Tuesday, December 20, 2016

....Ayam Lagi

Kisah Ayam : Part 1

Entah berapa kali Si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset. Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2 yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam dan burung seolah-olah menjadi seperti ‘gajet’. Kami tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam dan burung dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang rumah. Kami masak & bakat cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2 dlm semak. Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan. Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti seperti itu, cuti sekolah terasa begitu panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa elektrik, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan.

Kisah ayam: Part 2
Ptg tadi sempat rewang di rumah jiran belakang rumah. Tarik kerusi, duduk dan terus cuci dàging ayam. Benar2 daging. Isi perut, kepala & kakinya dah diasingkan, masuk dlm plastik. “Nak ditanam”, ujar tukang masak. “Dah ofer banyak kali, tapi tak ada yg nak uruskan”, tambahnya lagi. Aku terdiam.
Dahulu setiap kali kenduri kendara, ayamlah simbol majlisnya. Tiada yg terbuang kecuali bulu, najis dan hempedu. Jumlah ayam yg disembelih menjadi penentu kpd besar @ kecilnya majlis yg akan diadakan oleh tuan rumah. Biasanya 20 atau 30 ekor dah cukup gah utk dijadikan bahan cerita. Hanya yg bertaraf ‘bangsawan’ sahaja yg mampu menyajikan tambahan daging lembu. Ayam pula disumbangkan oleh org kampung. Setiap keluarga akan membawa seekor sebagai ufti. Seminggu sblm majlis, dah berkumpullah ayam penyumbang yg akan dikorbankan. Yang hairannya, tuan rumah boleh mengecam setiap penyumbang dan ayam2nya sekali.

Usai disembelih, kami ramai2 bergotong royong menguruskan. Drp proses mencabut bulu hingga mencincang semua diurus oleh ahli rewang. Tanpa bekalan air paip, kami akan membasuhnya di parit. Biasanya pada waktu malam, bersinarkan lampu gas yg juga dipinjam dari jiran tetangga.
Memandangkan daging ayam pada ketika itu boleh dianggap sebagai barangan mewah, maka katua rewang akan memasang ‘mata2’ bagi memastikan tak ada yg gaib atau terbuang. Termasuklah usus2 ayam yg mengandung najis. Kami akan belah dan cuci smpi bersih. Bagi yg kreatif, akan menggunakan batang keladi utk menterbalikkan usus2 ayam agar mudah dibersihkan. Kalau yg berulat, kami akan kikis. Begitu juga dengan pedal. Kami akan siat bahagian pelapik kuning di bahagian dlm. Jika nasib baik, akan terjumpa telur2 ayam yg masih blm sempurna atau tak smpat dikeluarkan. Itupun dikumpul dan diserah kepada tuan rumah. Manakala jantung ayam yg saiznya kecil, akan menjadi bahagian yg paling berharga dan sering menjadi tumpuan utk di‘songlap’. Sebahagian akan diserah kpd tuan rumah, manakala sebahagian yg lain akan dicucuk utk dibakar dlm timbunan bara. Itupun akan menjadi topik perbualan org kampung, sekiranya aktiviti gelap itu diketahui!!! Indahnya tanah airku..

