Tuesday, December 20, 2016
Beton
Siang tadi, sepanjang perjalanan ke Seri Iskandar, kami bercerita tentang ‘beton’,sisa beberapa ulas nangka yg dibeli di Telok Intan. Hari ini, ‘beton’@ biji nangka akan dibuang begitu sahaja selepas isinya menjadi habuan. Namun, dulu ‘beton’ menjadi antara santapan yg paling enak. Tambah lagi, bila disaji bersama kopi panas, selesai menoreh getah atau pada musim hujan sambil nyembang2 di anjung rumah. Mungkin kerana sumber makanan yg amat terhad di kampung pada masa itu, memaksa semua benda, asal tidak memabukkan dan memudaratkan akan menjadi pengalas perut, termasuklah ‘beton’. Setakat sebu2 perut, tak menjadi hal. Kami adik beradik akan mengumpulkan biji2 ‘beton’ ini, atau mengutipnya di teletisan. Kami basuh bersih2. Masukkan dlm periuk sebelum dimasak dgn campuran sedikit garam. Lepas dimasak kami hadap ramai2. Tak cukup, kami akan bahagi sama rata. Pendek kata, jarang ada yg terbuang bila disebut makanan.
....Ayam Lagi
Kisah Ayam : Part 1
Entah berapa kali Si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset. Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2 yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam dan burung seolah-olah menjadi seperti ‘gajet’. Kami tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam dan burung dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang rumah. Kami masak & bakat cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2 dlm semak. Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan. Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti seperti itu, cuti sekolah terasa begitu panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa elektrik, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan.
Entah berapa kali Si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset. Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2 yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam dan burung seolah-olah menjadi seperti ‘gajet’. Kami tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam dan burung dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang rumah. Kami masak & bakat cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2 dlm semak. Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan. Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti seperti itu, cuti sekolah terasa begitu panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa elektrik, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan.
Kisah ayam: Part 2
Ptg tadi sempat rewang di rumah jiran belakang rumah. Tarik kerusi, duduk dan terus cuci dà ging ayam. Benar2 daging. Isi perut, kepala & kakinya dah diasingkan, masuk dlm plastik. “Nak ditanam”, ujar tukang masak. “Dah ofer banyak kali, tapi tak ada yg nak uruskan”, tambahnya lagi. Aku terdiam.
Dahulu setiap kali kenduri kendara, ayamlah simbol majlisnya. Tiada yg terbuang kecuali bulu, najis dan hempedu. Jumlah ayam yg disembelih menjadi penentu kpd besar @ kecilnya majlis yg akan diadakan oleh tuan rumah. Biasanya 20 atau 30 ekor dah cukup gah utk dijadikan bahan cerita. Hanya yg bertaraf ‘bangsawan’ sahaja yg mampu menyajikan tambahan daging lembu. Ayam pula disumbangkan oleh org kampung. Setiap keluarga akan membawa seekor sebagai ufti. Seminggu sblm majlis, dah berkumpullah ayam penyumbang yg akan dikorbankan. Yang hairannya, tuan rumah boleh mengecam setiap penyumbang dan ayam2nya sekali.
Usai disembelih, kami ramai2 bergotong royong menguruskan. Drp proses mencabut bulu hingga mencincang semua diurus oleh ahli rewang. Tanpa bekalan air paip, kami akan membasuhnya di parit. Biasanya pada waktu malam, bersinarkan lampu gas yg juga dipinjam dari jiran tetangga.
Memandangkan daging ayam pada ketika itu boleh dianggap sebagai barangan mewah, maka katua rewang akan memasang ‘mata2’ bagi memastikan tak ada yg gaib atau terbuang. Termasuklah usus2 ayam yg mengandung najis. Kami akan belah dan cuci smpi bersih. Bagi yg kreatif, akan menggunakan batang keladi utk menterbalikkan usus2 ayam agar mudah dibersihkan. Kalau yg berulat, kami akan kikis. Begitu juga dengan pedal. Kami akan siat bahagian pelapik kuning di bahagian dlm. Jika nasib baik, akan terjumpa telur2 ayam yg masih blm sempurna atau tak smpat dikeluarkan. Itupun dikumpul dan diserah kepada tuan rumah. Manakala jantung ayam yg saiznya kecil, akan menjadi bahagian yg paling berharga dan sering menjadi tumpuan utk di‘songlap’. Sebahagian akan diserah kpd tuan rumah, manakala sebahagian yg lain akan dicucuk utk dibakar dlm timbunan bara. Itupun akan menjadi topik perbualan org kampung, sekiranya aktiviti gelap itu diketahui!!! Indahnya tanah airku..
Salam Kaut
Salam Kaut....
