Monday, May 29, 2017

RAMADAN PART 2: Pak Bilal & Kentung @ kentrung


Salah satu alat komunikasi terpenting dalam masyarakat kampung ialah kentung@kentrung dan jedur. Kentung dibuat drp kayu keras yg dilubangkan dan digantung di masjid. Diketuk sekuat mungkin berselang dengan pukulan jedur yg dibuat daripada kulit lembu. Sebagai tanda masuknya waktu solat. Mengajak penduduk berjemaah.
Tanpa P.A Sistem ketukan kentung juga sebagai isyarat jika ada kematian. Nadanya sahaja yg berbeza.
Sepanjang Ramadan, kentung menjadi penentu kepada waktu berbuka dan imsyak. Hanya orang tertentu yg dibenarkan mengetuk kentung. Biasanya imam dan Pak Bilal. Yang lain, termasuk ketua kampung pun tak layak mengetuknya. Sebab itu Pak Bilal khususnya, menjadi individu yg sangat diberi tumpuan sepanjang Ramadan.
Kelibat Pak Bilal akan diperhati. Ketiadaan Pak Bilal di kampung akan menimbulkan kegusaran. Macam mana nak berbuka kalau Pak Bilal tak ada? Siapa nak ketuk kentung? Aku, yang baru mula belajar berpuasa akan menggunakan Pak Bilal sebagai penanda aras waktu berbuka.
Untuk memujuk agar aku terus bertahan menahan lapar hingga waktu berbuka, emak juga menggunakan isu Pak Bilal.
“Dah, kau pergi tengok Paman Amat, dah ke laut (ke masjid) atau belum? Gi tunggu kat anjung”, pujuk emak bila sesekali aku mengaruk nak berbuka awal.
Aku akan tunggu Pak Bilal berbasikal lalu depan rumah. Nampak sahaja Pak Bilal, aku akan menjerit.
“Emak!!! Paman Amat dah pergi masjid!!”. Aku akan berlari girang menuju ke dapur mengumpul sajian berbuka. Hati akan mengerutu resah dan aku akan mengaruk lagi kalau sayup2 bunyi kentung tak kedengaran akibat tiupan angin atau kebetulan hujan turun pada waktu magrib!!! Indahnya Ramadan.

RAMADAN PART 1: PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA


Dahulu, pengisytiharan permulaan puasa terlalu mendebarkan. Bergantung sepenuhnya kpd anak bulan, sama ada kelihatan atau sebaliknya. Melihatnya cuma dibeberapa tempat. Paling terkenal ialah di Teluk Kemang N9 dan Pontian Kecil Johor. Menjelang petang, masing2 membuat andaian berdasarkan keadaan awan. Bagi yg pandai berhujah akan dipercayai 'fatwanya'.
Tanpa bekalan elektrik, tumpuan penduduk kampung ialah pada radio. Radio yg berbateri kering berwarna merah, berbentuk selender, 2 inci. Itupun tak semua rumah memilikinya. Bagi memastikan suaranya tidak tersangkut2, bateri cap kucing terpaksa dijemur sepanjang hari. Pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja2 akan dinanti penuh debar.
Penduduk kampung yg tak beradio, mengharap ihsan jiran utk menyampaikan maklumat. Usai solat Magrib, kami akan ke rumah jiran dengan bercahayakan pelita minyak tanah utk mendapatkan berita.
"..........Majlis Mohor Besar Raja2 dengan ini mengumumkan, bahawa anak bulan TIDAK kelihatan di .......Maka, dengan ini diisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa ialah pada hari .....". Gembira bukan kepalang, kerana ada sehari lagi utk bersarapan.

