CERITA 1
Seharian menyaksikan anak2 mengisi masa cuti mengundang byk persoalan. Tak seperti aku 40 tahun dulu. Saat spt ini aku dan rakan pasti berinteraksi dgn alam. Menyelusuri parit & sungai mencari ikan pelaga utk dipertandingkan . Membungkas tanah mencari cacing dipotong2 menjadi umpan atau paling sadis merodok perut anak lipas untuk menjadi habuan keli di kali. Nampak kejam tapi itu saja hiburan kami. Terbit saja mentari aku dan rakan akan mencari batu damar untuk ditumbuk sebelum dibakar menjadi gam yg cukup kuat utk melekat pada kaki burung kelicap dan juga serindit. Biasanya gam damar kami lilit pada ranting pokok yg telah dikenalpasti menjadi tempat burung bertenggek. Andai burung yg terlekat meronta, terpaksalah dicampak ke dlm semak, tak peduli sama ada masih bernyawa atau tidak. Saat itu aku x fikir tentang kemanusiaan. Aku hanya tahu keseronokan utk mengisi masa cuti.Waktu rehat cuma untuk makan tengah hari sebelum turun semula di lapangan. Dari alam aku belajar kreativiti....dari alam juga aku belajar taktik dan strategi. Tak 'jantan' kalau balik tak beriringan dengan ayam pulang ke reban. Malam...tanpa bekalan elektrik, terlalu lama rasanya menunggu pagi.Tiada Gumball, tiada juga Spongbob. Cuma siri Combat dan Tarzan dpt ditonton dari layar tv hitam putih di rumah Meng Wang, satu2nya keluarga cina fasih berbahasa jawa yg memiliki TV. Itu pun dikenakan bayaran 5 atau 10 sen untuk duduk bersila berasak2 beralaskan guni beras. Aku yg x mampu hanya dpt menyaksikan melalui celah2 dinding rumah kedai setengah batu dari rumah. Tak peduli sama ada dicelah longkang atau terpijak pokok berduri, yg penting aku dpt tengok Vic Morrow beraksi. Rumah kedai itulah juga menjadi 'panggung wayang' bila ada cerita melayu Hang Tuah, Mat Sentol atau melayan sedih cerita Batu Belah Batu Bertangkup...makanlah aku...telanlah aku...aku nak makan telur tembakul. Rasa sebak bawa sampai ke pagi. Lebih sesak bila diserbu oleh penduduk kampung utk menyaksikan Burno Sumartino beraski dlm rancangan gusti.
CERITA 2
"Ayah, esok cikgu suruh pakai baju cantik", sibungsu tiba2 bersuara sambil tangannya menyusun buah catur yg berselerakkan di dpn TV. "Kenapa?", aku sedikit muskyil. "Aaan dpt anugerah".
"Anugerah apa?", aku perlukan jawapan segera sebab aku tahu benar prestasinya. "Entah, Aaan tak tahu, tapi cikgu ada bagi surat", sibungsu menjelaskan sambil tangannya mengheret beg sekolah yg separuh berwarna. Sehelai surat lusuh dihulurkan utk aku baca. "Laaa...kenapa tak cakap awal2", aku sedikit berangin. "Cakap awal pun bukannya ayah nak datang. Ayahkan sebuk". Jantungku bagai disentap kuat. Segera aku ke kedai membelikannya kasut baharu, kerana kasut lamanya berlubang dihujung....."Maafkan ayah nak..sbb esok ayah ada
mesyuarat. Ibu dah ada temu janji berkaitan tugasnya", aku cuba nak bersuara, tetapi tersekat di halkum.
Saturday, November 22, 2014
Wednesday, October 29, 2014
EMAK
“Keputusan
untuk menerima jawatan ini kan kita buat bersama. Kita dah bincang. Kita dah
fikir masak-masak. Bukannya abang buat keputusan sendiri,” ujar Jamal
mengingatkan isterinya. Kelazatan menikmati pucuk meranti masak lemak
berulamkan pucuk bebuas dan sambal belacan sebagai hidangan pada malam itu sedikit
terganggu. Sejak siang lagi Suri merungut. Ada saja isu yang ditimbulkan. Paling meresahkan apabila anak-anak turut menyokong
segala pendapatnya.
“Memanglah
kita dah berbincang. Bukannya nak suruh abang berhenti. Tapi saya nak abang
faham sikit. Jangalah sibuk sangat dengan kerja-kerja abang. Siang di sekolah. Petang sampai malam di asrama.
Bila masanya abang nak bersama kami.” Suri mula bersuara.
Memang
Jamal menyedari bahawa dia semakin sibuk sejak dilantik sebagai Penolong Kanan
Hal Ehwal Murid. Jawatan itu tak pernah Jamal minta. Jamal masih ingat lagi
bagaimana Haji Samad yang beriya-iya minta Jamal menerima jawatan itu bagi
mengantikan Hajah Maimunah yang telah berpindah ke sebuah sekolah di utara
tanah air.
“Nak menjaga anak orang bukannya senang, Tuan
Haji. Seorang dua masih boleh terima, tapi kalau beratus anak remaja nak
dikawal dua puluh empat jam, saya takut.” Jamal cuba mencari alasan untuk
menyakinkan pengetuanya.
“Lagi
pun saya sayang nak tinggalkan rumah ini.” Jamal menambah.
“Awak
cuba dulu. Kan ada warden yang membantu. Soal rumah, sekali sekala hujung
minggu awak boleh jenguk. Bukannya jauh sangat pun rumah ni dari sekolah.
Budak-budak kita pula bukannya nakal sangat. Awak tak perlu risau.” Haji Samad
cuba menyakinkan Jamal.
“Beginilah
Tuan Haji. Bagi saya tempoh untuk buat keputusan. Saya perlu berbincang dengan
orang rumah dan anak-anak. Saya tak boleh buat keputusan sendiri. Takut mereka
tak setuju.” Pendirian Jamal mula goyang. Jamal berasa agak sukar untuk
mempertahankan. Hujahnya mudah dipatahkan oleh Haji Samad, Pengetua Cemerlang yang cukup pengalaman
berdepan dengan sepak terajang dunia pendidikan. Apatahlagi bila memikirkan kesanggupan
Haji Samad yang datang sendiri ke rumah pada malam itu untuk memujuk, Jamal agak
sukar untuk menepisnya.
Tawaran
yang dibawa oleh Haji Samad pada malam itu akhirnya diterima setelah isterinya
turut memberi sokongan. Anak-anak sekadar mendiamkan diri. Mereka akur dengan
keputusan yang dibuat.
“awak
jangan pula menyesal.” Jamal cuba menguji pendirian isterinya.
“Menyesal
? kenapa?” Suri cuba untuk mendapatkan penjelasan. Sebagai guru dia juga
memahami sedikit sebanyak tugas seorang Penolong Kanan Hem di sekolah. Lagi pun
Suri tahu suaminya pernah mejalankan tugas-tugas berkenaan di sekolah lamanya
dulu.
“Kita
kena pindah ke kuarters guru. Jaga budak. Tinggalkan rumah. Tinggalkan
pokok-pokok bunga. Tinggalkan jiran-jiran yang telah banyak membantu kita.”
Jamal menjelaskan seolah-olah juga sebagai satu amaran agar isterinya bersedia
dengan apa yang akan berlaku.