Bagi masy Melayu bandar salam kaut mungkin x lagi dihiraukan. Sifatnya lebih kpd menjamu tetamu. Namun, pd masa dahulu , bagi msy yg tinggal di kampung khususnya, salam kaut amat bermakna. Salam kaut akan digunakan utk menampung kos menganjurkan majlis. Kalau tak semua pun, sebahagiannya mungkin dpt ditanggung. Sebab itu, selesai majlis, tuan rumah akan menjaganya dengan sangat rapi. Diletaknya segala macam rambut atau paku dlm bungkusan. Kononnya dapat mengelak drp terluak atau gaib. Seseorang yg sangat dipercayai akan diarah khusus utk mengawalnya.
Usai membasuh periuk belanga terus memanggil ahli keluarga utk sama2 mengira hasil sumbangan. Anak2 x boleh kacau, yg tua2 sahaja boleh mengira. Ada yg tukang buka sampul, ada yg ditugaskan menyusun, mengira dan ada yg tukang mencatat. Tanpa kalkulator, kerja2 mengira menjadi semakin sukar. Catatan pula tak boleh silap. Sumbangan akan dipulangkan mengikut catatan bila penyumbang mengadakan majlis kemudian hari. Inilah uniknya budaya Melayu. Saling membantu. Selesai mengira, cepat2 berbasikal ke kedai melunaskan hutang. Hutang rempah ratus. Ada baki barulah boleh joli katak. Bolehlah tambah lebarkan dapur, ganti atap, beli lembu, kebun atau beli motosikal scondhand. Yang ibu2 pulak bolehlah jeling2 seurat dua emas tempawan utk penyeri leher atau lengan.
Namun, sukar utk menafikan ada juga hasil salam kaut diguna utk menunjuk2 @ riak. Dahulu, bahana sukarnya mencari duit, maka hasil salam kaut akan menjadi terlalu sensitif dan terlalu teruja utk diketahui oleh org kg. Salam kaut menjadi simbol status dan hairaki keluarga. Sebab itu ada yg memanggil seorang dua jiran tetangga utk konon2 membantu mengira hasil sumbangan. Mereka inilah nanti yg akan mewar2kannya kpd org2 kampung. Diperturunkan secara lisan, dari mulut ke mulut, di warung atau kedai kopi. Sekitar 70an, dapat sumbangan salam kaut RM1000 atau RM2000 dah dikira bagus bagi org kebanyakkan. Ketua kampung, imam, guru ngaji, ketua2 cawangan, tokey2 kedai, biasanya dapat habuan yg lebih besar. Mungkin 3 atau 4 ribu sekali majlis. Maka akan terpacullah kata2 seperti, “oh, memang patut pun si polan dapat begitu, dia tu siapa......”. Bagi tuan rumah yg mengaut sedikit hasil, “ tulah, si polan tu bukannya campur sangat dengan orang....” Cerita dan tanda tanya jumlah hasil salam kaut tuan rumah yg berahsia akan berlarutan seminggu dua. Yang sangat berminat akan membuat sepakulasi, yang tertinggi akan jadi KPI untuk diatasi....oh indahnya tanahairku!!!
Hahaha...melihat kpd warnanya, susah nak kata ekonomi negara sedang tenat. Alhamdulillah, walaupun aku sekadar mencuci pinggan.
40 tahun dahulu, nilainya 10 sen. Dibungkus dgn kain setin nipis warna warni. Diikat dengan dawai halus sebelum disisipkan dengan daun atau bunga hidup. Kalau pun bunga mati, biasanya dikarang sendiri. Dari kertas bunga pelbagai warna dan dilekat menggunakan gam kanji. Buat dari tepung beras yg direbus. Dipintal pada dawai.
Biarpun 10 sen amat bermakna. Disisipkan penuh bangga. Sesiapa yg memakainya, dianggap sebagai insan2 terpilih dan diperakui keremajaannya. Maksudnya, boleh diharap untuk membantu mengerakkan majlis. Tak kiralah, ditugaskan di bahagian depan atau belakang, yg penting sesiapa terpilih untuk memakainya boleh beri arahan kpd rakan2 lain.
Bagi yg ditugaskan di pos2 utama, nilainya juga agak besar....50 sen. Bungkusannya juga lain. Guna kain kasa yg berlubang2, kerawang daunnya juga besar. Biasanya untuk saudara mara pengantin atau dayang2 Mak Andam. Akhirnya...selesai majlis, duit inilah yg diguna utk membeli rokok 2,3 batang....indahnya
airku!!
airku!!Rewang dan Talam
Seingat aku, akhir 70an jamuan kenduri khawin makan berhidang tanpa pingan2 kecil utk lauk. Semuanya dilonggok dlm talam. Juga tanpa kerusi meja. Tetamu duduk bersila. Selagi x cukup 4 orang, tetamu x boleh makan. Peranan Penyambut tamu yang akan memberi isyarat memanggil tetamu2 lain utk memenuhi kouta. Sama ada mengenali atau tidak, mereka akan menjamu selera bersama. Masa inilah mereka berkenalan.