Salam Kaut

Salam Kaut....
Bagi masy Melayu bandar salam kaut mungkin x lagi dihiraukan. Sifatnya lebih kpd menjamu tetamu. Namun, pd masa dahulu , bagi msy yg tinggal di kampung khususnya, salam kaut amat bermakna. Salam kaut akan digunakan utk menampung kos menganjurkan majlis. Kalau tak semua pun, sebahagiannya mungkin dpt ditanggung. Sebab itu, selesai majlis, tuan rumah akan menjaganya dengan sangat rapi. Diletaknya segala macam rambut atau paku dlm bungkusan. Kononnya dapat mengelak drp terluak atau gaib. Seseorang yg sangat dipercayai akan diarah khusus utk mengawalnya.
Usai membasuh periuk belanga terus memanggil ahli keluarga utk sama2 mengira hasil sumbangan. Anak2 x boleh kacau, yg tua2 sahaja boleh mengira. Ada yg tukang buka sampul, ada yg ditugaskan menyusun, mengira dan ada yg tukang mencatat. Tanpa kalkulator, kerja2 mengira menjadi semakin sukar. Catatan pula tak boleh silap. Sumbangan akan dipulangkan mengikut catatan bila penyumbang mengadakan majlis kemudian hari. Inilah uniknya budaya Melayu. Saling membantu. Selesai mengira, cepat2 berbasikal ke kedai melunaskan hutang. Hutang rempah ratus. Ada baki barulah boleh joli katak. Bolehlah tambah lebarkan dapur, ganti atap, beli lembu, kebun atau beli motosikal scondhand. Yang ibu2 pulak bolehlah jeling2 seurat dua emas tempawan utk penyeri leher atau lengan.
Namun, sukar utk menafikan ada juga hasil salam kaut diguna utk menunjuk2 @ riak. Dahulu, bahana sukarnya mencari duit, maka hasil salam kaut akan menjadi terlalu sensitif dan terlalu teruja utk diketahui oleh org kg. Salam kaut menjadi simbol status dan hairaki keluarga. Sebab itu ada yg memanggil seorang dua jiran tetangga utk konon2 membantu mengira hasil sumbangan. Mereka inilah nanti yg akan mewar2kannya kpd org2 kampung. Diperturunkan secara lisan, dari mulut ke mulut, di warung atau kedai kopi. Sekitar 70an, dapat sumbangan salam kaut RM1000 atau RM2000 dah dikira bagus bagi org kebanyakkan. Ketua kampung, imam, guru ngaji, ketua2 cawangan, tokey2 kedai, biasanya dapat habuan yg lebih besar. Mungkin 3 atau 4 ribu sekali majlis. Maka akan terpacullah kata2 seperti, “oh, memang patut pun si polan dapat begitu, dia tu siapa......”. Bagi tuan rumah yg mengaut sedikit hasil, “ tulah, si polan tu bukannya campur sangat dengan orang....” Cerita dan tanda tanya jumlah hasil salam kaut tuan rumah yg berahsia akan berlarutan seminggu dua. Yang sangat berminat akan membuat sepakulasi, yang tertinggi akan jadi KPI untuk diatasi....oh indahnya tanahairku!!!
Hahaha...melihat kpd warnanya, susah nak kata ekonomi negara sedang tenat. Alhamdulillah, walaupun aku sekadar mencuci pinggan.
40 tahun dahulu, nilainya 10 sen. Dibungkus dgn kain setin nipis warna warni. Diikat dengan dawai halus sebelum disisipkan dengan daun atau bunga hidup. Kalau pun bunga mati, biasanya dikarang sendiri. Dari kertas bunga pelbagai warna dan dilekat menggunakan gam kanji. Buat dari tepung beras yg direbus. Dipintal pada dawai.
Biarpun 10 sen amat bermakna. Disisipkan penuh bangga. Sesiapa yg memakainya, dianggap sebagai insan2 terpilih dan diperakui keremajaannya. Maksudnya, boleh diharap untuk membantu mengerakkan majlis. Tak kiralah, ditugaskan di bahagian depan atau belakang, yg penting sesiapa terpilih untuk memakainya boleh beri arahan kpd rakan2 lain.
Bagi yg ditugaskan di pos2 utama, nilainya juga agak besar....50 sen. Bungkusannya juga lain. Guna kain kasa yg berlubang2, kerawang daunnya juga besar. Biasanya untuk saudara mara pengantin atau dayang2 Mak Andam. Akhirnya...selesai majlis, duit inilah yg diguna utk membeli rokok 2,3 batang....indahnya Image may contain: flower and plant airku!!

Rewang dan Talam

Seingat aku, akhir 70an jamuan kenduri khawin makan berhidang tanpa pingan2 kecil utk lauk. Semuanya dilonggok dlm talam. Juga tanpa kerusi meja. Tetamu duduk bersila. Selagi x cukup 4 orang, tetamu x boleh makan. Peranan Penyambut tamu yang akan memberi isyarat memanggil tetamu2 lain utk memenuhi kouta. Sama ada mengenali atau tidak, mereka akan menjamu selera bersama. Masa inilah mereka berkenalan.
Bangsal berlantaikan papan. Bergotong royong membinanya. Beralaskan batang kelapa yang tingginya lebih kurang sekaki dari tanah. Beratapkan rumbia dan berhiaskan daun kelapa atau kertas bunga berwarna warni yg dililit pada tiang.
Ahir 80an, barulah pinggan2 kecil utk mengisi lauk diperkenalkan.... indahnya tanah airku

Mencari Keli di Muara

Misi ‘Mencari Keli di Muara’ - Part 1
Rutin Disember. Meraikan kepelbagaian minat & keinginan anak2. Musim lalu bermain di sawah Sg Besar mencari belut, sepat & haruan. Kali ini Si Bujang teringin merentap ikan di muara. Aku masih seperti biasa, meneman & memerhati. Menikmati sepoi angin laut. Masih was2 dengan semangatnya. Walaupun, malam tadi, katanya Si Bujang bermimpi menaikkan kerapu. Siap bertanya ibunya, masak apa yg paling sesuai. Aku masih terlalu sukar utk percaya.
Kali ini, nilai pelaburan lebih besar. Boleh bertahan lebih 5 tahun kalau dibelikan bilis tamban yg siap disiang. Harap2 hasilnya juga berpada dan berganda. Namun, sepatah kata Cg Mazlena Ena memancing bukan soal duit dan masa. Memancing adalah terapi kesabaran. Sambil menunggu, aku selesaikan kerja2 online HRMIS, meluluskan cuti staf!!