Sunday, May 14, 2017

MAK ANDAM vs CIKGU

Dahulu, Mak Andam merupakan individu yang penting dlm komuniti desa @ kampung. Dalam majlis perkahwinan, walaupun tak setaraf Tok Kadi, Mak Andam tetap dihormati. Sebab itu, Mak Andam tetap dicari. Tahun 70an dahulu, dijemputnya Mak Andam, membonceng basikal. Sesiapa yang terpilih untuk menjemput Mak Andam pun dah boleh tersenggeh berbangga. Pasti terkena tempias glamournya.  Perasaan ‘riak’ menyelinap masuk ke pembuluh darah bila basikal yang membawa Mak Andam berhenti di perkarangan rumah pengantin. Bunyi-bunyian akan berhenti untuk memberikan laluan pengumuman ketibaan Mak Andam. Raga yang berisi persalinan dan alat solek bersambut tanpa disuruh. Payung (biasanya berwarna kuning), kemas diletak di atas pangkin. Bimbang terlangkah. Mak Andam akan terus masuk ke bilik, menyusun kerja dan memulakan tugasnya. Mak Andam jarang berborak-borak kosong dengan tetamu. Sudut yang dipisahkan dengan tirai kain menjadi tempat operasinya.  Juga akan menjadi tumpuan anak-anak gadis kampung yang dijemput. Mereka tidak bersuara. Namun, matanya pasti tajam memerhati gerak geri Mak Andam. Dari meletak sanggul, menyisipkan jarum, menyapu bedak, meletak gincu di bibir, mengores celak hitam, mengenakan selindang dan menyusun kuntuman bunga akan terus diperhati dan disimpan dlm memori. Tentunya akan menjadi bahan cerita yang akan disampaikan kepada teman-teman seusia. Biasanya Mak Andam akan disediakan pendamping yang bertindak sebagai pembantu. Pendampingnya adalah individu yang dipercayai oleh keluarga pengantin. Apa saja yang Mak Andam minta, akan dicari dan disediakan. Yang penting Mak Andam selesa dan tak merajuk. Begitulah tingginya status Mak Andam dulu-dulu.


Ramai yang percaya tanpa Mak Andam, seri pengantin tak ‘naik’. Majlis menjadi hambar. Bukan bermakna pengantin tak boleh bersolek sendirian, tapi jika ada Mak Andam, pengantin akan lebih yakin untuk duduk di atas pelamin. Walaupun, mungkin sekadar ditepekkan dengan bedak sejuk. Paling kuat pun dihembus-hembus ayat & mentera kat dahi. Kelibat Mak Andam akan semakin hilang bila selesai upacara ‘buka kipas’. Sebaik sahaja ‘ufti’ beralih tangan, Mak Andam tak lagi dihirau. Tumpuan beralih kepada pasangan pengantin. Tepuk sorak dan riuh rendahnya majlis bertumpu kepada aksi mempelai di atas pelamin. Mak Andam mengundur diri. Biasanya, akan berdiri menjadi pemerhati di sudut ruang rumah.Nampak macam tenang, sebenarnya Mak Andam berdebar menunggu, kalau-kalau ada suara-suara sumbang yang x puas hati dengan hasil kerjanya. Bangga Mak Andam jika ada sosek-sosek memuji seri pengantin. Mak Andam puas!! Mak Andam akan pulang ke rumah dengan tenang. Berbekalkan sedikit bontrotan dan upah, Mak Andam dah boleh berkira-kira ‘kesibukkan’ pada musim perkahwinan berikutnya. Sepanjang dibonceng untuk dihantar pulang, Mak Andam dah boleh memikirkan inovasi dan kreativiti untuk solekan. Dengan modal yang ada,paling kurang bedak sejuk dan gincu akan ganti dengan jenama yang baharu. Mak Andam tahu benar, apa saja jenama yang digunakan, akan menjadi ikut-ikutan oleh gadis-gadis kampung. Tanpa, TV, Facebook, Wapps, Instagram, dll, Mak Andam sebenarnya menjadi individu yang paling berpengaruh untuk melariskan jualan produk kecantikan yang mungkin menyamai Neelofa pada hari ini. 

Wednesday, May 3, 2017

Catatan Pengetua 4

Keputusan SPM telah pun diketahui. Warga SEHEBAT terutamanya guru-guru pasti menerimanya dengan reaksi yang pelbagai. Panen kali ini kurang menjadi. KPI yang ditandai melalui Gred Purata Sekolah (GPS), mengundang pelbagai persoalan. Anak-anak NEOS juga pastinya kurang gembira. Hasrat untuk mel etakkan GPS pada angka 1.92 tidak kesampaian. Malah, berlaku penurunan daripada 2.04 (2015) kepada 2.2 (2016).  Peratus calon cemerlang juga berkurangan. Tahun 2015, SEHEBAT mencatat 17.61 % atau 28 calon, manakala SPM 2016 cuma 13.95% atau 24 calon meraih keputusan cemerlang 9A. Jumlah ini jauh tersasar sebagaimana angka yang diharapkan.