Bangsal berlantaikan papan. Bergotong royong membinanya. Beralaskan batang kelapa yang tingginya lebih kurang sekaki dari tanah. Beratapkan rumbia dan berhiaskan daun kelapa atau kertas bunga berwarna warni yg dililit pada tiang.
Ahir 80an, barulah pinggan2 kecil utk mengisi lauk diperkenalkan.... indahnya tanah airku
Mencari Keli di Muara
Misi ‘Mencari Keli di Muara’ - Part 1
Rutin Disember. Meraikan kepelbagaian minat & keinginan anak2. Musim lalu bermain di sawah Sg Besar mencari belut, sepat & haruan. Kali ini Si Bujang teringin merentap ikan di muara. Aku masih seperti biasa, meneman & memerhati. Menikmati sepoi angin laut. Masih was2 dengan semangatnya. Walaupun, malam tadi, katanya Si Bujang bermimpi menaikkan kerapu. Siap bertanya ibunya, masak apa yg paling sesuai. Aku masih terlalu sukar utk percaya.
Kali ini, nilai pelaburan lebih besar. Boleh bertahan lebih 5 tahun kalau dibelikan bilis tamban yg siap disiang. Harap2 hasilnya juga berpada dan berganda. Namun, sepatah kata Cg Mazlena Ena memancing bukan soal duit dan masa. Memancing adalah terapi kesabaran. Sambil menunggu, aku selesaikan kerja2 online HRMIS, meluluskan cuti staf!!
Misi ‘Mencari Keli di Muara’ - Part 2
“Datang sini nak kurangkan stress. Tambah stress adalah”, tiba2 sahaja Mamat sebelah bersuara.
Sebagaimana biasa dlm bab memancing, aku tak banyak memberikan arahan. Si Bujang lebih tahu mana perambut nak pasang, jenis tali mana nak guna dan mata kail mana nak pakai. Namun, menjelang tengah malam Si Bujang mula gelisah. Tak seekor ikan dinaikkan kecuali seekor ketam batu yg entah macam mana tersangkut pada mata kail.
Sama spt mana2 pemancing, alasan dah mula disusun berlapis2. Mula memberi sebab, air pasang surut, kederasan arus yg x menentu, adanya batuan karang yg menganggu di dasar dan akhir sekali umpan x sesuai.
Aku yg memang jahil akan dunia nelayan, cuma terdiam. Cerita yg sama aku dengar sebelum ini dari Cg Mohd Ahir, Cg Suhaimi Md Saat, Cg Che Wan Hamdan & adinda Mohd Imran Konting, setiap kali disapa isteri balik dari bertapa. Sekurang2nya elemen KBAT dah cuba diterapkan oleh Si Bujang. Dia dah mula tahu cabaran hidup pemancing.
Hakikatnya....
Hanya ikan yg tahu saat bila nak keluar dari persembunyian, bila masanya lapar dan situasi mana yg membahayakan. Mungkin juga ikan2 dah tahu, di sebalik umpan yg enak, ada mata kail yg boleh mencederakan.
Mencari lubuk ikan di lautan yg luas ini, hampir mustahil. Semuanya sekadar andaian. Hanya yg betul2 pakar dan selalu berinteraksi dgn alam ini sahaja yg memahami.
Teringat kata2 Dr Fadzilah Kamsah, hadiah kesabaran akan diberi pada waktu yg tepat, di tempat yg tepat, dgn org yg tepat dan alasan yg tepat.
“Abang dtg sekadar hobi, bukan utk mata pencarian. Jom kemas barang. Balik!!!”. Aku cuba menamatkan kebosannya.
“Yah!, tahun depan kita cari lokasi lain”, pantas Si Bujang menjawab.
Jawapan yg hampir sama sebagaimana tahun2 sebelumnya.
Jawapan yg hampir sama sebagaimana tahun2 sebelumnya.
Wednesday, December 7, 2016
Ayam
Entah berapa kali si Bungsu menalipon hari ini. Sekadar
ingin memberitahu kejayaannya memerangkap ayam. Bangga dan teruja. “Nenek tak
marah”, ujarnya selamba. Sepanjang perjalanan, aku beriya-iya membayangkan ayam
jantan atau paling kurang emak ayam yang menjadi mangsanya, pada kali ini. Meleset.