Misi ‘Mencari Keli di Muara’ - Part 2
“Datang sini nak kurangkan stress. Tambah stress adalah”, tiba2 sahaja Mamat sebelah bersuara.
Sebagaimana biasa dlm bab memancing, aku tak banyak memberikan arahan. Si Bujang lebih tahu mana perambut nak pasang, jenis tali mana nak guna dan mata kail mana nak pakai. Namun, menjelang tengah malam Si Bujang mula gelisah. Tak seekor ikan dinaikkan kecuali seekor ketam batu yg entah macam mana tersangkut pada mata kail.
Sama spt mana2 pemancing, alasan dah mula disusun berlapis2. Mula memberi sebab, air pasang surut, kederasan arus yg x menentu, adanya batuan karang yg menganggu di dasar dan akhir sekali umpan x sesuai.
Aku yg memang jahil akan dunia nelayan, cuma terdiam. Cerita yg sama aku dengar sebelum ini dari Cg Mohd Ahir, Cg Suhaimi Md Saat, Cg Che Wan Hamdan & adinda Mohd Imran Konting, setiap kali disapa isteri balik dari bertapa. Sekurang2nya elemen KBAT dah cuba diterapkan oleh Si Bujang. Dia dah mula tahu cabaran hidup pemancing.
Hakikatnya....
Hanya ikan yg tahu saat bila nak keluar dari persembunyian, bila masanya lapar dan situasi mana yg membahayakan. Mungkin juga ikan2 dah tahu, di sebalik umpan yg enak, ada mata kail yg boleh mencederakan.
Mencari lubuk ikan di lautan yg luas ini, hampir mustahil. Semuanya sekadar andaian. Hanya yg betul2 pakar dan selalu berinteraksi dgn alam ini sahaja yg memahami.
Teringat kata2 Dr Fadzilah Kamsah, hadiah kesabaran akan diberi pada waktu yg tepat, di tempat yg tepat, dgn org yg tepat dan alasan yg tepat.
“Abang dtg sekadar hobi, bukan utk mata pencarian. Jom kemas barang. Balik!!!”. Aku cuba menamatkan kebosannya.
“Yah!, tahun depan kita cari lokasi lain”, pantas Si Bujang menjawab.
Jawapan yg hampir sama sebagaimana tahun2 sebelumnya.

Wednesday, December 7, 2016

Ayam

Entah berapa kali si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset. Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2 yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam seolah-olah menjadi seperti  ‘gajet’. Kami  tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi  tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang rumah. Kami masak cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2.  Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan. Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti seperti  itu, cuti sekolah terasa begitu panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan. 

