Monday, December 16, 2013

Indahnya kehidupan

Aduhai...
Sudah lama blog ini tidak dimurnikan. Bukan kerana tidak ada isu, tetapi dek kesebukkan kerja yang tidak pernah putus. Kesebukkan yang kadang-kadang menghalang untuk sentiasa nampak tenang dalam melayari hidup. Pagi tadi terbaca catatan seorang rakan dalam whatsapp. Sungguh menarik dan menyentuh nurani sebagai seorang hamba yang tidak terlepas untuk bersangka-sangka.  Seorang yang kadang-kadang berasa terlalu 'hebat' dan sebuk berbanding yang lain. Seorang yang terlalu sukar untuk menterjemahkan persepsi orang di sekeliling yang juga sentiasa memerhatikan dan menilai. Semuanya rasa macam bagus, semuanya rasa macam baik.

Alkisah sebuah rumah..
Petang itu terdengar rungutan tangga yang tidak terbendung lagi.
Dia terus berleter. "Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku.Seronok jadi atap, tak pernah kena pijak.
Mendengar kata-kata tangga atap terus bersuara. 'Hoi tangga, aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukkan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas, tak kena hujan dan tak kena pijak".
Mendengar kata atap, tiang terus bersuara. Mana kamu tahu?Aku dok tahan pikulatap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya.Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas.Tak kena pijak.
Mendengar kata tiang, dinding tetrus menjawab. "Akulah pelindung rumah ini. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya, bahkan aku terpaksa menjaganya sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna..

PM: setiap manusia mempunyai tugasnya yang tersendiri. Buatlah kerja yang diamanahkan sebaik mungkin. jangan berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya diberi penglihatan pada zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya tak seindah yang dilihat...

Monday, August 5, 2013

Aku, Meriam Pinang dan Bateri Everyday

Dua atau tiga hari lagi tibalah hari Lebaran @ Hari Raya. Selalunya dikaitkan dengan kemeriahan dan keseronokkan tanpa mengira tua atau muda. Sememangnya itulah yang disarankan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. Melihat kepada anak-anak yang terpacak di depan TV, aku kurang pasti bentuk kemeriahan yang dirasainya. Deretan siaran atas nama ‘Rancangan Khas Aidilfitri’ pastinya boleh mengtalkinkan suasana sambutan. Itu tidak termasuk rancangan-rancangan K-pop, kartun Disney, sukan dll.

 Berbeza 40 tahun dulu. Zaman aku dan rakan-rakan seangkatan menyambut dan meraikannya. Mungkin kerana tiada bekalan air dan elektrik, maka aku terlalu teruja untuk menyambut lebaran. Getaran perasaan mula tidak keruan bila dua atau tiga hari menjelang raya.Dari mula terbit fajar sampai terbenam mentari, jiwa dan raga dikorbankan untuk membuat persiapan. Tidak cukup siang, bersambung malam. Mencari tin susu, tali guni, mencari minyak tanah, pacak tiang pelita keliling rumah dan kampung  menjadi rutin awal sambutan raya. Seronoknya bukan kepalang. Apatah lagi bila nama disebut-sebut sebagai pereka hiasan pelita terbaik, apinya pula tak padam sampai ke pagi!!

Penyediaan meriam batang pinang pula menuntut sepenuhnya kudrat yang ada. Kerjasama sepasukan dijana sepenuhnya bersama rakan-rakan sama ada yang sebaya atau lebih berusia bagi memastikan meriam batang pinang berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Dari mula menebang, membuang empulur, mengikat sampailah cara bagaimana untuk mendapatkan ‘karbait’ semuanya menguji kecekalan, keberanian dan kreativiti. Lebih menakjubkan, arah, hala dan sudut pemasangan meriam juga dibincangkan agar ‘serangan’ teman-teman dari kampung bersebelahan khususnya pada malam raya dapat ditangkis. Biasanya, sebaik sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan 1 Syawal, gendang ‘perang’ pun bermula. Seingat aku, tak ada seorang pun rakan-rakan yang putus tangan dan jari apatah lagi kehilangan nyawa akibat aktiviti ini biarpun ‘serang balas’ bertali arus.