“Abang….cubalah
cari pengalaman baharu. Sesekali biarlah cabaran dan pengalaman itu menguji
kita. Jangan kita leka dengan keselesaan yang dikecapi. Insyallah satu hari
nanti pengalaman itu akan membantu.” Suri cuba berhujah persis seorang pakar
motivasi.
Lamunan
Jamal terganggu bila Aiman memanggilnya. Anak lelaki berusia dua belas tahun
itu telah siap sedia untuk diajarnya mengaji. Ada rakan-rakan yang sebaya
dengannya telah khatam Alquran, tapi Aiman baru juzuk dua belas. Itupun masih
belum mahir panjang pendeknya. Sudah lebih tiga guru mengaji mengajarnya tapi
tidak bertahan lama. Puncanya, Jamal tak sempat nak menghantarnya mengikut masa
yang ditetapkan. Sibuk dengan pelbagai urusan sama ada di sekolah atau di
asrama. Akhirnya, Jamal mengambil keputusan untuk mengajarnya sendiri.
Selesai
mengajar Aiman mengaji, Jamal menghampiri isterinya yang sedang menuang sebakul
baju yang telah siap dicuci untuk dilipat. Kebetulan pula sudah agak lama Jamal
tidak menonton siaran Buletin Utama yang menjadi kegemarannya satu ketika dulu.
Namun, otaknya masih berlegar memikirkan isu pokok yang menyebabkan ketenangnya
terganggu. Kali ini isu yang diungkit oleh isteri yang telah dikahwini dua
puluh tahun lalu cukup mencabar keegoannya.
Memang
sejakdari dulu lagiJamal akan mudah terasa hati bila nama emak dan ayahnya
disebut-sebut. Baginya, dua orang insan
itu cukup istemewa. Hatinya mesti dijaga. Kalau boleh jangan ada sesiapa yang
cuba mengusiknya sehingga mereka berasa terluka. Apatah lagi sekarang ini
mereka hanya tinggal berdua di kampung. Lapan orang anaknya bertaburan di
merata negeri membina keluarga dengan kerjaya serta rezeki masing-masing.
Sesekali bila hujung minggu atau cuti hari perayaan rumah emaknya di kampung
riuh rendah dengan hilai ketawa anak dan cucu-cucunya. Semua adik beradik Jamal
termasuk ipar duai memang sedia maklum dengan ketegasan emaknya dalam
memastikan anak-anaknya balik untuk menziarahinya bila kelapangan. Kalau tidak
semua, seorang pun sudah memadai untuk menjenguknya di kampung. Sebab itu,
anak-anak mengamalkan sistem giliran. Walaupun tidak tertulis, semua anaknya
akur dengan kaedah itu.
“Emak
tak nak duit. Duit dari kebun sawit bapa kamu dah lebih dari cukup untuk
menyara hidup kami berdua. Emak cuma nak kamu semua balik jengok kami, selagi
kami masih hidup. Emak nak tengok cucu-cucu emak. Jangan nanti bila kami dah
tak ada baru kamu berpusu-pusu nak balik. Tak ada maknanya.”Leteran emaknya
pada suatu hari bila Ridzwan, anak ketiganya telah hampir dua bulan tidak
menjengoknya di kampung . Habis semuaanaknya dikerah untuk balik berkumpul
mendengar ‘amanatnya’.
“Emak
boleh bayarkan duit minyak kalau kamu dah tak mampu sangat.” Emaknya menambah.
Pedas menusuk telinga Jamal dan adik beradiknya yang lain. Semuanya diam
membatu. Haji Manaf sekadar memerhati tanpa sepatah kata. Dia tahu benar
perangai isterinya dalam situasi seperti itu.Jangan ada yang cuba nak
menyampuk. Baik-baik amanatnya boleh selesai setengah jam akan jadi empat atau
lima jam. Silap haribulan seharian emaknya akan mendiamkan diri.
Jamal
dan adik beradiknya memang mengakui bahawa emaknya bukan inginkan duit
anak-anak, jauh sekali buah tangan yang mahal-mahal. Malah, ada ketikanya
cucu-cucu yang balik ke kampung pula akan
mendapat habuan dalam bentuk wang ringgit. Dia cuma nak tengok anak dan
cucu-cucunya sahaja. 72 tahun usianya sudah terlalu tua untuknya bergerak ke rumah anak-anak seramai lapan
orang itu. Tambah lagi, akhir-akhir ini sakit sendi yang dialaminya sering
menyerang tanpa mengira waktu. Kalau pun dia sanggup untuk mengikut anak-anak
tapi tak betah lama-lama. Itupun setelah puas dipujuk rayu oleh anak-anak.
“Bang,
lama kita tak balik kampung. Kasihan dengan emak,” Suri memecah bicara sambil
tangannya ligat melipat baju persekolahan anak-anak. Jamal yang menancapkan
perhatiannya pada skrin TV sudah dapat menduga dengan apa yang akan
diperkatakan oleh isterinya.
“Petang
tadi Kak Long telefon.” Suri cuba menarik perhatian Jamal bila dia mendapati
suaminya tidak memberi tindak balas dengan apa yang telah dinyatakan sebelum
itu.
“Cerita
pasal apa?” Jamal mula bertanya. Baginya, pasti ada suatu yang amat menarik
hingga Kak Long sanggup menelefon isterinya. Jarang Kak Long yang telah menetap
lama di Kuala Lumpur itu mengubunginya kecuali bila ada hal yang penting
sahaja. Biasanya hanya dengan Kak Long sajalah emaknya akan mengadu jika ada
yang tak kena dalam adik-beradik Jamal. Kak Longnya akan menjadi orang tengah
dan kak Long jugalah yang akan menjadi pengantara dalam menyelesaikan segala
masalah yang berlaku. Mungkin sikap penyabar Kak Longnya menyebabkan emak Jamal
mempercayai dan selesa dengannya. Mungkin juga Kak Long pandai melayan
keinginan emaknya dalam banyak perkara. Jamal amat yakin Kak Longnya banyak
menyimpan rahsia emak walaupun sekadar anak menantu sulungnya.
“Emak
bertanya pasal abang. Kenapa dah lama tak balik? Emak dah cuba banyak kali nak
menghubungi kita tapi tak berjaya.” Suri menjelaskan.
Jamal
terdiam. Benaknya pantas mengingat tarikh terakhir dia menziarahi emaknya di
kampung. Dua bulan yang lalu iaitu semasa majlis kenduri potong jambul anak
sulung adik bungsunya, Jamal sekeluarga balik membantu membuat persiapan. Lepas
itu Jamal sibuk. Sibuk dengan dunia baharunya sebagai Penolong Kanan Hem.
Dunianya melayan kerenah anak-anak di asrama cukup menghayalkan. Pelbagai hal
yang ditimbulkan oleh pelajar telah memberi pengalaman baharu kepada Jamal. Setiap orang pelajar memiliki
kerenah dan masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan cara yang
berbeza. Adakalanya Jamal bukan saja memikirkan masalah anak pelajar tetapi
turut menyelesaikan kerenah ibu-bapanya sekali. Baru Jamal sedar bahawa dunia
ini terlalu banyak cerita yang mewarnainya.
