13 JANUARI 2013 (AHAD), Kelab Bilik Guru SAKTI (KEBIRU)
telah menganjurkan Hari Keluarga SAKTI bertempat di Starhill Resort, Kempas,
Johor Bahru. Pelbagai aktiviti berupa permainan yang disertai oleh ahli dan
keluarga KEBIRU telah diadakan. Diharapkan dengan program ini akan dapat
merapatkan lagi ukhwah antara ahli. Majlis berakhir jam 4.30 petang sebaik
sahaja selesai penyampaian hadiah dan cenderamata kepada pemenang setiap acara
yang dipertandingkan. Tahniah kepada AJK KEBIRU!!!
Wednesday, January 23, 2013
Wednesday, January 9, 2013
SEKILAS BERITA: PMR SAKTI TERBAIK JOHOR
![]() |
| ...Bersama Mencipta Sejarah...PMR 1.03 |
![]() |
| Turut berjasa.. |
![]() |
| Tahniah Cikgu.. |
![]() |
| Usaha yang kenal jemu menghasilkan kajayaan.... |
SEKILAS BERITA : LAWATAN PENANDA ARAS PERTAMA 2013
![]() |
| Taklimat oleh Tn Hj Mohamad bin Hj Mahadi, Pengetua SAKTI |
![]() |
| Perbincangan diketua oleh Pn Hjh jamilah Zamahsari |
SEKILAS BERITA : PENDAFTARAN TINGKATAN SATU 2013
![]() |
| Pendaftaran bermula |
![]() |
| Aku janji |
Tanggal 7 Januari 2013 menjadi detik bersejarah kepada seramai 119 orang pelajar baharu tingkatan 1. Mereka secara rasminya menjadi warga SAKTI selepas melalui proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.00 pagi di Dewan Seri Penawar. Dalam majlis tersebut beberapa siri taklimat daripada pihak pengurusan SAKTI dibuat bagi menjelaskan secara lebih terperinci berkaitan SM Sains Kota Tinggi yang tercinta ini.
Monday, December 24, 2012
SEKILAS BERITA : MONOLOG
Monolog
Lebih
sedekad, kami memendam rasa. Lebih sedekad juga Sakti cuba untuk menjadi
pesaing kepada rakan-rakan sama ada yang seangkatan mahupun yang telah lama di
medan perjuangan. Saban tahun mengerah kudarat mengatur pelbagai strategi.Mana
yang kurang ditambah, yang cacat diperbaiki, dan yang tidak berkesan dibuang.Berguru
dan menimba ilmu dari rakan yang lebih hebat menjadi rutin tahunan.Saban tahun
juga menghantar rombongan untuk merisik-risik azimat orang.Namun, semuanya kurang
menjadi, semuanya berakhir dengan kekecewaan.Ada juga benarnya kata orang, berketak ayam mandul, orang berketak dia
berketak, orang bertelur dia tidak.Jangankan nak duduk di singgahsana, nak
menjadi pengapit kepada Sang Raja pun jauh
panggang dari api. Biasanya sekadar menjadi penabur beras kunyit atau tepak
sirih untuk menambah seri majlis orang.Selalu juga menjadi tukang tepuk bukan
menerima tepukan.Tomahan dan sindiran bukan kepalang pedihnya.Lebih sadis bila
ada yang hilang kepercayaan, hilang keyakinan.Segagah gagah ‘Sakti’,
kadang-kadang timbul juga rasa kecewanya.Jenuh juga memujuk hati sendiri untuk
banyakkan bersabar.Sesekali teringin
menjadi harimau setelah bertahun-tahun menjadi kambing.Mungkin belum tiba
masanya.Malah, menipu diri sendiri seolah-olah kuat semangat untuk meyakinkan
rakan-rakan sebenarnya juga satu bebanan yang cukup berat untuk ditanggung.