Setakat anak ayam yang baharu beberapa hari menetas dah ribut sekampung. Dia
tak tahu bagaimana aku dan teman2 dahulu ‘mengerjakan ‘ bapak2 ayam dan haiwan2
yg sespesis dengannya. Sepanjang cuti sekolah, kami sering menjadikan ayam
sebagai subjek cerita dan objek sasaran. Ayam seolah-olah menjadi seperti ‘gajet’. Kami tak main dengan perangkap. Kami mengurus ayam
dengan jerat. Macam-macam jenis jerat kami cipta. Dengan cara inilah kami
mengetengahkan kreaviti dan menzahirkan imejinasi tanpa batas. Ada yg tergantung pada kaki dan
badan. Lebih tragis terjerat di leher dan terbiar bermalaman. Tak cukup dengan
itu, kami mencipta sendiri gam dari damar batu yang dikutip di kebun belakang
rumah. Kami masak cukup2. Dah siap, kami lilit pada mana-mana ranting pokok
atau laluan ayam menuju jerat. Makin agrasif ayam atau burung yang terkena
jerat cuba melepaskan diri, maka makin berselirat gam damar batu menyelimuti
badan. Susah untuk dibersihkan, kami buang hidup2. Mendera?.. ya, aku mengaku itu satu penderaan.
Masalahnya, itulah hiburan kami, itulah juga keseronokan kami. Tanpa aktiviti
seperti itu, cuti sekolah terasa begitu
panjang. Tanpa Astro, tanpa gajet, tanpa kemampuan emak ayah untuk membawa kami
pergi melancong, pasti anak-anak menjadi dungu menghabiskan cuti sekolah tanpa
ayam dan burung!! Semoga dosa2 kekejaman kami diampunkan.
Sunday, May 15, 2016
Aku...Cikgu Rahmat dan Vespa
Tahun ini sudah 26 kali menyambut
Hari Guru sebagai pendidik. Pelbagai tema telah dilalui. Namun, setiap kali
meraikannya, akan tetap terkenang guru-guru yang telah bertungkus lumus
menitiskan ilmu untuk aku jadikan landasan hidup sampai hari ini. Ilmu duniawi
dan ukhrawi. 40 tahun lalu, tak pernah terfikir akan susah senangnya menjadi cikgu.
Yang aku tahu, cikgu pada saat itu sangat disanjung dan dihormati. Bukan sahaja
oleh murid, tetapi juga komuniti. Bulat kata cikgu, maka bulatlah juga yang
mendengarnya. Putih kata cikgu, maka putihlah pada pandangannya.
Sebagai anak kampung, aku melihat
cikgulah yang paling sempurna. Kerana cikgu, aku pertama kali nampak orang
bertali leher, berkasut kulit dan berstoking. Kerana cikgu jugalah aku dapat
melihat Vespa. Dengan Vespa aku dibawa oleh Cikgu Rahmat untuk berguru mengaji
Al-Quran dan syarahan terutamanya sebelum pertandingan peringkat mukim atau
daerah. Aku peluk erat-erat Cikgu Rahmat. Aku cengkam betul bajunya. Itulah
juga pesan emak, saat aku dibawa oleh Cikgu Rahmat menaiki Vespa hijau mudanya.
Badanku yang melidi tidak mengizinkan untuk kaki mencecah pedal. Kaki tergantung-gantung
mengepit badan Vespa yang mengelembung kiri dan kanan. Sesekali aku akan
melekapkan kepala pada bahagian belakang Cikgu Rahmat. Menahan songkok lusuh
kulup yang bimbang terbang ditiup angin. Cikgu Rahmat tak pernah menepis rimas.
Tenang dan bersahaja menyelusuri jalanraya dari Jelotong ke Pekan Tambor,
sebaik saja keluar dari lorong sempit bertanah gambut Parit Kahar dan Parit Maklumi.
Sepanjang perjalanan, aku lebih
banyak memejamkan mata menahan rasa ngeri dan takut terutama saat berselisih
kenderaan. Jarak yang cuma 5 atau 6 batu sebelum sampai ke rumahnya yang
bersebelahan Pejabat Pos Tambor @Ayer Baloi, terasa terlalu jauh. Entah berapa
kali Cikgu Rahmat terpaksa berhenti dan berpusing mengambil kasut putih yang jatuh
tercicir. Kasut yang saiznya lebih besar
daripada telapak kaki mudah saja terlucut walaupun telah emak ikat rapi. Tak
perasan pula Cikgu Rahmat merungut. Jauh sekali memarahi. Akhirnya, kasut yang
satu-satunya aku miliki dan warisi itu diselitkan di dalam beg yang diletakkan
di celah kakinya. Aku tak membanta, sebab aku lebih selesa begitu.
Tiga atau empat hari aku akan
menginap di rumah Cikgu Rahmat. Dikurantin untuk mendalami ilmu tajwid dan
taranum. Segala-galanya sangat menyeronokkan. Cokodok pisang yang menjadi sajian
terlalu enak dan seakan tiada tandingan. Terlalu pelik dan jakun dengan lampu Kalimantan.