Selesai
sajpan TV a solat zohor, Jamal pantas melipat sejadah. Lantas disangkutkannya. kenapa
rasa rindu untuk melihat wajah emak dan ayah yang membesarkannya menerjah masuk
mengusik hati kecil yang selama ini sukar untuk dipengaruhi. Mungkin kata-kata Suri
malam tadi memberi kesan yang cukup mendalam.
“Bang,
jangan sampai nanti emak dan ayah datang ke sini. Mungkin dia tak rindu pada
abang, tapi rindu pada cucu-cucunya. Anak kita!” Sindir Suri sambil menyediakan
juadah untuk makan malam. Malah, semasa menadah tangan memanjatkan doa setelah
selesai solat sebentar tadi, terasa ada mutiara-mutiara jernih mengalir
membasahi pipi Jamal yang mula kusam itu. Dia sedar, betapa hebatnya kasih emak
yang telah bersabung nyawa melahirkan zuriat. Membesar dan memberikan
pendidikan untuk Jamal dan adik beradik yang lain hingga semuanya berjaya dalam
kerjaya masing-masing. Adakah cukup dengan doa yang dikirimkan pagi dan petang?
“Kemaskan
baju. Bawa secukupnya untuk dua hari. Lepas makan ni kita balik kampong tengok nenek.
Jangan lupa bawa joran Aiman sekali. Dah lama ayah tak memancing ikan pelaga,”
Jamal memberikan arahan kepada Along yang sedang sebuk membantu isterinya
membuat sambal belacan di dapur. Mereka berdua beranak saling berpandangan.
“Assalamualaikum,
Cikgu…Cikgu Jamal!” kedengaran suara yang memang cukup Jamal kenali berselang
seli dengan ketukan pintu.
“Waalaikum
Salam,” Jamal meletakkan surat khabar yang baru saja diselak untuk dibaca
lantas segera menuju pintu sambil membetulkan kopiah putih yang agak senget di
atas kepalanya.
“Apa
hal dengan kau ni Haziq. Tercungap-cungap macam kena kejar hantu.”Hati Jamal
mula berdebar kencang melihat prilaku ketua pelajarnya. Memang Haziq merupakan
pelajar yang menjadi kepercayaannya selama ini untuk membantu menguruskan
aktiviti di asrama. Tanpa Haziq, Jamal pasti mengalami kesukaran untuk mengurus
kerenah anak-anak pelajarnya. Dalam beberapa hal, khususnya yang melibatkan
pelajar-pelajar tingkatan satu arahan Haziq lebih mudah dituruti. Ketenangan
dan sifatnya yang suka membantu amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan
pelajar tetapi juga guru-guru di sekolah.
“Be…be…begini
cikgu. Ada masalah besar di asrama.Cikgu kena bawa segera budak tu ke hospital.
Kalau tak nyawa pelajar tu dalam bahaya.” Haziq cuba memberikan penjelasan.
“Masalah
besar? Masalah apa? Cuba kau cerita terus terang dengan cikgu. Tak payah
berbelit-belit” Jamal makin mendesak untuk mengetahui.
“Tadi,
lepas kami makan di dewan, ada pelajar tingkatan satu yang berkejaran untuk naik
ke dorm. Dia tergelincir di depan tangga, kepalanya terhentak pada bucu.
Berdarah. Banyak darah yang keluar. Muntah. Sekarang budak tu pengsan.” Haziq
pantas memberikan penjelasan.
“Pengsan?” Soal Jamal dengan wajah berkerut.
“Kalau
begitu, awak balik dulu ke asrama, saya nak salin baju. Tunggu saya di dorm.
Jangan cuba angkat pelajar itu. Nanti makin teruk kecederaannya. Saya akan
panggil ambulan.” Pesan Jamal sebelum berlalu meninggalkan Suri dan Along
terpingga-pingga meminta penjelasan.
Selesai
menukar pakaian Jamal berlari-lari anak menuruni tangga rumah banglo dua
tingkat yang menjadi kediamannya sejak tiga tahun lalu. Hatinya berdegup kencang memikirkan nasib pelajar
yang mengalami kecelakaan. “Mudah-mudahan dia selamat.” Hati kacilnya berdoa.
Belum
sempat enjin motosikal buruknya dihidupkan, sebuah teksi tiba-tiba berhenti
betul-betul dihadapan rumahnya. Jamal cuba mengamat-amati dua susuk tubuh yang
keluar dari perut teksi separuh umur itu. Jamal yakin benar mengenalinya.
“emak….” Jamal terkedu.
Menjelang 50an
Hasrat untuk mengemaskini blog sering tertangguh. Bukan kerana tidak ada bahan untuk dikongsi, tetapi sering terlupa 'pasword' untuk membukanya. Sesekali bermuhasabah, mungkin inilah simtom hamba yang telah diberi peluang untuk menghela nafas selama setengah abad oleh Yang Maha Pencipta. Semuanya semakin lemah, mata semakin kabur, badan semakin mudah letih, mudah lupa dan fikiran tak setajam dulu. Peringatan demi peringatan telah Allah turunkan secara berperingkat. Namun, sebagai hamba yang lemah, kadang-kadang aku terlupa akan peringatan itu. Lebih-lebih lagi saat aku berurusan dengan dunia kerjaya dan keluarga. Amat jarang 'mencermin' diri. Lupa akan kuderat, saat memburu hasrat. Ya Allah ku mohon ampun.