Satu lagi elemen kemeriahan raya 40 tahun dahulu ialah radio. Alat yang mendapat bekalan kuasa dari bateri kering Everyday (Cop kucing) ini cukup penting karana menjadi satu-satunya media  yang menghubungkan alam kami dengan dunia luar. Bagi memastikan lagu-lagu Dendang Perantau, Musafir di Aidilfitri, Selamat Hari Raya dsb dapat berkumandang dengan jelas, maka aku akan memastikan radio berada dalam kondusi yang cukup sempurna. Mana-mana wayar yang terputus disambung dan bateri yang ‘lembik’ diganti. Andai kekurangan duit untuk menukarnya dengan yang baharu, bateri yang ada akan dijemur seharian di tengah panas untuk mendapatkan ‘kuasanya’ semula. Malam raya, sambil merebus ketupat, membakar kuih bangkit dan bahulu kami akan duduk mengelilingi ‘peti ajaib’ ini untuk mendengar rancangan ‘ permintaan melalui telefon sempena Aidilfitri’ sepanjang malam. Celoteh juru hebah melayan panggilan telefon di dalam radio, mengundang nikmat dan emosi sambutan perayaan yang tidak mampu diceritakan disebalik rasa ‘jakun’ yang masih menebal. Jakun memikirkan bagaimana sistem telefon itu beroperasi sehingga menghasilkan suara untuk menjadi halwa telinga pada malam raya!!!.
……bersambung

Thursday, May 16, 2013

SEKILAR BERITA: SAMBUTAN HARI GURU SAKTI 2013

GURU SAKTI...Back to School...amat nostalgia


PERSEMBAHAN PENTAS HARI GURU

MANA SATU GURU...MANA SATU PELAJAR?


KENANGAN BERBASIKAL KE SEKOLAH

Khamis ,16 MEI 2013 Kelab Guru dan Badan Kepimpinan Pelajar (BKP) SAKTI telah menjayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Tema yang dipilih pada tahun ini ialah..Back To School dimana semua guru dikehendaki mengenakan pakaian lengkap sekolah masing-masing. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan pada tahun ini. Guru-guru yang hadir penuh bergaya telah mengamatkan lagi suasana sambutan pada kali ini. Kepada semua diucapkan SELAMAT HARI GURU. Jasa kalian amat disanjung tinggi. Terima Kasih kepada semua yang terlibat.

Wednesday, May 15, 2013

SELAMAT HARI GURU

SELAMAT HARI GURU KEPADA WARGA PENDIDIK DI SELURUH NEGARA KHUSUSNYA RAKAN-RAKAN YANG MENGAJAR DI SM SAINS KOTA TINGGI. SEMOGA MEMPEROLEH KEBERKATAN DARI TUGAS YANG DIAMANAHKAN.

Back To School

Photo: SELAMAT HARI GURU...Back To School. Nostalgia.

Baju putih lengan pendek dan seluar pendek biru dibelek hampir setiap hari. Sepasang kasut getah yang juga berwarna putih dicuba untuk sekian kalinya sebelum disusun semula disudut anjung rumah beratap rumbia. Keghairahan yang amat luar biasa meyusup ke seluruh urat nadi untuk menempuh alam baharu persekolahan. Kuku tangan dan kaki yang selama ini berkarat awal-awal lagi dipotong pendek menggunakan pisau cukur malah, dikikis agar kelihatan putih. Daki-daki di badan disental semahunya oleh emak semasa mandi di parit berair payau gambut di hadapan rumah. Sabun buku cap ‘kapak’ berwarna kuning dilumur bukan sahaja ke seluruh badan, malah menjadi ‘syampu’ rambut dan pencuci muka. Pedih bukan kepalang bila sesekali meleleh memasuki mata. Menunggu terbitnya matahari sebagai  tanda bermulanya zaman persekolahan amat menyeksakan. Rasa bangga, resah, suka dan takut bersilih ganti. Mahu sahaja  perasaan  itu dikongsi bersama dengan seluruh penduduk kampung.