Kepimpinan
Tegaknya sireh kerana junjungan
dan kalau nak belayar biarlah bernakhoda,
kalau nak berjalan biarlah dengan orang tua.Kata-kata ini menjadi azimat
tersembunyi.Memang naluri manusia secara semulajadinya tidak suka dipimpin dan
juga tidak suka dibimbing.Fitrahnya manusia inginkan kebebasan. Bebas membuat
sesuatu yang disukainya,biarpun nampak salah pada pandangan orang lain. Namun
dalam organisasi naluri seperti itu perlu dihindari.Apatah lagi, kita telah
bersetuju untuk terikat dengan pekeliling dan peraturan pihak yang memberi kita
‘makan’.Dalam hal ini Sakti boleh
dikatakan cukup bertuah.Sakti memiliki ‘junjungan’
yang kuat untuk dipaut.Biarpun sering bertukar ganti, akarnya sudah jauh
memasak bumi.Berfokus dan memiliki misi yang turut dikongsi bersama
warganya.Tidak lokek menabur ilmu, tidak kedekut menilai budi.Pengetua menjadi
petunjuk arah, meniup semboyan semangat manakala guru-gurunya sederap mendayung
membawa muatan menuju destinasi.Biarpun kadangkala berlaku ‘provokasi’ yang melampau, namun untuk
melepaskan pendayung tidak sekali-kali.Jauh sekali bertindak menebuk sampan dan
membiarkannya karam.Malah sepanjang pelayaran, lupa mengingatkan, terlelap menjagakan.Si cerdik teman berunding, si bodoh disuruh arah.Sekali sekala bila
berdepan halangan dan musibah cepat-cepat berunding kerana maufakat itu membawa berakah dalam kehidupan.Prinsip itu amat ampuh
dan setiasa berada dalam genggaman.
X-Faktor
pemangkin kecemerlangan
Cemburu
bagi orang yang sedang bercinta ada bahayanya. Namun, cemburu melihat kehebatan
orang lain untuk sama-sama mengapai kejayaan ada juga baiknya.Apatah lagi, bila
cemburu itu turut dikongsi dalam organisasi. Usian Bolt tidak mungkin mampu
mencipta kemashyuran dengan deretan rekod baharu kalau berlari bersendirian di
tengah padang. Lantaran itu bukanlah sesuatu yang memalukan untuk diberitahu
bahawa Sakti memang mencemburui kehebatan rakan-rakan.Bukan baru sekarang,
tetapi sejak Sakti mula ditubuhkan. Rasa cemburu akan semakin membuak-buak bila
warga Sakti mula merasai keseronokan dan nikmat bila sekali-sekala menerima
tepukan dalam apa jua lapangan sama ada kurikulum mahupun kokurikulum. Lantas,
apabila bercerita tentang kecemerlangan akademik umpamanya, seluruh warga Sakti
akan berpaling ke STF (Sekolah Tun Fatimah). Sekolah yang telah separuh abad
unggul dengan prestasinya yang tersendiri.Secara metosnya, mungkin sukar untuk
diganggu gugat. Sejujurnya, Sakti tidak pernah jemu mengorek rahsia kehebatan
STF juga rakan-rakan pemuka yang lain. Kami akan membawa pulang kaedah dan
strategi yang digunakan untuk diadun semula bagi menjana kecemerlangan Sakti. Sekiranya
perlu, Sakti akan tambahkan lagi dengan sedikit ‘perasa’ agar bersesuaian dengan cita rasa. Bagi yang diberi peluang
berlari bersama Usain Bolt, pasti secara automatisnya akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk menyainginya. Mana mungkin sebagai pesaing kepada
legenda itu, kita langsung tidak melakukan persiapan rapi.Malu bukan kepalang
kalau tertinggal jauh ke belakang diiringi dengan gegak gempita sorakkan di
tepi gelanggang. Inilah STF, yang menjadi teman dan lawan dalam persaingan.
Berpegang kepada prinsip orang yang
menunggu perigi tak mungkin mati dahaga maka STF akan kekal menjadi
x-faktor kecemerlangan Sakti.