Sunday, May 15, 2016

Aku...Cikgu Rahmat dan Vespa


Tahun ini sudah 26 kali menyambut Hari Guru sebagai pendidik. Pelbagai tema telah dilalui. Namun, setiap kali meraikannya, akan tetap terkenang guru-guru yang telah bertungkus lumus menitiskan ilmu untuk aku jadikan landasan hidup sampai hari ini. Ilmu duniawi dan ukhrawi. 40 tahun lalu, tak pernah terfikir akan susah senangnya menjadi cikgu. Yang aku tahu, cikgu pada saat itu sangat disanjung dan dihormati. Bukan sahaja oleh murid, tetapi juga komuniti. Bulat kata cikgu, maka bulatlah juga yang mendengarnya. Putih kata cikgu, maka putihlah pada pandangannya.
Sebagai anak kampung, aku melihat cikgulah yang paling sempurna. Kerana cikgu, aku pertama kali nampak orang bertali leher, berkasut kulit dan berstoking. Kerana cikgu jugalah aku dapat melihat Vespa. Dengan Vespa aku dibawa oleh Cikgu Rahmat untuk berguru mengaji Al-Quran dan syarahan terutamanya sebelum pertandingan peringkat mukim atau daerah. Aku peluk erat-erat Cikgu Rahmat. Aku cengkam betul bajunya. Itulah juga pesan emak, saat aku dibawa oleh Cikgu Rahmat menaiki Vespa hijau mudanya. Badanku yang melidi tidak mengizinkan untuk kaki mencecah pedal. Kaki tergantung-gantung mengepit badan Vespa yang mengelembung kiri dan kanan. Sesekali aku akan melekapkan kepala pada bahagian belakang Cikgu Rahmat. Menahan songkok lusuh kulup yang bimbang terbang ditiup angin. Cikgu Rahmat tak pernah menepis rimas. Tenang dan bersahaja menyelusuri jalanraya dari Jelotong ke Pekan Tambor, sebaik saja keluar dari lorong sempit bertanah gambut Parit Kahar dan Parit Maklumi.
Sepanjang perjalanan, aku lebih banyak memejamkan mata menahan rasa ngeri dan takut terutama saat berselisih kenderaan. Jarak yang cuma 5 atau 6 batu sebelum sampai ke rumahnya yang bersebelahan Pejabat Pos Tambor @Ayer Baloi, terasa terlalu jauh. Entah berapa kali Cikgu Rahmat terpaksa berhenti dan berpusing mengambil kasut putih yang jatuh tercicir.  Kasut yang saiznya lebih besar daripada telapak kaki mudah saja terlucut walaupun telah emak ikat rapi. Tak perasan pula Cikgu Rahmat merungut. Jauh sekali memarahi. Akhirnya, kasut yang satu-satunya aku miliki dan warisi itu diselitkan di dalam beg yang diletakkan di celah kakinya. Aku tak membanta, sebab aku lebih selesa begitu.
Tiga atau empat hari aku akan menginap di rumah Cikgu Rahmat. Dikurantin untuk mendalami ilmu tajwid dan taranum. Segala-galanya sangat menyeronokkan. Cokodok pisang yang menjadi sajian terlalu enak dan seakan tiada tandingan. Terlalu pelik dan jakun dengan lampu Kalimantan. Memikir bagaimana boleh menyala kerana adanya arus elektrik yang tak dapat dikesan oleh mata. Terlalu terang dan menyilaukan bagi seorang budak kampung yang dibesarkan dengan sinaran lampu pelita minyak tanah dan lampu pam. Tidurku di rumah Cikgu Rahmat turut terganggu dengan perasaan terlalu ingin tahu. Buat pertama kalinya juga baju melayu putih kain cotton, yang akan aku guna untuk tilawah digosok licin oleh isteri Cikgu Rahmat menggunakan sterika elektrik. Sambil bertaranum aku sempat menjeling beberapa kali, bagaimana sterika itu berfungsi. Baju  putih yang emak rendam dengan campuran asid ‘coloroc’ sebelum dibasuh dan bernila biru dipadankan pula dengan samping songket yang Cikgu Rahmat pinjamkan, akhirnya tergantung rapi untuk aku pakai.  
ii
Banjir yang sering melanda dan menengelamkan padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air untuk aku dan teman-teman di SK Seri Sekawan Desa, bermula. Tiada istilah Melindungi Masa Instruksional (MMI) dan tiada juga prosedur keselamatan. Parit besar di hadapan sekolah berhadapan kedai Ah Tee yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan untuk kami menguji kehebatan menyelam dan berenang. Permainan ‘Tonjen Air’ menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah agama bermula. Dengan menutup mana yang perlu, kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja mencampakkan baju. Saat itu kami tak pernah terfikir tentang kedalaman, kelajuan arus dan tunggul-tunggul kayu yang berselirat di dasar parit. Cikgu- cikgu seolah turut merestui. Termasuk Cikgu Rahmat. Mereka turut menyinsing seluar bermain air di tengah padang melayan murid-murid perempuan. Tiada suara-suara yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan tentang bahayanya air yang mengalir deras menuju ke laut. 
Musim tengkujuh juga memberi peluang untuk kami berbakti. Satu penghormatan jika Cikgu Rahmat minta bantuan kami untuk Vespanya dicuci. Seperti si mandul baru beranak, kami berebut menawarkan diri.  Motosikal cikgu termasuk Vespa Cikgu Rahmat yang dipenuhi selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak beramai-ramai untuk ‘dimandikan’. Biasanya Vespa Cikgu Rahmat menjadi kenderaan terakhir diurus. Kami enam atau tujuh orang akan mengosoknya dengan cukup berhati-hati sambil membelek-belek Vespa yang menjadi kekaguman anak-anak kampung. Kadang-kadang kami berdebat mencari punca kenapa kenderaan itu boleh bergerak dan ditungangi. Fungsi setiap komponen kami bincangkan. Selesai ‘dimandikan’, kami akan memaklumkan kepada Cikgu Rahmat dan cikgu-cikgu yang lain. Kami menjerit kegembiraan bila enjin motor dapat dihidupkan. Kalau tidak pun, kami akan tolak beramai-ramai keliling sekolah. Dengan upah sepuluh atau dua puluh sen untuk beberapa buah motosikal yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi bermewah-mewah di kantin Embah Situm.

Selamat Hari Guru.

