk menziarahi ahli-ahli keluarga dan sahabat handai yang sakit dan uzur. Kami menghala ke Kg. Puteri Menangis, mencari seorang rakan karib yang diberitakan mengalami musibah. Beliau menjadi mangsa samun semasa menjalankan tugas di Jasin Melaka. Sebahagian tempurung kepalanya pecah akibat dihentak menggunakan alat pemadam api. Kesannya, sebahagian anggota badan masih belum berfungsi biarpun peristiwa itu telah hampir setahun berlalu. Bicaranya turut terganggu. Tawa riangnya tidak seperti dulu. Namun apa yang paling memeranjatkan, beliau masih mengingatiku walaupun hampir 26 tahun terpisah tanpa berita. Semoga sahabatku, MOHD YASSIR BIN YAMIN akan cepat sembuh.

anaklanangsakti: Anak Bapak




Melihat aksinya di hadapan kemera ramai yang boleh menjangka kerenah dan perangai sianak bujang ini. Penat dan letih melayannya tetapi amat menyeronokkan. Memandangkan usianya baharu 6 tahun, ditambah dengan "manjanya" yang berlebihan, kami sekeluarga tidak pernah menjangka sibungsu ini akan membuat kejutan pada Ramadan kali ini. Biarpun tak sempurna sebulan menahan lapar dan dahaga, namun sikecil ini mampu menyempurnakan 17 hari berpuasa. Syabas NAZHAN.....anak bapak.

Wednesday, August 10, 2011

anaklanangsakti :BABI @ KHINZIR

seekor yang tumbang akibat racun

Salah satu keunikan haiwan ini ialah kerana namanya. Dalam masyarakat Melayu kita, menyebut nama haiwan ini amat sukar sekali. Walau pun cuma dua suku kata, tapi impaknya cukup besar. Menyebut namanya saja boleh mencetuskan pertelingkahan dan permusuhan. Terutama bila tak kena pada tempat atau masanya. Bagi manusia Melayu yang menjaga tata susila bahasa dalam kehidupan, nama haiwan ini jarang malah mungkin tak pernah diucap sepanjang hayatnya. Kalau pun teringin sangat, mereka sanggup mencari perkataan-perkataan lain yang seerti …khinzir, kaki pendek dll. Bagi anak-anak kecil, mereka sudah terasuh supaya tidak menyebutnya. Biasanya, mereka tidak pernah nak bertanya atau mempertikaikan kenapa dan mengapa nama haiwan ini tak boleh disebut. Biarpun untuk tujuan pembelajaran, anak-anak pastinya akan menyisihkan haiwan malang ini. Pendek kata, daripada pelempang naik ke muka, lebih baik mendiamkan diri dari menyebutnya.

Bercerita tentang haiwan ini dari sudut agama lagi keras hukumnya. Biarpun masih boleh disebut, tetapi tak boleh dipegang sesuka hati. Haiwan ini bukan seperti kucing yang boleh dibela, dibelai, dimanja atau dibiarkan bebas keluar masuk rumah. Juga bukan seperti lembu, kambing yang boleh dimakan dagingnya malah wajib dizakatkannya bila cukup tempoh. Seperti anjing, hairaiki najisnya juga berada pada kedudukan yang tertinggi. Bukan setakat dibasuh hingga bersih tetapi ada syarat-syarat tambahan untuk mensucikannya……..samak. Itulah ‘hebatnya’ haiwan ini.

Sebab itulah, bila nampak saja haiwan ini memasuki kawasan SAKTI, kami khususnya penghuninya tak boleh duduk diam. Kami akan menggunakan apa saja cara untuk menghapuskannya. Panggil pemburu, cuma menghabiskan peluru . Lubang perangkap pernah dicuba, tapi tak berjaya. Dihalau dengan cara baik, tak diendahkannya. Akhirnya, terpaksalah kami bubuh racun dalam “periuk nasinya”…..lihatlah apa yang berlaku.



Monday, August 8, 2011

anaklanangsakti: SEIA SEKATA


Dalam kehidupan kadangkala ada sesuatu yang kita rancang tak pernah menjadi. Ada juga yang kita impikan tak pernah kesampaian. Malah kadang-kadang panas yang kita harapkan hingga ke petang, ribut petir pula yang datang pada pagi hari. Tak perlulah kita terlalu menyalahkan perancangan apatah lagi memperlekeh strategi. Degup nadi sebenarnya telah ditetapkan oleh yang maha kuasa. Begitulah juga dengan sekumpulan guru SAKTI yang memakai baju biru sedondon pada Jumaat, 05 Ogos yang lalu...tanpa perancangan tapi MENJADI.

Friday, August 5, 2011

SEKILAS BERITA: TADARUS AL-QURAN







Sempena Ramadan yang mulia ini Program Tadarus Al-Quran yang melibatkan guru-guru SAKTI telahpun bermula pada Jumaat, 05 Ogos 2011, jam 7.15 hingga 7.50 pagi. Guru-guru telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membaca al-Quran mengikut juzuk yang telah ditetapkan. Dengan adanya tadarus ini, maka program Budaya al-Quran yang selama ini diadakan setiap pagi Jumaat ditangguhkan sehingga Ramadan berakhir. Mudah-mudahan amalan ini akan berterusan dan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T. Amin.