Marilah kita sama-sama mencari di mana kesilapannya. Kita tidak boleh berterusan berkeluh kesah. Jauh sekali menyalahkan orang lain. Warga SEHEBAT yang hebat akan cepat mengorak langkah. Saya percaya dan yakin, SEHEBAT masih relevan untuk menjadi pesaing dalam kalangan sekolah-sekolah SBP. Jangan sesekali membenarkan SEHEBAT tercicir jauh daripada rakan-rakan yang lain. SEHEBAT memiliki kemampuan, guru-guru yang hebat dan anak-anak yang mendengar kata. Biarkan keputusan SPM yang lalu itu dijadikan sempadan.

Diagnosis yang jujur dan telus perlu dilakukan. Setiap panitia perlu melihat secara mendalam akan akar puncanya. Warga SEHEBAT perlu berlapang dada. Perlu juga berjiwa besar untuk bersedia belajar dari orang lain. Mencedok pengalaman daripada sekolah-sekolah hebat yang memang ketara kehebatannya, bukanlah satu kesahalan. Kita perlu sentiasa memeriksa pengurusan diri kita, pedagogi kita dan kolaburasi kita. Tampal mana-mana  kebocoran sekiranya ada. Bertukar-tukar amalan pedagogi yang terbaik, amat disanjung. Dalam masa yang sama, anak-anak SEHEBAT juga  perlu bersedia melakukan perubahan dalam tindak cara pembelajaran dan kehidupan. Perlu pantas dalam setiap tindakan dan pergerakan. Anak-anak juga perlu memiliki daya yang kuat untuk mendorong diri sendiri agar bersaing memperoleh kejayaaan. Menggunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin, terutama waktu prep siang dan malam masih menjadi kunci utama kecemerlangan sekolah-sekolah SBP….JOM KITA BANGKIT.

Catatan Pengetua 3

Lebih setahun SEHEBAT BITARA DAN BERBUDAYA dipilih menjadi ‘tagline’ sekolah yang kita cintai ini. Kefahaman terhadap maksud dan hasrat yang ingin digapai melaluinya, juga diharapkan semakin mengukuh. SEHEBAT mahu melahirkan modal insan yang unggul dalam segenap bidang, di samping memiliki sifat-sifat diri dan keperibadian terpuji. Cerdik akal sahaja tidak memadai, kalau tidak disertai d engan unsur-unsur etika yang mengawal tata aturan hidup, sikap dan norma perlakuan. Peka dengan budaya juga akan membantu seseorang memiliki jati diri yang kukuh, seterusnya berbangga dengan satu-satunya watan yang kita miliki ini. Malah, ada orang meletakkan budaya itu terlalu tinggi nilainya, sebagaimana perumpamaan, laut budi tepiannya akal.
 Berbudaya bukan sekadar disebut atau ditulis di dinding-dinding sebagai mural. Berbudaya adalah amalan. Menghormati guru, tetamu dan rakan-rakan sepermainan, meringankan lidah mengucap salam, meringankan tangan menghulur bantuan, menyusun hujah, dan mengawal bicara dengan memilih kata-kata adalah eviden yang amat mudah dinilai melalui pemerhatian dan pendengaran. Walaupun, tanpa markah atau gred, kadang kala eviden ini akan lebih kekal terpahat dalam ingatan. Mudah dibawa dan dijaja ke mana-mana. Jika bagus, SEHEBAT akan mengharum. Jika sebaliknya, akan menjadi beban berat yang akan menengelamkan segala macam kecemerlangan yang telah kita miliki.   
Penerapan budaya dan amalan baik sudah semestinya memerlukan masa yang  lama. Bukan seperti menadah hujan dari langit, proses pembudayaan memerlukan kesabaran yang tinggi. Kunci utamanya, terletak pada keterbukaan hati kita untuk menerima segala teguran dan nasihat yang baik dan membina. Sejauh mana kita boleh berlapang dada dengan pandangan-pandangan baharu yang mungkin bertentangan dengan prinsip dan amalan yang telah berteritip dalam kehidupan seharian, juga perlu diberikan perhatian. Akhirnya, budaya elok yang diterapkan di SEHEBAT, sewajarnya perlu dikembangbiakkan dalam keluarga dan komuniti masyarakat apabila anak-anak selesai menamatkan pengajian di sini. Tidak perlulah kita menjadi pelangi yang hanya cantik dipandang tetapi kurang memberi erti kepada orang di sekelilingnya. Mudah-mudahan, produk SEHEBAT memiliki keseimbangan antara IQ, EQ, dan SQ 

Wednesday, January 4, 2017

CATATAN PENGETUA 2: SELAMAT DATANG PUTERA PUTERI F1

Selamat datang kepada putera puteri Tingkatan Satu SEHEBAT. Tahniah kerana anda terpilih dalam  kalangan ribuan murid yang memasang keinginan untuk ke SBP. Kehadiran anda ke SEHEBAT adalah manifestasi kepada usaha dan kesungguhan anda semasa berhadapan dengan UPSR yang lalu. Bermakna, anda memiliki semangat dan daya juang yang cukup tinggi sehingga berjaya melepasinya. Kekalkan keinginan dan momentum anda untuk terus berjaya. Kami bersedia dan sentiasa berusaha untuk memberikan bimbingan yang terbaik.