Sunday, June 15, 2014
Suatu hari semasa sedang bersiap untuk menyembahyangkan jenazah seorang rakan guru di Madjid As-Sifa, seorang jemaah di sebelah berbisik, "Tn Haji, untungnya menjadi cikgu." Aku terdiam. Naluriku ingin saja mendapatkan penjelasan daripada jemaah yang amat aku kenali itu. "Kenapa?". Aku berbisik dengan harapan dia dapat memberikan jawapan segera dan ringkas untuk difahami. "Ramainya jamaah yang datang. Tengok tu, berbaris orang mengambil air sembahyang. Dah meninggal pun orang masih panggil cikgu. Harap-harap anak saya pun dapat jadi cikgu. Sekarang masih di UPSI." Penjelasan rakan jamaah tadi mengundang sedikit resah. "Bagaimanakah aku nanti......Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, ketabahan & kesetiaan untuk meneruskan profesion ini. Jadikanlah segala kekalutan, cabaran & rintangan untuk aku terus beristiqamah mencari jalan menjadi pembimbing & pendamping yang baik. Biarlah baktiku ini berakhir sebagai guru, kerana ini sajalah jalan yang aku mampu usahakan untuk mendapatkan sebesar- besar ganjaran yang Engkau sediakan. Ya Allah, pada saat aku dipanggil menghadapMu nanti, aku bermohon biarlah antara yang mengiringiku adalah mereka yang pernah menerima titisan ilmu daripada hambaMu ini. Aku sedar Ya Allah, bahawa aku bukan suri teladan yang cukup baik untuk dicontohi. Namun, aku pernah mengajar mereka tulis baca dan mengenal dosa pahala. Aku pernah mengajar mereka tentang syurga neraka. Aku pernah melarang mereka daripada melakukan kemungkaran. Aku juga pernah menggalakkan mereka melakukan kebaikkan. Andai masih ada lagi kekurangan, maka itu adalah kelalaianku Ya Allah. Ya Allah biarlah selepas ketiadaanku nanti, akan ada anak-anak yang menghidupsuburkan pekerjaan ini. AMIN YA RABILALAMIN. SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA CIKGU
Tahun 1972 secara rasmi aku jadi murid. Ertinya dah 42 tahun berlalu. Murid di SK Seri Sekawan Desa Pontian. Sekolah berdinding papan bertiang konkrit bercat biru muda. Guru Besarnya arwah Cikgu Aliman. Besar badannya, garau juga suaranya. Duduk di Pekan Tambor, rumah kedai dua tingkat dari papan. Sehingga hari ini masih tegap berdiri. Tempat aku & kawan2 ditempatkan bila ada Kejohanan Olahraga Peringkat Pontian Utara. Tulisan Arwah Cikgu Aliman sangat cantik. Bentuknya kemas. Biasanya guna dakwat hitam. Ada sedikit pengaruh Inggeris. Aku selalu cuba meniru2 bentuk tulisan dan tandatangannya. Arwah sangat dihormati. Bukan saja oleh murid & guru tapi juga penduduk kampung. Guru kelasku drj. 1 Cikgu Osman @ Seman Jabar. Orang Pt Embok. Mengajar Bahasa & Ilmu Hisab. Darinya aku mengenali watak2 spt Ali, Ah Seng & Ramasamy. Buku teksnya banyak mengesahkan tentang persahabatan, kerjasama & perpaduan. Seronok sangat sebab baru tahu membaca suku kata. Cikgu Seman suka pakai kemeja lengan pendek ketat. Seluarnya juga ketat. Lenggok badan & cara berjalannya masih aku ingat. Kalau dia mengajar waktu akhir, aku antara murid yg boleh balik awal sebab boleh jawab soalan. Bangga tak terkira. Kadang2 dipaksanya kami tidur supaya tak buat bising. Dua orang adik beradiknya juga cikgu pernah mengajar aku. Cikgu Kaab & Cikgu.....(terlupa namanya. Mengajar lukisan). Seorang lagi cikgu yg tidak akan aku lupa ialah Cikgu Salleh. Mengajar aku B. Inggeris. Yes, no, allright...t.you. Berkulit putih. Bengis & menakutkan. Rasanya sepanjang aku hidup sebagai murid, pelajar, siswa & guru, dialah insan yg paling garang. Lebih baik mengelak daripada terserempak dgn Cikgu Salleh. Beliau juga mengajar aku nyanyi. Nyanyi lagu Inggeris yg sehingga sekarang aku tak faham maksudnya.Aku tahu nyanyi lagu Bangsa Johor & Negaraku pun dari dia. Sekarang dah sedikit uzur. Juga tinggal di Pekan Tambor. Masih di rumah lamanya di lorong kecil sebelah balai polis Tambor. Apa pun orang cerita pasal Cikgu Salleh ni, beliau tetap cikgu aku. Aku mula belajar agama secara rasmi dengan Cikgu Rahmat. Rumahnya rumah papan sebelah pejabat pos Tambor. Warna hijau muda. Pergi sekolah naik vespa. Cikgu Rahmatlah individu yg mengesan bakat aku dalam tilawah dan bersyarah. Darinya aku belajar taranum & tajwid. Dua atau tiga hari aku duduk di rumahnya belajar ngaji sebelum ada pertandingan.Selalu juga bawak aku naik vespanya ke majlis2 tilawah peringkat mukim. Surah yg aku baca masih aku ingat & hafal sampai sekarang. Cikgu Borhan Sadli? Baru beberapa minggu yg lepas aku bersembang dengannya. Lama kami berbual. Cerita2 lama masa di SKSSD. Masih ganteng & sihat. Sekarang tinggal di Pontian. Beliau hebat Ilmu Hisab. Dulu aku rasa Cikgu Borhanlah manusia yg paling pandai Ilmu Hisabnya. Aku tahu tolak, campur, kali & bahagi dari cikgu Borhan. Kalkulatornya ialah biji getah. Beliau suka pulas perut. Beruntung kalau tak berbekas. Kadang2 kulit sampai tersiat. Antara cikgu yang pandai main bola sepak. Persis Mokhtar Dahari. Lepas pencen Cikgu Borhan berjinak dgn politik. Tapi beliau kecewa sbb tak setuju soal prinsip Seorang lagi cikgu yg aku kagumi ialah Cikgu Talib Osman. Juga tinggal di Pekan Tambor. Berjiran dengan Cikgu Aliman. Agak gempal dan rendah orangnya raut wajah macam keturunan cina. Sangat baik hati dan jarang meninggikan suara. Mengajar aku bahasa Malaysia juga guru kelas darjah 3. Sekali aku pernah kena denda oleh Cikgu Talib sebab tak reti mengeja "mengandungi". Jenuh aku menghafal tapi tak pandai2. Kali pertama aku menaiki kereta persendirian ialah menaiki keretanya dari pekan Tambor ke Pulau Sebatang. Suka sakan aku. Terkelip2 tak tahu nak cakap apa. Untuk cikgu2 yg lain, aku juga tetap ingat Cikgu Ramlan dan Cikgu Ismail yg mengajar aku darjah 5. Cikgu Nora (cikgu priktikal) satu2nya cikgu perempuan semasa aku sekolah rendah. Untuk semua TERIMA KASIH CIKGU...TERIMA KASIH KERANA MEMBIMBING AKU.
|
Setelah berpuluh tahun ditinggalkan pada 8 Jun 2014, aku diarahkan menghadiri semula kuliah. Mengadap semula nota dan pensyarah. Terima kasih kepada pihak yang memberi peluang untuk aku di sini. Merasai semula minggu orentasi. Seronok tapi bercampur aduk dengan bayangan anak-anak yang terpaksa ditinggalkan. C204, IAB Enstek, Nilai.
Saturday, December 21, 2013
LE MANS SAKTI
LE MANS SAKTI
Tiada kata yang paling wajar untuk diucap
selain menyatakan rasa kesyukuran kehadrat Allah sebaik sahaja mengetahui
keputusan PMR 2013 SAKTI. Bersyukur, kerana hasrat untuk turut sama menyumbang
serta merealisasikan keputusan yang cemerlang dikabulkan Ilahi. Mungkin kerana
usaha, mungkin juga kerana doa dan mungkin kerana kedua-duanya sekali.
Hakikatnya, itu semua urusan Allah yang tidak mampu dijangkau oleh akal kita.
Namun, sebagai manusia yang bergantung kepada ketentuan-Nya, usaha dan doa
telah dilakukan secara bersungguh-sungguh sama ada oleh guru dan calon. Malah,
ibu-bapa pastinya turut serta berikhtiar mengikut cara masing-masing. Melihat
kepada keterujaan guru-guru untuk mengetahui keputusan sudah cukup menunjukkan
bahawa ada kebersamaan hasrat dan impian. Semua ingin menjadi pendahulu dalam
memperoleh maklumat untuk disebarkan kepada rakan-rakan. Sebahagian besar guru
sudah berkampung di sekolah meskipun cuti masih banyak berbaki. Hanya guru
sahaja yang dapat menyelami naluri keresahan, kegembiraan,keseronokan,
ketakutan, kebimbangan dan kesedihan dalam situasi seperti ini.