Penjenamaan
Sakti
Suatu
perkara yang paling dibimbangi bagi seorang ahli politik ialah apabila
kehadirannya dalam apa jua majlis sama ada kecil mahupun besar tidak diketahui
atau dirasai oleh tetamu yang lain.Peringkat awal, untuk hebat dan kelihatan
hebat perlu ada sedikit usaha untuk dikenali walaupun tidak disegani.Sebab
itulah, walaupun sekadar tokoh politik kecil, mereka sanggup mengupah individu
berkaca mata hitam mengiringinya walau ke mana tokoh ini pergi. Barulah nampak
kehebatannya!!. Strategi yang sama perlu Sakti gunakan bagi menyakinkan orang.
Jangan sampai kewujudan Sakti seperti melukut
di tepi gantang, masuk tidak menambah, keluar tidak mengurang. Lebih malang
jika berita kewujudan Sakti sudah terdengar, tetapi bukti belum ada. Umpama ombaknya kedengaran, pasirnya tiada
kelihatan.Lantas untuk mengukuhkan penjenamaan Sakti di persada pendidikan
negara, sesuatu perlu dilakukan. Mungkin orang tidak akan memakai ubat gigi ‘Colgate’ kalau tidak kerana Colgate telah lama dikenali. Sebab itu
sesekali ada kedengaran khalayak berbisik bertanya…Sakti tu di mana?.. Macam mana?..mana lebih bagus antara Sakti dengan
STF, antara Sakti dengan Sains Johor. Bermacam kemuskilan yang sebenarnya
perlu dijawab dan bukan tugas pengetua seorang untuk menyelesaikannya. Semua
guru, staf sokongan termasuk pelajar dan ibu-bapa yang bernaung di bawah jenama
Sakti perlu memecahkan kebuntuannya dengan cara tersendiri. Salah satu caranya
ialah dengan melastarikan kecemerlangan dan kejayaan dalam pelbagai
bidang.Status Sekolah Kluster
Kecemerlangan dan Sekolah Berprestasi
Tinggi yang diperoleh diharap dapat memudahkan usaha meraih kepercayaan
khalayak terhadap Sakti.
Terkini
keputusan PMR 2012 menjadi bukti.Mengundang pula kejutan yang bukan kepalang
kepada lawan dan juga kawan.Semua pihak yang bernaung di bawah jenama Sakti
berhak menerima pujian. Khususnya, rakan-rakan guru yang saban hari menapak ke
kelas dengan doa dan harapan. Anak-anak yang tetap akur menerima suapan biarpun
ada kalanya pahit untuk ditelan. Inilah bukti kesungguhan, tidak akan serik luka dimakan tajak, esok lusa ke bendang jua.
Hasilnya, dapatlah duduk disinggahsana. Jangan malu untuk berbangga dan
bergembira sebab lama sudah Sakti menahan keinginan, ibarat menyepit lidah ke lantai!!. Dalam masa yang sama jangan lupa
mencari dan mencipta strategi baru yang lebih ampuh agar tidak mudah
disingkirkan. Jangan pula nanti, kerusi
belum lagi panas dah kena berdiri!!Mana muka nak kena letak. Ingat
selalu pesanan orang, bersaing itu
payah…mendahului itu sukar. Sebab itu orang lebih suka memburu daripada diburu
di lapangan.Warga Sakti perlu merapatkan barisan kerana kita hanya boleh
berusaha TUHAN yang akan menentukan.
TQ
PK 1
Thursday, October 4, 2012
SEKILAS BERITA : MAJLIS PERSARAAN TN HJ KAMARDIN DAN PN HJH SHARIFAH
![]() | |
| PENOLONG-PENOLONG KANAN SM KOTA TINGGI |
Satu majlis telah dianjurkan oleh M4P daerah Kota Tinggi sempena persaraan Tn Hj Kamardin, bekas Penolong Kanan SMK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi dan Pn Hjh Syarifah Penolong Kanan SMK Tanjung Pengelih. Majlis makan tengah hari yang turut dihadiri oleh En Maat bin Kozin, wakil rasmi Tuan PPD Kota Tinggi ini telah diadakan di Pulai Hotel, Desaru pada 4 Oktober 2012 (Khamis). Semoga kedua-dua bekas Penolong Kanan ini akan sentiasa dirahmati dan diberi kebahagiaan berpanjangan.