Memasuki alam seorang murid sekolah rendah sekitar tahun 70an cukup indah untuk dikenang. Tanpa falsafah, tanpa misi dan visi, sekolah menjadi tempat paling menghiburkan. Sembunyi ibu dan galah panjang, menjadi ‘eviden’ tidak rasmi untuk menguji daya tahan. Konda- kondi dan batu seremban ‘terapi’ yang cukup berkesan untuk kira mengira, kejujuran, kerjasama dan kesepakatan. Lelayang kertas yang dilipat dua atau diubahsuai menjadi kapal terbang, jet pejuang, kolek mahupun sampan menjadi wadah menampilkan kreativiti, kepekaan dan ketelitian. ‘Telefon’ tin susu yang diikat pada seutas tali panjang adalah simbol inovasi kami. Satu-satunya bola kulit ‘berbonjol’ yang tetas jahitannya menjadi rebutan semua murid tanpa mengira umur . Bosan berebut bola yang dikongsi beramai-ramai  kami meredah kebun mengumpul getah beku untuk dijadikan bahan ‘reka cipta’ permainan baharu.Dahan atau ranting pokok yang sedikit bengkok di hujung dipatahkan menjadi  kayu hoki kami. Kami tidak pernah terfikir adanya jadual waktu. Kami hanya dibatasi dengan peraturan-peraturan yang paling asas, sama ada di dalam mahupun di luar kelas.  Pendek kata, ‘semua keseronokan’ ada di sekolah. Sekolah adalah dunia baharu, ‘dunia fantasi’ bagi kanak-kanak seperti kami. Bagi kami itulah makna sebenar ‘bersekolah’.

Sepanjang yang diingat, tidak pernah aku membuat sebarang aduan kepada emak dan bapak bila berlaku sesuatu. Benjol di dahi kerana ‘bertinju’, luka di kaki terpijak kaca, terkehel kerana terjatuh berkejar-kejaran atau berdarah tertusuk duri biasanya akan sembuh sendiri. Daun senduduk muda dikunyah sebelum ditepekkan sebagai pengubat luka. Mampu menahan bengkak bisa menjadi kepuasan.Itulah ‘ikhtiar hidup’ yang dipelajari sebagai anak kampung tanpa perlunya perkhemahan atau kem-kem bina semangat. Bagi kami, emak bapak tak perlu risau, emak bapak tak perlu rungsing dan tahu bila, di mana, kenapa dan bagaimana boleh berlaku. Kami juga tidak pernah hairan bila sesekali penampar cikgu hinggap di pipi atau sebelah kaki kejang berdiri di atas meja menerima hukuman.Bilai di punggung akibat disesah oleh cikgu tidak pernah memutikkan dendam. Jauh sekali mempertikai atau bertanya dari mana punca kuasa menyesah anak orang. Hormat kami pada cikgu tak pernah surut. Takutnya juga tak pernah padam. Komuniti kampung juga amat menghormati cikgu.Buatlah apa sahaja cadangan, pandangan, nasihat atau teguran, jika luahnya dari mulut seorang cikgu semua akan angguk setuju.

Banjir yang sering melanda menengelamkan padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air telah bermula. Parit besar di hadapan SK Seri Sekawan Desa berhampiran kedai Ah Tee yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan untuk kami menguji kehebatan menyelam dan berenang bila musim tengkujuh tiba.Permainan ‘Tonjen Air’ menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah agama bermula.Tanpa seurat benang kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja mencampakkan baju seragam dan beg sekolah ke atas pokok. Saat itu kami tak pernah terfikir berapa dalamnya air, kelajuan arus dan tunggul-tunggul kayu yang berselirat di dasar parit. Emak bapak yang membawa bekalan makanan tengah hari penuh sabar menunggu dan memerhatikan dari tebing seolah-olah memberi restu. Tiada suara-suara yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan tentang bahayanya air yang mengalir deras menuju ke laut.  Cikgu turut menyinsing seluar bermain air di tengah padang melayan murid-murid perempuan. Musim tengkujuh juga memberi peluang untuk kami mencari duit kocek tambahan. Motosikal cikgu yang dipenuhi selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak beramai-ramai untuk dicuci. Dengan upah sepuluh atau dua puluh sen untuk beberapa buah motosikal yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi lima atau enam orang dan bermewah-mewah di kantin.
Antara fitrah alam, sekolah dan dunia kami anak-anak kampung saling melengkapi. Melalui alam kami belajar dan memahami erti sebenar kehidupan, melalui sekolah kami dipersiapkan dengan sedikit ilmu untuk masa depan.