SEHEBAT ibarat dunia kecil, yang menyediakan pelbagai peluang untuk anda meneruskan kecemerlangan dan menyerlahkan potensi diri masing-masing. Sama ada melalui pembelajaran secara formal di dalam kelas, atau bedasarkan pemerhatian dan kehidupan langsung di asrama, semuanya akan membantu anda mempelajari sesuatu untuk kemandirian hidup. Di sinilah juga anda akan berpeluang melakukan sesuatu secara jujur dengan dorongan diri sendiri. Tanpa sedar, anda akan dilatih untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi secara lebih bertanggungjawab. Di SEHEBAT, anda akan benar-benar merasai nikmat persahabatan dan berkasih sayang!. Umpama, sekain sebaju, selauk senasi, sebantal sekalung ulu, setikar seketiduran.

Bertimbang rasa, berkerjasama, saling membantu, menghormati orang lain,  meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat, juga akan menjadi bumbu yang cukup melazatkan. Semuanya akan anda kutip di SEHEBAT. Gunakan peluang dan kesempatan yang anda perolehi untuk berdikari dan menguji daya tahan demi kelangsungan hidup dengan sokongan serta bantuan yang minima daripada ibu-bapa dan keluarga. Dalam masa yang sama, kecenderungan untuk cemerlang dalam akademik, tetap akan diberikan keutamaan. Di situlah letaknya persaingan. Tidak kiralah sama ada anda akan menjadi pendahulu atau sebaliknya, SEHEBAT akan cuba menyediakan landasan terbaik untuk anda bersaing. Prasyaratnya ialah kemahuan dan kesungguhan. Kalau pengayuh pun sayang untuk dibasahkan, maka sampan tidak akan sampai ke seberang. Selamat menjadi keluarga besar SEHEBAT… Bitara dan Berbudaya.


PENGETUA SEHEBAT

CATATAN PENGETUA 1

Selamat kembali ke SEHEBAT untuk sesi persekolahan 2017. Tahun yang akan menjadi titik mula kepada beberapa tranformasi dalam sistem pendidikan. Pengenalan kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai 2017, bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),  dijangka akan mengubah landskap pendidikan negara secara menyeluruh. Sebagai warga pendidikan, SEHEBAT dengan penuh iltizam akan menyertai rakan-rakan yang lain, khususnya dalam kalangan SBP untuk memastikan usaha-usaha ke arah perubahan tersebut akan terlaksna dengan jayanya. Untuk tujuan itu, warga SEHEBAT perlu bersedia merubah paradigma bukan sahaja dari segi kefahaman, tetapi juga sikap dan amalan. Perubahan dan pembaharuan dari segi amalan pedagogi, pentaksiran, kandungan sukatan, dan peruntukan masa, dijangka akan menjadi cabaran besar yang mesti ditangani bersama. Kesediaan dan keikhlasan kita untuk berubah akan menjadi tunjang kepada sejauh mana transformasi ini berjaya. Permasalahan yang berlaku perlu ditangani secara berhikmah, kreatif dan berinovatif. Penjanaan idea yang kritis dan membina oleh warga  SEHEBAT amat dialu-alukan. Percayalah, rungutan tidak akan menyelesaikan masalah.  Menyongsang arus juga, akan hanya merosakkan kapal dan melewatkannya untuk sampai ke destinasi.
Tahun 2017 juga akan menjanjikan cabaran yang lebih besar kepada warga SEHEBAT. Meskipun masih dianggap baharu, SEHEBAT perlu menggandakan usaha dan ikhtiar untuk memberi ‘saingan’ dalam segenap bidang, sama ada kurikulum, sahsiah ataupun kokurikulum khususnya, dalam kalangan SBP. Hal ini juga akan membantu dan mengekalkan reputasi SEHEBAT dan SBP secara amnya pada kaca mata masyarakat. Kejelekitan dan kebersamaaan yang diadun secara ikhlas dan jujur oleh segenap warga SEHEBAT akan menjadi kunci kepada kecemerlangan. Sering saya perkatakan, kalaupun tidak menjadi pemuka, biarlah kita menjadi pesaing yang disegani di dalam gelanggang. Marilah kita sama-sama melakukan tatarias yang terbaik untuk SEHEBAT, agar cantik, menarik dan kondusif  sebagai gedung pengajaran dan pembelajaran. Rapatkan saf dan hindarilah prasangka yang memusnahkan, umpama seikat bak sirih, serumpun bak serai. Mudah-mudahan SEHEBAT akan melahirkan modal insan yang diidamkan sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
PENGETUA SEHEBAT