Wednesday, January 27, 2016

SAKTI TELAH DITINGGALKAN

                                               
SEHEBAT BITARA & BERBUDAYA


BEBAN YANG TERPIKUL
TETAP DIGALAS
UNTUK BERUNDUR JAUH SEKALI
HANYA DOA...HANYA DOA




Wednesday, December 16, 2015

Seminggu dua ini emak bapak menjadi manusia yang paling sebuk. Berbeza dengan minggu atau bulan2 sebelum ini. Semuanya memikirkan bagaimana nak mengisi masa cuti. Masa inilah emak bapak akan teruji akan janji2nya untuk membawa anak2 melancong. Tambah gembira bila ada anaknya yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3 yang lalu. Sudah tentu emak bapak teruja untuk memberikan hadiah. Hadiah simbol kegembiraan. Seolah-olah sudah menjadi tradisi yang wajib. Sama ada si emak dan bapak yang berniat nak bagi atau si anak yang menuntut janji. 35 tahun lalu, aku turut menerima hadiah dari bapak. Seutas jam tangan jenama Titus,  berwarna silver. Hadiah kerana lulus SRP @ Sijil Rendah Pelajaran 1980. Setakat lulus dan layak menyambung pelajaran ke tingkatan empat. Bukan berstatus cemerlang pun!!. Itupun bapak sanggup mengorbankan simpanannya. Mungkin sekitar RM80.00. Tiga setengah dekad yang lalu RM80.00 bolehlah dianggap mahal bagi seorang penoreh getah seperti bapak. Boleh digunakan untuk sara hidup kami anak beranak satu atau dua bulan. Entah bila bapak menyimpannya, aku tak pernah fikirkan. Kadang2 aku terfikir juga, mungkinkah bapak meminjam dengan mencagarkan hasil jualan getah beku kepada peraih Cina?. Aku pun sebenarnya tak pernah minta. Sebab aku tahu bapak tak mewah. Bapak tak mampu. Namun, bapak bilang, semua anaknya yang lulus SRP akan diberinya hadiah seutas jam tangan. Itulah juga hadiah ‘rasmi’ pertama dan terakhir untuk anak2nya. Sebagai seorang yang tak mampu baca tulis, itulah kegembiraannya. Mungkin bapak juga tak kisah atau tak tahu yang mana lulus dan yang mana cemerlang.

Jam tangan Titus masih aku simpan sehingga sekarang. Warnanya tak berubah. Cuma kacanya sahaja yang kusam dan retak. Sejak bapak beri, jam tangan Titus itu tak pernah lekang di tangan selama 12 tahun. Sehingga warna kulit ku turut berbelang bahana jam tangan Titus pemberian bapak.Bukan aku suka2 menggantikannya yang baharu, tetapi kerana ‘spring’ jam Titus putus dan perlu diganti. Cina di Bandar minta jam itu ditinggalkan di kedai sambil menunggu alat gantinya sampai. Aku cukup takut kalau-kalau jam Titus itu hilang.  Aku cukup berbangga.  Terima kasih bapak.

Monday, December 14, 2015

Orang kata, Hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah. Hidup mesti berakal. Namun, tak semua tatacara hidup mesti bergantung kepada akal semata-mata. Perlu ada ‘kecerdikan’ bagaimana nak menggunakannya. Bila terlalu taksub dengan akal sendiri yang kononnya hebat, penghujungnya menjadi takbur. Berasa diri sahaja yang betul. Ahirnya, adat dipandang sebelah mata malah hukum dan akidah bukan lagi pelindung. Tambah lagi bila akal yang dirasakan ‘hebat’ itu disertai oleh keinginan untuk berkuasa dan popular. Lebih parah bila harta menjadi pendinding. Maka bongkak dan sombong menjadi perhiasan badan. Berasa dirinya kebal pada nasihat orang. Anggap semua nasihat seperti orang tua diajar makan pisang!. Orang seperti ini percaya sangat pada akal. Akal kononnya boleh mengawal segala. Sebab itu, mereka mahukan kebebasan tanpa batasan untuk bercakap dan bersuara. Kebebasan untuk melakukan maksiat dan dosa. Tidak perlu ditegur, apa lagi dihalang. Mereka lupa bahawa, adat hidup tolong-menolong, syariat palu-memalu. Mungkin matinya terus menjadi tanah. Tiada soal jawab. Tiada syurga neraka. Tidak hairanlan jika satu hari nanti, ibu-ibu takut zuriatnya menjadi terlalu pandai dan berakal!.  

Monday, October 5, 2015

Pantasnya waktu berlalu. Macam baru kelmarin badàn ini berhujan peluh, berkejaran bersama rakan sepermainan. Mencari ikan pelaga di parit, berjemuran memaksa lelayang buluh terbang menyongsang angin, mempertahankan tipu helah mencari kemenangan bermain 'kayu songket' dan banyak lagi. Mahu saja mengulangi saat itu. Namun, terpilih menjadi insan yang berkesempatan menyambut 'Jubli Emas' adalah sesuatu yang menginsafkan. Bukan sedikit rakan yg telah pergi dipanggil menghadap Ilahi sebelum usia mencecah separuh abad sebegini. Miskipun lelah nafas dihimpit jerebu, lafaz kesyukuran tak pernah terhenti utk diucap. Merasai keseronokan alam kanak2, melayan naluri keremajaan dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga mengisi lowongan masa yg pasti akan ditinggalkan sebagai bahan anak2 serta cucu cicit bercerita. Banggakah mereka atau aku akan tercela. Menunggu kerongkong nafasku tersekat, harap ada bakti yg boleh dijadikan sandaran utk kehidupan yg lebih sempurna & abadi. Kepada ALLAH aku berserah.