Tekad dan semangat
warga SAKTI untuk terus mengukir kecemerlangan akademik berkobar-kobar bila memperoleh keyakinan akan
kebolehan dan potensi diri yang
dibuktikan melalui keputusan-keputusan peperiksaan tahun terdahulu. Rasa rendah diri untuk
bersaing bersama rakan-rakan SBP yang ternama hilang begitu sahaja.
Sebaliknya,mula timbul perasaan ‘seronok’ menjadi pemuka. Situasi ini terus
dimanipulasikan secara terancang agar membentuk budaya. Budaya untuk sentiasa
cemerlang. Untuk menjadikan sesuatu itu menjadi amalan dan budaya memerlukan
perancangan, kesungguhan dalam melaksana dan keyakinan yang tinggi akan
berjaya. Bukan seperti Mat Jenin yang sarat dengan angan-angan tanpa usaha atau
umpama Pak Pandir yang memiliki peluang tapi tak reti memanfaatkan.
Diumpamakan seperti perlumbaan
kereta 24 Hours of Le Mans yang
bermula sekitar 1920an menjadi terkenal kerana berkait rapat dengan endurance
dalam perlumbaan. Daya tahan yang melibatkan bukan saja bahan api, tayar dan
brek tetapi juga pemandu. Bukan sesuatu yang mudah untuk bertahan selama 24 jam
dalam persaingan yang amat sengit bagi menentukan kejuaraan. Sebab itulah,
mana-mana pasukan yang berani berada di litar perlumbaan untuk bersaing dalam Grand Prix of Endurance ini amat
dihormati. Begitu juga dalam perlumbaan Formula
One. Pelbagai cara dan usaha dilakukan bagi memastikan semua jentera yang
berhasrat untuk bersaing mampu melepasi kelajuan minima 300km sejam. Jika keupayaannya
di bawah angka yang dinyatakan adalah lebih baik mengundur diri daripada berada
di atas litar daripada membahayakan orang lain!!!. Inilah yang berlaku kepada
28 pasukan yang terpaksa ‘menyerah kalah’ dalam saingan Formula One sejak 1990.
Dalam kedua-dua
perlumbaan ini, kegagalan untuk merencana strategi dalam kalangan krew pasukan
turut menjadi penentu kemenangan meskipun memiliki jentera yang ampuh. Kehebatan McLaren & Williams yang mendominasi
litar Formula One sekitar 1980-an
hingga 1990-an menjadi bukti strategi, jentera, teknikal, kewangan, tajaan dan pengurusan
saling sokong meyokong untuk memastikan kemenangan yang berterusan. Pendek
kata, Alain Prost , Ayrton Senna atau
Michael Schumacher tidak mungkin menjadi ‘lagenda’ jika sekadar memandu
Myvi ataupun Viva. Satu parkara yang sepatutnya difahami dalam persaingan
seumpama ini ialah tidak ada satu pun pasukan yang mendahului pencabarnya pada
setiap pusingan. Pendahulu saling bertukar ganti. Kadang kala ada pendahulu
yang sengaja memperlahankan jenteranya untuk memberi peluang kepada pemandu
lain ke hadapan. Itu adalah strategi!!!. Apa tah lagi jika pemandu itu dari
pasukan yang sama. Satu lagi hal yang sangat diberi perhatian dalam perlumbaan Le Mans termasuk juga Formula One ini ialah tidak ada kesilapan yang boleh dibenarkan
berlaku!! Pasti akan mengundang kecelakaan. Sebab itu, bahan api hanya akan
digunakan selepas diadakan ujikaji sekian lama. Hanya bahan api terbaik sahaja diguna pakai.
Akur dengan arahan juga menjadi kunci kemenangan pasukan. Pemandu yang hebat
sekalipun akan keluar ke pit untuk menukar tayar jika itu yang dikehendaki oleh
ketua pasukan. Akhirnya, untuk kedua-dua perlumbaan ini, kejuaraan adalah bonus, namun kekalahan tetap
mendapat sanjungan.
Kepada rakan-rakan guru
SAKTI, anda tidak seharusnya kecewa kerana tahun ini gagal mempertahankan
kedudukan setelas dipintas semula oleh STF. Anda adalah sebahagian daripada ‘krew’
yang telah menyumbang kepada persaingan yang cukup menarik di atas litar.
Mengekalkan momentum untuk bersaing walaupun sekadar mengekalkan GPS 1.03 bukan
suatu kerja yang mudah.Biarpun pendahulu ‘dirampas’semula oleh pesaing yang
memang memiliki legasi tersendiri, SAKTI masih berada pada kelompok terbaik.
SAKTI berjaya melaksanakan tugas meskipun gagal melepasi MBR 1.00 sebagai mana
yang kita sama-sama ikrarkan. Malah,
80.28% atau 114 daripada 140 calon memperoleh 8A merupakan sesuatu yang
patut dibangakan. Hanya sebilangan kecil SBP yang mampu mengapainya. Dua belas
atau sepuluh tahun dulu, angka itu sekadar menjadi dambaan yang menjadi
penghias dinding kini pecah berderai lantaran usaha kalian!!! Ibarat kata Dr
Fadzilah Kamsah…kita tidak boleh kata
gagal, cuma kita gagal untuk cemerlang!!. Selamat Maju Jaya.
Monday, December 16, 2013
Indahnya kehidupan
Aduhai...
Sudah lama blog ini tidak dimurnikan. Bukan kerana tidak ada isu, tetapi dek kesebukkan kerja yang tidak pernah putus. Kesebukkan yang kadang-kadang menghalang untuk sentiasa nampak tenang dalam melayari hidup. Pagi tadi terbaca catatan seorang rakan dalam whatsapp. Sungguh menarik dan menyentuh nurani sebagai seorang hamba yang tidak terlepas untuk bersangka-sangka. Seorang yang kadang-kadang berasa terlalu 'hebat' dan sebuk berbanding yang lain. Seorang yang terlalu sukar untuk menterjemahkan persepsi orang di sekeliling yang juga sentiasa memerhatikan dan menilai. Semuanya rasa macam bagus, semuanya rasa macam baik.
Alkisah sebuah rumah..
Petang itu terdengar rungutan tangga yang tidak terbendung lagi.
Dia terus berleter. "Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku.Seronok jadi atap, tak pernah kena pijak.
Mendengar kata-kata tangga atap terus bersuara. 'Hoi tangga, aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukkan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas, tak kena hujan dan tak kena pijak".
Mendengar kata atap, tiang terus bersuara. Mana kamu tahu?Aku dok tahan pikulatap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya.Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas.Tak kena pijak.
Mendengar kata tiang, dinding tetrus menjawab. "Akulah pelindung rumah ini. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya, bahkan aku terpaksa menjaganya sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna..
PM: setiap manusia mempunyai tugasnya yang tersendiri. Buatlah kerja yang diamanahkan sebaik mungkin. jangan berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya diberi penglihatan pada zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya tak seindah yang dilihat...