Thursday, August 4, 2011

anaklanangsakti: PERIKSA OH PERIKSA











Pelajar dan peperiksaan tidak boleh dipisahkan…umpama malam dan bintang. Oleh yang demikian, anak-anak SAKTI khususnya yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM tidak boleh mengeluh. Anda juga tidak boleh untuk berkata…… ‘aku belum bersedia’. Suka ataupun tidak , anda perlu memberi fokus. Guru-guru telah bertungkus lumus melatih, membimbing dan memberikan panduan untuk anda bersedia menghadapinya. Bengkel, Qiamullail, Kelas Tambahan, Seminar, Aku Janji, Program Hikmah, Perkongsian Pintar, Motivasi merupakan antara program yang telah dilaksanakan. Itu tak termasuk modul dan latihan.Tak cukup bangunan sekolah, dewan makan digunakan. Bosan di dewan makan, surau menjadi tempat persinggahan. Malah ada ketikanya kita sama-sama berkelana ke Masjid As-Sifa’ mencari tempat yang sesuai untuk memperoleh ketenangan.

Pengorbanan guru untuk mempersiapkan anda, tak usah nak cerita. Ada guru yang ‘bergaduh’, berebut tempat, ada guru yang ‘bertengkar’ berebut masa. Tak sempat siang, ada guru yang datang bertemu pelajar pada sebelah malam. Malah pada saat orang lain dibuai mimpi, ada guru masih bersengkang mata bersama sekumpulan pelajarnya. Semuanya gara-gara inginkan kepuasan. Kepuasan dalam berkerja dan berkerjaya. Kepuasan dalam memikul amanah berdasarkan gaji yang diterima. Malah kadang-kadang macam tak setimpal dengan apa yang kami dapat setiap bulan. Apa yang paling utama ialah kepuasan untuk melihat anak didiknya cemerlang dan terbilang.

Oleh itu, anak-anak SAKTI perlu lebih kuat dan berkeyakinan. Hadapi peperiksaan percubaan ini dengan penuh semangat dan bersaing secara sihat. Jangan hancurkan harapan orang di sekeliling anda. …….PATAH SAYAP BERTONGKATKAN PARUH… Selamat menghadapi Peperiksaan Percubaan SBP.

Friday, July 29, 2011

SEKILAS BERITA : ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2010





TAHNIAH !!!



Tn Hj Hassan bin Topit
Tn Hj Mohamad Alim bin Konting
Pn Juliana bt Madon
Cik Khadijah bt Omar
Pn Mazlena bt Murshed
Pn Latifah bt Rawi
Pn Zanita bt Sabran

dan terima kasih atas penganugerahan ini.
“JANGAN BERKERJA SEPERTI KUCING MENGEJAR EKORNYA"


intipati ucapan Tim. Pengarah Pelajaran Johor, En Md Hasidin bin Zaini.

Thursday, July 28, 2011

anaklanangsakti: “PUNGGAHAN”

















Seronoknya menyambut Ramadan di kampung. Sejak aku belum pandai membersihkan hingus sampailah sekarang, amalan “punggahan” masih terpelihara. Kalau dahulu, inilah masanya untuk menikmati makanan yang enak-enak….makan daging ayam, serundeng dan sedikit ikan masin. Dalam masa yang sama dapat pergi “monjong-monjong”, naik basikal bawak “rantang” ke rumah saudara-mara terdekat…..tiada bantahan. Sekarang aku dan anak-anakku tetap setia dengan amalan ini, bukan kerana daging ayamnya tapi kerana “power of mak”. Semua anak-anak kena balik…. Alhamdulillah, dapat berkumpul adik beradik sebelum puasa. Aku masih tetap dengan tugasan 30 tahun dulu…”monjong-monjong”. Cuma bezanya, kali ini aku tidak lagi berbasikal sebaliknya berkereta bersama anak-anak. Tidak ada lagi “rantang” untuk dibawa, cuma bungkusan nasi dan lauk pauk sebagai ganti. Dari “darat” sampai “ke laut” rumah saudara mara dikunjungi. Anak-anak mengucap salam, aku sekadar duduk di kereta memerhatikan. Sesekali ucapan salam diganti dengan bunyi “hon”. Wajah saudara-mara yang muncul sudah jauh berubah. Tak seperti 30 tahun dulu.
Malam…jiran tetangga datang, baca tahlil “ngirim aruah”. Mudah-mudahan pahala bacaan sampai kepada simati. Nasi “ambeng” menjadi sajian……. Seketul ayam di kelilingi lauk pauk dihimpun di atas longgokan nasi yang diisi di dulang besar. Bukan untuk dimakan tetapi sekadar untuk dijamah. Bakinya dibahagi-bahagi untuk dibawa pulang. Itulah “berkatnya”. Aku tak pasti, adakah lagi kenikmatannya amalan ini. Sesekali hati nakalku berdetik. Namun, sepanjang melalui lebuh raya Senai-Desaru,untuk pulang ke Bandar Penawar, aku membuat rumusan….hebatnya “Punggahan”. Di situ ada kesyukuran, kasih-sayang, bantu membantu, kegembiraan, persaudaraan, kesabaran dan ketakwaan. Mataku menjeling anak-anak yang nyenyak dikerusi belakang. Mudah-mudahan mereka akan mewarisi “PUNGGAHAN”.

SELAMAT BERPUASA



Semoga Ramadan kali ini akan lebih bermakna kepada semua warga SAKTI. Ambillah kesempatan dengan nikmat umur yang masih berbaki untuk meningkatkan amalan. Semuanya dari ALLAH dan untuk ALLAH.