Memikir bagaimana boleh menyala kerana adanya arus elektrik yang tak dapat
dikesan oleh mata. Terlalu terang dan menyilaukan bagi seorang budak kampung
yang dibesarkan dengan sinaran lampu pelita minyak tanah dan lampu pam. Tidurku
di rumah Cikgu Rahmat turut terganggu dengan perasaan terlalu ingin tahu. Buat
pertama kalinya juga baju melayu putih kain cotton, yang akan aku guna untuk
tilawah digosok licin oleh isteri Cikgu Rahmat menggunakan sterika elektrik.
Sambil bertaranum aku sempat menjeling beberapa kali, bagaimana sterika itu berfungsi.
Baju putih yang emak rendam dengan
campuran asid ‘coloroc’ sebelum dibasuh dan bernila biru dipadankan pula dengan
samping songket yang Cikgu Rahmat pinjamkan, akhirnya tergantung rapi untuk aku
pakai.
ii
Banjir yang sering melanda dan menengelamkan
padang bola dan jalan-jalan sekitarnya memberi isyarat bahawa pesta air untuk
aku dan teman-teman di SK Seri Sekawan Desa, bermula. Tiada istilah Melindungi
Masa Instruksional (MMI) dan tiada juga prosedur keselamatan. Parit besar di
hadapan sekolah berhadapan kedai Ah Tee yang fasih berbahasa Jawa menjadi medan
untuk kami menguji kehebatan menyelam dan berenang. Permainan ‘Tonjen Air’
menjadi begitu popular sambil menunggu sesi sekolah agama bermula. Dengan
menutup mana yang perlu, kami terjun ke permukaan air sebaik sahaja
mencampakkan baju. Saat itu kami tak pernah terfikir tentang kedalaman, kelajuan
arus dan tunggul-tunggul kayu yang berselirat di dasar parit. Cikgu- cikgu
seolah turut merestui. Termasuk Cikgu Rahmat. Mereka turut menyinsing seluar
bermain air di tengah padang melayan murid-murid perempuan. Tiada suara-suara
yang menghalang kami, apa tah lagi memberi ingatan tentang bahayanya air yang
mengalir deras menuju ke laut.
Musim tengkujuh juga memberi
peluang untuk kami berbakti. Satu penghormatan jika Cikgu Rahmat minta bantuan kami
untuk Vespanya dicuci. Seperti si mandul baru beranak, kami berebut menawarkan
diri. Motosikal cikgu termasuk Vespa
Cikgu Rahmat yang dipenuhi selut tanah gambut, becak dan lumpur akan kami tolak
beramai-ramai untuk ‘dimandikan’. Biasanya Vespa Cikgu Rahmat menjadi kenderaan
terakhir diurus. Kami enam atau tujuh orang akan mengosoknya dengan cukup
berhati-hati sambil membelek-belek Vespa yang menjadi kekaguman anak-anak
kampung. Kadang-kadang kami berdebat mencari punca kenapa kenderaan itu boleh
bergerak dan ditungangi. Fungsi setiap komponen kami bincangkan. Selesai ‘dimandikan’,
kami akan memaklumkan kepada Cikgu Rahmat dan cikgu-cikgu yang lain. Kami
menjerit kegembiraan bila enjin motor dapat dihidupkan. Kalau tidak pun, kami
akan tolak beramai-ramai keliling sekolah. Dengan upah sepuluh atau dua puluh
sen untuk beberapa buah motosikal yang dibasuh, cukup untuk kami kongsi bermewah-mewah
di kantin Embah Situm.
Selamat Hari Guru.
Wednesday, January 27, 2016
SAKTI TELAH DITINGGALKAN
SEHEBAT BITARA & BERBUDAYA
BEBAN YANG TERPIKUL
TETAP DIGALAS
UNTUK BERUNDUR JAUH SEKALI
HANYA DOA...HANYA DOA
Wednesday, December 16, 2015
Seminggu dua ini emak bapak
menjadi manusia yang paling sebuk. Berbeza dengan minggu atau bulan2 sebelum
ini. Semuanya memikirkan bagaimana nak mengisi masa cuti. Masa inilah emak
bapak akan teruji akan janji2nya untuk membawa anak2 melancong. Tambah gembira
bila ada anaknya yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PT3
yang lalu. Sudah tentu emak bapak teruja untuk memberikan hadiah. Hadiah simbol
kegembiraan. Seolah-olah sudah menjadi tradisi yang wajib. Sama ada si emak dan
bapak yang berniat nak bagi atau si anak yang menuntut janji. 35 tahun lalu,
aku turut menerima hadiah dari bapak. Seutas jam tangan jenama Titus, berwarna silver. Hadiah kerana lulus SRP @
Sijil Rendah Pelajaran 1980. Setakat lulus dan layak menyambung pelajaran ke
tingkatan empat. Bukan berstatus cemerlang pun!!. Itupun bapak sanggup
mengorbankan simpanannya. Mungkin sekitar RM80.00. Tiga setengah dekad yang
lalu RM80.00 bolehlah dianggap mahal bagi seorang penoreh getah seperti bapak.