Sejujurnya, sasaran atau KPI aku dan pastinya teman-teman yang lain dalam akademik sepanjang menjadi murid ‘sangat kabur’. Kalau ada pun, cuma berkeinginan untuk  dapat nombor satu kerana orang kata, nombor satu itu lebih baik daripada nombor dua, tiga, empat dan lima. Tanpa kelas tambahan dan kaunselor untuk bimbingan dan memberi motivasi menambahkan keyakinan bahawa apa yang aku raih setiap kali ujian diadakan tidak lebih sebagai anugerah. Buktinya, Ujian Penilaian Darjah Lima yang sama taraf dengan UPSR diketahui bila cikgu mengarahkan kami mengemas bilik dan menukar susun atur meja serta sedikit taklimat berkaitan ujian. Rasa teruja untuk berdepan dengan ujian bertambah bila dapat memiliki pensel 2B belang hitam kuning yang boleh dianggap sebagai barangan ‘mewah’ ketika itu, pemadam yang dihiasi dengan lambang dan bendera negeri serta pembaris kayu kapur berwarna kuning enam inci. Tanpa Qiamullail dan Solat Hajat Perdana, kami sebenarnya lebih ‘teruja’ untuk melihat ‘orang asing’ yang ditugaskan menjadi pengawas bukannya memikirkan susah atau senangnya soalan. Keterujaan akan bertambah bila kami dibenarkan keluar kelas lebih awal atau berbeza dari murid-murid yang lain. Tanpa program kelas tambahan malam atau hujung minggu kami lalui hari-hari ujian tanpa rasa tekanan. Umpama daun kering yang hanyut dibawa arus. Kekadang, mungkin bila teringat emak akan bertanya… “dapat nombor berapa?”. Itupun selepas beberapa minggu keputusan ujian penggal diumumkan.


Ketiadaan kemudahan elektrik, paip air, jalan dan telefon banyak mempengaruhi budaya dan cara hidup aku dan rakan-rakan sebaya. Kasut baharu yang sekali-sekala bapak belikan lebih banyak menghabiskan ‘hayatnya’ dalam bungkusan plastik atau diikat dan dikalungkan di leher bagi mengelakkan kotoran. Kaki yang berstoking dan dipadankan dengan kasut putih bertahan hanya beberapa hari pada awal tahun.  Kami lebih selesa berkaki ayam sama ada di dalam kelas atau bermain di tengah padang. Sesekali bila pihak sekolah mendapat tahu akan dikunjungi pelawat, barulah arahan untuk memakai kelengkapan sekolah dikeluarkan. Satu-satunya waktu yang merimas, merisau dan membimbangkan kami ialah bila terlihat kelibat misi dan rombongan pejabat kesihatan memasuki kawasan sekolah. Jarum yang panas dibakar, minyak ikan yang meloyakan, ubat cacing dan peralatan mencabut gigi serba putih sering menganggu perasaan dan keseronokan kami. Sesetengahnya, lebih rela lari balik ke rumah sambil meraung-raung atau menghilangkan diri duduk di kolong bawah bangunan.

Kini lebih empat dekad atau dalam bahasa yang mudah empat puluh tahun alam itu telah aku tinggalkan.Namun, dengan nikmat kerjaya yang Allah telah tetapkan, aku masih setia dengan sekolah dan seisi ceritanya. Plot cerita pun telah banyak berubah. Headcount, Muhasabah, Melindungi Masa Instruksional (MMI), Post Mortem, Kajian Tindakan, Inovasi, PIPP,PPPM, NKRA, KPI, Indeks Komposit, MBMMBI, 1 Murid 1 Sukan, Bestari, PBS, Peka, SMM, SPS, ISIS, ADAP, APDM, eGHadir, eKGSK, emisonline, eSPLG, SAPS, Segak online, EMIS, MBR 1.0  dan lainnya mewarnai cerita kehidupan kami warga cikgu. Kami kena lebih bijak mengurus emosi. Kami kena lebih bijak menyerap tekanan. GURU MALAYSIA: 1 ASPIRASI 1 AGENDA….SELAMAT HARI GURU UNTUK RAKAN SEPERJUANGAN KHUSUSNYA CIKGU SAKTI.

Tuesday, April 23, 2013

PRU13


Salam hormat Yang Berhormat
Gelanggang pertarungan  telah dibuka
Harap mimpi kan menjadi nyata

Berkempenlah dengan penuh hikmah
TAPI bersedia untuk disumpah seranah

Belajarlah untuk memuji
TAPI bersedia untuk dikeji

Percayalah kepada kesetiaan rakan
TAPI bersedia untuk dikhainati

Bersyukurlah dengan pujian
TAPI bersedia untuk penghinaan

Berhujahlah demi kebenaran
TAPI bersedia dengan pembohongan

Bayangkanlah segala habuan
TAPI bersedia untuk kerugian

Bersungguhlah pegang kepada amanah
TAPI bersedia untuk difitnah

Jujur berkempen jangan ragu
TAPI bersedia untuk ditipu

Memang YB ada ramai kenalan
TAPI bersedia untuk hilang pertaruhan

YB nampak ada keyakinan
TAPI bersedia untuk kekecewaan

Berhujahlah dengan fakta
TAPI bersedia jika dianggap auta

Peganglah nasihat ini YB
Jangan menang sorak kampung tergadai
Watan ini untuk diwarisi
Bukan untuk dikhianati 