Wednesday, August 12, 2015

Induk Yang Berjasa

Izinkan saya menyambung cerita……Inilah pasangan ‘induk’asal yang masih setia di SAKTI. Tekadnya masih bulat untuk terus memberi  khidmat. Biarpun menghampiri 2 dekad, masih belum memasang keinginan untuk beralih angin. Induk-induk yang lain sudah lama berterbangan di seluruh Malaya. Hinggap dan bersarang di mana-mana dahan menghirup udara segar. Namun, pasangan ‘induk’ ini tidak begitu. Katanya, SAKTI terlalu istimewa. Dari seorang hingga kini berenam dan berlima masih setia melalui pintu gerbang yang sudah tiga kali bertukar ganti. Jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya untuk SAKTI. Sebahagian besar ruang memorinya juga digunakan untuk menyimpan segala kenangan 19 tahun lalu. Lebih menarik, semua cahaya matanya juga beralamatkan SM Sains Kota Tinggi. Suatu hari pernah anaknya memberitahu, rumah kuarters itu, mama dah beli!!!.
Bermula dengan kisah berkongsi pelita dan periuk nasi, pasangan ‘induk’ ini boleh melopongkan mulut pendengar. Duduklah dari pagi hingga ke petang, pasangan ‘induk’ ini boleh berbicara perihal SAKTI persis seorang penglipur lara. Lebih menghayalkan bila disertai dengan pelbagai sajian. Tak cukup dengan lontaran suaranya,ayunan tangan akan memeriahkan lagi suasana. Pendek kata, kepada sesiapa yang berhajat untuk menghasilkan dokumentari berkaitan SAKTI, cukuplah mewawancara pasangan ‘induk’ ini. Berketaknya masih menggunakan nada yang sama, jeda dan intonasinya juga tidak jauh beza. Dari SAKTI yang gersang sehinggalah dipenuhi dengan tumbuhan menghijau, pasangan ini boleh mengenalpasti di mana onak, duri dan ranjau. Ranting dan dahan mana yang boleh dipaut atau reput. Daun atau pucuk mana yang beracun. Pendek kata sekecil2 haiwan dan binatang liar dapat diketahui jantan betinanya.

Kepada anak-anak SAKTI 1996 hingga 2015, pasangan ‘induk’ ini jangan mudah dilupa. Daripadanya anda mengenali Ramayana,  Mahabrata & A-Farmosa. Juga formula-formula Matematik warisan Ibnu-Sina. Biar sesukar manapun anda belajar, sukar lagi pasangan ini mengajar. Mungkin tanpa bantuannya, tiada pangkat atau gelaran pada nama anda sama ada di hujung atau di pangkal. Banyak juga air matanya tumpah lantaran usaha anda yang mudah dikira. Ingatannya juga masih berbisa. Sesekali masih ligat bercerita tentang Anas Bostamam (1998), Munzir Ahmad Fuad (2005), Farina Idayu Iskandar (1997) atau Azni Nabila Wahid (2005) dan beratus-ratus lagi nama yang tersimpan rapi dalam uncang memorinya. Tahniah Cikgu Jamilah dan Cikgu Nor Jaslina kerana masih kekal di SAKTI.

Tuesday, August 11, 2015

SELAMAT HARI LAHIR KE-19...SAKTI

Esok 12 Ogos 2015, usianya genap 19 tahun. Tambah ayu dan anggun. Soleknya tidak lagi seperti gadis sunti yang baharu mengenal bedak dan gincu. Ayunan langkahnya juga kian tersusun dan teratur. Tidak lesu seperti dulu. Lenggok dan gayanya tidak lagi janggal. Jalannya tidak lagi tersandung kaki sendiri. Kalau dahulu cuma berselipar, kini dah pandai bertumit tinggi. Pendek kata menyenangkan mata yang memandang. Kalau dulu rambutnya keras berpintal, kini bersisir rapi. Bicaranya pun mula didengari khayalak. Tinggi pekerti menjadi ikutan. Tidak keterlaluan jika dinyatakan, ramai yang memasang angan-angan untuk menyuntingnya. Kalau tidak pun mengambil aura duduk di sisi,dapat mencium wangiannya pun sudah memadai. Kini, semerbak harumannya telah melepasi sempadan negeri. Nun jauh dari Timur hingga ke Barat mula memberi sanjungan. Bukan sedikit yang cuba mencungkil rahsia menjadi cantik rupawan.
Biarpun belum layak digelar primadona, satu hari nanti gelaran yang menjadi rebutan itu akan menjadi miliknya. Mutahir ini, setiap kali hadir di majlis keramaian, duduknya pula di baris hadapan. Sebaris dengan rakan-rakan yang sekian lama diperhati orang. Pendek kata tegak sama tinggi, duduk sama rendah, sukat sama paras.  Tidak lagi seperti dahulu. Segan diperhati orang, maka lebih selesa duduk di belakang. Sering kali menganggap diri,  melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak mengurang.  
Kata orang, bila baik rupa parasnya, maka baiklah juga andamannya. Bersyukur memiliki barisan ‘Mak Andam’ yang setia memberi khidmat. Usahanya tak pernah putus. Ibarat tak mara berdayung, bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu. Ada sahaja ramuan yang disediakan untuk menambah seri wajah. Meskipun ada ketikanya pahit untuk ditelan tapi hasilnya menakjubkan. Malah ramuan itulah juga yang diintai orang, setiap kali datang bertandang. Bukan tak pernah dirundung malang, tapi Mak Andam tetap terus berusaha membesar dan menjaga. Sesekali bila wajah ditumbuhi jerawat, Mak Andam akan cepat-cepat membancuh ramuan untuk merawat. Sekali tak berjaya, dua tiga kali Mak Andam akan mencuba. Ibarat, mudik menyongsong arus, hilir menyongsong pasang. Tidak dilupa siang malam berdoa memohon rahmat, agar seri bukan setakat di muka tapi terus dari hati dan jiwa.