Boleh digunakan untuk sara hidup kami anak beranak satu atau dua bulan. Entah
bila bapak menyimpannya, aku tak pernah fikirkan. Kadang2 aku terfikir juga,
mungkinkah bapak meminjam dengan mencagarkan hasil jualan getah beku kepada
peraih Cina?. Aku pun sebenarnya tak pernah minta. Sebab aku tahu bapak tak
mewah. Bapak tak mampu. Namun, bapak bilang, semua anaknya yang lulus SRP akan
diberinya hadiah seutas jam tangan. Itulah juga hadiah ‘rasmi’ pertama dan
terakhir untuk anak2nya. Sebagai seorang yang tak mampu baca tulis, itulah
kegembiraannya. Mungkin bapak juga tak kisah atau tak tahu yang mana lulus dan
yang mana cemerlang.
Jam tangan Titus masih aku simpan
sehingga sekarang. Warnanya tak berubah. Cuma kacanya sahaja yang kusam dan
retak. Sejak bapak beri, jam tangan Titus itu tak pernah lekang di tangan
selama 12 tahun. Sehingga warna kulit ku turut berbelang bahana jam tangan
Titus pemberian bapak.Bukan aku suka2 menggantikannya yang baharu, tetapi
kerana ‘spring’ jam Titus putus dan perlu diganti. Cina di Bandar minta jam itu
ditinggalkan di kedai sambil menunggu alat gantinya sampai. Aku cukup takut
kalau-kalau jam Titus itu hilang. Aku cukup
berbangga. Terima kasih bapak.
Monday, December 14, 2015
Orang kata, Hidup bersendi adat, adat bersendi hukum, hukum
bersendi Kitabullah. Hidup mesti berakal. Namun, tak semua tatacara hidup mesti
bergantung kepada akal semata-mata. Perlu ada ‘kecerdikan’ bagaimana nak
menggunakannya. Bila terlalu taksub dengan akal sendiri yang kononnya hebat,
penghujungnya menjadi takbur. Berasa diri sahaja yang betul. Ahirnya, adat
dipandang sebelah mata malah hukum dan akidah bukan lagi pelindung. Tambah lagi
bila akal yang dirasakan ‘hebat’ itu disertai oleh keinginan untuk berkuasa dan
popular. Lebih parah bila harta menjadi pendinding. Maka bongkak dan sombong menjadi
perhiasan badan. Berasa dirinya kebal pada nasihat orang. Anggap semua nasihat
seperti orang tua diajar makan pisang!. Orang seperti ini percaya sangat pada
akal. Akal kononnya boleh mengawal segala. Sebab itu, mereka mahukan kebebasan
tanpa batasan untuk bercakap dan bersuara. Kebebasan untuk melakukan maksiat
dan dosa. Tidak perlu ditegur, apa lagi dihalang. Mereka lupa bahawa, adat
hidup tolong-menolong, syariat palu-memalu. Mungkin matinya terus menjadi
tanah. Tiada soal jawab. Tiada syurga neraka. Tidak hairanlan jika satu hari
nanti, ibu-ibu takut zuriatnya menjadi terlalu pandai dan berakal!.
Monday, October 5, 2015
Pantasnya waktu berlalu. Macam baru kelmarin badà n ini berhujan peluh, berkejaran bersama rakan sepermainan. Mencari ikan pelaga di parit, berjemuran memaksa lelayang buluh terbang menyongsang angin, mempertahankan tipu helah mencari kemenangan bermain 'kayu songket' dan banyak lagi. Mahu saja mengulangi saat itu. Namun, terpilih menjadi insan yang berkesempatan menyambut 'Jubli Emas' adalah sesuatu yang menginsafkan. Bukan sedikit rakan yg telah pergi dipanggil menghadap Ilahi sebelum usia mencecah separuh abad sebegini. Miskipun lelah nafas dihimpit jerebu, lafaz kesyukuran tak pernah terhenti utk diucap. Merasai keseronokan alam kanak2, melayan naluri keremajaan dan menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga mengisi lowongan masa yg pasti akan ditinggalkan sebagai bahan anak2 serta cucu cicit bercerita. Banggakah mereka atau aku akan tercela. Menunggu kerongkong nafasku tersekat, harap ada bakti yg boleh dijadikan sandaran utk kehidupan yg lebih sempurna & abadi. Kepada ALLAH aku berserah.