Thursday, April 18, 2013

SEKILAS BERITA: Kriket, Apresiasi dan Mesyuarat PIBG

Minggu ini menjadi antara waktu yang paling sebuk bagi warga SAKTI. Selesai sahaja menjadi penganjur Kejohanan Kriket Piala Tan Sri Hamzah Abu Samah Zon Selatan, warga SAKTI khususnya terus membuat persiapan untuk Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik (MAKA) dan Mesyuarat Agung PIBG 2013. Dalam masa yang sama sebilangan warga SAKTI yang terpilih turut terlibat dalam beberapa aktiviti peringkat daerah, negeri dan SBPSK. Program-program seperti Pertandingan Robotik di Unimap, Perkhemahan KRS di Setiu, Olahraga MSSD, Kawat Kaki Daerah, MTQ, Drama Bahasa Inggeris SBP dan lainnya juga menuntut penglibatan SAKTI, Semua program ini benar-benar menguji daya tahan, emosi dan kesabaran warganya khusus guru-guru yang sangat dihormati. Menganjurkan tiga majlis berskala besar dalam tempoh seminggu ditambah dengan aktiviti-aktiviti lain yang disebutkan, bukan sesuatu kerja yang mudah. Dengan tenaga kerja guru seramai 63 orang adalah sesuatu yang mustahil untuk menjayakan majlis tersebut jika tiada sepasukan kerja yang benar-benar kuat, saling memahami dan sokong menyokong. Semua majlis atau program tersebut memerlukan perancangan yang cukup rapi dan teliti serta melibatkan semua pihak tanpa ada yang terkecuali. Perselisihan pendapat, pandangan, dan idea sudah pasti berlaku. Merajuk, menangis, ketawa dan bermasam muka sudah menjadi asam garam sepanjang menganjurkan majlis yang dinyatakan. Namun, pasukan kerja SAKTI memiliki keinginan dan tekad serta azam untuk melakukan yang terbaik. Inilah yang menjadi KEKUATAN kami. Apatah lagi bila semua aktiviti dan majlis berakhir tanpa sebarang masalah dan gangguan,  Lebih manis bila tetamu yang hadir menghemburkan ucapan tahniah dan pujian. Hilang segala penat lelah. Keletihan, kekalutan bertukar kegembiraan. Terima kasih kepada semua guru yang terlibat. Gandingan Cikgu Herman, Cikgu Suhaimi, Pn Rohana dan Cikgu Shah yang semakin mantap berjaya menguruskan P.A sistem, pentas dan dewan. Pn Rosyatimah & co. yang semakin mahir dengan cetakan buku program.Ustaz Arsam dan rakan-rakan di bahagian menu, masakan dan jamuan. Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Nurul di sudut pengacaraan. Cikgu Azman di unit kawalan dan keselamatan. Cikgu Ally sebagai penyelaras majlis. Ustaz Hafizullah dengan tugas barunya dibahagian protokol dan sambutan. Serta tidak dilupakan Ustaz Norhisam sebagai pembaca doa dan biodata yang cemerlang. Majlis juga tak mungkin berseri tanpa kehebatan cikgu-cikgu bahagian persembahan yang diketuai oleh Cikgu Roshanita. Kepada yang tidak dapat disebutkan namanya,...Terima Kasih Cikgu........

Wednesday, January 23, 2013

SEKILAS BERITA : …JANJI DITEPATI




15 JANUARI 2013 (SELASA), Seramai 109 orang pelajar SAKTI yang memperoleh 8A dalam Peperiksaan PMR 2012 telah diraikan dalam satu majlis jamuan di Pulau Desaru Hotel. Hi Tea tersebut turut disertai oleh Pengetua, Penolong-Penolong Kanan, GKMP dan YDP PIBG SAKTI, Tn Hj Othman bin Karsan. Majlis diadakan antara lain bertujuan untuk menzahirkan rasa penghargaan kepada pelajar-pelajar yang bertungkus lumus berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR 2012. Semoga majlia itu juga akan menjadi pembakar semangat calon-calon PMR 2013 yang turut mensasarkan keputusan terbaik. AMIN!.