SELAMAT HARI LAHIR SAKTI. Semoga SAKTI menjadi induk benih yang baik. Setiap bibit semuanya tumbuh. Yang tinggi menjulang ke awan, yang rendang menjadi tempat berteduh, yang kuat menjadi pendinding, yang cantik penyeri halaman. Ikhlas… Cikgu Alim.

Sunday, May 24, 2015

CIKGU NASIR

Awal 80an siapa yang pernah bersekolah di SMK Ayer Baloi pasti akan mengenali Cikgu Nasir. Cikgu disiplin yang aku kira paling efektif dan berprolifik, sekurang-kurangnya pada waktu dan ketika itu. Sebut saja namanya, ramai yang kecut perut. Tanpa misai pun Cikgu Nasir tetap nampak bengisnya. Pada kami garangnya seperti harimau beranak muda. Cikgu Nasir ditakuti bukan dimusuhi. Hitam manis dan jarang ketawa. Namun, aku tahu bila sesekali tersenyum, Cikgu Nasir memiliki gigi yang cantik memutih. Dengan rambut lurus berbelah tepi, bersisir rapi. Cikgu Nasir akan berjalan menghayun rotan. Langkahnya amat tersusun dan sentiasa kelihatan tenang. Auranya cukup hebat. 
Kereta Volkswagen yang menjadi kenderaannya sering menjadi intipan pelajar termasuk aku pada awal pagi. Lapang sedikit dada, andai motokar itu tiada di pakir. Saat untuk bertemunya adalah satu truma yang tidak boleh dibayangkan ketika itu. Apatah lagi kalau ada pengawas yang datang memanggil atau pengumuman agar hadir ke bilik disiplin. Kalau tidak bergetar lutut, pasti dada akan berombak kencang. Lantaran itu, daripada terserempak, lebih baik mengelak. Dari hujung kasut hingga ke rambut, akan dipastikan kemas dan rapi. Juga cara bercakap dan berdiri. Walau pun aku tidak pernah ‘ disesah’, teman-teman yang pernah ‘dihayun’ kerana pelbagai kesalahan selalu bercerita. Pedihnya bukan kepalang. Sebab itu, jarang yang mengulangi kesilapan. Teman-teman yang ‘ungkal’ ibarat dihentak tak masuk diumpil tak bergerak akan menjadi buruannya.   
Cikgu Nasir sebenarnya tidak segarang yang kami bayangkan sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas. Beliau, seorang guru yang masih mahu bergurau senda dengan anak muridnya. Cuma, auranya sebagai Guru Disiplin menyebabkan kami jarang ketawa. Komedi macam mana sekalipun ceritanya, senyum kami masih tetap terkawal. Pernah satu hari Cikgu Nasir memberitahu, dia tidak mahu kami menjadi murid yang tidak terurus. Baginya, sukar jika belukar sudah menjadi rimba untuk dibersihkan. Kenapa nak takut? Seruas tebu yang berulat, seruaslah yang dibuang, sapa yang salah dia saja yang dikenakan hukuman.
Sebagai guru yang ditugaskan mengajar Pendidikan Jasmani, sesekali Cikgu Nasir berseluar pendek dan bertshirt putih. Sentiasa kemas. Jarang aku melihat bajunya dilepaskan keluar. Cikgu Nasir juga minat pada permainan hoki. Kali terakhir berjumpa dengan Cikgu Nasir ialah pada tahun 2005, di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim Johor bahru (IPG). Semoga Cikgu Nasir sentiasa dirahmati. Banyak sebab untuk aku mengagumi Cikgu Nasir.

SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA PENDIDIK

Sunday, December 7, 2014

POTONG!! JANGAN TAK POTONG

Pagi tadi, ‘anunya’ dah dipotong!!!. Segalanya terlalu pantas dan mudah. Sepanjang jalan ke klinik, yang jaraknya 30km dari rumah, masih melayan lagu Tegar, kegemarannya. Cuma wajahnya sedikit kelat waktu bius disuntik di hujunga ‘anunya’. Masa selebihnya dihabbiskan dengan berbual bersama doktor yang bersiap untuk ’mengeratnya’. Pelbagai soalan diajukan. Tak perlu tutup-tutup mata macam aku dulu-dulu. Juga tak perlu berendam lama-lama, kononnya biar hujung ‘anunya’ lembut & senang dipotong. 40 tahun dulu amat sukar bebudak seawal 9 tahun dah kena ‘kerat’. Paling awal, bila nak masuk menengah. Biasanya, sebelum ambil SRP. Kalau adapun yang nak minta awal, ayah mesti tak bagi. Sampai sekarang aku tak tahu apa alasannya. Cuma, mungkin dulu proses nak mengeratnya agak sukar dan ‘mengerikan’ bagi sesetengah orang. Paling kurang buat kenduri kendara jemput jiran tetangga. Duit tak cukup untuk tujuan itu. Potong ayam, buat jamuan.
Tok Mudim pula  perlu berjemput. Kalau di kampung, paling koman Pak Bilal yang mengiring atau memboncengnya. Buat tempahan berbulan sebelum majlis. Biasanya 3 atau 4 orang dihimpun untuk dipotong bagi menjimatkan masa Tok Mudim. Sikologinya, automatik muka akan jadi pucat lesi bila diberitahu Tok Mudim dah sampai. Memang, kami dilarang tengok wajah Tok Mudim sehingga tiba waktunya. Bila semua dah tersedia, barulah kami dipimpin untuk duduk di kerusi khas. Masa tu lah mata dapat menjeling peralatan yang akan diguna oleh Tok Mudim. Pisau cukur, gunting, penyepit, segelas air dan beberapa biji limau. Bohong kalau jantung tak berdegup kencang…juga penipu kalau tak gementar. Memandangkan hasrat nak menjadi ‘bujang’ berkobar-kobar, segala perasaan terpaksa ditelan.
 Tanpa bius, Tok Mudim sekadar membaca doa dan jampi lantas ditiupkan di hujung ‘anu’. Selepas beberapa ketika, segalanya selesai. Aku pasti  Tok Mudim guna pisau cukur!!. Cuma, aku tak ingat sama ada pada masa itu dijahit atau sekadar dililit dengan ‘handiplas’. Walaupun, mata ditutup, tapi kesakitan tetap dirasai. Dengan wajah yang tanpa senyum, Tok Mudim nampak selamba. Maksudnya, proses mengerat berjalan lancar. Beberapa hari selepas itu, kami umpama raja. Semuanya tersaji dan dihidangkan. Jarang kami anak-anak kampung dilayan seumpama itu. Orang yang datang turut menghulur ‘sumbangan’. Enam atau tujuh ringgit sudah pasti masuk dalam tabung.
Menunggu untuk luka mengering dan sembuh menuntut satu lagi semangat & kasabaran yang tinggi. Kalau nasib tak baik, dua atau tiga hari darah tak putus. Masa tu le Tok Mudim terpaksa dipanggil kembali. Mungkin doanya untuk menghentikan darah kurang menjadi. Riuh  sekampung,  sipolan bin sipolan darahnya ‘berantai’. Lebih terseksa bila dapat tahu, rakan-rakan yang senasib sudah tak perlu memakai ‘sengkak’ pada kain, atau dah boleh membersihkan luka. Masa ni lah pelbagai metos berlegar dari telinga ke telinga. Kononnya sipolan bin sipolan melanggar pantang. Dulu sesiapa yang dikerat ‘anunya’, tak boleh berjalan sesuka hati. Langkahnya mesti teratur, tak boleh melangkah tahi ayam, tak boleh terlalu banyak minum air, tak boleh makan pedas-pedas, tak boleh makan kacang dan macam-macam lagi. Mungkin semuanya ada justifikasi yang kami tak pernah nak ambil tahu.

Saat yang paling bahagia ialah bila luka sudah kering. ‘Handiplas’ dah boleh ditanggalkan atau lebih tepat disiat. Masa ini, macam-macan kaedah digunakan agar proses menyiat pembalut luka itu tidak menyakitkan. Agar tak ada kapas yang tertinggal melekat bersama kulit. Kami berlumba-lumba untuk menunjuk berani. Siapa yang lebih bahulu memakai  seluar dan berbasikal, dialah ‘hero’ dan yang pasti ramailah nanti ‘junior-junior’ yang datang untuk berkongsi petua. Impak jangka pendek selepas itu ialah, kami dibenarkan untuk berada pada saf depan sebaris dengan orang-orang ‘dewasa’ yang lain bila di masjid. Kami dibenarkan bermain bola di padang sekolah yang lebih luas bersama belia-belia kampung.  Kami juga akan mula berseluar panjang untuk menjaga aurat….sebab dah masuk zaman bujang!!! Bab bangga dan riak tak payah lagi nak cerita. Berminggu-minggu pengalaman itu menjadi topik perbualan kami. Untuk Aan, sibungsuku…tahniah. Esok ayah belikan NERF sebagaimana yang dijanjikan!!!!.