(disertakan puisi yang dideklamasikan olen Pn Syarifah)
Rupa-rupanya , aku..
Tiba jua di muara waktu
Perpisahan yang hadir menjadi rindu
Tinggalkan jejak yang banyak liku
Berdiri bersama denai kenangan
Bercambah mesra menjadi jambangan
Pasti terdengar dengar nanti
Sahutan salam anak-anak didik,
Sapaan salam rakan sekerja.
Ku ingin menyusun jemari ini,
Yang terkhilaf dimaafi
Yang sesal diinsafi
Yang lebih dibahagi
Yang kurang dilengkapi.
Agar saat perpisahan ini indah
Terlerai segala durja gundah
Tersirna cebisan amanah
Terurai segala yang bercanggah
Selamat tinggal suara-suara ceria
Rakan sekerja, teman bergurau senda,
Padang perhimpunan dan padang perkasa
Kelas dan anak-anak keletah bersahaja
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin
Selamat tinggal seribu kerenah
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah.
Selamat datang persaraan
Kerana segala-galanya janya kesementaraan
Melengkapi perjalanan, sebuah kehidupan
Di sini aku pasti merindui
Kesebukan tugas seorang guru,
Terasa sedih berbekam pilu,
Rutin 33 tahunku akan berlalu,
Namun, pasti aku tersenyum
Pabila terkenang memori lalu.
Seribu kesyukuran pada Ilahi
Moga hidupku terus diberkati
Bersama keluarga yang dikasihi,
Agar terpelihara kesihatan diri…
Duhai teman-teman
Iringi daku dengan doa ikhlas tulus di hati
Sejahtera dan bahagis
Dalam sisa yang masih berbaki
Jeling-jeling daku jika rindu masih bertemu
Sapa-sapalah daku andai mesra akrab berpadu
Sudah sampai saat dan tika
Pergi dengan keredaan di hati
Moga ilmu yang dicurah setulus jiwa
Akan diberkati oleh Ilahi
Selamat tinggal teman-teman seperjuangan
Iringi daku dalam doa kelian,
Tanpa benci, amarah dan muslihat
Lepaskan daku dengan senyuman mesra
Senyuman yang banyak citra rasa…
Terima kasih cerita dahulu
Terima kasih untuk kenangan yang terukir
Terima kasih anak-anak dan teman-teman
Saturday, August 25, 2012
Friday, August 24, 2012
ANAKLANANG SAKTI: Nostalgia Aku dan Hari Raya
Nostalgia
Raya 1 : Meriam Batang Pinang
Petang-petang begini 38 tahun lalu aku
menyelusuri belukar. Lokasinya di belakang rumah Embah Ngalimon atau Embah
Tarob. Berbekalkan parang dan gergaji separuh tumpul kami menebang pokok
pinang. Kami angkat ramai-ramai. Rendam dalam parit utk beberapa hari. Korek
buang empulur.Guna kayu yang hujungnya berpaku. Ikat kuat-kuat guna “bladar”
basikal. Kongsi-kongsi beli karbait dipekan Jelotong, kedai Soo Yang..Biasanya
menjelang raya seperti ini kami berpesta. Lawan meriam mana yang paling kuat
bunyinya……alahai seronoknya.Selamat Hari Raya untuk teman-teman meriam batang pinang Aris, Tugiran, Amat
Safiei, Alid Nawawi, Leman, Tumin, termasuk Soo Meng dan Vee Meng anak Meng
Wang.
Nostalgia
Raya 2 : Cendol + Ais
Dulu-dulu minuman yang paling bernilai masa
bulan puasa ialah cendol + ais @ air batu. Sebabnya, nak dapatkan ais amat
sukar sekali. Kena pergi Jelotong, kayuh basikal. Kurang lebih 6 km dari rumah.
Biasanya lepas Solat Asar baru memulakan kayuhan. Balik bawa seketul ais yang
besarnya 6 x 6 inci bersalut abu papan sebelum dibungkus dengan surat khabar.
Ikat kuat-kuat di belakang basikal atau digantung. Sejuk peha bila sesekali
terkena titisan. Setibanya waktu berbuka ketulan ais yang tinggal sebesar
penumbuk menjadi pembuka selera yang maha menyegarkan bila dicampur dengan
cendol yang dibeli dengan harga 20 sen. Selamat Hari Raya.