Tuesday, December 20, 2016

Cikgu Maimunah

Pagi tadi sempat hadir meraikan majlis persaraan seseorang. Antara individu guru yg sangat aku hormati. Pernah mengajar aku berbahasa seawal tahun 1978. Semasa beliau menjadi guru sandaran di SMK Ayer Baloi. Aku mengagumi personaliti dan karektornya. Tenang dan sabar mendidik. Tanpa bantuan teknologi ICT, beliau masih mampu menarik minat kami utk memahami hukum2 bahasa, morfologinya, sintaksisnya, antonim dan sinonimnya. Sesekali kami seronok beraktiviti. Mengenali pantun, gurindam dan berlakon. Lantaran itu, saat perkhidmatannya sebagai Guru Sandaran berakhir, kami zahirkan kekecewaan. Kami hadir ke rumahnya beramai2, meskipun berpuluh kilometer jauhnya dari rumah. Aku mengenakan busana yg paling cantik yg aku ada. Berselipar dan bersisir rapi belah tepi. Memandangkan itulah kali pertama aku akan menaiki bas bersendirian dari pekan Jelotong ke Bandar Pontian, berbuih mulut emak memberi peringatan. Dari bas stand Pontian kami bergerak ke Parit Masjid. Ada berbas, menaiki beca dan berjalan kaki. Itulah hebatnya aura individu ini.
.......
1983 aku berpeluang utk mendalami ilmu berbahasa dengannya di SDPB Pontian. Watak dan auranya masih sama. Sebagai guru yg baharu keluar universiti, semangatnya berkobar2 utk memastikan kami berjaya, walaupun kenakalan dan naluri kami utk belajar berbelah bagi. Nak dijadikan cerita, awal 90an, kami sekali bertemu. Kali ini kami sama2 mengetengahkan kemampuan menjadi pembimbing aktiviti berbahasa pada peringkat negeri dan kebangsaan. Beliau dgn pasukan pantun SDPBnya, manakala aku membimbing pasukan Forum Remaja SMKABP. Kami berkerja keras utk memartabatkan pasukan masing2....kini aku meneruskan legasinya di daerah yg sama. Di atas pentas persaraan pagi tadi, aku sempat berbisik..."Cikgu, saya akan menyusul" . Pantas beliau menjawab, " kau jangan nak memandai nak bersara awal. Teruskan !!". Semoga cikgu bergembira dan menikmati saat persaraan dgn tenang. Terima kasih Cikgu Maimunah bt Hj Sidin.



UPSR dan 'A'