Wednesday, August 12, 2015
Induk Yang Berjasa
Izinkan saya menyambung cerita……Inilah pasangan ‘induk’asal
yang masih setia di SAKTI. Tekadnya masih bulat untuk terus memberi khidmat. Biarpun menghampiri 2 dekad, masih
belum memasang keinginan untuk beralih angin. Induk-induk yang lain sudah lama
berterbangan di seluruh Malaya. Hinggap dan bersarang di mana-mana dahan menghirup
udara segar. Namun, pasangan ‘induk’ ini tidak begitu. Katanya, SAKTI terlalu
istimewa. Dari seorang hingga kini berenam dan berlima masih setia melalui pintu
gerbang yang sudah tiga kali bertukar ganti. Jiwa dan raga diserahkan
sepenuhnya untuk SAKTI. Sebahagian besar ruang memorinya juga digunakan untuk
menyimpan segala kenangan 19 tahun lalu. Lebih menarik, semua cahaya matanya juga
beralamatkan SM Sains Kota Tinggi. Suatu hari pernah anaknya memberitahu, rumah
kuarters itu, mama dah beli!!!.
Bermula dengan kisah berkongsi pelita dan periuk nasi,
pasangan ‘induk’ ini boleh melopongkan mulut pendengar. Duduklah dari pagi
hingga ke petang, pasangan ‘induk’ ini boleh berbicara perihal SAKTI persis
seorang penglipur lara. Lebih menghayalkan bila disertai dengan pelbagai
sajian. Tak cukup dengan lontaran suaranya,ayunan tangan akan memeriahkan lagi suasana.
Pendek kata, kepada sesiapa yang berhajat untuk menghasilkan dokumentari
berkaitan SAKTI, cukuplah mewawancara pasangan ‘induk’ ini. Berketaknya masih menggunakan
nada yang sama, jeda dan intonasinya juga tidak jauh beza. Dari SAKTI yang
gersang sehinggalah dipenuhi dengan tumbuhan menghijau, pasangan ini boleh
mengenalpasti di mana onak, duri dan ranjau. Ranting dan dahan mana yang boleh
dipaut atau reput. Daun atau pucuk mana yang beracun. Pendek kata sekecil2
haiwan dan binatang liar dapat diketahui jantan betinanya.
Kepada anak-anak SAKTI 1996 hingga 2015, pasangan ‘induk’
ini jangan mudah dilupa. Daripadanya anda mengenali Ramayana, Mahabrata & A-Farmosa. Juga
formula-formula Matematik warisan Ibnu-Sina. Biar sesukar manapun anda belajar,
sukar lagi pasangan ini mengajar. Mungkin tanpa bantuannya, tiada pangkat atau
gelaran pada nama anda sama ada di hujung atau di pangkal. Banyak juga air
matanya tumpah lantaran usaha anda yang mudah dikira. Ingatannya juga masih
berbisa. Sesekali masih ligat bercerita tentang Anas Bostamam (1998), Munzir
Ahmad Fuad (2005), Farina Idayu Iskandar (1997) atau Azni Nabila Wahid (2005)
dan beratus-ratus lagi nama yang tersimpan rapi dalam uncang memorinya. Tahniah
Cikgu Jamilah dan Cikgu Nor Jaslina kerana masih kekal di SAKTI.
Tuesday, August 11, 2015
SELAMAT HARI LAHIR KE-19...SAKTI
Esok 12 Ogos 2015, usianya genap
19 tahun. Tambah ayu dan anggun. Soleknya tidak lagi seperti gadis sunti yang
baharu mengenal bedak dan gincu. Ayunan langkahnya juga kian tersusun dan
teratur. Tidak lesu seperti dulu. Lenggok dan gayanya tidak lagi janggal. Jalannya
tidak lagi tersandung kaki sendiri. Kalau dahulu cuma berselipar, kini dah
pandai bertumit tinggi. Pendek kata menyenangkan mata yang memandang. Kalau
dulu rambutnya keras berpintal, kini bersisir rapi. Bicaranya pun mula
didengari khayalak. Tinggi pekerti menjadi ikutan. Tidak keterlaluan jika
dinyatakan, ramai yang memasang angan-angan untuk menyuntingnya. Kalau tidak pun
mengambil aura duduk di sisi,dapat mencium wangiannya pun sudah memadai. Kini,
semerbak harumannya telah melepasi sempadan negeri. Nun jauh dari Timur hingga
ke Barat mula memberi sanjungan. Bukan sedikit yang cuba mencungkil rahsia
menjadi cantik rupawan.
Biarpun belum layak digelar
primadona, satu hari nanti gelaran yang menjadi rebutan itu akan menjadi
miliknya. Mutahir ini, setiap kali hadir di majlis keramaian, duduknya pula di
baris hadapan. Sebaris dengan rakan-rakan yang sekian lama diperhati orang.
Pendek kata tegak sama tinggi, duduk sama rendah, sukat sama paras. Tidak lagi seperti dahulu. Segan diperhati orang,
maka lebih selesa duduk di belakang. Sering kali menganggap diri, melukut di tepi gantang, masuk tak menambah,
keluar tak mengurang.