SEKILAS BERITA: LDP PERTAMA 2013…..PBS



14 JANUARI 2013 (ISNIN), Bertempat di Bilik Mesyuarat Desaru telah berlangsung kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) pertama 2013. Pada kali ini, guru-guru SAKTI sekali didedahkan dengan isu-isu dan pengoperasian PBS yang disampaikan oleh Tn Hj Khairuddin bin Mohamad, pegawai peperiksaan PPD Kota Tinggi. Pelbagai isu terkini dan permasalahan yang berkait dengan PBS telah dibentangkan dalam kursus yang bermula pada jam 2.30 hingga 5.00 petang itu.

SEKILAS BERITA : HARI KELUARGA SAKTI 2013



13 JANUARI 2013 (AHAD), Kelab Bilik Guru SAKTI (KEBIRU) telah menganjurkan Hari Keluarga SAKTI bertempat di Starhill Resort, Kempas, Johor Bahru. Pelbagai aktiviti berupa permainan yang disertai oleh ahli dan keluarga KEBIRU telah diadakan. Diharapkan dengan program ini akan dapat merapatkan lagi ukhwah antara ahli. Majlis berakhir jam 4.30 petang sebaik sahaja selesai penyampaian hadiah dan cenderamata kepada pemenang setiap acara yang dipertandingkan. Tahniah kepada AJK KEBIRU!!!

Wednesday, January 9, 2013

SEKILAS BERITA: PMR SAKTI TERBAIK JOHOR

...Bersama Mencipta Sejarah...PMR 1.03

Turut berjasa..

Tahniah Cikgu..

Usaha yang kenal jemu menghasilkan kajayaan....
Satu majlis perhimpunan khas bagi meraikan kejayaan calon-calon PMR SAKTI 2012 telah berlangsung pada 07 Januari 2013. Majlis ini diadakan bagi menghargai kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh pejuang-pejuang SAKTI yang telah mencipta rekod GPS terbaik iaitu 1.03 dalam peperiksaan PMR yang lalu. Dengan keputusan ini juga, telah meletakkan SAKTI pada kedudukan pertama di negeri Johor di depan Sekolah Tun Fatimah (1.04) dan Sekolah Sultan Ismail JB (1.07). Seramai 109 (78.99%) calon yang memperoleh 8A dalam semua mata pelajaran telah menerima sijil penghargaan daripada Tuan Pengetua. Turut menerima sijil-sijil penghargaan dan cendera mata ialah guru-guru tingkatan 3, Ketua-ketua Panitia yang terlibat dan Guru-guru Kanan Mata Pelajaran. Sesungguanya, majlis ini akan menjadi perangsang kepada semua pelajar khususnya calon-calon PMR 2013 untuk menunjukkan kecemerlangan dalam peperiksaan pada hujung tahun ini. TAHNIAH kepada guru-guru dan pelajar SAKTI.

SEKILAS BERITA : LAWATAN PENANDA ARAS PERTAMA 2013

Taklimat oleh Tn Hj Mohamad bin Hj Mahadi, Pengetua SAKTI

Perbincangan diketua oleh Pn Hjh jamilah Zamahsari
Seramai lima orang guru SK Bandar Penawar 2 yang diketuai sendiri oleh Tuan Guru Besar, En Jaafar bin Atan telah membuat lawatan penanda aras ke SM Sains Kota Tinggi pada 8 januari 2013 (Selasa). Tujuan lawatan adalah untuk mempelajari pengurusan berkaitan dengan Sekolah Berprestasi Tinggi. Sesi yang boleh dianggap sebagai Coaching & Mentoring ini berlangsung pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Sepanjang lawatan tersebut beberapa berbincangan profesional telah dilakukan melibatkan beberapa orang guru yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan SBP SAKTI. Kerjasama seumpama ini diharapkan akan berterusan bagi meningkatkan keupayaan pengurusan kedua-dua pihak.

SEKILAS BERITA : PENDAFTARAN TINGKATAN SATU 2013

Pendaftaran bermula
Aku janji


Tanggal 7 Januari 2013 menjadi detik bersejarah kepada seramai 119 orang pelajar baharu tingkatan 1. Mereka secara rasminya menjadi warga SAKTI selepas melalui proses pendaftaran yang bermula seawal jam 8.00 pagi di Dewan Seri Penawar. Dalam majlis tersebut beberapa siri taklimat daripada pihak pengurusan SAKTI dibuat bagi menjelaskan secara lebih terperinci berkaitan SM Sains Kota Tinggi yang tercinta ini.