Nostalgia
Raya 3 : Penjual Sayur
Sebagai seorang anak kepada petani @
pekebun sayur tulen, tugas aku masa berumur 11 atau 12 tahun ialah menjual
sayur-sayuraan keliling kampung. Hampir sepanjang bulan Ramadan sehingga ke
beberapa hari sebelum raya aku mengusung daun meranti, timun, kacang panjang,
kangkung dan sesekali kentang “jembut” menggunakan basikal “kargo” yang
besarnya 3x ganda berbanding tubuh kurusku yang melidi. Dengan berseluar pendek
separas lutut dan berbaju belang (koyak di bawah ketiak) aktiviti secara “paksa
rela” ini dilakukan sebaik saja pulang dari sekolah agama. Tanpa menggunakan
timbangan, biasanya nilai secekak meranti, kacang panjang dan kangkung ialah 15
sen. Aku tak pernah tanya ayah berapa untungnya. Yg pasti aku gembira dapat
upah 20 sen atau kadang- kadang 10 sen
sehari. Aku hanya akan pulang ke rumah sebelum maghrib. Pernah satu petang peha
tertusuk besi pedal basikal sebab terhumban ke dlm parit kecil sempadan kebun
Wak Disul dan Embah Saien. Kalau ikut dari segi
kedalaman luka dan sedikit daging peha yang terkeluar, mungkin kena 5
atau 6 jahitan. Tapi, masa itu aku hanya kunyahkan daun senduduk muda dan tekapkan pada luka. Alhamdulillah aku masih
mampu mengayuh balik ke rumah. Namun, lukanya masih ada hingga kini. Terima
kasih Mahadi @ Ri dan Arwah Mat Karton yang membantuku.
Nostalgia
Raya 4 : Ngeblok Endok
Tak semua orang punya pengalaman “ngeblok
endok” untuk buat baulu. Apa tah lagi zaman teknologi yg semuanya guna alat yg
dikeluarkan dari poket masing-masing. Dulu “ngeblok endok” menjadi aktiviti
wajib sebelum raya. Anak-anak sebaya aku biasanya jadi ‘mangsa’. 100 malah
kadang-kadang 120 biji telor + tepung + *#!? dipukul guna alat seperti spring sampai naik sblm
dituang dalam loyang @ acuan. Emak tukang bakar guna kayu api yang diletakkan
di bahagian bawah dan atas loyang. Tukang “ngeblok” tak boleh berhenti…takut
bantat. Sambil mengeblok dengar permintaan melalui telefon diradio (rancangan
yang paling ditunggu-tunggu. Biasanya lepas 12 malam)……alahai seronoknya raya.
Nostalgia
Raya 5 : Nyembeleh Ayam
“Bapak arek nyembeleh ayam….bapak arek
nyembeleh ayam”, itulah antara ungkapan yg selalu diucapkan menjelang raya.
Kadang2 belum pun orang bertanya aku dah
bagi jawapannya dahulu.Pusing keliling rumah tetangga aku khabarkan hasrat
bapak nak sembelih ayam untuk sajian pagi raya. Modus operandi operasi yg
standard memerlukan 5 langkah ; Kenalpasti sasaran, kejar utk melemahkan,
tangkap, kurung dan disembelih pada pagi raya. Biasanya operasi mengejar,
melemah, menangkap dan mengurung calon-calon ayam yg nak disembelih dilakukan 3
@ 4 hari sebelum raya. Bapak akan memberi arahan kpd kami ayam-ayam mana yg
akan menjadi mangsa.( Dgn kemahiran yg ada, bapak mampu mengesan tuan punya
ayam yang sememangnya lepas bebas bercampur gaul dgn ayam-ayam jiran yg
kebetulannya juga Wak dan Paman ku sendiri) Aku beserta sepupu pepapat sentiasa
siap sedia menerima arahan. Apabila sasaran dah dikenal pasti, barulah kami
mengejarnya keliling rumah….lintang pukang ayam-ayam tu dikerjakan. Kami akan
tunggu haiwan tu letih atau kami akan halakan ke satu sudut kecil utk
memerangkapnya. Operasi akan lebih mudah (tapi kurang seronok) jika ayam secara
tak sengaja tersepit sesuatu. Habis semak samun, longkang (bace’aan) pelantar
kami redah. Bagi ayam yg “cerdik” sikit, akan terbang ke bumbung bangsal atau
pokok…kami baling dengan segala benda supaya dapat meneruskan “pertarungan”.