Kata orang, bila baik rupa
parasnya, maka baiklah juga andamannya. Bersyukur memiliki barisan ‘Mak Andam’
yang setia memberi khidmat. Usahanya tak pernah putus. Ibarat tak mara
berdayung, bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu. Ada
sahaja ramuan yang disediakan untuk menambah seri wajah. Meskipun ada ketikanya
pahit untuk ditelan tapi hasilnya menakjubkan. Malah ramuan itulah juga yang
diintai orang, setiap kali datang bertandang. Bukan tak pernah dirundung
malang, tapi Mak Andam tetap terus berusaha membesar dan menjaga. Sesekali bila
wajah ditumbuhi jerawat, Mak Andam akan cepat-cepat membancuh ramuan untuk
merawat. Sekali tak berjaya, dua tiga kali Mak Andam akan mencuba. Ibarat, mudik
menyongsong arus, hilir menyongsong pasang. Tidak dilupa siang malam berdoa
memohon rahmat, agar seri bukan setakat di muka tapi terus dari hati dan jiwa.
SELAMAT HARI LAHIR SAKTI. Semoga SAKTI menjadi induk benih yang
baik. Setiap bibit semuanya tumbuh. Yang tinggi menjulang ke awan, yang rendang
menjadi tempat berteduh, yang kuat menjadi pendinding, yang cantik penyeri
halaman. Ikhlas… Cikgu Alim.
Sunday, May 24, 2015
CIKGU NASIR
Awal 80an siapa yang pernah
bersekolah di SMK Ayer Baloi pasti akan mengenali Cikgu Nasir. Cikgu disiplin
yang aku kira paling efektif dan berprolifik, sekurang-kurangnya pada waktu dan
ketika itu. Sebut saja namanya, ramai yang kecut perut. Tanpa misai pun Cikgu
Nasir tetap nampak bengisnya. Pada kami garangnya seperti harimau beranak muda. Cikgu Nasir ditakuti bukan dimusuhi. Hitam
manis dan jarang ketawa. Namun, aku tahu bila sesekali tersenyum, Cikgu Nasir
memiliki gigi yang cantik memutih. Dengan rambut lurus berbelah tepi, bersisir
rapi. Cikgu Nasir akan berjalan menghayun rotan. Langkahnya amat tersusun dan
sentiasa kelihatan tenang. Auranya cukup hebat.
Kereta Volkswagen yang menjadi
kenderaannya sering menjadi intipan pelajar termasuk aku pada awal pagi. Lapang
sedikit dada, andai motokar itu tiada di pakir. Saat untuk bertemunya adalah
satu truma yang tidak boleh dibayangkan ketika itu. Apatah lagi kalau ada
pengawas yang datang memanggil atau pengumuman agar hadir ke bilik disiplin.
Kalau tidak bergetar lutut, pasti dada akan berombak kencang. Lantaran itu, daripada
terserempak, lebih baik mengelak. Dari hujung kasut hingga ke rambut, akan
dipastikan kemas dan rapi. Juga cara bercakap dan berdiri. Walau pun aku tidak
pernah ‘ disesah’, teman-teman yang pernah ‘dihayun’ kerana pelbagai kesalahan
selalu bercerita. Pedihnya bukan kepalang. Sebab itu, jarang yang mengulangi
kesilapan. Teman-teman yang ‘ungkal’ ibarat
dihentak tak masuk diumpil tak bergerak akan menjadi buruannya.
Cikgu Nasir sebenarnya tidak
segarang yang kami bayangkan sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.
Beliau, seorang guru yang masih mahu bergurau senda dengan anak muridnya. Cuma,
auranya sebagai Guru Disiplin menyebabkan kami jarang ketawa. Komedi macam mana
sekalipun ceritanya, senyum kami masih tetap terkawal. Pernah satu hari Cikgu
Nasir memberitahu, dia tidak mahu kami menjadi murid yang tidak terurus.
Baginya, sukar jika belukar sudah menjadi
rimba untuk dibersihkan. Kenapa nak takut? Seruas tebu yang berulat, seruaslah yang dibuang, sapa yang salah
dia saja yang dikenakan hukuman.
Sebagai guru yang ditugaskan
mengajar Pendidikan Jasmani, sesekali Cikgu Nasir berseluar pendek dan
bertshirt putih. Sentiasa kemas. Jarang aku melihat bajunya dilepaskan keluar. Cikgu
Nasir juga minat pada permainan hoki. Kali terakhir berjumpa dengan Cikgu Nasir
ialah pada tahun 2005, di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim Johor bahru
(IPG). Semoga Cikgu Nasir sentiasa dirahmati. Banyak sebab untuk aku mengagumi Cikgu
Nasir.
SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA
PENDIDIK
Subscribe to:
Posts (Atom)