Ibu2 usahlah gundah gulana dan kecewa jika si anak tak bawa A balik ke rumah. Jangan pula menangis,meraung,dan bersedih hati hinggakan nak minum air terasa duri, makan pula serasa lilin. Apa tah lagi menyumpah seranah si anak yg seperti nak putus urat kentut berusaha. Tak perlulah membanding-banding dengan si kakak, abang atau sepupu sepapat yg dah jadi doktor atau lawyer. Anak akan jadi stress dan boleh jadi kemurungan. Dunia dah berubah, sistem juga turut berubah. Memang, zaman ibu dulu, A menjadi sanjungan, simbol kecemerlangan dan kehebatan. Walaupun, bukan simbol peradaban. Berderet A yg ibu bawa balik, sekampung tumpang bangga. Itu belum lagi riak berminggu2 mencanang yang anaknya memang geliga sejak dalam kandungan!! Ingat..UPSR itu masih terlalu awal untuk menuduh anak tak punya masa depan.Usain Bolt pun tak pernah di hadapan pada langkah pertama. Anak tu baharu nak menyusun langkah, baharu nak bertatih. Jangan disergah dan dihambat utk berlari dan mengungguli. Kasihan !!. Ada banyak lagi pusingan dlm hidup kita ni yg kena difikirkan. Berderet A pun, kalau pengakhiran hidup bergelang gari SPRM, tak bermakna. Malah memalukan keturunan. Berkoyan kena sumpah seranah orang. Tak pasal2 tok nenek pun kena nista.
Ibu2, terimalah seadanya. Setelah berusaha, itu sahaja rezeki yg anak mampu bawa balik, maka bersyukurlah. Anak tu dah letih dan penat. Pagi, petang, siang, malam cuba menggerakkan sel2 otak supaya berhubung. Ibu juga kan dah habis ikhtiar membantu sebelum berbondong2 menghantarnya masuk ke dewan peperiksaan. Dah berjela doa dibaca. Maka, reda dan terimalah hasilnya. Insya Allah anak2 ibu akan tetap berilmu dan berjasa. Mampu mengharungi kehidupan pada masa depan ,hormat orang tua & mantap agamanya. Dari apa yg saya baca, Finland yg kaya raya dan maju itupun tak pernah paksa rakyatnya dapatkan A. Mereka cuma diajar untuk hidup dan berkreativiti. Sistem ujian dan peperiksaan dicampak jauh ke laut.
Udah2lah ibu...usah ditangisi. Tak perlu nyorok2 dengan jiran tetangga. Apa tah lagi nyalahkan orang lain. Nyalahkan pemerintah, nyalahkan sistem, nyalahkan cikgu, nyalahkan bomoh dan sebagainya. Udah penat cikgu jadi kambing hitam. Cikgu2 dah buat lebih drp yg sepatutnya, semata2 nak bagi anak2 ibu gembira. Tak pasal2 nanti dapat dosa membawa cerita yang entah apa2. Meh kita nyembang2 isu lain yg lebih berat bebannya. Pasal tol, minyak dan sayur mayur. Berbanggalah dengan ikhtiar @ usaha bukannya hasil. Hasil telah ditentukan olehNya. Bersyukurlah!!!

Wayang Pek Ji @ Opera Cina

Dulu inilah antara medium hiburan yg ditunggu2 oleh seluruh penduduk kampung. Keghairahan utk menonton Opera Cina @ wayang Pek Ji, mungkin boleh disamakan dengan AJL atau Gegar Vaganza pada hari ini. Meskipun sebutir ayat tak difahami, aku antara puluhan penduduk yg akan berdedai2 berjalan menuju ke pekan Jelotong menelusuri jalan sempit bertanah gambut, yg hanya muat utk laluan basikal. Seawal jam 5 petang, kami akan mula bergerak mengatur langkah dengan membawa bekalan sebagai pengalas perut. Berjalan sejauh lebih kurang lima kilometer, tak terasa penatnya. Biasanya, aku ditugaskan utk membawa tikar mengkuang yg digulung rapi utk menjadi alas tmpt duduk di dpn panggung. Yg berbasikal akan membawa bahan jualan. Kami akan mengambil peluang menjual kacang rebus atau pecal berasaskan daun ubi dan kangkung. Semuanya cukup gembira, biarpun terpaksa ponteng sekolah agama pd hari berkenaan. Bunyi genarator yg menjadi sumber tenaga menghidupkan suasana panggung juga cukup mengujakan. Antara msy Jawa, Bugis @melayu dan cina di pekan dah x ada beza meriahnya. Usai persembahan yg tak dipedulikan hujung pangkalnya, kami akan berjalan kaki pulang mengusung dan membawa hasil jualan meredah pekat malam...indahnya tanah airku.

Image may contain: one or more people and indoorImage may contain: one or more people, night and outdoor

Beton

Siang tadi, sepanjang perjalanan ke Seri Iskandar, kami bercerita tentang ‘beton’,sisa beberapa ulas nangka yg dibeli di Telok Intan. Hari ini, ‘beton’@ biji nangka akan dibuang begitu sahaja selepas isinya menjadi habuan. Namun, dulu ‘beton’ menjadi antara santapan yg paling enak. Tambah lagi, bila disaji bersama kopi panas, selesai menoreh getah atau pada musim hujan sambil nyembang2 di anjung rumah. Mungkin kerana sumber makanan yg amat terhad di kampung pada masa itu, memaksa semua benda, asal tidak memabukkan dan memudaratkan akan menjadi pengalas perut, termasuklah ‘beton’. Setakat sebu2 perut, tak menjadi hal. Kami adik beradik akan mengumpulkan biji2 ‘beton’ ini, atau mengutipnya di teletisan. Kami basuh bersih2. Masukkan dlm periuk sebelum dimasak dgn campuran sedikit garam. Lepas dimasak kami hadap ramai2. Tak cukup, kami akan bahagi sama rata. Pendek kata, jarang ada yg terbuang bila disebut makanan.