Biasanya menjelang magrib barulah operasi selesai. Kami tak pernah rasa letih @
penat apatah lagi bila melihat beberapa ekor sudah berada dalam sungkupan.
Berapa ekor yg nak disembelih akan menentukan skala sambutan perayaan!!!!
Biasanya kami hanya asingkan “najis”, bulu, hempedu, isi pedal, sebahagian
muncung, sisik kaki dan kuku ayam..yg lain menjadi sajian pagi raya..al-maklum
dulu-dulu juadah berasaskan daging ayam sangat berharga . Mungkin setahun
sekali dapat merasa!!!! Alahai seronoknya raya.
Nostalgia
Raya 6 : Klantungan
“Klantungan” aktiviti yang paling unik
zaman aku masih kanak-kanak. Hanya boleh dilakukan sebaik sahaja selesai solat
Taraweh. Malam-malam lain tidak dibenarkan sama sekali. Tak semua kampung
(walaupun majoritinya orang Jawa) mengamalkan tradisi yang dibawa masuk dari
Tanah Jawa ini. Aktivitinya amat mudah. Pemain akan mengetuk ‘kentung’ (sebatang kayu yang biasanya digantung di
masjid untuk diketuk menjelang waktu solat. Kentung yang berpasangan dengan
‘jidor’ menjadi p.a sistem yang paling efektif untuk mengingatkan penduduk
bukan sahaja waktu solat tetapi juga bila ada kematian) secara berpasangan
mengikut rentak-rentak tertentu berselang seli. Untuk lebih seronok ‘jidor’
juga turut dipalu mengikut alunan lagu. Rentak atau lagu tidak boleh
sembarangan. Biasanya orang tua- tua akan marah menjeling bila ada rakan-rakan
yang terlebih kreatif cuba mencipta rentak baharu. Memandangkan sumber hiburan
pada masa itu sangat terbatas, maka “klantungan” akan menjadi rebutan. Ada yang
terlalu obses sehingga sanggup datang ke masjid seawal waktu asar untuk
menyembunyikan pemukul ‘kentung’. Sebab itulah aktiviti ini hanya dilakukan
oleh ‘pemain-pemain’ regular @ senior. Aku?...hanya mampu berdoa supaya
‘pemain-pemain’ senior tak pergi solat
Taraweh untuk tunjuk bakat. Sekali-sekala untuk nak lepas ‘gian’, aku curi-curi
main seorang diri. Itu pun lepas larut malam tanpa memasang pelita. Ajak
seorang dua teman sebagai pemerhati dan menjaga keselamatan (kata orang tua-tua
di masjid banyak Jin) Tangan kiri dan kanan mengetuk ‘kentung’…..sampai letih.
Rakan-rakan yang hilang sabar menunggu giliran biasanya akan mengetuk tin
minyak tanak sebagai galang ganti. Nasib tak baik, terpaksa terjun dari beranda
masjid menyelamatkan diri bila ternampak kelibat orang datang untuk memarahi
kerana terganggu dengan gema ‘klantungan’ (biasanya kami tak pernah tertangkap).
Kini ”klantunagan” tidak lagi dibenarkan. Mungkin juga anak-anak remaja Pt
Kahar tak pernah mendengar alunannya. Kepada rakan-rakan, Yoyok, Tumin, Mail,
Ri, Aris, Sukri, Rahim dan lain-lain Selamat Hari Raya. Kepada Ustaz dan Paman
Samiran yang selalu ‘mengejar’ kami….ampun maaf dipinta.
Subscribe to:
Posts (Atom)