Sudah lama blog ini tidak dimurnikan. Bukan kerana tidak ada isu, tetapi dek kesebukkan kerja yang tidak pernah putus. Kesebukkan yang kadang-kadang menghalang untuk sentiasa nampak tenang dalam melayari hidup. Pagi tadi terbaca catatan seorang rakan dalam whatsapp. Sungguh menarik dan menyentuh nurani sebagai seorang hamba yang tidak terlepas untuk bersangka-sangka. Seorang yang kadang-kadang berasa terlalu 'hebat' dan sebuk berbanding yang lain. Seorang yang terlalu sukar untuk menterjemahkan persepsi orang di sekeliling yang juga sentiasa memerhatikan dan menilai. Semuanya rasa macam bagus, semuanya rasa macam baik.
Alkisah sebuah rumah..
Petang itu terdengar rungutan tangga yang tidak terbendung lagi.
Dia terus berleter. "Penat letih jadi tangga. Waktu orang naik, aku kena pijak. Waktu turun pun orang pijak aku.Seronok jadi atap, tak pernah kena pijak.
Mendengar kata-kata tangga atap terus bersuara. 'Hoi tangga, aku lagi sakit tau. Berpanas berhujan siang malam. Mendidih kepanasan bila tengahari. Bila hujan aku terpaksa menahan kesejukkan. Yang seronok jadi tiang. Tak kena panas, tak kena hujan dan tak kena pijak".
Mendengar kata atap, tiang terus bersuara. Mana kamu tahu?Aku dok tahan pikulatap, segala alang rumah bertan-tan siang malam. Aku terpaksa pikul jugak. Tuhan saja tahu betapa beratnya.Yang seronok jadi dinding. Tak payah pikul. Tak kena panas.Tak kena pijak.
Mendengar kata tiang, dinding tetrus menjawab. "Akulah pelindung rumah ini. Aku lindung aurat tuan rumah, hartanya, bahkan aku terpaksa menjaganya sepanjang masa. Kalau aku tak ada semua tak guna..
PM: setiap manusia mempunyai tugasnya yang tersendiri. Buatlah kerja yang diamanahkan sebaik mungkin. jangan berdengki pada orang lain. Sebab mata kamu hanya diberi penglihatan pada zahirnya sahaja. Sedangkan realitinya tak seindah yang dilihat...
Monday, August 5, 2013
Aku, Meriam Pinang dan Bateri Everyday
Dua atau tiga hari lagi tibalah hari Lebaran @ Hari Raya. Selalunya dikaitkan dengan kemeriahan dan keseronokkan tanpa mengira tua atau muda. Sememangnya itulah yang disarankan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. Melihat kepada anak-anak yang terpacak di depan TV, aku kurang pasti bentuk kemeriahan yang dirasainya. Deretan siaran atas nama ‘Rancangan Khas Aidilfitri’ pastinya boleh mengtalkinkan suasana sambutan. Itu tidak termasuk rancangan-rancangan K-pop, kartun Disney, sukan dll.
Berbeza 40 tahun dulu. Zaman aku dan rakan-rakan seangkatan menyambut dan meraikannya. Mungkin kerana tiada bekalan air dan elektrik, maka aku terlalu teruja untuk menyambut lebaran. Getaran perasaan mula tidak keruan bila dua atau tiga hari menjelang raya.Dari mula terbit fajar sampai terbenam mentari, jiwa dan raga dikorbankan untuk membuat persiapan. Tidak cukup siang, bersambung malam. Mencari tin susu, tali guni, mencari minyak tanah, pacak tiang pelita keliling rumah dan kampung menjadi rutin awal sambutan raya. Seronoknya bukan kepalang. Apatah lagi bila nama disebut-sebut sebagai pereka hiasan pelita terbaik, apinya pula tak padam sampai ke pagi!!
Penyediaan meriam batang pinang pula menuntut sepenuhnya kudrat yang ada. Kerjasama sepasukan dijana sepenuhnya bersama rakan-rakan sama ada yang sebaya atau lebih berusia bagi memastikan meriam batang pinang berfungsi sebagaimana yang diharapkan. Dari mula menebang, membuang empulur, mengikat sampailah cara bagaimana untuk mendapatkan ‘karbait’ semuanya menguji kecekalan, keberanian dan kreativiti. Lebih menakjubkan, arah, hala dan sudut pemasangan meriam juga dibincangkan agar ‘serangan’ teman-teman dari kampung bersebelahan khususnya pada malam raya dapat ditangkis. Biasanya, sebaik sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan 1 Syawal, gendang ‘perang’ pun bermula. Seingat aku, tak ada seorang pun rakan-rakan yang putus tangan dan jari apatah lagi kehilangan nyawa akibat aktiviti ini biarpun ‘serang balas’ bertali arus.
Satu lagi elemen kemeriahan raya 40 tahun dahulu ialah radio. Alat yang mendapat bekalan kuasa dari bateri kering Everyday (Cop kucing) ini cukup penting karana menjadi satu-satunya media yang menghubungkan alam kami dengan dunia luar. Bagi memastikan lagu-lagu Dendang Perantau, Musafir di Aidilfitri, Selamat Hari Raya dsb dapat berkumandang dengan jelas, maka aku akan memastikan radio berada dalam kondusi yang cukup sempurna. Mana-mana wayar yang terputus disambung dan bateri yang ‘lembik’ diganti. Andai kekurangan duit untuk menukarnya dengan yang baharu, bateri yang ada akan dijemur seharian di tengah panas untuk mendapatkan ‘kuasanya’ semula. Malam raya, sambil merebus ketupat, membakar kuih bangkit dan bahulu kami akan duduk mengelilingi ‘peti ajaib’ ini untuk mendengar rancangan ‘ permintaan melalui telefon sempena Aidilfitri’ sepanjang malam. Celoteh juru hebah melayan panggilan telefon di dalam radio, mengundang nikmat dan emosi sambutan perayaan yang tidak mampu diceritakan disebalik rasa ‘jakun’ yang masih menebal. Jakun memikirkan bagaimana sistem telefon itu beroperasi sehingga menghasilkan suara untuk menjadi halwa telinga pada malam raya!!!.
……bersambung
Thursday, May 16, 2013
SEKILAR BERITA: SAMBUTAN HARI GURU SAKTI 2013
![]() |
| GURU SAKTI...Back to School...amat nostalgia |
![]() |
| PERSEMBAHAN PENTAS HARI GURU |
![]() |
| MANA SATU GURU...MANA SATU PELAJAR? |
![]() |
| KENANGAN BERBASIKAL KE SEKOLAH |
Khamis ,16 MEI 2013 Kelab Guru dan Badan Kepimpinan Pelajar (BKP) SAKTI telah menjayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Tema yang dipilih pada tahun ini ialah..Back To School dimana semua guru dikehendaki mengenakan pakaian lengkap sekolah masing-masing. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan pada tahun ini. Guru-guru yang hadir penuh bergaya telah mengamatkan lagi suasana sambutan pada kali ini. Kepada semua diucapkan SELAMAT HARI GURU. Jasa kalian amat disanjung tinggi. Terima Kasih kepada semua yang terlibat.
Wednesday, May 15, 2013
SELAMAT HARI GURU
SELAMAT HARI GURU KEPADA WARGA PENDIDIK DI SELURUH NEGARA KHUSUSNYA RAKAN-RAKAN YANG MENGAJAR DI SM SAINS KOTA TINGGI. SEMOGA MEMPEROLEH KEBERKATAN DARI TUGAS YANG DIAMANAHKAN.