....Ayam Lagi

Kisah Ayam : Part 1

Entah berapa kali Si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset. Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2 yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam dan burung seolah-olah menjadi seperti ‘gajet’. Kami tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam dan burung dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang rumah. Kami masak & bakat cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2 dlm semak. Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan. Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti seperti itu, cuti sekolah terasa begitu panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa elektrik, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan.

Kisah ayam: Part 2
Ptg tadi sempat rewang di rumah jiran belakang rumah. Tarik kerusi, duduk dan terus cuci dàging ayam. Benar2 daging. Isi perut, kepala & kakinya dah diasingkan, masuk dlm plastik. “Nak ditanam”, ujar tukang masak. “Dah ofer banyak kali, tapi tak ada yg nak uruskan”, tambahnya lagi. Aku terdiam.
Dahulu setiap kali kenduri kendara, ayamlah simbol majlisnya. Tiada yg terbuang kecuali bulu, najis dan hempedu. Jumlah ayam yg disembelih menjadi penentu kpd besar @ kecilnya majlis yg akan diadakan oleh tuan rumah. Biasanya 20 atau 30 ekor dah cukup gah utk dijadikan bahan cerita. Hanya yg bertaraf ‘bangsawan’ sahaja yg mampu menyajikan tambahan daging lembu. Ayam pula disumbangkan oleh org kampung. Setiap keluarga akan membawa seekor sebagai ufti. Seminggu sblm majlis, dah berkumpullah ayam penyumbang yg akan dikorbankan. Yang hairannya, tuan rumah boleh mengecam setiap penyumbang dan ayam2nya sekali.

Usai disembelih, kami ramai2 bergotong royong menguruskan. Drp proses mencabut bulu hingga mencincang semua diurus oleh ahli rewang. Tanpa bekalan air paip, kami akan membasuhnya di parit. Biasanya pada waktu malam, bersinarkan lampu gas yg juga dipinjam dari jiran tetangga.
Memandangkan daging ayam pada ketika itu boleh dianggap sebagai barangan mewah, maka katua rewang akan memasang ‘mata2’ bagi memastikan tak ada yg gaib atau terbuang. Termasuklah usus2 ayam yg mengandung najis. Kami akan belah dan cuci smpi bersih. Bagi yg kreatif, akan menggunakan batang keladi utk menterbalikkan usus2 ayam agar mudah dibersihkan. Kalau yg berulat, kami akan kikis. Begitu juga dengan pedal. Kami akan siat bahagian pelapik kuning di bahagian dlm. Jika nasib baik, akan terjumpa telur2 ayam yg masih blm sempurna atau tak smpat dikeluarkan. Itupun dikumpul dan diserah kepada tuan rumah. Manakala jantung ayam yg saiznya kecil, akan menjadi bahagian yg paling berharga dan sering menjadi tumpuan utk di‘songlap’. Sebahagian akan diserah kpd tuan rumah, manakala sebahagian yg lain akan dicucuk utk dibakar dlm timbunan bara. Itupun akan menjadi topik perbualan org kampung, sekiranya aktiviti gelap itu diketahui!!! Indahnya tanah airku..