Back To School

Baju putih lengan pendek dan seluar pendek biru dibelek hampir setiap hari. Sepasang kasut getah yang juga berwarna putih dicuba untuk sekian kalinya sebelum disusun semula disudut anjung rumah beratap rumbia. Keghairahan yang amat luar biasa meyusup ke seluruh urat nadi untuk menempuh alam baharu persekolahan. Kuku tangan dan kaki yang selama ini berkarat awal-awal lagi dipotong pendek menggunakan pisau cukur malah, dikikis agar kelihatan putih. Daki-daki di badan disental semahunya oleh emak semasa mandi di parit berair payau gambut di hadapan rumah. Sabun buku cap ‘kapak’ berwarna kuning dilumur bukan sahaja ke seluruh badan, malah menjadi ‘syampu’ rambut dan pencuci muka. Pedih bukan kepalang bila sesekali meleleh memasuki mata. Menunggu terbitnya matahari sebagai tanda bermulanya zaman persekolahan amat menyeksakan. Rasa bangga, resah, suka dan takut bersilih ganti. Mahu sahaja perasaan itu dikongsi bersama dengan seluruh penduduk kampung.
Memasuki alam seorang murid sekolah rendah
sekitar tahun 70an cukup indah untuk dikenang. Tanpa falsafah, tanpa misi dan
visi, sekolah menjadi tempat paling menghiburkan. Sembunyi ibu dan galah
panjang, menjadi ‘eviden’ tidak rasmi untuk menguji daya tahan. Konda- kondi dan batu seremban ‘terapi’ yang cukup berkesan untuk kira mengira,
kejujuran, kerjasama dan kesepakatan. Lelayang kertas yang dilipat dua atau
diubahsuai menjadi kapal terbang, jet pejuang, kolek mahupun sampan menjadi
wadah menampilkan kreativiti, kepekaan dan ketelitian. ‘Telefon’ tin susu yang
diikat pada seutas tali panjang adalah simbol inovasi kami. Satu-satunya bola
kulit ‘berbonjol’ yang tetas
jahitannya menjadi rebutan semua murid tanpa mengira umur . Bosan berebut bola
yang dikongsi beramai-ramai kami meredah
kebun mengumpul getah beku untuk dijadikan bahan ‘reka cipta’ permainan baharu.Dahan
atau ranting pokok yang sedikit bengkok di hujung dipatahkan menjadi kayu hoki kami. Kami tidak pernah terfikir
adanya jadual waktu. Kami hanya dibatasi dengan peraturan-peraturan yang paling
asas, sama ada di dalam mahupun di luar kelas. Pendek kata, ‘semua keseronokan’ ada di
sekolah. Sekolah adalah dunia baharu, ‘dunia fantasi’ bagi kanak-kanak seperti kami.
Bagi kami itulah makna sebenar ‘bersekolah’.
Sepanjang yang diingat, tidak pernah aku
membuat sebarang aduan kepada emak dan bapak bila berlaku sesuatu. Benjol di
dahi kerana ‘bertinju’, luka di kaki terpijak kaca, terkehel kerana terjatuh
berkejar-kejaran atau berdarah tertusuk duri biasanya akan sembuh sendiri. Daun
senduduk muda dikunyah sebelum ditepekkan sebagai pengubat luka. Mampu menahan
bengkak bisa menjadi kepuasan.Itulah ‘ikhtiar hidup’ yang dipelajari sebagai
anak kampung tanpa perlunya perkhemahan atau kem-kem bina semangat. Bagi kami,
emak bapak tak perlu risau, emak bapak tak perlu rungsing dan tahu bila, di
mana, kenapa dan bagaimana boleh berlaku. Kami juga tidak pernah hairan bila
sesekali penampar cikgu hinggap di pipi atau sebelah kaki kejang berdiri di
atas meja menerima hukuman.Bilai di punggung akibat disesah oleh cikgu tidak
pernah memutikkan dendam. Jauh sekali mempertikai atau bertanya dari mana punca
kuasa menyesah anak orang. Hormat kami pada cikgu tak pernah surut. Takutnya
juga tak pernah padam. Komuniti kampung juga amat menghormati cikgu.Buatlah apa
sahaja cadangan, pandangan, nasihat atau teguran, jika luahnya dari mulut
seorang cikgu semua akan angguk setuju.
Banjir yang sering melanda menengelamkan
padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air telah
bermula. Parit besar di hadapan SK Seri Sekawan Desa berhampiran kedai Ah Tee
yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan untuk kami menguji kehebatan menyelam
dan berenang bila musim tengkujuh tiba.Permainan ‘Tonjen Air’ menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah
agama bermula.Tanpa seurat benang kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja
mencampakkan baju seragam dan beg sekolah ke atas pokok. Saat itu kami tak
pernah terfikir berapa dalamnya air, kelajuan arus dan tunggul-tunggul kayu
yang berselirat di dasar parit. Emak bapak yang membawa bekalan makanan tengah
hari penuh sabar menunggu dan memerhatikan dari tebing seolah-olah memberi
restu. Tiada suara-suara yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan
tentang bahayanya air yang mengalir deras menuju ke laut. Cikgu turut menyinsing seluar bermain air di
tengah padang melayan murid-murid perempuan. Musim tengkujuh juga memberi
peluang untuk kami mencari duit kocek tambahan. Motosikal cikgu yang dipenuhi
selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak beramai-ramai untuk
dicuci. Dengan upah sepuluh atau dua puluh sen untuk beberapa buah motosikal
yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi lima atau enam orang dan bermewah-mewah
di kantin.
Antara fitrah alam, sekolah dan dunia kami
anak-anak kampung saling melengkapi. Melalui alam kami belajar dan memahami
erti sebenar kehidupan, melalui sekolah kami dipersiapkan dengan sedikit ilmu
untuk masa depan.
Sejujurnya, sasaran atau KPI aku dan
pastinya teman-teman yang lain dalam akademik sepanjang menjadi murid ‘sangat kabur’.
Kalau ada pun, cuma berkeinginan untuk
dapat nombor satu kerana orang kata, nombor satu itu lebih baik daripada
nombor dua, tiga, empat dan lima. Tanpa kelas tambahan dan kaunselor untuk
bimbingan dan memberi motivasi menambahkan keyakinan bahawa apa yang aku raih
setiap kali ujian diadakan tidak lebih sebagai anugerah. Buktinya, Ujian
Penilaian Darjah Lima yang sama taraf dengan UPSR diketahui bila cikgu
mengarahkan kami mengemas bilik dan menukar susun atur meja serta sedikit
taklimat berkaitan ujian. Rasa teruja untuk berdepan dengan ujian bertambah
bila dapat memiliki pensel 2B belang hitam kuning yang boleh dianggap sebagai
barangan ‘mewah’ ketika itu, pemadam yang dihiasi dengan lambang dan bendera
negeri serta pembaris kayu kapur berwarna kuning enam inci. Tanpa Qiamullail
dan Solat Hajat Perdana, kami sebenarnya lebih ‘teruja’ untuk melihat ‘orang
asing’ yang ditugaskan menjadi pengawas bukannya memikirkan susah atau
senangnya soalan. Keterujaan akan bertambah bila kami dibenarkan keluar kelas
lebih awal atau berbeza dari murid-murid yang lain. Tanpa program kelas
tambahan malam atau hujung minggu kami lalui hari-hari ujian tanpa rasa
tekanan. Umpama daun kering yang hanyut dibawa arus. Kekadang, mungkin bila
teringat emak akan bertanya… “dapat nombor berapa?”. Itupun selepas beberapa
minggu keputusan ujian penggal diumumkan.
Ketiadaan kemudahan elektrik, paip air,
jalan dan telefon banyak mempengaruhi budaya dan cara hidup aku dan rakan-rakan
sebaya. Kasut baharu yang sekali-sekala bapak belikan lebih banyak menghabiskan
‘hayatnya’ dalam bungkusan plastik atau diikat dan dikalungkan di leher bagi
mengelakkan kotoran. Kaki yang berstoking dan dipadankan dengan kasut putih
bertahan hanya beberapa hari pada awal tahun.
Kami lebih selesa berkaki ayam sama ada di dalam kelas atau bermain di
tengah padang. Sesekali bila pihak sekolah mendapat tahu akan dikunjungi
pelawat, barulah arahan untuk memakai kelengkapan sekolah dikeluarkan.
Satu-satunya waktu yang merimas, merisau dan membimbangkan kami ialah bila
terlihat kelibat misi dan rombongan pejabat kesihatan memasuki kawasan sekolah.
Jarum yang panas dibakar, minyak ikan yang meloyakan, ubat cacing dan peralatan
mencabut gigi serba putih sering menganggu perasaan dan keseronokan kami.
Sesetengahnya, lebih rela lari balik ke rumah sambil meraung-raung atau
menghilangkan diri duduk di kolong bawah bangunan.
Kini lebih empat dekad atau dalam bahasa
yang mudah empat puluh tahun alam itu telah aku tinggalkan.Namun, dengan nikmat
kerjaya yang Allah telah tetapkan, aku masih setia dengan sekolah dan seisi
ceritanya. Plot cerita pun telah banyak berubah. Headcount, Muhasabah, Melindungi
Masa Instruksional (MMI), Post Mortem, Kajian Tindakan, Inovasi, PIPP,PPPM, NKRA,
KPI, Indeks Komposit, MBMMBI, 1 Murid 1 Sukan, Bestari, PBS, Peka, SMM, SPS,
ISIS, ADAP, APDM, eGHadir, eKGSK, emisonline, eSPLG, SAPS, Segak online, EMIS,
MBR 1.0 dan lainnya mewarnai
cerita kehidupan kami warga cikgu. Kami kena lebih bijak mengurus emosi. Kami
kena lebih bijak menyerap tekanan. GURU
MALAYSIA: 1 ASPIRASI 1 AGENDA….SELAMAT HARI GURU UNTUK RAKAN SEPERJUANGAN
KHUSUSNYA CIKGU SAKTI.
Tuesday, April 23, 2013
PRU13
Salam hormat Yang Berhormat
Gelanggang pertarungan telah
dibuka
Harap mimpi kan menjadi nyata
Berkempenlah dengan penuh hikmah
TAPI bersedia untuk disumpah seranah
Belajarlah untuk memuji
TAPI bersedia untuk dikeji
Percayalah kepada kesetiaan rakan
TAPI bersedia untuk dikhainati
Bersyukurlah dengan pujian
TAPI bersedia untuk penghinaan
Berhujahlah demi kebenaran
TAPI bersedia dengan pembohongan
Bayangkanlah segala habuan
TAPI bersedia untuk kerugian
Bersungguhlah pegang kepada amanah
TAPI bersedia untuk difitnah
Jujur berkempen jangan ragu
TAPI bersedia untuk ditipu
Memang YB ada ramai kenalan
TAPI bersedia untuk hilang pertaruhan
YB nampak ada keyakinan
TAPI bersedia untuk kekecewaan
Berhujahlah dengan fakta
TAPI bersedia jika dianggap auta
Peganglah nasihat ini YB
Jangan menang sorak kampung tergadai
Watan ini untuk diwarisi
Bukan untuk dikhianati
Thursday, April 18, 2013
SEKILAS BERITA: Kriket, Apresiasi dan Mesyuarat PIBG
Minggu ini menjadi antara waktu yang paling sebuk bagi warga SAKTI. Selesai sahaja menjadi penganjur Kejohanan Kriket Piala Tan Sri Hamzah Abu Samah Zon Selatan, warga SAKTI khususnya terus membuat persiapan untuk Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik (MAKA) dan Mesyuarat Agung PIBG 2013. Dalam masa yang sama sebilangan warga SAKTI yang terpilih turut terlibat dalam beberapa aktiviti peringkat daerah, negeri dan SBPSK. Program-program seperti Pertandingan Robotik di Unimap, Perkhemahan KRS di Setiu, Olahraga MSSD, Kawat Kaki Daerah, MTQ, Drama Bahasa Inggeris SBP dan lainnya juga menuntut penglibatan SAKTI, Semua program ini benar-benar menguji daya tahan, emosi dan kesabaran warganya khusus guru-guru yang sangat dihormati. Menganjurkan tiga majlis berskala besar dalam tempoh seminggu ditambah dengan aktiviti-aktiviti lain yang disebutkan, bukan sesuatu kerja yang mudah. Dengan tenaga kerja guru seramai 63 orang adalah sesuatu yang mustahil untuk menjayakan majlis tersebut jika tiada sepasukan kerja yang benar-benar kuat, saling memahami dan sokong menyokong. Semua majlis atau program tersebut memerlukan perancangan yang cukup rapi dan teliti serta melibatkan semua pihak tanpa ada yang terkecuali. Perselisihan pendapat, pandangan, dan idea sudah pasti berlaku. Merajuk, menangis, ketawa dan bermasam muka sudah menjadi asam garam sepanjang menganjurkan majlis yang dinyatakan. Namun, pasukan kerja SAKTI memiliki keinginan dan tekad serta azam untuk melakukan yang terbaik. Inilah yang menjadi KEKUATAN kami. Apatah lagi bila semua aktiviti dan majlis berakhir tanpa sebarang masalah dan gangguan, Lebih manis bila tetamu yang hadir menghemburkan ucapan tahniah dan pujian. Hilang segala penat lelah. Keletihan, kekalutan bertukar kegembiraan. Terima kasih kepada semua guru yang terlibat. Gandingan Cikgu Herman, Cikgu Suhaimi, Pn Rohana dan Cikgu Shah yang semakin mantap berjaya menguruskan P.A sistem, pentas dan dewan. Pn Rosyatimah & co. yang semakin mahir dengan cetakan buku program.Ustaz Arsam dan rakan-rakan di bahagian menu, masakan dan jamuan. Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Nurul di sudut pengacaraan. Cikgu Azman di unit kawalan dan keselamatan. Cikgu Ally sebagai penyelaras majlis. Ustaz Hafizullah dengan tugas barunya dibahagian protokol dan sambutan. Serta tidak dilupakan Ustaz Norhisam sebagai pembaca doa dan biodata yang cemerlang. Majlis juga tak mungkin berseri tanpa kehebatan cikgu-cikgu bahagian persembahan yang diketuai oleh Cikgu Roshanita. Kepada yang tidak dapat disebutkan namanya,...Terima Kasih Cikgu........
Subscribe to:
Posts (Atom)