Salam Kaut

Salam Kaut....
Bagi masy Melayu bandar salam kaut mungkin x lagi dihiraukan. Sifatnya lebih kpd menjamu tetamu. Namun, pd masa dahulu , bagi msy yg tinggal di kampung khususnya, salam kaut amat bermakna. Salam kaut akan digunakan utk menampung kos menganjurkan majlis. Kalau tak semua pun, sebahagiannya mungkin dpt ditanggung. Sebab itu, selesai majlis, tuan rumah akan menjaganya dengan sangat rapi. Diletaknya segala macam rambut atau paku dlm bungkusan. Kononnya dapat mengelak drp terluak atau gaib. Seseorang yg sangat dipercayai akan diarah khusus utk mengawalnya.
Usai membasuh periuk belanga terus memanggil ahli keluarga utk sama2 mengira hasil sumbangan. Anak2 x boleh kacau, yg tua2 sahaja boleh mengira. Ada yg tukang buka sampul, ada yg ditugaskan menyusun, mengira dan ada yg tukang mencatat. Tanpa kalkulator, kerja2 mengira menjadi semakin sukar. Catatan pula tak boleh silap. Sumbangan akan dipulangkan mengikut catatan bila penyumbang mengadakan majlis kemudian hari. Inilah uniknya budaya Melayu. Saling membantu. Selesai mengira, cepat2 berbasikal ke kedai melunaskan hutang. Hutang rempah ratus. Ada baki barulah boleh joli katak. Bolehlah tambah lebarkan dapur, ganti atap, beli lembu, kebun atau beli motosikal scondhand. Yang ibu2 pulak bolehlah jeling2 seurat dua emas tempawan utk penyeri leher atau lengan.
Namun, sukar utk menafikan ada juga hasil salam kaut diguna utk menunjuk2 @ riak. Dahulu, bahana sukarnya mencari duit, maka hasil salam kaut akan menjadi terlalu sensitif dan terlalu teruja utk diketahui oleh org kg. Salam kaut menjadi simbol status dan hairaki keluarga. Sebab itu ada yg memanggil seorang dua jiran tetangga utk konon2 membantu mengira hasil sumbangan. Mereka inilah nanti yg akan mewar2kannya kpd org2 kampung. Diperturunkan secara lisan, dari mulut ke mulut, di warung atau kedai kopi. Sekitar 70an, dapat sumbangan salam kaut RM1000 atau RM2000 dah dikira bagus bagi org kebanyakkan. Ketua kampung, imam, guru ngaji, ketua2 cawangan, tokey2 kedai, biasanya dapat habuan yg lebih besar. Mungkin 3 atau 4 ribu sekali majlis. Maka akan terpacullah kata2 seperti, “oh, memang patut pun si polan dapat begitu, dia tu siapa......”. Bagi tuan rumah yg mengaut sedikit hasil, “ tulah, si polan tu bukannya campur sangat dengan orang....” Cerita dan tanda tanya jumlah hasil salam kaut tuan rumah yg berahsia akan berlarutan seminggu dua. Yang sangat berminat akan membuat sepakulasi, yang tertinggi akan jadi KPI untuk diatasi....oh indahnya tanahairku!!!
Hahaha...melihat kpd warnanya, susah nak kata ekonomi negara sedang tenat. Alhamdulillah, walaupun aku sekadar mencuci pinggan.
40 tahun dahulu, nilainya 10 sen. Dibungkus dgn kain setin nipis warna warni. Diikat dengan dawai halus sebelum disisipkan dengan daun atau bunga hidup. Kalau pun bunga mati, biasanya dikarang sendiri. Dari kertas bunga pelbagai warna dan dilekat menggunakan gam kanji. Buat dari tepung beras yg direbus. Dipintal pada dawai.
Biarpun 10 sen amat bermakna. Disisipkan penuh bangga. Sesiapa yg memakainya, dianggap sebagai insan2 terpilih dan diperakui keremajaannya. Maksudnya, boleh diharap untuk membantu mengerakkan majlis. Tak kiralah, ditugaskan di bahagian depan atau belakang, yg penting sesiapa terpilih untuk memakainya boleh beri arahan kpd rakan2 lain.
Bagi yg ditugaskan di pos2 utama, nilainya juga agak besar....50 sen. Bungkusannya juga lain. Guna kain kasa yg berlubang2, kerawang daunnya juga besar. Biasanya untuk saudara mara pengantin atau dayang2 Mak Andam. Akhirnya...selesai majlis, duit inilah yg diguna utk membeli rokok 2,3 batang....indahnya Image may contain: flower and plant airku!!

Rewang dan Talam

Seingat aku, akhir 70an jamuan kenduri khawin makan berhidang tanpa pingan2 kecil utk lauk. Semuanya dilonggok dlm talam. Juga tanpa kerusi meja. Tetamu duduk bersila. Selagi x cukup 4 orang, tetamu x boleh makan. Peranan Penyambut tamu yang akan memberi isyarat memanggil tetamu2 lain utk memenuhi kouta. Sama ada mengenali atau tidak, mereka akan menjamu selera bersama. Masa inilah mereka berkenalan.
Bangsal berlantaikan papan. Bergotong royong membinanya. Beralaskan batang kelapa yang tingginya lebih kurang sekaki dari tanah. Beratapkan rumbia dan berhiaskan daun kelapa atau kertas bunga berwarna warni yg dililit pada tiang.
Ahir 80an, barulah pinggan2 kecil utk mengisi lauk diperkenalkan.... indahnya tanah airku